Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU Diarkibkan 2005-06-22 di Wayback Machine) merupakan sebuah Institusi Pengajian Swasta yang menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bidang kulinari. ITKAU dahulu lebih dikenali sebagai Chef Li Training Centre (CLTC) yang mula beroperasi pada tahun 1997 dan berpusat di Taman Permata, Ulu Klang, Kuala Lumpur yang lebih menumpukan kepada pembangunan usahawan bumiputera.

ITKAU telah ditubuhkan dan didaftarkan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia pada Jun 2003 dengan nombor pendaftaran KP (JPS) 5195/IPS/140 (8) sebagai sebuah IPS yang menawarkan latihan dalam bidang kulinari.

Kampus ITKAU dibina di atas tapak seluas 4 ekar di dalam sebuah perkampungan Melayu (Gesir Tengah) yang damai di daerah Hulu Selangor. Pembinaannya mencontohi konsep sekolah masakan di Thailand yang berkonsepkan “Cooking Village”. Kampus ini dilengkapi dengan 8 buah bilik kuliah, satu blok dewan serbaguna dan pejabat pentadbiran, satu blok kafetaria, satu blok asrama Puteri, satu blok asrama Putera, 8 unit chalet berhawa dingin, kolam renang yang dilengkapi dengan restoran latihan, 3 buah bilik masakan komersial dan rumah kakitangan.

Walaupun kampus ini terletak di dalam Daerah Hulu Selangor (Kuala Kubu Bharu) tetapi ia mudah didatangi melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dengan menyusuri susur keluar Behrang / Sabak Bernam. Disamping itu, ITKAU memiliki lima buah Pusat Penerangan dan Pembangunan Kerjaya Kulinari yang dipanggil PUPUK iaitu:

  1. PUPUK Kuala Lumpur
  2. PUPUK Shah Alam
  3. PUPUK Melaka
  4. PUPUK Seberang Jaya, Pulau Pinang
  5. PUPUK Johor Bahru

Kesemua pusat latihan dilengkapi dengan peralatan dan bengkel masakan.