Jorge Rafael Videla

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jorge Rafael Videla
Presiden Argentina ke-43
Dalam jawatan
29 Mac 1976 – 28 Mac 1981
Didahului olehIsabel Perón
Digantikan olehRoberto Viola
Butiran peribadi
Lahir(1925-08-02)2 Ogos 1925
Mercedes, Buenos Aires
Meninggal dunia17 Mei 2013(2013-05-17) (umur 87)
Marcos Paz, Buenos Aires
KerakyatanArgentina
Alma materColegio Militar de la Nación
ProfesionKetenteraan
Perkhidmatan ketenteraan
KesetiaanArgentina
Perkhidmatan/
cawangan
Tentera Darat Argentina
Tahun perkhidmatan1944-1985
PangkatKomander Agung Tentera
Presiden Videla berpakaian seragam (tengah).

Jorge Rafael Videla Redondo (2 Ogos 1925-17 Mei 2013) adalah seorang bekas komander tentera dan ahli politik Argentina. Beliau menjadi Presiden Argentina dari 1976 hingga 1981 selepas menggulingkan Isabel Martínez de Perón. Zaman pemerintahan beliau merupakan titik permulaan "Perang Kotor" iaitu era yang paling kejam sekali dalam sejarah Argentina.[1] Namun beliau terkenal di Amerika Selatan sebagai pakar dalam strategi anti-komunisme antarabangsa dan menerima pujian dari ahli politik berhaluan kanan Amerika Syarikat, termasuk Ronald Reagan.

Pada 22 Disember 2010, Videla dihukum penjara seumur hidup dalam penjara awam kera mengakibatkan kematian 31 banduan semasa rampasan kuasanya.[2][3]

Sejarah awalnya[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Mercedes, Buenos Aires, Videla bangkit sewaktu ketidakstabilan ekonomi dan politik di Argentina pada awal hingga pertengahan 1970-an. Pada 1973 Juan Perón telah kembali berkuasa di negara ini tetapi pada usia yang tua beliau tidak mampu memperbaiki keadaan negara ini. Setahun kemudian, beliau meninggal dunia dan jawatannya disandang oleh isterinya Isabel Perón, seorang bekas penari kelab malam yang tiada pengalaman di dalam politik. Dalam usahanya untuk mendapat sokongan tentera, Isabel telah melantik Videla sebagai Commander-in-Chief, jawatan tertinggi di dalam angkatan tentera Argentina. Tindakan ini seperti memakan diri sendiri kerana beliau melancarkan kudeta dan berjaya menjatuhkan kerajaan dinasti Perón pada 24 Mac, 1976, dan menjadi presiden de-facto sebagai ketua junta tentera dan berkongsi kuasa dengan Komander Jeneral Tentera Udara iaitu Orlando Ramón Agosti dan Komander Tentera Laut, Admiral Eduardo Emilio Massera. Beberapa hari selepas itu, pada 29 Mac 1976, Videla secara rasminya menjadi Presiden Argentina, suatu jawatan yang disandang hingga 29 Mac, 1981.

Proses Pembersihan Puak Berhaluan Kiri[sunting | sunting sumber]

Sebaik sahaja menjadi Presiden, beliau membubarkan Kongres dan memberi kuasa penggubalan undang-undang kepada suatu suruhanjaya militari yang terdiri daripada sembilan orang. Di samping itu, Vadela menyekat peranan mahkamah, parti-parti politik, dan kesatuan pekerja dan memenuhi jawatan-jawatan penting kerajaan dengan ahli tentera. Dalam masa seminggu, beliau menahan beratus-ratus rakyat yang disyaki gerila berhaluan kiri dan ini berterusan sewaktu pemerintahannya. Mangsa penahanan ini telah diberi panggilan "desaparecidos" dan dianggarkan antara 10,000 and 30,000 rakyat negara ini telah hilang secara misteri sewaktu pemerintahannya.

Namun demikian, beliau merupakan tunggak utama dalam membendung kegiatan Marxisme di Argentina. Videla terkenal sebagai seorang yang pakar dalam strategi anti-komunisme antarabangsa. Walaupun beliau dikecam oleh Presiden AS Jimmy Carter kerana melanggar hak asasi manusia, berlainan pula dengan pengganti Carter iaitu Ronald Reagan yang sememangnya anti-komunis. Reagan bukan sahaja memuji beliau, malah memberi bantuan perisikan serta ketenteraan kepada beliau. Videla merupakan orang utama dalam usaha membendung komunisme dan terlibat dalam Operasi Condor, suatu kempen asasinasi dan pengumpulan perisikan menentang keganasan, yang melibatkan anggota keselamatan Argentina, Bolivia, Brazil, Chile, Paraguay, dan Uruguay pada pertengahan tahun 70an, dimana ramai orang diseksa, hilang dan dibunuh tanpa bicara.

Kezaliman dalam regim Vadela[sunting | sunting sumber]

Regimnya terkenal dengan "kehilangan" individu, penculikan bayi, dan penyeksaan yang melampau. Walaupun beliau mengaku bahawa peperangan "Dirty War" ini adalah terhadap puak subversif seperti puak radikal Marxist Montoneros dan gerila ERP, beliau juga berkata bahawa subversivos ini termasuklah mereka yang menentang Kristian dan tamadun Barat. Namun ramai yang percaya mangsanya termasuk juga musuh-musuh peribadinya seperti aktivis hak asasi manusia, ahli parti pembangkang dan sesiapa jua yang menentangnya. Sewaktu pemerintahannya dianggarkan antara 10,000-30,000 rakyat Argentina telah hilang, lebih setengah juta dibuang negara dan beribu telah ditahan dan diseksa dibeberapa kem tahanannya.

Badan yang membantu melaksanakan kekejamannya ialah "Argentine Anti-Communist Alliance" yang juga dikenali sebagai skuad pembunuh. Mereka menggunakan pelbagai cara untuk menyeksa tahanan dan corak pembunuhan yang paling popular ialah dengan melemaskan tahanan. Di pangkalan tentera Campo de Mayo misalnya, tahanan akan dibogelkan dan dirantaikan bersama tahanan-tahanan lain. Selepas itu mereka diseret ke dalam kapal terbang tentera yang akan terbang di atas sungai Rio de la Plata atau Lautan Atlantik, dan pihak tentera akan menolak mereka keluar dari kapal terbang ke dalam sungai atau laut supaya mereka mati lemas.

Kehidupan selepas demokrasi[sunting | sunting sumber]

Selepas beliau meletak jawatan, presiden-presiden yang lain telah meneruskan peperangannya dan mendapat perlindungan daripada kerajaan pro-tentera ini. Tetapi pada awal 1980-an, kerajaan awam telah mengambilalih kuasa dan Videla serta jeneral-jeneral lain telah ditahan atas beberapa kesalahan jenayah yang berat seperti penyeksaan, pembunuhan dan penculikan. Mahkamah kemudiannya mendapati bahawa beliau terlibat dalam 66 pembunuhan, 306 penculikan, 93 penyeksaan dan 26 rompakan. Pada 1985, Videla dihukum penjara seumur hidup di penjara tentera di Magdalena.

Tetapi pada 29 Disember 1990, Presiden Carlos Menem telah mengampunkan Videla dan jeneral-jeneral yang lain. Ramai ahli politik berpendapat pengampunan itu cukup praktikal untuk mendamaikan negara serta menutup sejarah hitam era Perang Kotor di mana ramai nyawa terkorban. Selepas kemenangan presiden Néstor Kirchner, terdapat usaha meluas untuk memburukkan pemerintahan Videla. Kerajaan tidak lagi menganggap beliau sebagai Presiden yang sah dan portret-portretnya telah dialih keluar dari dewan-dewan kerajaan dan arkib negara.

Pada 6 September 2006, hakim Norberto Oyarbide memutuskan bahawa pengampunan yang diberikan Menem tidak mengikut perlembagaan, membuka kemungkinan perbicaraan.[4] Seterusnya pada 25 April 2007, mahkamah persekutuan membatalkan pengampunan presiden itu dan mengembalikan sabitan penganiayaan hak asasi manusianya.[5] Pada 2 Julai 2010, beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pencabulan hak asasi manusia berkaitan kematian 31 banduan semasa pemerintahannya.[6] Dan pada 22 Disember 2010, Videla didapati bersalah dan dihukum penjara seumur hidup[7], di penjara awam. Dalam memberi hukuman, hakim Maria Elba Martinez menyatakan yang Videla merupakan "manifestasi keganasan negara."[8]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Argentina: Videla a la cárcel BBC.
  2. ^ Life sentence for ex-Argentina leader di Al Jazeera English. 23 Disember 2010 (video)
  3. ^ Helen Popper (22 Disember 2010). "Former Argentine dictator Videla jailed for life". Reuters. Dicapai pada 23 Disember 2010.
  4. ^ "Argentine junta pardons revoked". BBC News. 6 September 2006.
  5. ^ "Argentine court overturns "Dirty War" pardon". Reuters. 25 April 2007. Dicapai pada 2007-04-26.
  6. ^ "Trial of former Argentine president Jorge Videla begins". Wikinews. 3 Julai 2010. Dicapai pada 3 Julai 2010.
  7. ^ "Argentina former leader Jorge Videla jailed for life". BBC News Online. 22 Disember 2010. Dicapai pada 23 Disember 2010.
  8. ^ "Former Argentine dictator Jorge Videla sentenced to life in prison". The Telegraph. 22 Disember 2010. Dicapai pada 23 Disember 2010.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Didahalui oleh:
  Isabel Martínez de Peron  
Presiden Argentina Digantikan oleh:
Roberto Eduardo Viola