Isu bantahan tol Kampung Medan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Isu bantahan tol Kampung Medan berikutan penyokong-penyokong UMNO di Kampung Medan, Petaling Jaya , Selangor mengadakan bantahan di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan 2 (PJS2) . Mereka mendesak kadar tol RM1.60 sekarang dimansuhkan atau dikurangkan oleh Kementerian Kerja Raya atau pemegang konsesi Lebuh Raya Pantai Baru (NPE). Tol RM1.60 dikenakan sama ada hendak ke arah Subang atau ke Petaling Jaya. Bantahan diadakan pada 26 Januari 2009 jam 9.30 pagi dan berakhir dua jam kemudian itu dianjurkan UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan disertai 200 orang kebanyakannya wanita. Bantahan itu diketuai oleh Yahya Mokthar, 60, yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian. Sekali lagi mereka mengadakan bantahan pada 7 Februari 2009 diketuai Raja Datuk Hanipuddin Raja Datuk Nong Chik.


Lebuhraya Baru Pantai sepanjang 19.5km siap pada 30 April 2004 dengan kosRM1.2 bilion, dikendalikan syarikat konsesi New Pantai Express Way Sdn Bhd. [1]Sejak itu tol dikenakan kepada penggunanya termasuk penduduk Kampung Medan. Ia menimbulkan masalah keselamatan, kerosakan dan kesesakan jalan di kawasan perumahan dan sekolah berhampiran yang terpaksa dihadapi penduduk apabila banyak pemandu menggunakan laluan kampung mereka bagi mengelak tol.Sekiranya penduduk Taman Medan, Kampung Datuk Harun dan kampung sekitarnya mahu mengelak kesesakan, mereka terpaksa membayar tol di Plaza Tol PJS2 yang terletak 300 meter dari persimpangan jalan keluar-masuk ke penempatan mereka. Purata pendapatan penduduk di bawah RM1500.00 sahaja. Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh dan pekerja kilang yang terpaksa membayar tol setiap hari untuk ke tempat kerja, hantar anak pergi balik sekolah dan sebarang urusan lain. Belanja membayar tol sebulan hampir RM500.00.


Bantahan bertulis telah dihantar kepada kerajaan, Kementerian dan pihak konsesi tetapi tiada sebarang maklum balas. Mereka bukan tidak berterima kasih dengan pembinaan lebuh raya yang dapat menjimatkan masa dan kos minyak. Tetapi pihak terlibat perlu memahami masalah rakyat marhaen ini.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]