Islam Nusantara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lelaki Muslim Indonesia memakai songkok dan sarung sedang mengerjakan solat.

Islam Nusantara atau model Islam Indonesia adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada bentuk empirikal Islam yang berkembang di Nusantara (lebih tepatnya rantau Indonesia). Istilah ini mula-mula diperkenalkan dan digalakkan secara rasmi oleh salah satu pertubuhan Islam di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU), pada 2015, sebagai bentuk tafsiran alternatif masyarakat Islam global yang sekian lama sentiasa didominasi perspektif Arab dan Timur Tengah — contohnya fahaman Wahabi dari Arab Saudi.[1]

Menurut NU, asal mula Islam di Nusantara dapat ditelusuri sekurang-kurangnya pada abad ke-16, sebagai hasil daripada interaksi, kontekstualisasi, penyetempatan, tafsiran, dan vernakularisasi ajaran dan nilai-nilai Islam yang universal, sesuai dengan realiti sosio-budaya Indonesia.[1] Islam Nusantara didefinisikan sebagai tafsiran Islam yang mengambil kira budaya dan adat istiadat tempatan di Indonesia dalam merumuskan fiqahnya.[2] Pada Jun 2015, Presiden Joko Widodo secara terbuka memberikan sokongan kepada Islam Nusantara, yang merupakan bentuk amalan Islam yang sederhana dan dianggap sesuai dengan nilai budaya Indonesia.[3]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Madrasah tradisional di Hindia belanda.

Penyebaran Islam di Indonesia adalah proses yang dilakukan secara perlahan, berperingkat, dan damai. Terdapat satu teori yang mengatakan bahawa Islam datang secara langsung dari semenanjung Arab sebelum abad ke-9 M, sementara ada juga yang mengkhabarkan peranan kaum pedagang dan ulama Sufi yang membawa Islam ke Nusantara pada kurun abad ke-12 atau ke-13, baik melalui tanah Gujarat di India mahupun terus dari Timur Tengah.[4] Pada abad ke-16, Islam menggantikan agama Hindu dan Buddha sebagai agama majoriti di Nusantara. Islam tradisional yang mula-mula berkembang di Indonesia adalah satu cabang Sunni Ahli al-Sunnah wal-Jamaah yang diajarkan oleh kaum ulama, para kiai di pesantren. Model penyebaran Islam seperti ini terutama ditemui di Jawa. Beberapa aspek Islam tradisional ini telah menerapkan pelbagai budaya dan adat istiadat setempat.

Amalan Islam awal di Nusantara sedikit sebanyak dipengaruhi oleh ajaran tasawuf dan ajaran kerohanian Jawa yang sedia ada. Beberapa tradisi, seperti menghormati kewibawaan kiai, menghormati tokoh-tokoh Islam seperti Wali Songo, juga diterapkan dalam tradisi Islam dalam bentuk amalan ziarah kubur, tahlilan, dan memperingati maulid Nabi, termasuk perayaan sekaten yang taat diamalkan oleh golongan Muslim tradisionalis Indonesia. Namun, setelah kedatangan Islam Salafi moden yang disusuli oleh kedatangan ajaran Wahabi dari Arab, golongan Islam literalis puritan ini mengecam semua bentuk tradisi ini sebagai tindakan syirik atau bidaah, dan bentuk sinkretisme yang merosakkan kesucian Islam. Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan agama, kesukaran hidup bersama sesama golongan, dan persaingan spiritual antara Nahdlatul Ulama yang tradisional dan Muhammadiyah yang moden dan puritan.

Ziarah makam tokoh Muslim terkemuka.

Sementara warga Indonesia saksama memperhatikan kehancuran Timur Tengah akibat konflik dan perang yang berpanjangan; mula dari Konflik Israel–Palestin, kebangkitan dunia Arab, perang di Iraq dan Syria, maka disedari bahawa terdapat aspek keagamaan dalam konflik ini, iaitu munculnya masalah Islam radikal. Indonesia turut menderita akibat serangan pengganas yang dilancarkan oleh kumpulan penjihad seperti Jemaah Islamiyah yang menyerang Bali. Doktrin ultrakonservatif Salafi dan Wahabi tajaan kerajaan Arab Saudi selama ini telah mendominasi wacana global mengenai Islam. Membimbangkan lagi, munculnya ISIS pada 2013 yang melakukan tindakan jenayah perang nan keji atas nama Islam. Di Indonesia sahaja, beberapa organisasi berhaluan Islamis seperti Hizbut Tahrir Indonesia (HTI), Front Pembela Islam (FPI), dan juga Parti Keadilan Sejahtera (PKS) telah aktif bergerak dalam persada politik Indonesia kebelakangan ini. Ini menggugat pengaruh institusi Islam tradisional khususnya Nahdlatul Ulama. Unsur-unsur 'Islamis' dalam politik Indonesia ini sering dikhuatiri akan melemahkan semangat Pancasila di kalangan warga Indonesia.

Oleh itu, timbulnya desakan dari golongan cendekiawan Muslim sederhana yang hendak mengambil jarak dan membezakan diri mereka daripada apa yang dipanggil "Islam Arab", dengan mentakrifkan Islam Indonesia. Berbanding dengan Muslim di Timur Tengah, Muslim di Indonesia menikmati keamanan dan perpaduan selama puluhan tahun. Dipercayai bahawa ini berkat daripada pemahaman Islam di Indonesia yang bersifat moderat, inklusif, dan toleran. Lebih-lebih lagi, ia menerima sokongan daripada masyarakat antarabangsa yang menggalakkan Indonesia sebagai negara berpenduduk Muslim terbesar untuk menyumbang kepada evolusi dan perkembangan dunia Islam, dengan memperjuangkan aliran Islam Nusantara sebagai alternatif kepada fahaman Wahabi dari Saudi.[5] Maka daripada itu, Islam Nusantara diidentifikasi, dirumuskan, dipromosikan, dan digalakkan.

Ciri-ciri[sunting | sunting sumber]

Berbanding dengan Muslim Timur Tengah, Muslim Indonesia lebih sederhana, mereka tidak mengamalkan pemisahan jantina secara ketat seperti di Arab. Di sini murid lelaki dan perempuan dapat berkumpul dan belajar bersama dalam kelas.

Ciri utama dari Islam Nusantara ialah tawasut (sederhana), rahmah (pengasih), anti-radikal, inklusif dan toleran.[3] Dalam mendekati budaya tempatan, Islam Nusantara menggunakan pendekatan budaya yang bersimpati dalam memartabatkan syiar Islam tanpa memusnahkan, merosakkan, atau membasmi budaya asli, tetapi sebaliknya, merangkul, menghormati, memelihara, serta melestarikan budaya tempatan. Salah satu ciri utama dari Islam Nusantara ialah mengambil kira unsur budaya Indonesia dalam merumuskan fiqah.[2]

Islam Nusantara dimajukan di peringkat tempatan melalui institusi pendidikan tradisional iaitu pesantren. Pendidikan ini dibentuk berdasarkan sopan santun dan adab ketimuran, yakni menekankan penghormatan kepada kiai dan ulama sebagai guru agama. Murid-murid memerlukan bimbingan dari guru agama agar tidak tersesat sehingga tercipta fahaman yang salah atau radikal. Salah satu aspek khas ialah penekanan pada prinsip rahmatan lil-alamin (rahmat untuk seluruh alam) sebagai nilai universal Islam yang memajukan keamanan, toleransi, saling hormat-menghormati, serta kepelbagaian pendapat dalam hubungan sesama umat Islam, mahupun hubungan Muslim dengan penganut agama lain.[6]

Kritikan[sunting | sunting sumber]

Sebaik sahaja diumumkan, Islam Nusantara menghadapi bangkangan dan kritikan dari aliran-aliran Islam yang lain, yang datang khususnya dari para penganut aliran wahabi dan salafi, atau aliran-aliran seumpamanya yang hendak "membersihkan" Islam dari unsur-unsur tempatan yang dianggap tidak Islamik dan sering dikecam sebagai amalan syirik atau bidaah. Hizbut Tahrir Indonesia telah terang-terang menentang konsep Islam Nusantara.[3] Islam Nusantara dikritik sebagai suatu bentuk Islam sinkretisme yang merosakkan "kesempurnaan" dan ketunggalan Islam, serta dianggap merosakkan perpaduan ummah.[7]

Muhammadiyah, salah satu pertubuhan Islam berpengaruh di Indonesia — walaupun tidak menentang secara langsung konsep ini, menekankan bahawa istilah Islam Nusantara perlu digunakan secara berhati-hati dan berpada-pada agar tidak menindas aliran Islam lain yang mempunyai perbezaan fahaman mengenai Islam. Jika Islam Nusantara disokong dan diangkat sebagai aliran Islam utama oleh negara, dikhuatiri bahawa aliran-aliran Islam lain akan mengalami penindasan dan diskriminasi.[8]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Apa yang Dimaksud dengan Islam Nusantara?". Nahdlatul Ulama (dalam bahasa Bahasa Indonesia). 22 April 2015.CS1 maint: unrecognized language (link)
  2. ^ a b Azis Anwar Fachrudin (24 July 2015). "The face of Islam Nusantara". The Jakarta Post (dalam bahasa Bahasa Inggris).CS1 maint: unrecognized language (link)
  3. ^ a b c Heyder Affan (15 June 2015). "Polemik di balik istiIah 'Islam Nusantara'". BBC Indonesia (dalam bahasa Bahasa Indonesia).CS1 maint: unrecognized language (link)
  4. ^ Nina Nurmila. Jajat Burhanudin, Kees van Dijk (penyunting). Islam in Indonesia: Contrasting Images and Interpretations (dalam bahasa Bahasa Inggris). Amsterdam University Press. m/s. 109.CS1 maint: unrecognized language (link)
  5. ^ "Indonesia. un altro Islam?". Cultura & Culture (dalam bahasa Bahasa Italia).CS1 maint: unrecognized language (link)
  6. ^ "Ini Sejumlah Ciri Islam Nusantara". Nahdlatul Ulama (dalam bahasa Bahasa Indonesia). 16 July 2016.CS1 maint: unrecognized language (link)
  7. ^ "Islam Itu Sudah Sempurna, Tidak Butuh Embel-Embel "Nusantara"". Era Muslim (dalam bahasa Bahasa Indonesia). 15 June 2015.CS1 maint: unrecognized language (link)
  8. ^ Marniati (8 July 2015). "Muhammadiyah: Istilah Islam Nusantara Harus Digunakan Proporsional". Republika (dalam bahasa Bahasa Indonesia).CS1 maint: unrecognized language (link)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]