Jambatan Guillemard
Jambatan Kereta Api Guillemard | |
---|---|
Lokasi | Kusial Bharu (Jajahan Tanah Merah) dan Paloh Rawa (Jajahan Machang) |
Dibina pada | Antara April 1920 hingga Julai 1924, dibuka dan dirasmikan pada 19 Julai 1924 |
Arkitek | Bahagian Pembinaan Federated Malay States Railways (FMSR) |
Pemilik | Perbadanan Aset Keretapi / Railway Assets Corporation (RAC) |
Fungsi | Jambatan Kereta Api |
Status | Sedang dioperasikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) |
Diuruskan oleh | Perbadanan Aset Keretapi / Railway Assets Corporation (RAC) |
Jambatan Kereta Api Guillemard merupakan sebuah jambatan kereta api yang berstruktur besi (steel truss) dan bertiang batu bata berlepa simen. Jambatan ini merentasi Sungai Kelantan antara Paloh Rawa, di Jajahan Machang dan Kusial Bharu, di Jajahan Tanah Merah, Kelantan.
Jambatan Guillemard mula dibina pada April 1920, dan pembinaan diselesaikan dalam bulan Julai 1924. Ia dirasmi dan dibuka pada 19 Julai 1924 dan operasi pertama perkhidmatan kereta api awam menerusinya bermula pada 21 Julai 1924.
Jambatan Guillemard adalah merupakan jambatan kereta api steel truss yang terbesar, tertua dan terpanjang masih dioperasikan di Malaysia.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Jambatan Kereta Api Guillemard atau juga dikenali dengan nama Jambatan Kusial telah dirancang pembinaannya seawal tahun 1915 bila mana landasan dan operasi pertama kereta api antara Tumpat dan Tanah Merah dimulakan dalam Mei 1914. Namun disebabkan Perang Dunia 1, pembinaan telah ditangguhkan dan hanya dimulakan semula setelah perang tamat.
Pembinaan bermula pada akhir era pemerintahan KDYMM Sultan Muhammad IV ibni Almarhum Sultan Muhammad III iaitu mulai April 1920. Kerja pembinaan dilaksana oleh Bahagian Pembinaan Federated Malay States Railways (FMSR) dengan menggunakan struktur keluli (steel truss) yang dihasilkan oleh Metro Carriage Wagon & Finance Company Limited, Wednesbury Works England. Bahan mentah dari England terutama besi telah dibawa masuk menerusi Pelabuhan Pulau Pinang dan dibawa ke Kelantan menerusi jaringan kereta api menerusi Thailand (Butterworth - Hat Yai - Sungai Golok) dan menerusi laluan Sungai Golok - Pasir Mas - Tanah Merah, sebelum tiba di tapak pembinaan. Kerja-kerja di tapak dilakukan oleh buruh India dan Cina, dengan diselia oleh jurutera Inggeris. Setelah mengharungi cabaran banjir dan kemeseletan ekonomi, pembinaan akhirnya berjaya disiapkan menjelang Julai 1924 dan panjang jambatan ini ketika siapnya ialah 660.2 meter (2166 kaki).
Perasmiannya telah disempurnakan pada pagi Sabtu, 19 Julai 1924 oleh Sir Laurence Guillemard, Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Gabenor Negeri-Negeri Selat setelah menerima restu Sultan Kelantan, KDYMM Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV. KDYMM Sultan Ismail juga telah berangkat hadir ke upacara perasmian yang diadakan di penyangga (abutment) utara Jambatan Guillemard di Kusial Bharu, Tanah Merah. Baginda Sultan telah memperkenan agar nama jambatan dinamakan sebagai "Guillemard" bersempena Sir Laurence Guillemard.
Ketika pembukaannya, Jambatan Guillemard adalah jambatan yang terbesar dan terpanjang di Tanah Melayu, dan merupakan satu-satunya jambatan yang merentasi Sungai Kelantan. Perasmian pada 19 Julai 1924 itu juga adalah kurang sebulan dari tarikh perasmian Tambak Johor pada 28 Jun 1924, yang turut dirasmikan oleh Sir Laurence Guillemard.[1]
Jambatan ini asalnya dibina dengan menyediakan laluan bukan sahaja kepada keretapi tetapi juga kepada kenderaan-kenderaan darat yang lain, iaitu satu-satunya jambatan kereta api multi-fungsi yang pernah wujud di Malaysia. Zaman kemuncaknya menyaksikan jambatan ini menjadi pemangkin ekonomi kepada negeri Kelantan dengan membantu membawa keluar hasil bumi dan pertanian, terutama getah keluar ke pelabuhan terdekat di Tumpat, dan juga turut berperanan mengangkut ramai anak Kelantan ke kawasan hulu untuk membuka tanah dan penempatan baharu.
Kira-kira 2 tahun selepas perasmian, Jambatan Guillemard telah diuji dengan bencana banjir paling besar pernah direkodkan dalam sejarah Kelantan Moden iaitu Bah Merah yang berlaku pada akhir Disember 1926. Direkodkan ia hanya terkesan dengan kerosakan kecil sahaja dan tiada kerosakan struktur. Namun begitu, antara 9 dan 12 Disember 1941, Jambatan Keretapi Guillemard telah diledakkan dengan beberapa siri letupan oleh tentera British yang sedang berundur sebagai menghalang kemaraan tentera Jepun ke Kuala Krai. Kesan ledakan telah menyebabkan bahagian rentang paling utara jambatan telah runtuh dan terperosok ke dalam sungai. Selepas tamat Perang Dunia II, jambatan keretapi ini telah dibaik pulih dan dibuka semula kepada lalulintas pada 7 September 1948. Pembukaan semula jambatan ini telah dirasmikan oleh KDYMM Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 7 September 1948. KDYMM Sultan Ibrahim pernah hadir semasa pertama pembukaannya pada Julai 1924 sebagai Raja Kelantan (Tengku Mahkota) bersama kekanda baginda KDYMM Sultan Ismail.
Pada 1 Februari 1988, setelah pembinaan jambatan baru siap dibina di hilir sungai berdekatan, Jambatan Guillemard tidak lagi digunakan untuk kenderaan bermotor dan kini ia hanya terhad digunakan oleh Keretapi Tanah Melayu sahaja. Jambatan Guillemard adalah merupakan satu-satunya jambatan merentasi Sungai Kelantan selama 41 tahun sehingga tahun 1965 apabila Jambatan Sultan Yahya Petra siap dibina antara Pasir Pekan (Tumpat) dan Kampung Sireh (Kota Bharu).
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Federated Malay States Railways (FMSR) (1925). "Annual Report For The Year 1924". Federated Malay States (F.M.S) Government Gazette (1925): 12.
- ^ "Foto dari carian di laman Arkid Negara Malaysia". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-15. Dicapai pada 2021-09-28.