Istana Besar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Istana Besar Johor
SultanPalastJB.jpg
Bangunan
Jenis Istana
Alamat Johor Bahru
Pemilik Sultan Abu Bakar
Penyewa kini Sultan Ibrahim
Pembinaan
Dimulakan 1864
Disiapkan 1866
Kontraktor utama Wong Ah Fook
hadapan Istana Besar Johor (berhadapan dengan Tangga Agung)

Istana Besar ialah salah satu istana Sultan Johor. Istana ini terletak di Johor Bahru, Johor, Malaysia. Istana ini menjadi kediaman rasmi Sultan Johor sehinggalah Istana Bukit Serene disiapkan dan dijadikan istana kediaman baginda.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sultan Abu Bakar telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Istana Besar Johor pada tahun 1864, dan istana tersebut siap dibina pada tahun 1866 oleh Wong Ah Fook.

Pengenalan Ringkas[sunting | sunting sumber]

Istana Besar pada awalnya bukan sahaja berperanan sebagai kediaman DiRaja, tetapi juga merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri. Beberapa istana lain juga dibina dalam kawasan Istana Besar sebagai kediaman kerabat, dan juga untuk kegunaan rasmi.

Istana Besar merupakan istana yang paling megah di Tanah Melayu pada masa pembinaannya. Istana Besar mempunyai dua laluan masuk utama yang mempunyai tangga agung. Di sebelah Selat Johor, laluan menaiki tangga tersebut digunakan semasa zaman bot merupakan satu-satunya pengangkutan yang wujud membawa tetamu dari Singapura ke Johor. Manakala tangga agung yang menghadap dataran dan kebun istana, membawa tetamu terus ke Bilik Singgahsana.

Sultan Abu Bakar telah menerima mengadap ramai tetamu dari dalam dan luar negeri di Istana Besar. Diantaranya adalah Prince George Duke of Edinburgh, Prince Albert Victor (cucunda Queen Victoria), dan King David Kalakaua dari Hawaii.

Bersebelahan bangunan utama Istana Besar terdapat sebuah dewan. Dewan tersebut siap dibina pada tahun 1875 dan digunakan untuk majlis-majlis rasmi seperti Hari Keputeraan DYMM Sultan. Sebelum ini Dewan tersebut juga menempatkan Perbendaharaan Negeri dan beberapa jabatan kerajaan yang lain. Di dalam dewan ini juga digantung papan tanda peringatan, hadiah daripada masyarakat Cina Johor.

Di dalam kawasan Istana Besar juga terdapat Istana Zaharah dan Balai Zaharah, yang dinamakan sempena nama Ungku Zaharah, yang merupakan adinda Sultan Abu Bakar. Istana tersebut pada mulanya menempatkan kerabat Sultan Abu Bakar yang berpindah daripada Telok Blangah ke Johor Bahru. Istana tersebut kemudiannya menempatkan pejabat-pejabat jabatan kerajaan, sebelum ianya berpindah ke Bangunan Sultan Ibrahim pada tahun 1940.

Istana-Istana lain di dalam perkarangan Istana Besar termasuklah Istana Marbal dan Istana Semayam. Istana Marbal dinamakan sempena Marlborough House di London. Ianya pada mulanya didiami oleh Dr. G.H. Garlick, yang merupakan Pengarah Kesihatan pada waktu itu, dan kemudiannya menjadi istana persemayaman Tunku Abu Bakar, putera kedua Sultan Ibrahim. Istana Marbal kini menjadi pejabat bagi Pejabat Kebun Bunga Istana Johor. Istana Semayam pula merupakan kediaman Sultanah Fatimah, dan kemudiannya menjadi kediaman Sultan Ismail semasa baginda bergelar Tunku Mahkota. Istana tersebut telah dirobohkan dan hanya tangga sahaja yang kelihatan sebagai ingatan istana tersebut.

Almarhum Sultan Iskandar telah mengarahkan agar istana ini dijadikan muzium diraja negeri Johor untuk tatapan rakyat jelata. Walau bagaimanapun, istana ini tetap dijadikan tempat berlangsungnya upacara rasmi dan istiadat diraja seperti pemahkotaan sultan dan sultanah Johor, penganugerahan darjah kebesaran dan tempat bersemayam Sultan.

Istana Besar Johor pada asalnya diwarnakan dinding luarnya dengan warna kuning telur dan dihias cantik dengan gabungan senibina tempatan dan Barat. Walau bagaimanapun, istana ini turut diberikan pengubahsuaian setiap kali sultan Johor yang baharu menaiki takhta dan pada pemerintahan Sultan Iskandar, dinding luar istana ini diwarnakan dengan warna putih dan berbumbung biru sempena warna bendera Sultan Johor. Kemudian, sempena kemahkotaan Sultan Ibrahim pada 2015, baginda telah menutup istana ini daripada lawatan umum untuk kerja-kerja baikpulih istana. Baginda juga mengarahkan agar warnanya dikembalikan kepada warna asal dan semua artifak dan barangan asal diraja ditempatkan semula. Selepas istiadat kemahkotaan tersebut, istana ini menjadi muzium diraja dan menempatkan pelbagai artifak berharga milik kesultanan moden Johor.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]