Pergi ke kandungan

Johannes Aavik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Johannes Aavik
Kelahiran(1880-12-08)8 Disember 1880
Meninggal dunia18 Mac 1973(1973-03-18) (umur 92)
PekerjaanAhli bahasa

Johannes Aavik (8 Disember [G.L.: 26 November] 1880 – 18 Mac 1973) ialah seorang ahli bahasa Estonia dan inovator dalam bahasa Estonia.[1]

Kehidupan awal

[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan di ladang Nurga, Randvere, Saaremaa, ketika Estonia masih sebahagian daripada Kegabenoran Livonia, Empayar Rusia. Aavik belajar sejarah di Universiti Tartu dan Universiti Nezin pada 1905, dan merupakan ahli gerakan Noor-Eesti (Pemuda Estonia). Beliau memperolehi ijazah doktor dalam bahasa Romawi di Universiti Helsinki pada 1910. Antara 1926 hingga 1933, Aavik mengajar bahasa Estonia dan Perancis di Universiti Tartu, dan pada 1934 dilantik sebagai Ketua Pemeriksa Sekolah Menengah oleh Kementerian Pendidikan Estonia sehingga 1940.[2] Pada 1944, beliau melarikan diri ke Sweden akibat pencerobohan Soviet dan menetap di Stockholm sehingga akhir hayatnya.[3]

Pembaharuan bahasa Estonia

[sunting | sunting sumber]

Johannes Aavik mula menulis artikel dalam jurnal kesusasteraan pada 1912, mencadangkan cara untuk memodenkan bahasa Estonia. Beliau berpendapat bahawa bahasa Estonia memerlukan inovasi kerana penggunaannya berkembang pesat dengan munculnya negara moden. Selain penyeragaman tatabahasa dan ejaan, Aavik menekankan bahasa yang serba boleh dan indah didengar.

Beliau mencadangkan peminjaman intensif daripada bahasa Finland, dan beberapa cadangannya cepat diterima dalam perbendaharaan kata rasmi Estonia. Dari 1914, Aavik mula mencipta akar kata baru untuk menggantikan kata majmuk yang panjang atau janggal, contohnya relv (senjata) menggantikan sõjariist, seterusnya kata roim (jenayah) menggantikan kuritöö, dan veenma (meyakinkan) menggantikan uskuma panema. Beliau biasanya mengelakkan bunyi t dan s, mengutamakan kata pendek, serta lebih suka huruf o daripada u dalam suku kata berturut-turut, seperti dialek selatan Estonia. Beberapa neologisme Aavik dipengaruhi oleh bahasa asing,[4] seperti roim mungkin daripada bahasa Inggeris crime, kata relv daripada revolver, dan taunima daripada bahasa Finland tuomita.[4]

Aavik juga mencadangkan pembaharuan tatabahasa, termasuk penggunaan plural i, superlatif i, dan –nd bagi participle lampau aktif. Beliau juga cuba memperkenalkan bentuk masa depan bagi kata kerja dan kata ganti peribadi wanita, tetapi ini kurang diterima. Beliau menulis banyak esei dan terjemahan untuk menyebarkan ideanya, dan pada 1919 menerbitkan kamus dengan 2000 perkataan baharu. Sekitar 30 perkataan ciptaannya masih digunakan hari ini, termasuk laip (mayat) dan mõrv (pembunuhan).[5]

Prinsipnya ialah kegunaan, estetik, dan keaslian dengan diringkaskan dalam karya Keeleuuenduse äärmised võimalused (1924). Inovasi bahasa mula merosot selepas undang-undang 1927 yang mewajibkan pengajaran bahasa Estonia standard di sekolah, namun beberapa perkataan Aavik kembali digunakan oleh penulis mutakhir.

Johannes Aavik meninggal dunia di Stockholm, Sweden.

Pada 26 September 1992, Persatuan Johannes Aavik ditubuhkan di Tallinn, Estonia. Persatuan ini memberi tumpuan kepada penyelidikan bahasa Estonia, terutama aspek yang berkaitan dengan sumbangan Aavik. Kini, persatuan ini mempunyai 107 ahli dan menerbitkan jurnal bertajuk Keeleuuenduse Kirjastik.[6]

  1. ^ Toivo Miljan, Historical Dictionary of Estonia, Scarecrow Press 2004
  2. ^ The International Who's Who 1943-44. 8th edition. George Allen & Unwin, London, 1943, p. 1.
  3. ^ "Books". Evening Standard. London, UK. April 7, 1951. m/s. 4. Dicapai pada March 19, 2025 – melalui Newspapers.com. penerbitan akses terbuka - percuma untuk dibaca
  4. ^ a b Zuckermann, Ghil'ad (2003), Language Contact and Lexical Enrichment in Israeli Hebrew. Palgrave Macmillan. ISBN 978-1403917232 [1], pp. 149-150.
  5. ^ Vabar, Sven. "Johannes Aavik". sisu-vana.ut.ee (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-05-14.
  6. ^ EE, Eesti entsüklopeedia. [Encyclopedia of Estonia] A-Ü. Tallinn: Valgus. 2003. m/s. 7. ISBN 9985701410.

Bacaan tambahan

[sunting | sunting sumber]
  • Antoine Chalvin. Johannes Aavik et la rénovation de la langue estonienne. Paris: ADEFO/L'Harmattan, 2010. 334 p.
  • Virve Raag. The Effects of Planned Change on Estonian Morphology. Acta Universitatis Upsaliensis, Studia Uralica Upsaliensia, 29. Uppsala, 1998. 156 p.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]