Ketua Anak Negeri Tawau

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari KETUA ANAK NEGERI TAWAU)

Ketua Anak Negeri atau gelarannya Orang Kaya Kaya (OKK) adalah jawatan yang diperkenalkan ketika era awal pentadbiran Kerajaan Inggeris di Sabah. Jawatan ini dikhususkan dalam pentadbiran kerajaan di setiap daerah di seluruh negeri Borneo Utara pada ketika itu.

Jawatan yang dilantik dan dipilih di kalangan masyarakat tempatan peribumi ini adalah sebagai mewakili masyarakat atau sebagai ketua dan pemimpin yang diiktiraf oleh kerajaan ketika era penjajahan itu sebelum kemerdekaan Malaysia. Namun sehingga kini jawatan itu masih dikekalkan walaupun bidang kuasanya lebih terbatas.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Di Tawau ketika era Pemerintahan British, jawatan OKK atau Ketua Anak Negeri atau dengan lebih mesra dengan panggilan Penghulu ini telah disandang buat pertama kalinya oleh OKK Kee Abdullah pada akhir 1920-an. Beliau memegang jawatan Penghulu atau Ketua Anak Negeri ini sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1936. Kemudiannya beliau, Abu Bakar Bin Abdullah dipilih menggantikan beliau dengan gelaran OKK Kee Abu Bakar ataupun Penghulu Abu Bakar. Penghulu Abu Bakar telah memegang jawatan Penghulu ini selama 17 tahun iaitu sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1953.

Di Tawau, sebelum jawatan Orang Kaya Kaya ( OKK ) atau Ketua Anak Negeri ini diwujudkan, pemimpin atau ketua di dalam masyarakat dikenali sebagai Ketua Masyarakat (Native Chief). Selepas akhir tahun 1920an, ketika jawatan Ketua Anak Negeri diperkenalkan buat pertama kali, secara rasminya Ketua Anak Negeri (District Chief) juga memegang jawatan sebagai Ketua Masyarakat (Natives Chief). Sebelum OKK Kee Abdullah memegang jawatan sebagai Ketua Masyarakat (Natives Chief), beberapa orang pemimpin Melayu telah dilantik untuk memegang jawatan tersebut. Antaranya ialah Imam Mustapha (1925–1929), Habib Sheikh (1912–1925 ), Sarip Ali (1904–1912), Penghulu Puado (1893–1902).

Manakala selepas Jawatan Ketua Anak Negeri atau Orang Kaya Kaya (OKK) diperkenalkan, pemimpin Melayu yang dipilih sebagai Ketua Anak Negeri ialah OKK Kee Abdullah (1930–1936) dan secara rasmi juga adalah Ketua Masyarakat (Natives Chief). Setelah beliau meninggal dunia, jawatan sebagai pemimpin masyarakat Melayu di Tawau kemudian digantikan oleh anaknya OKK Abu Bakar (1936–1953). Ketika Penghulu Abu Bakar menjadi Ketua Masyarakat atau Ketua Anak Negeri, beliau adalah pemimpin Melayu yang menerima tanggungjawab mencabar kerana ketika beliau menjadi pemimpin Melayu, tentera Jepun telah menguasai pemerintahan di Tawau setelah berjaya menghalau Kerajaan Inggeris 1941. Beliau bukan sahaja terpaksa membantu masyarakat Melayu yang hidup yang dalam kesusahan malahan terpaksa berdepan dan melayan kehendak jeneral-jeneral tentera Jepun. Seorang pemimpin Melayu iaitu Habib Hussein telah dibunuh dengan kejam oleh tentera Jepun di ketika itu. Atas kesedaran untuk menyatukan orang-orang Melayu yang pernah ditindas , dizalimi dan dipandang rendah bangsa bangsa asing , Penghulu Abu Bakar bersama-sama pemimpin pemimpin Melayu pada masa itu seperti Titingan Damsani , Ahmad Ayid , Kassim Kamidin dan Zainal Kerahu telah menubuhkan Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau ( P.K.M.T ) pada tahun 1945 .

Selepas tahun 1953 iaitu setelah Penghulu Abu Bakar meninggal dunia, jawatan Ketua Anak Negeri dikosongkan untuk beberapa ketika kerana penolakkan calon yang dipilih iaitu oleh anak Penghulu Abu Bakar sendiri, Kee Yusof Kee Abu Bakar dengan alasan belum bersedia untuk menjadi pemimpin. Abang sulung OKK Abu Bakar, Kee Suleiman Kee Abdullah juga menolak untuk dicalonkan sebagai Ketua Anak Negeri merangkap Ketua Masyarakat ( Native Chief ) atau pemimpin nombor 1 Masyarakat Melayu di Tawau dengan alasan tidak sanggup memikul tanggungjawab yang berat itu. Akhirnya pada tahun 1954 , Zainal Kerahu, seorang pemimpin yang jujur, berani dan berwibawa tampil dan bersetuju untuk dilantik sebagai Ketua Masyarakat ( yang dikenali sebagai Penghulu ). Seterusnya dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1956, Penghulu Zainal dilantik pula sebagai Ketua Anak Negeri ( District Chief ) yang membawa gelaran Orang Kaya Kaya ataupun OKK Zainal Kerahu. OKK Zainal atau dikenali sebagai Penghulu Zainal adalah pemimpin Melayu yang bertanggungjawab memperjuangan kemerdekaan Tawau bersama Sabah bersama sama Datuk Abu Bakar Titingan melalui Parti Kebangsaan Sabah Bersatu ( USNO ) pada tahun 1963.

Sehingga ini walaupun Sabah telah menjadi sebahagian negeri dalam Malaysia, jawatan Ketua Anak Negeri masih dikekalkan namun bidang kuasanya agak terbatas. Ketua Anak Negeri telah ditempatkan di dalam pentadbiran Malis Perbandaran ataupun Majlis Daerah. Kini, tiada lagi jawatan untuk Ketua Masyarakat ( Native Chief ) atau Penghulu yang diwujudkan untuk orang-orang Melayu di Tawau ketika zaman penjajahan dahulu. Antara Ketua Anak Negeri atau OKK yang dilantik selepas kemerdekaan Sabah dalam Malaysia pada tahun 1963 ialah OKK Salleh Ajak , OKK Said Sailabbi dan OKK Kee Ayub bin Kee Abu Bakar.

Senarai pemegang jawatan[sunting | sunting sumber]

  • Jawatan Penghulu atau Ketua Masyarakat mula diperkenalkan
  1. Penghulu Puado (1893–1902)
  2. Sarip Ali (1904–1912)
  3. Habib Sheikh (1912–1925)
  4. Imam Mustapha (1925–1929)
  • Jawatan Ketua Anak Negeri (OKK) diperkenalkan
  1. OKK Kee Abdullah (1929–1936)
  2. OKK Abu Bakar (1936–1953)
  3. OKK Zainal Kerahu (1956)
  • Selepas era Kemerdekaan Malaysia (jawatan Penghulu atau Ketua Masyarakat dimansuhkan)
  1. OKK Salleh bin Ajak
  2. OKK Said bin Sailabbi
  3. OKK Kee Ayub bin Kee Abu Bakar
  4. OKK Haji Akhmad Haji Monggoh
  5. OKK Haji Kee Jamal Bin Haji Kee Sulaiman

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Ken Gotlet (2010). Tawau The Making of a Tropical Community. Opus Publication.