Jahid Sidek

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tuan Guru Dr Haji Jahid bin Haji Sidek al-Khalidi merupakan seorang agamawan dan pakar rujuk bidang tarekat & tasawuf dan perubatan Islam di Malaysia.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Tuan Guru Haji Jahid dilahirkan pada 11 Februari 1940 di Batu Pahat, Johor[1].

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Beliau memulakan pendidikannya di Sekolah Melayu Kebangsaan pada tahun 1957 dan tamat hingga darjah 6. Pada tahun 1956 hingga 1958, beliau memasuki Sekolah Arab Kluang yang terletak di Jalan Mersing, Johor. Pada tahun 1957, beliau memasuki Sekolah Agama Kerajaan Johor. Pada tahun berkenaan, beliau menerima Sijil Darjah Khas yang melayakkannya untuk menjadi guru agama di sekolah-sekolah agama di negeri Johor[1].

Beliau melanjutkan pelajarannya ke Kolej Islam Malaya, Klang dari tahun 1959 hingga 1963. Selepas berjaya memperoleh Sijil Tertinggi Kolej pada tahun 1963, beliau menyambung pengajian di peringkat sarjana muda ke Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1969 hingga tahun 1972. Kemudian, beliau menyambung pengajian di universiti yang sama sehingga memperoleh Ijazah Sarjana (M.A.) Usul Fiqh pada 1975 dan ijazah kedoktoran (Ph.D) dalam bidang Tasawuf dengan tajuk kajian “SHAIKH DALAM ILMU TAREKAT” pada 1992[1]. Beliau telah dianugerahkan Ijazah Kedoktoran (Ph.D) kedua dalam bidang perubatan rawatan spiritual Islam (RSI) daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP)dengan tajuk kajian “PEMBINAAN MODUL KAEDAH RAWATAN REFLEKSOLOGI SPIRITUAL ISLAM (RSI) DAN PENILAIAN KEBERKESANANNYA DI PUSAT RAWATAN ISLAM MANARAH” pada tahun 2022.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Haji Jahid pernah menjawat jawatan sebagai Guru Agama di Sekolah Menengah Inggeris Jasin, Melaka antara tahun 1964 sehingga 1969 dan pernah dilantik sebagai Guru Penolong Kanan di Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Ulu, Muar, Johor selepas mendapat ijazah pertama. Pada awal tahun 1974, beliau dilantik menjadi Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya dan telah dilantik menjadi Profesor Madya tahun 1993 dan beliau telah bersara pada akhir tahun 1995, sebagai Pensyarah[2] di Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) Kuala Lumpur.

Penglibatan dalam kemasyarakatan[sunting | sunting sumber]

Haji Jahid bergiat aktif dalam masyarakat sebagai pemimpin Islam setempat dengan usaha membangunkan hal ehwal agama Islam seperti surau, masjid dan sekolah agama dan aktif berdakwah membimbing masyarakat setempat melalui ceramah dan rawatan Islam. Beliau pernah menjadi Nazir Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Sri Kundang, Rawang (1990 – 2004), Pengerusi Surau An-Nur, Kampung Melayu Sri Kundang, Rawang (1988 – 1990) dan menjadi pengasas dan Pengerusi Sekolah Agama Rakyat An-Nur Kampung Melayu Sri Kundang (1988 – 1990). Kini sekolah tersebut menjadi Sekolah Rendah Agama An-Nur, Kampung Melayu Sri Kundang.

Beliau turut aktif melibatkan diri dalam badan bukan kerajaan yang bertemakan rawatan Islam dan pemulihan diri, iaitu Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI). Beliau juga mengasaskan Pusat Rawatan Islam Manarah[3] yang menawarkan kaedah rawatan refleksologi kerohanian Islam di Manarah RSI (Refleksologi Spiritual Islam) dulu dikenali Pusat Rawatan Islam Manarah, beralamat Lot 2891, Lorong Beringin, Batu 17 Kuang, 48050 Rawang, Selangor pada 1990. Beliau juga mewujudkan Rumah Kebajikan dan Perlindungan Budi (Astana Budi) bagi memberi perlindungan, rawatan serta ruang kepada penghidap HIV untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain[4].

Kepakaran[sunting | sunting sumber]

Kepakaran bidang perubatan Islam[sunting | sunting sumber]

Kepakaran beliau dalam bidang perubatan Islam telah dimanfaatkan di Malaysia apabila beliau dilantik menjadi ketua panel pembangunan Modul Istitabah, Bahagian Perubatan Islam, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS); panel pembangunan Modul Ilaj Home, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); panel penilai Agensi Kelayakan Malaysia dalam bidang perubatan Islam pada 19 September 2012; pakar rujuk Indeks Pematuhan Piawaian Syariah yang dibangunkan oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP), JAKIM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); dan panel perbincangan bagi membangunkan Garis Panduan Perubatan Islam Malaysia, 2011 oleh KKM.

Beliau telah menubuhkan Pusat Rawatan Islam Manarah lebih 25 tahun bermula di kediaman beliau di A91, Kg Melayu Sri Kundang, kemudian berpindah ke Dewan Makan Masjid Nurul Yaqin Kg Melayu Sri Kundang dan kemudian berpindah di Pusat Rawatan Islam Manarah, Astana Budi@Manarah, Lorong Beringin, Batu 17 Kuang, 48050 Rawang, Selangor dan akhirnya beliau berjaya membina sebuah bangunan baru yang lebih besar dan dilengkapi kemudahan merawat diberikan nama atau penjenamaan sebagai MANARAH RSI (Refleksologi Spiritual Islam) di alamat yg sama dan lokasi 100 meter di belakang pusat rawatan lama.

Kepakaran dalam tasawuf dan tarekat[sunting | sunting sumber]

Mengenai kepakaran beliau dalam bidang tarekat tasawuf pula, beliau telah dilantik sebagai Ahli Panel Pakar Tasawwuf JAKIM, Ahli Panel Tarekat Sufi (Jilsah al-Turuq al-Sufiyah) yang ditubuhkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Beliau turut mengkaji, mempelajari dan mengamalkan tiga tarekat tasawuf iaitu Tarekat Ahmadiyah, Qadiriyah dan Naqsyabandiyah. Beliau juga dilantik sebagai syeikh tarekat bagi Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah.

Selain itu, beliau turut menjadi pengerusi bagi Madrasah Babul Khairat, Kampung Melayu Majidee, Johor dan Madrasah Manaratil Ilmi, Pekan, Pahang.

Beliau telah berjaya mengasaskan dan membina sebuah institut yang dilengkapi pelbagai fasiliti diberikan nama Institut Latihan Ilmu Tarekat (ILIT) Manarah, Jalan Tanjong Ipoh-Ranjau Hantu, Kampung Parit Seberang, 72000 Kuala Pilah, Negeri Sembilan Darul Khusus yang berperanan menjalankan pelbagai tarekat & tasawuf seperti Seminar, Kolokium, Kursus & Ibadah Khalwah (Suluk) iaitu program melatih pengamal tarekat tasawuf berkhalwah/ beruzlah/ bersuluk selama 10 hari.

Beliau telah berjaya memimpin sebanyak 72 kali amalan Ibadah Suluk di beberapa lokasi seperti Madrasah Babul Khayrat, Kg Melayu Majidee, Johor, Madrasah Manaratil Ilmi, KM 30 Jalan Kuantan Pekan Pahang dan Institut Latihan Ilmu Tarekat (ILIT) Manarah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan melibatkan penyertaan peserta seramai lebih 10,000 orang.

Pengaruh[sunting | sunting sumber]

Haji Jahid sangat terkesan dengan pengajian daripada gurunya, Ustaz Ishak bin Muhammad Arif dalam bidang rawatan Islam dan kesufian[1].

Anugerah dan pengiktirafan[sunting | sunting sumber]

Beliau merupakan penerima Anugerah Tokoh Pemulihan Ar-Riqab daripada MAIS sempena Hari AIDS Sedunia peringkat Negeri Selangor

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d Farhah Zaidar Mohamed Ramli, Phayilah Yama, Ikmal Zaidi Hashim (26 April 2017). "Ketokohan dan Sumbangan Dr Jahid Sidek dalam bidang Perubatan Islam di Malaysia". Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2017. Dicapai pada 10 Januari 2021.
  2. ^ Suraya Roslan dan Mohd Hanafis Abdul Haris (27 Januari 2015). "Islam sedia panduan". Harian Metro. Dicapai pada 10 Januari 2021. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  3. ^ Nurulfatiha Muah (22 Mac 2019). "Susuk mendampingi syaitan". Sinar Harian. Dicapai pada 10 Januari 2021.
  4. ^ Rodly Fadly (20 November 2015). "Rawat penyakit, akidah". Harian Metro. Dicapai pada 10 Januari 2021. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)