Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan. IYRES merupakan sebuah pusat penyelidikan nasional yang mengkaji pelbagai aspek aliran dan pembangunan generasi muda dan kaitannya dengan perubahan yang berlaku di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Sejarah Penubuhan[sunting | sunting sumber]

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) atau kini dikenali sebagai Institute of Youth Research (IYRES) merupakan sebuah badan berkanun persekutuan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Penubuhan IYRES telah disempurnakan oleh Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima pada 15 Mei 2005 bersempena sambutan Hari Belia Negara (HBN).

Penubuhan IYRES adalah sejajar dengan Teras Kesepuluh: Penyelidikan dan Pembangunan, Pelan Tindakan Pembangunan Belia Nasional (2004) yang bertemakan “Ke Arah Mewujudkan Belia Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”. Ketika itu, penyelidikan belia di negara ini belum lagi menyerlah dan tidak dapat memenuhi keperluan pembangunan belia. Matlamat teras tersebut ialah mewujudkan pusat penyelidikan belia yang unggul dan dapat bertindak sebagai pusat rujukan serta rangkaian pembangunan belia di semua peringkat.

Rentetan itu, IYRES telah ditubuhkan secara rasminya melalui Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668] Bahagian VII yang telah diwartakan pada 26 Julai 2007. Selaras dengan penubuhan tersebut, waran pertama perjawatan dengan 13 perjawatan tetap pelbagai skim perkhidmatan telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Julai 2008. Setelah itu, waran kedua perjawatan dengan penambahbaikan skim sedia ada serta pertambahan 12 perjawatan baharu telah diluluskan pada 1 Januari 2015 menjadikan jumlah perjawatan tetap adalah sebanyak 25.

Menyedari potensi IYRES dapat dikembangkan, strategi meningkatkan keterlihatan IYRES untuk lebih dikenali dan dirujuk di peringkat nasional mahupun antarabangsa, maka inisiatif penjenamaan semula IPPBM kepada

Institute for Youth Research Malaysia atau IYRES telah dilaksanakan. Penukaran logo baharu juga dibuat bagi menterjemahkan fungsi dan peranan IYRES seperti yang digariskan dalam Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668). Nama baharu tersebut merupakan cetusan idea YB Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan. Nama dan logo baharu IYRES telah dirasmikan oleh beliau pada 6 Februari 2014.

Fungsi IYRES[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan Akta 668, Bahagian VII Seksyen 57 fungsi-fungsi Institut yang termaktub adalah seperti berikut:

  1. untuk bertindak sebagai pusat penyelidikan pembangunan belia kebangsaan;
  2. untuk mengumpul, mengurus dan menyebarkan maklumat dan menyenggara rekod semua perkara berkaitan yang berhubungan dengan pembangunan belia;
  3. untuk menjalankan, memudahkan atau membiayai penyelidikan yang berkaitan dengan pembangunan belia;
  4. untuk mengadakan perkhidmatan teknikal, nasihat, perundingan dan perkhidmatan yang berkaitan berkenaan dengan pembangunan belia;
  5. untuk mewujudkan dan mengekalkan hubungan dan kerjasama dengan lain-lain institusi yang berkaitan di dalam dan di luar Malaysia bagi tujuan mempertingkatkan pembangunan belia;
  6. untuk menganalisis, menilai dan membuat syor mengenai aktiviti belia yang dianjurkan oleh pertubuhan belia, badan kerajaan, organisasi bukan kerajaan atau manamana organisasi sektor swasta yang lain;
  7. untuk menjalankan program bercorak pendidikan dan kesedaran untuk menggalakkan pembangunan belia;
  8. untuk bekerjasama, menyelaras dan menyertai dalam program atau aktiviti pembangunan belia yang berkaitan dengan penyelidikan yang dianjurkan oleh organisasi kebangsaan atau antarabangsa; dan
  9. untuk melakukan apa-apa perkara lain yang didapatinya patut untuk membolehkannya melaksanakan fungsinya dengan berkesan atau yang bersampingan dengan pelaksanaan fungsinya.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Laman Rasmi