Jabatan Penyiasatan Kajibumi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia (Bahasa Inggeris: Geological Survey of Malaysia) merupakan jabatan kerajaan yang dibentuk semenjak pentadbiran British di Tanah Melayu.

Pada masa kini, jabatan ini dikenali sebagai Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia (JMG) melalui penggabungan dengan Jabatan Galian pada 1 Julai 1999.

Pejabat kajibumi Batu Gajah, Perak pada tahun 1908.

Sejarah Penubuhan[sunting | sunting sumber]

Bangunan Pejabat Penyiasatan Kajibumi Ipoh, Perak pada tahun 1950-an.

Sejarah penubuhan jabatan ini bermula sejak tahun 1903 apabila Pejabat Kajibumi diasaskan di Kuala Lumpur oleh pentadbiran British. Penubuhan awal Pejabat Kajibumi ialah untuk menjalankan aktiviti berkaitan kajibumi di Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

  • Pada tahun 1908, Pejabat Kajibumi dipindahkan ke Batu Gajah, Perak. Tujuan perpindahan ini ialah untuk kajian dan penyelidikan lapangan berikutan penemuan deposit bijih timah besar-besaran di Lembah Kinta.
  • Pada tahun 1927, Pejabat Kajibumi dinaiktaraf menjadi Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaya. Aktiviti jabatan diperluaskan ke Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.
  • Pada tahun 1957, Ibu pejabat Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaya dipindahkan ke Ipoh, Perak.
  • Pada tahun 1963, nama jabatan ini ditukar kepada Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia Timur. Pada tahun ini juga Jabatan Penyiasatan Kajibumi Jajahan British Borneo ditukar nama kepada Jabatan Penyiasatan Kajibumi Wilayah Borneo.
  • Pada tahun 1968, Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia Timur dan Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia Borneo digabungkan di bawah satu pentadbiran berpusat di Ipoh, Perak.
  • Pada tahun 1973, ibu pejabat dipindahkan sekali lagi dari Ipoh, Perak ke Kuala Lumpur.
  • Pada tahun 1999, jabatan ini bergabung dengan Jabatan Galian membentuk Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia (JMG).

Fungsi dan peranan[sunting | sunting sumber]

Fungsi dan peranan utama penubuhan jabatan ini ialah untuk melaksanakan aktiviti pemetaan geologi dan eksplorasi sumber mineral di seluruh Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Selain aktiviti pemetaan geologi, jabatan ini turut menjalankan eksplorasi mineral, kajian hidrogeologi dan pengumpulan maklumat berkaitan geosains dan sumber mineral bagi pihak kerajaan.

Ketua-ketua Pengarah[sunting | sunting sumber]

J.B.Scrivenor, ahli kajibumi Tanah Melayu yang pertama.

Jabatan Penyiasatan Kajibumi telah mempunyai 11 orang Ketua Pengarah memenjak penubuhannya pada tahun 1903.

  1. J.B. Scrivenor (1903-1931)
  2. E.S. Willbourn (1931-1945)
  3. Dr. F.T. Ingham (1945-1952)
  4. H. Service (1952-1957)
  5. Dr. J.B. Alexander (1957-1964)
  6. W.D. Procter (1964-1967)
  7. Chung Sooi Keong (1967-1983)
  8. D. Santokh Singh (1983-1986)
  9. Yin Ee Heng (1986-1993)
  10. Fateh Chand (1993-1998)
  11. Chen Shick Pei (1998-1999)

Pejabat negeri dan cawangan kecil[sunting | sunting sumber]

Selain ibu pejabat, jabatan ini mempunyai beberapa pejabat negeri dan cawangan kecil di seluruh Malaysia.

Semenanjung Malaysia[sunting | sunting sumber]

Alor Setar[sunting | sunting sumber]

Pejabat Kajibumi pertama di Kedah dibuka di Kulim sekitar tahun 1960-an sebagai pejabat 'singgah' bagi pegawai-pegawai kajibumi yang berpusat Ipoh datang melaksanakan siasatan lapangan di kawasan perlombongan bijih timah di sini seperti D.B. Courtier.

Pejabat kemudian dipindahkan di premis tetap di Alor Setar sebagai Jabatan Penyiasatan Kajibumi Kedah / Perlis / Pulau Pinang yang berperanan melaksanakan aktiviti pemetaan geologi rantau di utara semenanjung. Antara pegawai kajibumi yang pernah menjadi ketua pejabat di sini ialah Teoh Lay Hock, Yunus bin Abdul Razak, Mohammed Hatta bin Abdul Karim, Mohd Zaidi bin Hasan, Kuan Tai Seong dan Badarudin bin Hassan.

Selepas penggabungan dengan Jabatan Galian, pejabat ini dirobohkan pada tahun 2002 dan satu bangunan baru dibina di tapak yang sama sebagai pejabat Jabatan Mineral Dan Geosains Kedah / Perlis / Pulau Pinang.

Kota Bharu[sunting | sunting sumber]

Pejabat Kajibumi Kota Bharu mula dibuka di Bunut Payung pada awal tahun 1952 oleh seorang ahli kajibumi iaitu S. McDonald yang kemudiannya dilantik sebagai ketua pejabat dengan dibantu oleh 4 kakitangan tempatan. Pejabat berpindah ke tapak Kedai Payong pada akhir tahun 1952. Pada pertengahan 1953, pejabat berpindah pula ke rumah sewa di belakang pejabat pos lama bersebelahan balai polis di Jalan Sultan Ibrahim. Pada tahun 1971, pejabat berpindah lagi ke Pejabat SUK lama. Akhirnya, pada tahun 1979, pejabat ditempatkan di Wisma Persekutuan Jalan Bayam yang kekal hingga ke hari ini sebagai Jabatan Mineral Dan Geosains Kelantan.