Jalan Yungas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jalan Yungas di air terjun San Pedro.

Jalan Yungas Utara (juga dikenali sebagai Jalan Dusun, Jalan Coroico, Camino de las Yungas, El Camino de la Muerte, Road of Death, atau Jalan Maut) ialah sebatang jalan raya sepanjang 61-kilometer (38 bt) atau 69-kilometer (43 bt)[1] dari La Paz ke Coroico, 56 kilometer (35 bt) timur laut La Paz di kawasan Yungas di Bolivia. Ia terkenal kerana sangat berbahaya, dan pada tahun 1995 Bank Pembangunan Antara Amerika telah menobatkan jalan tersebut sebagai "jalan raya paling berbahaya di dunia".[2][3][4] Dianggarkan antara 200 hingga 300 pengguna terbunuh setiap tahun di sepanjang jalan itu sahaja.[4] Terdapat banyak tanda salib di sepanjang jalan tersebut yang menandakan tempat di mana kenderaan terjunam ke dalam gaung.

Jalan Yungan Selatan (Jalan Chulumani) pula menghubungkan La Paz ke Chulumani, 64 kilometer (40 bt) timur La Paz, serta dianggap sama berbahaya seperti jajaran utara.

Gambar-gambar Terowong Guoliang di China sering disalah anggap sebagai sebahagian jajaran Jalan Yungas.[5]

Keterangan[sunting | sunting sumber]

Jalan Yungas yang menuruni bukit ke kawasan hutan hujan.

Jalan tersebut telah dibina pada tahun 1930an semasa Perang Chaco oleh banduan Paraguay. Ia merupakan salah satu laluan yang menghubungkan kawasan hutan hujan Amazon di utara Bolivia, atau Yungas, ke ibu negara. Semasa meninggalkan La Paz, jalan tersebut mendaki sehingga ketinggian sekitar 4,650 meter (15,260 ka) di Genting La Cumbre, sebelum menuruni bukit pada ketinggian 1,200 meter (3,900 ka) di bandar Coroico, berubah daripada muka bumi Altiplano kepada hutan hujan semasa ia melalui pergunungan curam serta tebing tinggi.

Disebabkan gaung sedalam sekurang-kurangnya 600 meter (1,830 kaki), jalan yang sempit selebar selorong sahaja – kebanyakan jajaran jalan tidak melebihi 3.2 meter (10 ka) lebar serta ketiadaan pengadang jalan, jalan raya ini terlalu berbahaya. Lebih-lebih lagi, hujan, kabut dan habuk boleh mengurangkan jarak penglihatan. Di kebanyakan kawasan, permukaan jalan berlumpur, serta boleh menyebabkan batu-batu terjatuh daripada jalan.[6]

Salah satu peraturan jalan raya di situ ialah pemandu yang menuruni bukit tiada hak jalan dan mesti memberi laluan dengan beralih ke sebelah tepi jalan. Ia memaksa kenderaan laju untuk berhenti supaya boleh berselisih dengan selamat. Selain itu, kenderaan memandu di sebelah kiri, tidak seperti jalan-jalan raya lain di Bolivia yang dipandu di sebelah kanan. Ia membolehkan pemandu di sebelah kiri melihat dengan jelas keadaan jalan di sebelah roda luar, membolehkan kenderaan berselisih dengan selamat.

Pada 24 Julai 1983, sebuah bas terbabas dari Jalan Yungas ke dalam gaung, mengorbankan lebih 100 penumpang dalam satu kemalangan yang disifatkan terburuk dalam sejarah Bolivia.

Laluan pengganti[sunting | sunting sumber]

Jalan Yungas Baru, dari arah Coroico.

Jalan Yungas telah dimodenkan dalan tempoh 20 tahun berakhir 2006. Pemodenan yang dilaksanakan termasuk melebarkan jalan daripada selorong kepada dua lorong, menurap dengan aspal, serta membina jajaran baharu antara Chusquipata dengan Yolosa, memintas bahagian utara jajaran 'Jalan Maut' lama yang paling berbahaya.

Laluan baharu ini yang membentuk sebahagian jajaran Laluan Kebangsaan Bolivia 3 menampilkan binaan moden (jambatan, longkang, dsb.), berbilang lorong, turapan jalan, pengadang jalan, serta unsur-unsur lain yang menjadikannya jauh lebih selamat daripada laluan lama. Jajaran lama Jalan Yungas Utara kini sudah kurang digunakan oleh lalu lintas.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Panjang mungkin berbeza, bergantung kepada sumber
  2. ^ "The Most Dangerous Road?"
  3. ^ "The Most Dangerous Roads in the World "
  4. ^ a b Whitaker, Mark (2006-11-11). "The world's most dangerous road" (Podcast). BBC. Dicapai pada 2007-05-10.
  5. ^ The Guoliang Tunnel in China, often mistaken as a section of the Yungas Road
  6. ^ Jack Branswell, "Madness, but a thrill", The Ottawa Citizen, 2008-03-29

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Koordinat: 16°20′09.26″S 68°02′25.78″W / 16.3359056°S 68.0404944°W / -16.3359056; -68.0404944