Ismail bin Haji Abdul Majid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Haji Ismail bin Haji Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Ismail al-Kalantani ("Mufti Kerajaan Pontianak") atau juga sebagai Haji Ismail Pontianak merupakan seorang tokoh ulama perantau. Khatib Masjid Muhammadi dekad 1940-an yang paling popular. Lahir pada 1882 sezaman dengan Mufti Haji Idris, Dato Perdana Haji Nik Mahmud, Tok Seridik dan Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani.

Haji Ismail bin Haji Abdul Majid lebih dikenali dengan panggilan Haji Ismail Pontianak kerana lamanya beliau berkelana dan bermastautin di Pontianak (Kalimantan Barat), bahkan pernah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak - berkhidmat selama suku abad (1910 - 1935).

Meskipun demikian, Haji Ismail akhirnya kembali menetap di Kelantan. Kerjaya awal tokoh lepasan Makkah ini dalam Perkhidmatan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bermula apda 1Januari 1940 apabila beliau dilantik menjadi guru kitab di Jami' Merbau al-Ismaili dengan gaji permulaan $47.50 sebulan.Selanjutnya, beliau dipilih menganggotai Jemaah Ulama MAIK (10 April 1940 hingga 8 Februari 1947).Selain daripada itu, dilantik sebagai Penterjemah Arab (semenjak 1 Julai 1941).

Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 Mei 1943 apabila beliau dilantik menjadi Khatib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Berbeza dengan tokoh-tokok khatib sebelumnya yang masih terikat dengan nota atau teks Arab sepenuhnya, Haji Ismail memperkenalkan khutbahnya secara spontan, dalam bahasa ibunda pula, terbukti sangat berkesan.Walaupun khutbahnya agak panjang, tetapi ahli jemaah tidak bosan. Ini kerana beliau bijak menyusun kata, pandai menyelit ungkapan bahasa "segar" bersesuaian dengan suasana yang mampu membuat sidang hadirin tidak jemu atau mengantuk.Beliau bukan sahaja popular di kalangan ahli jemaah dan anak-anak muridnya, malahan sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim sehinggakan dilantik menjadi guru agama merangkap Imam di Istana baginda.

Khatib panutan ini meninggal di rumahnya, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tengah malam Isnin 18 Muharram 1370 bersamaan 29 Oktober 1950 dan dikebumikan di Kg. Labok, Machang - kampung asalnya.

Satu-satu pusaka penulisan beliau yang diketahui sempat dicetak edar ialah Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia (cetakan pertama 1938), setebal 320 muka iaitu sebuah karya "bunga rampai".

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Rencana asal oleh Ismail Che Daud

Pautan luar[sunting | sunting sumber]