Jerai Geopark

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Geopark Jerai (nama komersil: Jerai Geopark) merupakan salah satu geopark kebangsaan pertama di Malaysia dan kedua di negeri Kedah.

Lokasi[sunting | sunting sumber]

Peta kawasan Geopark Jerai.

Geopark Jerai terletak dalam negeri Kedah dengan keluasan keseluruhan 816 kilometer persegi dengan keluasan daratan 501 kilometer persegi.

Geopark Jerai merangkumi sebahagian daerah Kuala Muda dan daerah Yan serta 5 pulau baki iaitu Pulau Bidan, Pulau Bunting, Pulau Sayak, Pulau Songsong dan Pulau Telur [1].

Usaha pewujudan[sunting | sunting sumber]

Dari kanan: Prof. Dato' Dr. Mokhtar Saidin, Pengarah PPAG-USM; Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan; Tn. Hj. Zainol Husin, Mantan Pengarah Mineral Dan Geosains Kedah ketika sesi penerangan cadangan Geopark Jerai kepada komuniti setempat.

Pewujudan geopark di Malaysia termasuk Geopark Jerai merupakan inspirasi daripada Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan yang terdiri daripada sekumpulan pakar dan pencinta geowarisan yang mengharapkan adanya geopark di Malaysia setanding dengan geopark luar negara yang telah terwujud sejak sekian lama [2].

Usaha ini kemudian diteruskan dengan pemantauan Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar (NRE) dan pelantikan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (PPAG-USM) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Promosi Dan Pembangunan Geopark Jerai yang berperanan menyiapkan dossier[3].

Turut terlibat bersama secara aktif dalam pembangunan Geopark Jerai ialah Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia (JMG) dari aspek pembangunan geotapak dan perhubungan dengan kerajaan negeri serta komuniti setempat.

Agensi-agensi lain yang turut memberikan kerjasama erat termasuklah Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Majlis Daerah Yan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Kumpulan Warisan Geologi Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (WGM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS).

Keunikan[sunting | sunting sumber]

Faktor utama yang menjadikan kawasan Jerai sebagai geopark ialah keunikan aspek geologi batuannya, di mana terdapatnya batuan Formasi Jerai berusia Kambria yang tertua di Malaysia.

Selain itu, Gunung Jerai sendiri mempunyai tarikan yang tersendiri dari aspek geologi pembentukan, komposisi batuan dan kepentingannya dari aspek nilai sejarah, budaya dan tamadun [4].

Kawasan Jerai juga merupakan lokasi wujudnya Tamadun Kedah Tua dan terkenal dari aspek arkeologi menerusi penemuan Tamadun Sungai Batu iaitu tapak pelabuhan dan peleburan besi kuno, Tamadun Lembah Bujang dan puluhan candi dan binaan kuno di sepanjang Sungai Merbok.

Tarikan lain yang terdapat dalam Geopark Jerai ialah Hutan Paya Bakau Sungai Merbok yang bernilai tinggi [5].

Geotapak[sunting | sunting sumber]

Geopark Jerai terdiri daripada 25 geotapak bernilai negeri dan kebangsaan termasuk 3 kompleks geoarkeologi serta 9 tapak sejarah dan budaya [6].

Mejar Jeneral (B) Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Jerai bersalaman dengan para peserta sebelum merasmikan pelepasan Larian Aspiring Jerai Geopark 2016 di Titi Hayun, Yan, Kedah.
Para peserta Ekspedisi Saintifik Geotapak Jerai Geopark 2017 bergambar kenang-kenangan sebelum ekspedisi bermula.
  1. Air Terjun Seri Perigi
  2. Titi Hayun - Puteri Mandi
  3. Sungai Batu Hampar
  4. Sungai Teroi
  5. Sungai Badak
  6. Sungai Kunyit
  7. Sungai Gurun
  8. Sungai Tupah
  9. Air Terjun Alor Naga
  10. Sungai Batu Pahat
  11. Sungai Batu
  12. Bukit Penjara - Pantai Merdeka - Pulau Sayak
  13. Pulau Bidan
  14. Pulau Songsong
  15. Pulau Telor
  16. Pulau Bunting
  17. Singkir Laut
  18. Tanjung Jaga
  19. Kampung Raga
  20. Kota Kuala Muda
  21. Bekas Lombong Besi Semeling
  22. Lombong Besi Tupah
  23. Batu Kapal
  24. Padang Tok Sheikh
  25. Muara Sungai Merbok


Tarikan lain[sunting | sunting sumber]

Selain geotapak, kawasan Jerai Geopark juga memiliki tarikan-tarikan lain seperti Taman Botani Gunung Jerai, Muzium Perhutanan Gunung Jerai dan Muzium Wan Mat Saman.

Tapak-tapak arkeologi juga banyak terdapat di sekitar Bujang.

Jaringan perhubungan[sunting | sunting sumber]

Geotapak dalam Geopark Jerai boleh dilawati melalui pengangkutan awam darat, udara dan air.

Pengangkutan awam darat[sunting | sunting sumber]

Pengunjung boleh menaiki bas ekspres hingga ke terminal bas Sungai Petani sebelum menaiki teksi ke mana-mana lokasi geotapak.

Pengunjung juga boleh menaiki tren ETS atau KTM Komuter hingga ke stesen Sungai Petani atau Gurun.

Perkhidmatan Uber dan Grabcar juga boleh digunakan dari terminal bas Sungai Petani dan stesen KTM Sungai Petani atau Gurun ke lokasi geotapak terpilih.

Perkhidmatan van angkut disediakan dari kaki Gunung Jerai ke Muzium Perhutanan dan perkarangan The Jerai Regency Hotel dengan kadar RM70 sebuah.

Pengangkutan awam udara[sunting | sunting sumber]

Pengunjung boleh menaiki kapal terbang dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas, Alor Setar seterusnya menaiki bas, teksi atau KTM Komuter hingga ke stesen Gurun.

Pengangkutan awam air[sunting | sunting sumber]

Perkhidmatan bot tambang terdapat di Jeti Tanjung Dawai untuk ke Pantai Merdeka [7].

Perkhidmatan feri disediakan untuk para pengunjung menelusuri Sungai Merbok hingga ke pulau-pulau baki [8].


Program-program pembangunan geopark[sunting | sunting sumber]

  • 23 Julai 2016 - Karnival Promosi Cadangan Jerai Geopark & Larian Aspiring Jerai Geopark [9]
  • 18 Oktober 2016 - Mesyuarat Panel Saintis Geopark Jerai
  • 19 Oktober 2016 - Seminar Pembangunan Geopark Jerai
  • 13 - 16 Mac 2017 - Ekspedisi Saintifik Geotapak Jerai Geopark [10]
  • 5 - 7 Julai 2017 - Penilaian Pencalonan Jerai Geopark Sebagai Geopark Kebangsaan [11]
  • 18 Julai 2017 - Jerai Geopark diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan yang pertama.

Pemasyhuran Jerai Geopark sebagai Geopark Kebangsaan[sunting | sunting sumber]

Pemasyhuran Jerai Geopark sebagai Geopark Kebangsaan telah disempurnakan oleh Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada tanggal 24 November 2018 di perkarangan kaki Gunung Jerai.[12]

Turut berangkat dalam dalam majlis pemasyuhuran yang penuh gilang-gemilang itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, Tengku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Utama Mukhriz bin Tun Mahathir dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar juga hadir dalam majlis pemasyhuran tersebut.

Peruntukan Naik Taraf[sunting | sunting sumber]

Pada 27 Disember 2020, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato' Dr. Shamsul Anuar Bin Hj. Nasarah berbesar hati mengadakan program lawatan ke Jerai Geopark. Dalam program itu, beliau mengumumkan peruntukan RM 0.5 juta bagi tujuan menaiktaraf Galeri Jerai Geopark di Muzium Wan Mat Saman dan Rm 0.5 juta lagi bagi menaiktaraf Muzium Perhutanan.[13]

Turut sama dalam sesi lawatan itu ialah Dato' Suraya Binti Yaacob, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dan Tuan Sabri Bin Azit, Ahli Parlimen Jerai.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Lihat Juga[sunting | sunting sumber]