Istilah gerakan anatomi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pergerakan diterangkan dengan istilah anatomi tertentu. Gerakan merangkumi pergerakan organ, sendi, anggota badan dan bahagian badan lain. Terminologi yang digunakan menerangkan gerakan ini mengikut arahnya berbanding dengan kedudukan anatomi bahagian badan yang terlibat. Ahli anatomi dan yang lain menggunakan set istilah bersatu untuk menerangkan kebanyakan pergerakan, walaupun istilah lain yang lebih khusus diperlukan untuk menerangkan pergerakan anggota badan seperti pergerangan tangan, kaki dan mata.

Secara amnya, gerakan dikelaskan mengikut satah anatomi ia berlaku. Fleksi dan ekstensi adalah contoh gerakan berdasarkan sudut, di mana dua paksi sendi dirapatkan atau dialihkan lebih jauh masing-masing. Pergerakan putaran mungkin berlaku pada sendi lain, contohnya di bahu, dan digambarkan sebagai dalaman atau luaran. Istilah lain, seperti dongakan dan tunduk bagi menerangkan pergerakan atas bawah di satah mendatar. Banyak istilah anatomi berasal dari istilah Latin dengan makna yang sama.

Pengelasan[sunting | sunting sumber]

Pergerakan dikelaskan berdasarkan satah anatomi gerakan,[1] walaupun gerakan biasanya merupakan gabungan gerakan serentak dalam beberapa satah.[2] Gerakan boleh dibahagikan kepada kategori berdasarkan dengan sifat sendi yang terlibat:

  • Pergerakan meluncur berlaku di antara permukaan rata, seperti dalam cakera intervertebral atau di antara tulang karpal pergelangan tangan, dan tulang metakarpal tangan . [1]
  • Pergerakan sudut berlaku pada sendi sinovial dan menyebabkan mereka sama ada meningkatkan atau mengurangkan sudut antara tulang. [1]
  • Pergerakan putaran menggerakkan struktur dalam gerakan putaran sepanjang paksi membujur, seperti memusingkan kepala untuk melihat ke kedua-dua sisi. [3]

Selain daripada gerakan ini juga boleh dibahagikan kepada:

  • Gerakan linear (atau gerakan translasi), yakni gerakan dalam garisan antara dua titik. Gerakan rektilinear ialah gerakan garis lurus antara dua titik, manakala gerakan kurvilinear ("lengkungan linear") ialah gerakan berlengkung.[2]
  • Gerakan sudut (atau gerakan berputar) berlaku apabila objek di sekeliling objek lain menambah atau mengurangkan sudut. Bahagian objek yang berbeza tidak bergerak pada jarak yang sama. Contohnya ialah pergerakan lutut, di mana bahagian bawah kaki berubah sudut berdasarkan femur, atau pergerakan buku lali.[2]

Kajian tentang pergerakan dalam badan manusia dikenali sebagai kinesiologi.[2]

Pergerakan abnormal[sunting | sunting sumber]

Awalan hiper- kadangkala ditambah untuk menggambarkan pergerakan melebihi had biasa, seperti dalam hipermobiliti, hiperfleksi atau hiperekstensi . Julat pergerakan menerangkan jumlah julat pergerakan yang boleh dilakukan oleh sendi.[3] Sebagai contoh, jika bahagian badan seperti sendi menjadi terlalu tegang atau "bengkok ke belakang" akibat gerakan berlebihan, maka ia boleh digambarkan sebagai hiperekstensi. Hiperekstensi meningkatkan tekanan pada ligamen sendi, dan tidak selalunya disebabkan oleh pergerakan terkawal. Ia mungkin berlaku akibat kemalangan, terjatuh atau punca trauma yang lain. Ia juga boleh dilakukan dalam pembedahan seperti di sendi untuk menjalani prosedur pembedahan.[4] Ia juga boleh digunakan sebagai kaedah pematuhan kesakitan untuk memaksa seseorang mengambil tindakan tertentu, seperti membenarkan pegawai polis membawa seseorang ke tahanan.

Gerakan am[sunting | sunting sumber]

Ini adalah istilah umum yang boleh digunakan untuk menerangkan kebanyakan pergerakan yang dilakukan oleh badan. Kebanyakan istilah mempunyai ciri lawan yang jelas, dan diperakui secara berpasangan.[5]

Fleksi dan ekstensi[sunting | sunting sumber]

Fleksi dan ekstensi

Fleksi dan ekstensi menerangkan pergerakan yang mempengaruhi sudut antara dua bahagian badan. Istilah ini berasal dari perkataan Latin dengan makna yang sama.[a]

Fleksi menerangkan pergerakan membongkok yang mengurangkan sudut antara segmen dan segmen proksimalnya.[7] Contohnya, membengkokkan siku, atau mengepalkan tangan ke dalam penumbuk. Apabila seseorang sedang duduk, lutut dibengkokkan. Apabila sendi boleh bergerak ke hadapan dan ke belakang, seperti leher dan batang, fleksi adalah pergerakan ke arah anterior.[3] Apabila dagu bersandar pada dada, leher dibengkokkan, dan batang tubuh dilenturkan apabila seseorang mencondongkan badan ke hadapan.[3] Fleksi bahu atau pinggul ialah pergerakan lengan atau kaki ke hadapan.[8]

Ekstensi ialah lawan kepada fleksi, dan menggambarkan pergerakan meluruskan yang meningkatkan sudut antara bahagian badan.[7] Contohnya, apabila berdiri, lutut dipanjangkan. Apabila sendi boleh bergerak ke hadapan dan ke belakang, seperti leher dan batang, ekstensi merujuk kepada gerakan ke belakang.[3] Ekstensi pinggul atau bahu menggerakkan lengan atau kaki ke belakang.[8] Malah, bagi sendi anggota atasan lain seperti siku dan pergelangan tangan, pergerakan di belakang membawa kepada ekstensi. Namun, bagi lutut, buku lali dan pergelangan tangan, hujung distal perlu bergerak ke arah anterior agar memperoleh ekstensi.[9]

Bagi jari kaki, fleksi merukuk kepada lengkungan ke bawah, dan sebaliknya bagi ekstensi.[10]

Abduksi dan aduksi[sunting | sunting sumber]

Abduksi dan aduksi.

Abduksi ialah pergerakan struktur menjauhi garis tengah manakala aduksi merujuk kepada gerakan ke arah pusat badan.[11] Pusat badan ditakrifkan sebagai satah midsagital atau longitudinal.[3] Istilah ini berasal daripada perkataan Latin dengan makna serupa, ab- merupakan awalan Latin yang bermakna "menjauhi", ad- menunjukkan "ke arah", dan ducere ("-duksi") bermaksud "menarik".[b]

Abduksi ialah gerakan yang menarik suatu struktur atau bahagian menjauhi garis tengah badan, yang dilakukan oleh satu atau lebih otot abduktor. Bagi jari tangan dan kaki, abduksi ialah gerakan merenggangkan jari, jauh dari garis tengah tangan atau kaki.[11] Contohnya, mengangkat tangan ke atas ketika berjalan di atas tali ialah contoh abduksi bahu.[8] Apabila kaki dikangkang di kawasan pinggul, seperti ketika melakukan lompat bintang, kaki mengalami abduksi di pinggul.[3]

Aduksi ialah gerakan yang menarik struktur atau bahagian ke arah garis tengah badan, atau ke arah garis tengah anggota badan, yang dilakukan oleh satu atau lebih otot aduktor. Bagi jari tangan dan kaki, gerakan aduksi ialah menggerakkan jari ke arah garis tengah tangan atau kaki. Menjatuhkan lengan ke sisi dan menyatukan lutut juga merupakan contoh aduksi.[11]

Dongak dan tunduk[sunting | sunting sumber]

Istilah dongak dan tunduk (elevation dan depression masing-msaing) merujuk kepada pergerakan di atas dan di bawah satah mendatar.

Putaran[sunting | sunting sumber]

Putaran.

Putaran bahagian badan dibahagikan kepad jenis dalaman atau luaran, merujuk kepada putaran ke arah atau menjauhi pusat badan.[11]

Putaran dalaman (putaran medial) ialah putaran ke arah paksi badan,[11] dan dijalankan oleh pemutar dalaman.

Putaran luar (putaran sisi atau lateral) ialah putaran menjauhi pusat badan,[11] dan dijalankan oleh pemutar luaran .

Gerakan khas[sunting | sunting sumber]

Tangan dan kaki[sunting | sunting sumber]

Fleksi dan ekstensi kaki[sunting | sunting sumber]

Dorsifleksi dan fleksi plantar merujuk kepada fleksi atau ekstensi kaki pada buku lali. Istilah ini merujuk kepada fleksi ke arah "belakang" kaki, iaitu permukaan atas kaki apabila berdiri, dan fleksi ke arah tapak kaki. Istilah ini digunakan untuk menyelesaikan kekeliruan, kerana secara teknikal, ekstensi sendi ialah suatu dorsifleksi, yang boleh dianggap sebagai kontraintuitif kerana gerakan ini mengurangkan sudut antara kaki dan batang kaki.[3]

Dorsifleksi berlaku ketika jari kaki didekatkan ke tulang kering (tibia). Ini mengurangkan sudut antara dorsum kaki dan batangnya.[13] Sebagai contoh, apabila berjalan di atas tumit, buku lali digambarkan sebagai dalam dorsifleksi.[3]

Fleksi plantar atau plantarfleksi ialah gerakan yang mengurangkan sudut antara tapak kaki dan belakang kaki; contohnya, pergerakan semasa menekan pedal kereta atau berdiri di hujung kaki.[3]

Fleksi dan ekstensi tangan[sunting | sunting sumber]

Fleksi palmar dan dorsal (palmarflexion dan dorsiflexion masing-masing) merujuk kepada pergerakan fleksi atau ekstensi tangan di pergelangan tangan.[11] Istilah ini merujuk kepada fleksi antara tangan dan permukaan dorsal badan, yang dianggap sebagai belakang lengan dalam kedudukan anatomi; dan fleksi antara tangan dan permukaan tapak tangan badan, yang dianggap sebagai bahagian anterior lengan dalam kedudukan anatomi.[7] Arah istilah adalah bertentangan dengan yang di kaki kerana putaran embriologi anggota dalam arah yang bertentangan.[3]

Fleksi palmar ialah fleksi pergelangan tangan ke arah tapak tangan dan bahagian ventral lengan.[11]

Fleksi dorsal ialah hiperekstensi sendi pergelangan tangan, ke arah bahagian dorsal lengan.[11]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "meregangkan" (Latin: extendere), "membengkokkan" (Latin: flectere) [6]
  2. ^ "membawa masuk" (Latin: adductere), "membawa pergi" Latin: abducere[12]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Marieb 2010.
  2. ^ a b c d Lippert 2011.
  3. ^ a b c d e f g h i j k Kendall 2005.
  4. ^ Seeley 1998.
  5. ^ "Anatomy & Physiology". Openstax college at Connexions. Dicapai pada November 16, 2013.
  6. ^ OED 1989, "flexion", "extension".
  7. ^ a b c OED 1989.
  8. ^ a b c Cook 2012.
  9. ^ Muscles : testing and function with posture and pain. Florence Peterson Kendall, Florence Peterson Kendall (ed. 5th). Baltimore, MD: Lippincott Williams & Wilkins. 2005. ISBN 0-7817-4780-5. OCLC 57465440.CS1 maint: others (link)
  10. ^ Platzer 2004.
  11. ^ a b c d e f g h i Swartz 2010.
  12. ^ OED 1989, "adduction", "abduction", "abduct".
  13. ^ Kyung 2005.

Sumber[sunting | sunting sumber]