Jalan Penarikan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Jalan Penarikan ialah jalan pengangkutan yang utama digunakan oleh orang pada zaman dahulu bagi menghubungkan Laut China Selatan ke Selat Melaka. Jalan ini bermula dari Negeri Pahang ikut (mudik) Sungai Pahang di Pekan; kemudian masuk ke sebuah anak Sungai Pahang yang bernama Sungai Bera, selepas itu ikut pula sebuah anak Sungai Bera bernama Sungai Serting. Pada suatu tempat di hulu Sungai Serting, naik ke darat sejauh tiga ratus ela, masuk pula Sungai Jempol yang terletak di dalam Negeri Sembilan, menghilir Sungai Jempol dan masuk ke Sungai Muar yang mengalir melalui Negeri Sembilan hingga Negeri Johor, sehingga ke Bandar Maharani. Dari Muar bolehlah pergi ke Melaka dan tempat-tempat lain di barat Semenanjung Malaysia.

Jalan inilah yang telah diikuti oleh Sultan Mahmud Shah Melaka dan putera baginda Sultan Ahmad setelah ia dikalahkan oleh orang-orang Portugis di Pagoh dan Bentayan pada akhir tahun 1511. Jalan ini juga yang digunakan oleh Sultan Ali (putera Sultan Husain Shah Singapura) dari Kampung Umbai, Melaka yang pergi berjumpa Bendahara Wan Ahmad di Pekan pada tahun 1863.

Manuel Godinho de Erédia, seorang pengarang dan pegawai Portugis di Melaka (tahun 1613) menyatakan: "Dari Melaka jalan menempuh Penarikan itu boleh sampai ke Pahang (dan sebaliknya), hanya enam hari perjalanan".

Pautan luar[sunting | sunting sumber]