Julius Caesar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Patung Julius Caesar.
Ucapan terkenal Caesar, "Kudatang, Kulihat, Kutawan" (Veni Vidi Vici).

Gaius Julius Caesar (13 Julai 100 SM - 15 Mac 44 SM) ialah seorang ahli politik, jeneral Rom dan penulis yang memainkan peranan yang penting dalam pengubahan Republik Rom menjadi Empayar Rom. Beliau telah dianggap secara meluas sebagai salah satu daripada genius tentera dalam sejarah, serta ahli politik yang bijak dan pemimpin yang kuat di dunia kuno. Caesar membuat serangan pertama oleh Rom terhadap Britain pada tahun 55 SM, dan penaklukan Gaul oleh beliau telah memperluas dunia Rom sehingga ke Lautan Atlantik. Sejak beberapa zaman, gelaran "Caesar" telah menjadi lambang pemerintah agung yang berkuasa seperti "Kaiser" dalam bahasa Jerman dan "Tsar" dalam bahasa Slavik. Pada tahun 42 SM, iaitu dua tahun selepas pembunuhannya, Senat Rom telah menerima Caesar secara rasmi sebagai salah satu daripada dewa Rom. Dilahirkan pada bulan Quinctilis (13 Julai), bulan ini kemudiannya diberikan nama "Julai" (daripada nama "Julius") untuk memperingati jasa beliau.

Caesar bertempur dalam satu perang saudara yang menyebabkan beliau menjadi penguasa dunia Rom yang tidak dapat dipertikaikan dan selepas mengambil alih kerajaan, beliau memulakan pembaharuan yang meluas untuk kedua-dua masyarakat dan kerajaan Rom. Beliau diisytiharkan sebagai diktator seumur hidup, dan memusatkan birokrasi Republik dengan pesat. Dengan penuh ironi, ini memaksakan Marcus Junius Brutus, kawan Caesar, untuk berkomplot dengan orang-orang lain bagi tujuan membunuh beliau dan memulihkan Republik Rom. Pembunuhan yang dramatik ini pada 15 Mac 44 SM mencetuskan satu perang saudara yang baru di Rom.

Kempen-kempen ketenteraan Caesar dikenali secara terperinci daripada Ulasan-ulasan beliau sendiri, dan banyak perincian hidupnya telah dicatatkan oleh ahli-ahli sejarah yang kemudian, seperti Appian, Suetonius, Plutarch, Cassius Dio, dan Strabo. Maklumat tambahan boleh didapati daripada sumber sezaman yang lain, seperti persuratan dan ucapan Cicero, pesaing politik Caesar, serta puisi Catullus, dan tulisan ahli sejarah Sallust.

Sejarah awal[sunting | sunting sumber]

Caesar dilahirkan dalam keluarga kelas patrician iaitu golongan tertinggi di Rom tetapi keluarganya hidup secara sederhana. Ayahnya Gaius Julius Caesar, seorang yang tidak terkenal, dan pangkatnya yang tertinggi ialah praetor, satu jawatan di bawah konsul. Manakala ibunya, Aurelia, berasal daripada keluarga Cotta, sebuah keluarga bangsawan, dan merupakan matrona atau ibu yang terkenal dalam disiplinnya pada waktu itu. Walaupun mereka tidak berada, keluarga Caesar rapat dengan ahli-ahli senator dan ini telah menjadi perangsang bagi Caesar untuk menjadi pemimpin yang terkenal. Ayah Caesar meninggal apabila Caesar berusia 15 tahun.

Pembabitan awal dalam politik[sunting | sunting sumber]

Sebagai golongan bangsawan, Caesar serta keluarganya secara tradisinya patut menyokong parti Optimates dibawah pimpinan Lucius Cornelius Sulla. Namun keluarga Caesar lebih cenderung kepada parti Populares apabila emak saudaranya, Julia, berkahwin dengan seorang tokoh dari parti tersebut iaitu Gaius Marius. Marius merupakan seorang jeneral terkenal yang telah menyandang jawatan Konsul sebanyak tujuh kali, iaitu antara 107 SM dan 86 SM, yang juga digelar "Pengasas Ketiga Rom". Marius merupakan salah seorang jeneral yang paling berjaya dalam sejarah Rom dan telah berperang serta menghancurkan pakatan bala tentera Celt dari Gaul dan Germania. Walaupun Marius tidak berasal dari keluarga bangsawan, dia mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam tentera Rom. Malah Marius telah memaksa pembaharuan dalam sistem tentera Rom dengan membenarkan rakyat tidak berharta menjadi tentera. Lazimnya, tentera daripada golongan miskin akan mengikut telunjuk jeneral mereka dan ini merupakan faktor utama yang membolehkan Caesar menguatkan pengaruh tenteranya.

Sewaktu Caesar berusia sepuluh tahun, Marius dan partinya terlibat dalam pergolakan dengan beberapa parti lain, termasuk anak didiknya Sulla. Ini telah mencetuskan Perang Saudara Rom I. Pada 87 SM, semasa Caesar masih remaja, beliau telah dilantik sebagai Flamen Dialis (paderi tertinggi Jupiter) oleh sama ada Marius atau konconya Konsul L. Cornelius Cinna. Seorang Flamen Dialis dilantik sepanjang hayatnya dan terpaksa hidup dengan pelbagai pantang larang keagamaan seperti tidak boleh memegang besi, melihat mayat, atau menunggang kuda. Sekiranya Caesar memegang jawatan tersebut, beliau tidak mungkin menjadi seorang wira yang terkenal. Tetapi sebelum sempat beliau menerima perlantikan tersebut, bapa saudaranya Marius telah meninggal dunia dan jawatannya diambilalih oleh Sulla. Apabila Sulla berkuasa beliau telah mentadbir Rom secara kuku besi. Pengaruh Populares telah dihadkan dan ramai penyokong Marius telah dibunuh. Dia juga bimbang dengan anak saudara Marius iaitu Caesar dan cuba mengawasinya dengan teliti. Tetapi ironinya ialah, Sulla telah menarik balik perlantikan Caesar sebagai Flamen Dialis dan ini membuka peluang kepada Caesar memasuki alam ketenteraan.

Walaupun Sulla berkuasa, Caesar masih mahu bergaul dengan golongan pembangkang. Lalu pada 84 SM, beliau telah berkahwin dengan Cornelia, anak perempuan Cinna. Sulla menganggap perkahwinan ini sebagai satu simbol penentangan, terutamanya kerana Caesar berkhidmat dalam tenteranya. Oleh itu, Sulla telah mengarahkan beliau untuk menceraikan isterinya sebagai tanda kesetiaan kepada regimnya. Tetapi Caesar enggan menurut perintahnya. Pada 82 SM beliau meninggalkan Rom untuk kempen ketenteraan di Asia dan Cilicia. Beliau hanya kembali ke Rom pada 78 SM apabila mendapat khabar tentang kematian Sulla dan disana beliau telah memulakan karier politiknya sebagai seorang pendakwaraya.

Caesar sebagai tentera[sunting | sunting sumber]

Sewaktu di medan perang, beliau terbukti seorang yang berani dan penuh berkaliber. Apabila tentera Rom mengepung Mytilene, di pulau Lesbos, beliau telah dihantar ke Bithynia, di selatan pesisiran pantai Laut Hitam untuk memujuk Raja Nicomedes IV Philopator agar menawarkan angkatan lautnya kepada Marcus Minucius Thermus di Lautan Aegean. Raja ini kemudiannya bersetuju dengan permintaannya. Walaupun begitu, persetujuan yang mudah diperolehi oleh Caesar telah menimbulkan skandal kononnya Caesar telah memberi balasan seksual kepada raja tersebut. Cerita seorang patrician dijadikan pelacur lelaki male prostitute telah menjadi kisah sensasi di Rom dan musuhnya kerap menggunakan skandal-skandal ini untuk menjatuhkan karier politiknya.

Julius Caesar dengan mahkotanya

Pada 80 SM, semasa berkhidmat di bawah Thermus, beliau memainkan peranan utama dalam pengepungan Miletus. Sewaktu perang tersebut, Caesar mempamerkan keberaniannya dengan menyelamatkan beberapa tentera legionaries dan beliau telah dianugerahkan dengan kehormatan corona civica (mahkota oak). Mahkota ini adalah kehormatan kedua tertinggi (selepas corona graminea - Mahkota Rumput) dalam militari Rom, dan ianya dianugerahkan kepada Caesar kerana berjaya menyelamatkan seorang tentera. Mahkota corona civica merupakan anugerah yang amat berprestij. Sekiranya penerima anugerah ini berada di Senat Rom, semua ahli Senat terpaksa berdiri dan memberi tepukan gemuruh kepada pemakainya. Caesar kerap memakainya terutamanya di hari-hari perayaan disebabkan beliau suka dipuji dan bagi menutup kepalanya yang kian membotak. Disamping mahkota, Caesar telah dihadiahkan pingat yang kecil sebagai tanda keberaniannya.

Kebangkitan politik Caesar[sunting | sunting sumber]

Pada 69 SM, Caesar dipilih sebagai quaestor. Pada tahun yang sama isteri pertamanya Cornelius telah meninggal dunia. Caesar yang bercita-cita untuk menambahkan pengaruh politiknya, telah mengambil kesempatan iaitu sewaktu pengkebumian isterinya untuk memuji bapa mertuanya, Cinna dan mendiang bapa saudaranya, Marius. Selepas itu, beliau mengahwini Pompeia, saudara kepada Jeneral terkenal Gnaeus Pompeius atau lebih dikenali sebagai Pompey. Dalam masa yang singkat Caesar telah menaiki tangga kerjaya politiknya. Bermula pada 65 SM, beliau dipilih sebagai curule aedile, pada 63 SM sebagai pontifex maximus, dan praetor pada 62 SM. Namun Caesar telah menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mengembangkan pengaruh politiknya. Semasa menjadi aedile beliau telah mengelolakan beberapa temasya sukan yang hebat great games untuk menaikkan popularitinya dikalangan rakyat. Selain itu, beliau telah menggunakan politik wang untuk menyandang jawatan pontifex maximus dan praetor. Pada waktu ini, beliau telah menempa namanya sebagai seorang tokoh politik yang disanjungi oleh rakyat Rom. Parti Optimates mula bimbang dengan peningkatan Caesar dan cuba memburukkan beliau. Sewaktu menjadi pontifex maximus, Caesar telah didakwa dalam skandal perayaan Dewi yang Baik Good Goddess. Perayaan keagamaan ini hanya boleh disambut oleh golongan wanita tetapi sewaktu Caesar berkuasa, beliau membenarkan seorang lelaki untuk berada disana. Walaupun begitu, Caesar telah membayar rasuah yang banyak untuk terlepas dari tindakan undang-undang. Selepas skandal ini beliau telah menjadi muflis. Namun demikian, sahabat beliau Marcus Licinius Crassus, lelaki terkaya di Rom, telah membayar hutangnya yang lalu berjumlah 830 talents atau 17,500 kg wang perak. Selain itu beliau menceraikan isterinya Pompeia yang disyaki mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Dalam usaha untuk menutup skandal tersebut, pada 61 SM Caesar dihantar ke Andalusia, Sepanyol dan telah dilantik sebagai Gabenor disana. Di Cadiz, Sepanyol beliau melihat patung Iskandar Agung dan menangis kerana pada usia 30 tahun Iskandar berjaya mengetuai sebuah empayar yang luas manakala beliau hanya menjadi seorang Gabenor. Setahun kemudian beliau pulang ke Rom, dan bergabung tenaga dengan Crassus dan Pompey lalu membentuk perikatan tiga penjuru atau triumvirate yang pertama. Perikatan ini telah diperkukuhkan lagi apabila Pompey berkahwin dengan Julia, iaitu anak tunggal Caesar.

Cita-cita Caesar untuk menjadi orang nombor satu di Rom masih belum pudar. Pada 59 SM beliau dipilih pula sebagai seorang Konsul dan berkongsi kuasa dengan Konsul Bibulus. Tetapi Caesar jelas sekali lebih berpengaruh dari rakan sejawatannya, Bibulus sehinggakan konsulnya dikenali sebagai konsul Julius dan Caesar. Dalam tahun yang sama beliau berkahwin dengan Calpurnia, anak perempuan Piso iaitu rakan karib Crassus . Pada tahun berikutnya, Caesar dilantik sebagai Gabenor Roman Gaul. Lapan tahun selepas itu, bala tentera dibawah pimpinan Caesar telah berperang dan berjaya menakluki Gallic Gaul di sebelah utara. Pada 58 SM bala tenteranya berjaya menewaskan serta menakluki Germanik (Jerman) dan Konfederasi Helvetia (Switzerland). Tiga tahun kemudian, beliau serta tenteranya telah menyeberangi sungai Rhine untuk menceroboh Britain. Pada 49 SM, Caesar telah diarahkan oleh Senat untuk meletakkan senjatanya kerana penggalnya sebagai Konsul telah tamat. Pada waktu itu politik di Rom sedang mengalami zaman perubahan setelah Crassus terbunuh pada 53 SM, dan perlantikan Pompey sebagai Konsul yang baru pada 52 SM. Ini ditambah pula dengan kematian isteri Pompey, Julia, pada 54 SM, yang memutuskan hubungan kekeluargaan antara Pompey dan Caesar. Pompey yang berazam untuk menamatkan karier politik Caesar, bersama-sama dengan ahli Senat yang lain telah melarang Caesar dari bertanding untuk jawatan Konsul untuk kali yang kedua. Namun demikian, Caesar masih meneruskan kempen ketenteraannya dan pada 52 SM beliau mengetuai bala tenteranya dalam pertempuran Alesia di Perancis.

Perang Saudara Rom[sunting | sunting sumber]

Pada 10-11 Januari, 49 SM, Caesar dengan hanya satu platun legion (satu legion terdiri daripada 5000 orang tentera) telah menyeberangi Rubicon, sebuah sungai kecil yang memisahkan Gaul dari Itali. Tindakannya itu menandakan mulanya Perang Saudara Rom II atau juga dipanggil Perang Saudara Caesar. Pada waktu itu, sebahagian besar tentera Rom berada di Andalusia. Kumpulan Optimates yang termasuk Metellus Scipio dan Cato yang Muda, telah lari ke selatan tanpa menyedari bahawa Caesar disokong oleh bala tentera yang kecil.

Dalam masa tiga bulan Pompey meninggalkan Rom, dan Caesar menerajui seluruh Itali. Walaupun begitu beliau masih mahu menamatkan pengaruh Pompey. Langkahnya yang seterusnya ialah untuk menghancurkan konco-konco Pompei yang berada di Andalusia (sekarang Sepanyol). Dalam gerakan kilat iaitu 27 hari, tentera di bawah pimpinannya telah berarak ke Andalusia dan menewaskan kesemua leftenan-leftenan Pompei di sana. Beliau kemudiannya menakluki Sepanyol dan menuju ke timur untuk menentang Pompey di Yunani. Pada 10 Julai, 48 SM di Dyrrhachium Caesar hampir-hampir menemui kekalahan yang teruk. Namun di Pharsalus, beliau bersama tentera Mark Antony dengan mudahnya menumpaskan bala tentera Pompey, yang dua kali ganda lebih ramai dari tenteranya.

Selepas kejayaan ini, Caesar kembali ke Rom dan ditabalkan sebagai diktator Rom, dengan Mark Antony sebagai Tuan Kuda Master of the Horse. Namun selepas sebelas hari sahaja, beliau meletak jawatan diktatornya dan dipilih sekali lagi sebagai Konsul bagi penggal yang kedua. Publius Servilius Vatia Isauricus telah dilantik sebagai naib-Konsul. Walaupun beliau dapat merampas kembali pangkat Konsulnya, Caesar gagal menawan musuhnya yang ketat iaitu Pompey.

Oleh itu beliau mengejar Pompey hinggalah ke Iskandariah, Mesir. Malangnya musuhnya itu telah dibunuh oleh seorang pegawai Raja Ptolemy XIII. Walaupun Caesar bermusuhan dengan Pompey, pembunuhannya itu dianggap sebagai penghinaan bagi Rom. Malah telah dilaporkan bahawa beliau berlinang airmatanya apabila melihat kepala Pompey, yang dipersembahkan kepadanya sebagai hadiah oleh Pothinus iaitu pegawai penyelenggara istana Ptolemy XIII. Selepas pembunuhan Pompey, beliau menuntut hutangnya berjumlah 40 juta sesterces daripada kerajaan Mesir bagi sokongan ketenteraannya beberapa tahun sebelumnya kepada ayahanda Ptolemy XIII iaitu Raja Ptolemy XII.

Caesar di Mesir[sunting | sunting sumber]

Ketika itu Mesir sedang dilanda perang saudara antara Raja Ptolemy XIII dengan kakaknya Cleopatra. Mesir berada dibawah pemerintahan Ptolemy XIII, manakala kakaknya terpaksa memerintah dalam buangan. Pada September 48 SM, ketika Cleopatra mengumpulkan bala tentera semasa dalam buangan, Caesar tiba ke Pelabuhan Iskandariah untuk menuntut hutang ayahanda Cleopatra, Ptolemy XII serta membalas dendam bagi kematian Pompey.

Cleopatra berjumpa Caesar ketika beliau berlabuh, rusuhan anti-Rom berlaku di pelabuhan Iskandariah. Walau bagaimanapun, Caesar bukanlah orang yang mudah ditakutkan. Beliau mendiami istana diraja, menuntut hutang dan meminta perbalahan keluarga diraja untuk dihentikan. Untuk itu, Cleopatra dan adiknya diminta untuk datang menghadapnya. Demi mengelakkan diri daripada tentera adiknya, Cleopatra menyembunyikan diri di dalam permaidani dan menyeludup masuk berjumpa Caesar.

Pada keesokan paginya, Julius Caesar membuat dekri (perjanjian) agar kakak dan adik memerintah Mesir dengan damai. Beberapa minggu kemudian, segalanya berjalan lancar. Julius Caesar sempat berehat dan menikmati suasana Iskandariah yang aman dan ceria. Walau bagaimanapun, keamanan tidak bertahan lama apabila adik Cleopatra, Ptolemy XIII mencetuskan perang saudara yang sengit. Oleh itu, Caesar terjebak pula dengan perang saudara yang dipanggil Perang Iskandariah Alexandrine War di Mesir. Perang itu berlarutan selama berbulan-bulan, antara pakatan tentera Cleopatra - Julius Caesar dengan tentera Ptolemy. Akhirnya pakatan ini menang dan Ptolemy XIII yang hanya berusia 10 tahun itu mati lemas di sungai Nil. Dengan kemenangan itu, Cleopatra telah ditabalkan sebagai Permaisuri Mesir. Semasa Caesar berada di Mesir, beliau telah jatuh cinta dengan Cleopatra tetapi perkahwinannya dengan seorang bukan rakyat Rom adalah dilarang. Namun, permaisuri itu telah melakukan perhubungan sulit dengan Caesar dan melahirkan anak lelaki beliau yang bernama Caesarian.

Bersambungnya Perang Saudara Rom[sunting | sunting sumber]

Selepas berada di Mesir, Caesar berlepas ke Timur Tengah pada 47 SM, dimana beliau menghapuskan Raja Pharnaces II dari Pontus dalam perang di Zela. Kemenangannya begitu pantas sehinggakan beliau mengucapkan Veni, Vidi, Vici ("Kudatang, Kulihat, Kutawan"). Beliau kemudian meneruskan kempennya ke Afrika untuk menewaskan saki-baki penyokong Pompey. Pada 46 SM bala tentera beliau berjaya menewaskan tentera Metellus Scipio (yang terbunuh sewaktu perang) dan Cato yang Muda (yang membunuh diri). Namun demikian anak beranak Pompey iaitu Gnaeus Pompeius dan Sextus Pompeius, berjaya melarikan diri ke Andalusia. Caesar mengejar mereka dan menghapuskan semua penentangnya di Munda pada bulan Mac 45 SM.

Caesar - Maharaja Rom yang terulung[sunting | sunting sumber]

Sekembalinya Caesar ke Itali pada September 45 SM, beliau telah mengambil keputusan untuk mengampunkan semua musuh-musuhnya yang lalu. Antara musuhnya yang telah diampun termasuklah Marcus Junius Brutus atau Brutus, orang kuat Pompey. Caesar amat menyintai ibu Brutus, yang telah diambil sebagai wanita simpanannya dan menganggap Brutus sebagai anak kandungnya sendiri. Selain itu, beliau telah menulis wasiat yang menamakan Octavian Augustus, iaitu anak saudaranya sebagai pewaris segala hartabendanya termasuk gelarannya. Caesar juga menulis bahawa seandainya Octavian meninggal sebelum beliau, maka Marcus Junius Brutus akan mewarisi segalanya. Disamping itu, sekiranya Octavian mati setelah mewarisi harta Caesar, Brutus akan mewarisi harta dari Octavian.

Sanjungan kepada Caesar[sunting | sunting sumber]

Beberapa temasya sukan dan perayaan yang hebat telah dianjurkan secara besar-besaran sempena kemenangan Caesar pada April 21. Beliau juga diberi penghormatan untuk memakai pakaian kemenangan triumphal clothing, termasuk jubah ungu (mirip Raja-Raja Rom yang lampau) dan mahkota laurel crown, semasa perayaan awam. Suatu estet yang amat luas telah dibina eksklusif untuk kegunaaannya. Gelaran Dictator telah menjadi gelarannya yang sah untuk seumur hidup. Malah, suatu patung gading yang merupai Caesar telah dibuat untuk dibawa dalam perarakan keagamaan. Imej Caesar dengan rambutnya disikat kehadapan (untuk menyembunyikan kepalanya yang semakin botak) terdapat dimerata tempat.

Suatu patung Caesar telah ditempatkan di kuil Quirinus dengan tulisan "Kepada Tuhan yang Tidak Boleh Ditewaskan". Oleh kerana Quirinus merupakan dewa ibukota Rom dan pengasas serta rajanya yang pertama iaitu, Romulus, penaikkan patung Caesar seolah menyamakan beliau dengan dewa dan juga sebagai raja yang lampau. Sebuah patung lagi telah dinaikkan bersama-sama tujuh raja Rom yang lalu iaitu patung Lucius Junius Brutus, wira yang memberontak serta mengusir Raja Rom yang terakhir. Adalah dipercayai Lucius Junius Brutus merupakan kaum kerabat Brutus iaitu orang yang paling dipercayai oleh Caesar.

Caesar merupakan orang Rom hidup pertama dengan mata wangnya sendiri.
Sumber http://www.cngcoins.com

Caesar juga telah melakukan beberapa perkara yang menyakitkan hati perwakilan di Senat. Buat pertama kali dalam sejarah Rom, mata wangnya telah ditempa dengan imej tokoh yang masih hidup iaitu Julius Caesar. Selain itu, apabila beliau kembali ke Rom pada Oktober 45 SM, beliau memberi jawatan Konsulnya kepada Quintus Fabius Maximus dan Gaius Trebonius. Ini telah menimbulkan kemarahan pihak Senat kerana Caesar tidak menghiraukan sistem pilihan raya yang sedia ada dan membuat dasar sesuka hatinya. Disamping itu, beliau telah diberi kuasa untuk melantik separuh daripada kumpulan majistret, yang pada lazimnya dipilih oleh rakyat. Caesar juga dianugerahkan imperiumnya sendiri, suatu kuasa kekebalan dari tindakan undang-undang dan memberinya pangkat Panglima Besar bagi angkatan tentera Rom.

Reformasi dibawah pemerintahannya[sunting | sunting sumber]

Walaupun Caesar telah disanjungi oleh rakyat, beliau tidak melupakan mereka. Malah, beliau telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengatasi pelbagai masalah sosial di Rom. Antara lain, beliau telah membuat undang-undang yang melarang rakyatnya yang berusia antara 20 dan 40 tahun dari meninggalkan Itali selama lebih tiga tahun melainkan untuk kempen ketenteraan. Mengikut teorinya, ia dapat memastikan kesinambungan operasi ladang ternak tempatan dan mengelakkan korupsi di negara asing. Sekiranya seorang ahli dari golongan elit mencedera atau membunuh mereka dari kelas bawahan, maka kesemua harta pihak bersalah akan disita oleh kerajaan. Caesar juga berjaya membatalkan suku daripada hutang kerajaan dan ini telah meringankan beban rakyatnya. Caesar juga mengawal dengan ketat pembelian bijirin yang menerima subsidi kerajaan dan melarang mereka yang mampu membeli bijirin yang dibekalkan oleh peniaga swasta dari menerima bijirin orang awam. Selain itu, beliau merangka pelan untuk pengagihan tanah kepada para veteran perang dan menubuhkan beberapa koloni sebagai hadiah kepada mereka dimerata empayar Rom. Hasilnya, populariti beliau telah melonjak dan beliau semakin disanjungi oleh rakyat jelata.

Sewaktu beliau menyandang jawatan Pontifex Maximus pada 63 SM, beliau telah menetapkan kalendar yang baru dipanggil Kalendar Julian. Pada 46 SM, Caesar telah membuat kalendar tahunan 365-hari dengan tahun lompat selang empat tahun (Kalendar ini kemudiannya diubahsuai oleh Paus Gregory XIII pada 1582 untuk kalendar moden). Akibatnya, tahun 46 SM telah dipanjangkan selama 445 hari untuk selaras dengan kalendar tersebut.

Caesar juga telah memperbaiki kemudahan awam di Rom. Sebelum pentadbirannya, Rom merupakan bandaraya yang tidak terurus penuh dengan senireka yang tidak menarik. Sebuah Rostra buatan marmar, bersama dengan mahkamah serta pasaraya yang baru telah dibina. Sebuah perpustakaan awam dibawah pendidik terkenal Marcus Terentius Varro telah berada didalam pembinaan. Dewan Senat, Curia Hostilia, yang baru diperbaiki telah ditinggalkan untuk diberi laluan kepada projek bangunan marmar yang baru dipanggil Curia Julia. Forum untuk Caesar, dengan kuil Venus Genetrix, telah dibina. Bandar Pomerium (sempadan yang suci) telah ditambahkan untuk perkembangan Rom.

Malangnya kesemua projek-projek mega dan pembaziran ini hanya meningkatkan kebencian beberapa ahli Senat (termasuk kawan paling rapat Caesar, Marcus Junius Brutus) terhadap Caesar.

Pembunuhan Caesar dan kesannya kepada Rom[sunting | sunting sumber]

Peta Empayar Rom selepas Julius Ceasar

Brutus, bersama-sama dengan banyak senator yang lain, berasa amat tidak puas dengan keadaan Republik. Caesar telah dijadikan diktator untuk sepanjang hayat dan telah meluluskan undang-undang untuk menumpukan kuasa pada dirinya. Brutus juga telah dihasut tentang kemungkinan Caesar ditabalkan sebagai Raja Rom dan kembalinya sistem monarki mutlak di Rom. Brutus amat mempercayai cerita ini, walaupun pada 15 Februari 44 SM dalam satu upacara umum Caesar enggan menerima diadem (lambang monarki purba) daripada Mark Anthony. Oleh yang demikian Brutus mula berkomplot terhadap Caesar bersama-sama dengan kawan dan adik iparnya, Cassius, serta orang-orang yang lain, dan memanggil kumpulan mereka sebagai Liberatores ("Pembebas").

Pada 15 Mac 44 SM (sila lihat takwim Rom), sekumpulan senator menjemput Caesar ke sebuah forum untuk tujuan membaca petisyen yang ditulis oleh senator-senator. Petisyen itu meminta Caesar untuk mengembalikan kuasanya kepada Senat. Bagaimanapun, petisyen itu adalah palsu. Setelah mengetahui komplot itu, Mark Antony cuba menghalang Caesar di tangga forum, akan tetapi sekumpulan senator berjaya memintas Caesar ketika beliau melewati Teater Pompey, dan mengarahkannya ke sebuah bilik yang bersebelahan dengan porsio timur.

Pakatan sulit ini yang terdiri dari 60 orang telah menghadiri forum tersebut dengan pisau yang tersembunyi dalam toga masing-masing. Ketika Caesar mula membaca petisyen yang palsu itu, salah seorang senator bernama Servilius Casca menarik tunik Caesar dan menikam lehernya. Dalam beberapa ketika, seluruh kumpulan, dan akhir sekali Brutus, menyerangnya. Caesar cuba melarikan diri, tetapi disebabkan beliau dibutakan oleh darah, tersandung dan jatuh; golongan itu kemudian membunuhnya ketika beliau terbaring tanpa berupaya mempertahankan diri. Pembunuh-pembunuh Caesar telah menikamnya sebanyak lebihkurang 23 kali, semasa beliau terlantar di bawah patung Pompey.

Dalam drama Julius Caesar oleh Shakespeare, Caesar menujukan perkataan-perkataan terakhirnya kepada Brutus: Tu quoque, Brute, fili mi ("Engkau juga, Brutus, anak ku?") atau Et tu, Brute ("Dan engkau [juga], Brutus?"). Suetonius menyatakan bahawa Caesar berkata dalam bahasa Yunani, "καὶ σύ, τέkνον;" (ditransliterasikan sebagai "Kaì sú, téknon?", iaitu "Engkau juga, anakku?") (De Vita Caesarum, Liber I Divus Iulius, LXXXII). Tidak lama selepas pembunuhan Caesar, senator-senator itu meninggalkan bangunan dan berbual-bual antara satu sama lain dengan teruja, dan Brutus bersorak kepada kota yang disayangi: "Orang-orang Rom, kita bebas sekali lagi!" Manakala, tiga orang hamba abdi telah diarahkan untuk mengangkat mayat Caesar balik kepada isterinya Calpurnia.

Selepas pembunuhan Caesar[sunting | sunting sumber]

Pembunuhan Caesar telah membawa kesan yang amat mendalam kepada Rom. Kesan yang paling ketara ialah tamatnya Republik Rom. Caesar telah banyak berjasa kepada rakyat Rom dari golongan sederhana dan rendah. Oleh itu mereka menjadi marah apabila mengetahui bahawa sekumpulan bangsawan telah membunuh pejuang keadilan mereka. Mark Antony juga telah mencetuskan kemarahan mereka apabila memberitahu rakyat jelata bahawa Caesar berhasrat untuk memberi setiap rakyatnya harta serta tanah yang banyak. Mark Antony telah cuba untuk mendapatkan simpati masyarakat Rom dengan mengancam melepaskan mereka untuk menyerang pihak Optimates, mungkin dengan tujuan untuk mengambilalih Rom. Rakyatnya yang setia kepada Caesar telah merempuh Senat dan membakar bangunan tersebut. Ironiknya kematian Caesar telah mengembalikan sistem monarki ke Rom.

Walaupun Mark Antony bercita-cita untuk memerintah Rom, Caesar telah menamakan anak saudara dan juga anak angkatnya iaitu Gaius Octavius sebagai pewaris tunggal harta serta pangkatnya. Oleh kerana ramai rakyat Rom menganggap Gaius Octavius sebagai pewaris Caesar, kesetiaan mereka telah berganjak dari Caesar yang mati kepada Octavius yang hidup. Octavius yang hanya berusia 19 tahun ketika kematian Caesar, terbukti seorang yang merbahaya dan kejam. Sewaktu Antony berusaha untuk menghadapi Brutus dalam perang saudara yang baru, Octavius mula memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemerintah Rom. Pada Oktober 42 SM, Brutus dan Cassius telah ditewaskan di Philippi, berhampiran pantai utara Lautan Aegean.

Pada mulanya Octavian telah memberi sokongan padu kepada Mark Antony. Namun beliau hanya menunggu masa untuk Antony membuat kesilapan. Kesempatan itu berlaku pada 41 SM, apabila Mark Antony bertemu dengan Cleopatra dari Mesir. Pada ketika itu Antony meminta bantuan Mesir untuk menawan Parthia (kini Iran). Sebaik sahaja berjumpa dengan Cleopatra beliau telah dilamun cinta. Pada tahun yang sama, Caesar secara rasminya telah didewakan sebagai "Julius yang suci" (Divus Iulius), dan Octavian diberi gelaran Divi filius ("Anak Tuhan"). Semasa tentera Antony dan Cleopatra menyerang Parthia mereka telah menerima kekalahan yang teruk. Ini memberi peluang kepada Octavian untuk mengecam Marc Antony dan menuduhnya sebagai seorang yang lemah. Pada 21 September 31 SM, armada Cleopatra dan Mark Antony telah keluar untuk menentang tentera Rom. Malangnya, pertempuran di Actium gagal. Pada Ogos 30 SM bala tentera Octavian telah menceroboh Mesir, dan Mark Antony serta Cleopatra telah membunuh diri mereka. Anak kandung Caesar iaitu Caesarian juga telah dibunuh oleh tentera Octavian.

Selepas kematian Caesarian tiada siapa lagi yang boleh mengaku sebagai zuriat Caesar. Apabila beliau pulang dari kemenangan di Mesir, Octavian telah meletak jawatannya sebagai Konsul dan ini telah menimbulkan kemarahan rakyat Rom terutamanya golongan plaebian. Octavian kemudiannya memberi pilihan kepada Senat sama ada untuk menerima Rom yang kacau bilau atau Rom yang aman di bawah seorang pemerintah. Akhirnya mereka terpaksa menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Octavian. Walaupun Senat masih wujud tetapi mereka sekadar boneka sahaja. Manakala Octavian memerintah seolah-olah beliau Maharaja Rom. Octavian telah berusaha untuk meneruskan dasar-dasar Caesar seperti memberi hak kewarganegaraan kepada rakyat luar yang menetap di Itali.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Karya Caesar[sunting | sunting sumber]

Ahli sejarah kuno mengenai Caesar[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikisource
Wikiquote-logo.svg
Wikiquote mempunyai koleksi petikan mengenai:


Riwayat-riwayat Hidup Bangsawan Yunani dan orang Rom oleh Plutarch
Alcibiades dan Coriolanus - Alexander Agung dan Julius Caesar - Aratus & Artaxerxes dan Galba & Otho - Aristides dan Cato yang Lebih Tua - Crassus dan Nicias - Demetrius dan Antony - Demosthenes dan Cicero - Dion dan Brutus - Fabius dan Pericles - Lucullus dan Cimon - Lysander dan Sulla - Numa dan Lycurgus - Pelopidas dan Marcellus - Philopoemen dan Flamininus - Phocion dan Cato yang Lebih Muda - Pompey dan Agesilaus - Poplicola dan Solon - Pyrrhus dan Gaius Marius - Romulus dan Theseus - Sertorius dan Eumenes - Tiberius Gracchus & Gaius Gracchus dan Agis & Cleomenes - Timoleon dan Aemilius Paullus - Themistocles dan Camillus
Riwayat Hidup Dua Belas Caesar, atau de vita Caesarum oleh Suetonius
Julius Caesar - Augustus - Tiberius - Caligula - Claudius - Nero - Galba - Otho - Vitellius - Vespasian - Titus - Domitian
Didahului oleh
Lucius Afranius dan Quintus Caecilius Metellus Celer
Konsul Republik Rom
dengan Marcus Calpurnius Bibulus
59 SM
Diikuti oleh:
Lucius Calpurnius Piso Caesoninus dan Aulus Gabinius
Didahului oleh
Lucius Cornelius Lentulus Crus dan Gaius Claudius Marcellus Maior
Konsul Republik Rom
dengan Publius Servilius Isauricus
48 SM
Diikuti oleh:
Quintus Fufius Calenus dan Publius Vatinius
Didahului oleh
Quintus Fufius Calenus dan Publius Vatinius
Konsul Republik Rom
dengan Marcus Aemilius Lepidus
46 SM
Diikuti oleh:
Gaius Julius Caesar tanpa rakan sekerja
Didahului oleh
Gaius Julius Caesar dan Marcus Aemilius Lepidus
Konsul Republik Rom
tanpa rakan sekerja
45 SM
Diikuti oleh:
Gaius Julius Caesar dan Marcus Antonius
Didahului oleh
Gaius Julius Caesar tanpa rakan sekerja
Konsul Republik Rom
dengan Marcus Antonius
44 SM
Diikuti oleh:
Aulus Hirtius dan Gaius Vibius Pansa Caetronianus
Didahului oleh
Lucius Cornelius Sulla
Dictator Republik Rom
46 SM-44 SM
Diikuti oleh:
tiada