Ini adalah rencana baik. Klik di sini untuk maklumat lanjut.

KL Gangster

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Bagi siri filem, lihat KL Gangster (siri filem).
KL Gangster
Poster rasmi menunjukkan Malek sebagai antagonis utama di tengah dengan tajuk, kredit dan tarikh keluaran filem di bawah.
Poster keluaran tayangan
Pengarah Syamsul Yusof
Penerbit Yusof Haslam
Lakon layar oleh Syamsul Yusof
Dibintangi oleh
Sinematografi Omar Ismail
Disunting oleh
Syarikat
produksi
Mula ditayangkan
9 Jun 2011
Tempoh tayangan
81 minit
Negara Malaysia
Bahasa Melayu
Perbelanjaan RM 1.51 juta[1]
Pecah panggung RM 11.74 juta[2]

KL Gangster merupakan sebuah filem aksi jenayah Malaysia 2011 arahan Pengarah Terbaik FFM 23, Syamsul Yusof (yang turut membintanginya). Ia dibintangi oleh Aaron Aziz, Ady Putra, Soffi Jikan dan Zizan Razak, ia menceritakan tentang seorang bekas ketua gangster yang baru keluar dari penjara, ingin mengubah kehidupannya, filem ini ditayangkan pada 9 Jun 2011.[3]

KL Gangster dilaporkan sebagai filem buatan Malaysia pertama yang mencecah setakat kutipan RM 10 juta di pawagam-pawagam tempatan,[4] sekaligus mengatasi rekod keseluruhan yang dipegang oleh Ngangkung pada tahun 2010. KL Gangster mempertahankan gelaran filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman selama tiga tahun, sebelum diatasi oleh filem tempatan berbahasa Cina, The Journey, pada awal tahun 2014.[5] Prekuel filem ini, KL Gangster 2 telah ditayangkan pada 3 Oktober 2013 diikuti oleh dua terbitan turunannya Abang Long Fadil pada 29 Mei 2014[6] dan Abang Long Fadil 2 pada 24 Ogos 2017.

Plot[sunting | sunting sumber]

Dua adik-beradik telah terjebak di dalam dunia gangster, si abang iaitu Malek (Aaron Aziz) dan Jai (Ady Putra). Malek telah dipenjarakan selama 5 tahun akibat dikhianati oleh kumpulannya sendiri yang didalangi oleh Shark (Syamsul Yusof) anak tiri kepada King (Ridzuan Hashim), iaitu ketua kongsi gelap yang paling berpengaruh di KL. Bagi Malek setelah dibebaskan beliau ingin mengubah persepsi kehidupan serta menjauhkan diri dari kehidupan hitam sebagai ahli kongsi gelap.

Menjalani rutin kehidupan biasa sambil menjaga ibunya yang dah tua tapi sebagai bekas banduan yang dipandang serong oleh masyarakat adalah agak sukar dia menjalani kehidupan seperti biasa. Beliau sering diganggu oleh gangster-gangster lain yang masih berdendam dengan beliau sehingga King tampil menghulurkan bantuan untuk Malek memulakan kehidupan baru. King mengarahkan orang-orangnya supaya tidak menganggu kawasan Malek dan ini amat tidak disenangi oleh anak tirinya Shark yang ingin menjadi "Raja" di KL ini. Berlainan pula dengan kehidupan adiknya yang masih hanyut dibuai kemewahan hidup di dalam dunia gangster.

Si adik, Jai pula berfikir kemewahan hidup adalah segalanya dan ini hanya boleh dicapai dengan dunia hitam yang diceburinya sekarang. Dia sanggup melakukan apa saja demi wang dan kuasa. Jai antara orang kuat Shark dalam apa saja misi yang Shark lakukan. Jai lah orangnya yang akan tampil ke depan untuk merealisasikan apa jua yang diarahkan Shark. Sayap Shark semakin berkembang. Tapi dengan kemunculan Malek, Shark terasa semakin tergugat. Beliau terasa tercabar. Berbagai cara dilakukan untuk menjatuhkan Malek tetapi sentiasa dipatahkan oleh ayah tirinya King yang sering membela Malek yang dianggap sebagai sahabat.

King kurang senang dengan karenah Shark yang sentiasa mencetuskan perbalahan yang membabitkan kumpulan-kumpulan gelap yang lain. Ini membuatkan hubungan anak beranak ini semakin dingin. Kerana tamakkan kuasa Shark mula berdendam dengan ayahnya beserta Malek. bagi Shark, Maleklah punca segalanya. Dengan itu, Shark mengarahkan Jai untuk menghapuskan abangnya. Disinilah bermula konflik diantara saudara dan kesetiaan keluarga dan kumpulan.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

KL Gangster merupakan filem kelima arahan Syamsul Yusof dengan lakonlayar oleh beliau sendiri. Dengan kos berjumlah RM1.8 juta termasuk promosi, penggambaran dijalankan di lokasi menarik di sekitar Kuala Lumpur dan mengambil masa 35 hari untuk disiapkan.[7]

Rizal Ashreff yang menulis skrip dan berkhidmat sebagai pembantu pengarah mengakui 80 peratus perjalanan cerita tersebut berkaitan kisah benar kehidupan samseng di ibu kota. Dalam temuramah bersama mSTAR Online, beliau berkata: "Cerita ini bukan sahaja memberi pengajaran, malah menyampaikan tentang perkara yang mungkin orang luar tidak tahu tentang gengster. Saya mempunyai beberapa kenalan yang terlibat dengan dunia gengsterisme. Ada yang hidup senang dengan kegiatan yang dilakukan."[8]

Keluaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

Pecah panggung[sunting | sunting sumber]

Pada hari pertama tayangan, filem ini berjaya mengutip RM 1.5 juta.[9] Angka ini mencecah RM6.2 juta[10] selepas empat hari, sekaligus menduduki tangga teratas dalam carta kutipan pawagam Malaysia pada hujung minggu pertamanya (9 hingga 15 Jun 2011), mengatasi filem-filem Barat seperti Super 8, X-Men: First Class dan Kung Fu Panda 2.[11]

Hanya selepas hujung minggu keduanya, dikhabarkan bahawa filem KL Gangster meraih sejumlah RM10.3 juta[4], sekaligus mengatasi rekod RM8.18 juta yang dipegang oleh Ngangkung terbitan Metrowealth Movies Production pada akhir tahun 2010.[12] Sepanjang tempoh tayangannya KL Gangster meraih sebanyak RM11.74 juta keseluruhan, mempertahankan gelarannya sebagai filem Malaysia dengan kutipan tertinggi selama dua tahun setengah, hingga ia diatasi oleh filem Malaysia berbahasa Cina, The Journey, pada Februari 2014.[13][14]

Ulasan kritikal[sunting | sunting sumber]

Portal hiburan gua.com.my menerbitkan ulasan yang memberi filem KL Gangster markah 4/5 bintang, dengan memujinya sebagai filem aksi yang "realistik".[15] Menurut penulis ulasan, Azwan Annuar, "Melatari sebuah filem aksi yang cukup dikoreograf, adalah sebuah jalan cerita yang mudah. Kisah pertelingkahan antara kumpulan-kumpulan kongsi gelap di sekitar Kuala Lumpur, yang merebut kawasan ‘jagaan’ mereka. Ianya boleh dikatakan satu konflik realiti yang wujud dalam golongan masyarakat kota di sini."[15]

Menurut portal tupai.com.my[16] yang menyiarkan ulasannya sebelum filem ditayangkan kepada umum, lakonan yang ditonjolkan oleh setiap pendokong watak dilihat menjadi. Menurut ulasan tersebut, "Keberkesanan watak yang ditonjolkan berjaya mengesankan penonton dan membuatkan cerita ini menarik untuk ditonton. Pujian harus diberi kepada setiap pelakon filem ini terutamanya Zizan Raja Lawak yang memberikan lakonan yang membuatkan penonton tidak kering gusi. Pujian harus diberikan kepada Syamsul Yusof yang berjaya menonjolkan sisi lakonan yang baik dan berjaya menjiwai watak."[16] Mohd Rasdan Ahmad dari Utusan Malaysia menyatakan KL Gangster memerlukan penerangan dengan lebih jelas jika diterbit sebuah lagi “episod awal” filem ini, iaitu kisah terdahulu yang tidak dipaparkan dalam filem ini.[17]

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Di sebalik sambutan hangat oleh para pengunjung pawagam dan pengulas filem, namun filem KL Gangster tidak terlepas daripada bantahan segelintir pihak, iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (PEKIDA), yang dilaporkan mahu menyaman pengarahnya, Syamsul Yusof, kerana watak-watak dalam filem ini menggunakan perkataan seperti "abang long" dan "ayahanda" yang dikatakan ada kena mengena dengan Pekida.[18] Turut terlibat dalam hal ini ialah filem arahan Farid Kamil, Kongsi, sebuah filem yang serupa temanya dengan KL Gangster dan ditayangkan sebulan sebelumnya, atas sebab-sebab yang seumpamanya. PEKIDA meluahkan rasa kecewa dengan Lembaga Penapisan Filem kerana meluluskan filem-filem terbabit, namun pihak LPF telah meminta maaf kepada PEKIDA dan menjemput wakil-wakil PEKIDA untuk menyertai panel lembaga tersebut.[19][20][21]

Muzik[sunting | sunting sumber]

Lagu tema filem ini ialah "Takhta" nyanyian Fadali Mohd Darif atau Filsuf, bekas penyanyi kumpulan Ahli Fiqir duet bersama Erna, dikeluarkan pada 29 Mei 2011 oleh Nova Music.[22]

Format dan senarai runut[sunting | sunting sumber]

  • Muat turun digital
  1. "Takhta" – 2:46

Sejarah keluaran[sunting | sunting sumber]

Negara Tarikh Format Syarikat rakaman
Malaysia 29 Mei 2011 Muat turun digital Nova Music

Anugerah[sunting | sunting sumber]

KL Gangster merangkul enam anugerah Festival Filem Malaysia(FFM) ke-24[23] dan empat Anugerah Blockbuster.[24] Selain itu,filem ini turut dipertandingkan di Thailand, apabila dijemput untuk menyertai Festival Filem Antarabangsa Hua Hin[25] Filem ini turut bertanding bersama beberapa filem "pecah panggung" dari seluruh dunia.[26]

Anugerah Kategori Penerima Hasil
Festival Filem Malaysia ke-24 Pengarah Terbaik Syamsul Yusof Menang
Pelakon Lelaki Terbaik Syamsul Yusof Dicalonkan
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Soffi Jikan Menang
Lakon Layar Terbaik Syamsul Yusof Menang
Cerita Asal Terbaik Syamsul Yusof Dicalonkan
Penyuntingan Terbaik Syamsul Yusof Menang
Pereka Kostum/Busana Terbaik Anita Arshad Dicalonkan
Penataan Bunyi Terbaik Hisyam Jupri & Rizal Ashreff Menang
Penataan Seni Terbaik Faizal Yusof Dicalonkan
Filem Box Office Menang
Anugerah Skrin 2011 Pelakon Lelaki Terbaik Filem Aaron Aziz Dicalonkan
Ady Putra Dicalonkan
Anugerah Blockbuster Astro 2012[27] Anugerah Filem Paling Hebat Syamsul Yusof Menang
Anugerah Tuan Direktor Terhebat Syamsul Yusof Menang
Anugerah Filem Aksi Terhebat Syamsul Yusof Menang
Anugerah Hero Terhebat Aaron Aziz Dicalonkan
Anugerah Khas PFM Syamsul Yusof Menang

Kesinambungan[sunting | sunting sumber]

KL Gangster 2 (2013)[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: KL Gangster 2

Filem prekuel telah diumumkan pada November 2011, menjalani penggambaran pada 1 Disember 2011 di beberapa lokasi menarik seperti sekitar Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Batu Gajah, Perak. Syamsul Yusof, Soffi Jikan, Aaron Aziz dan Ady Putra kembali menjayakan peranan mereka masing-masing. Secara tambahannya, Rosyam Nor telah dipilih memegang watak Tailong, selepas Syamsul gagal mendapatkannya untuk filem pertama.[28] Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim membuat penampilan istimewa dalam filem ini. Grand Brilliance kembali bekerjasama dengan Skop Productions untuk filem ini. KL Gangster 2 telah ditayangkan pada 3 Oktober 2013.[29][30]

Abang Long Fadil (2014)[sunting | sunting sumber]

Sebuah siri filem terbitan turunan telah diterbitkan dengan judul Abang Long Fadil dan diarahkan oleh Syafiq Yusof. Mengekalkan Zizan Razak sebagai Fadil, filem ini turut dibintangi oleh Tauke Raja Lawak, Kamal Adli, Soffi Jikan, Aaron Aziz, Yaasin, Syamsul Yusof dan Harun Salim Bachik.[31] Kesinambungan kedua filem ini telah diumumkan pada November 2015 dan menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, Abang Long Fadil 2 telah ditayangkan pada 24 Ogos 2017.[32]

KL Gangster: Underworld (2018)[sunting | sunting sumber]

Sebuah siri TV terbitan turunan telah diumumkan pada Disember 2017, telah diterbitkan untuk siaran di rangkaian perkhdmatan video atas permintaan, iflix dan bakal diarahkan oleh Syafiq Yusof.[33] Drama bersiri enam episod ini turut diarahkan bersama oleh Faisal Ishak dan dijangka akan bersiaran pada pertengahan 2018.[34][35]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ TAYANGAN FILEM CEREKA TAHUN 2011, Finas. Dicapai pada 21 Jun 2011.
  2. ^ "MALAYSIAN BOX OFFICE 2011". Finas. 
  3. ^ "KL Gangster memang terbaik". Utusan Malaysia. 19 Jun 2011. Dicapai 14 Mac 2015. 
  4. ^ a b RM10.3 juta untuk KL Gangster, Berita Harian Online, 21 Jun 2011. Dicapai pada 21 Jun 2011.
  5. ^ "'The Journey' is Malaysia's No. 1 local film of all-time". The Star. 24 Feb 2014. Dicapai 27 Feb 2014. 
  6. ^ "Filem Abang Long Fadil Mula Tayang 29 Mei, Bukti Zizan Razak Lebih Popular Daripada Aaron Aziz". Oh Bulan!. 7 April 2014. Dicapai 14 Mac 2015. 
  7. ^ Trailer & Sinopsis FIlem KL Gangster Sensasi Selebriti (18 April 2011). Dicapai pada 16 Mac 2014.
  8. ^ Siti Azira Abdul Aziz (26 Mei 2011). 'KL Gangster' Papar 80 Peratus Kisah Benar mSTAR Online. Dicapai pada 16 Mac 2013.
  9. ^ Kutipan KL Gangster 1.5j di hari pertama SuaraBawahTanah (11 Jun 2011). Dicapai pada 11 Jun 2011.
  10. ^ Gangster strikes gold, Cinema Online, 16 Jun 2011. Dicapai pada 21 Jun 2011.
  11. ^ Week of 09 June 2011-15 June 2011, Cinema.com.my. Dicapai pada 21 Jun 2011.
  12. ^ Tayangan filem cereka tahun 2010, Finas. Dicapai pada 21 Jun 2011.
  13. ^ "Malaysian Box Office 2014". Finas. 
  14. ^ Aqif Azizan (27 Jun 2011). "KL Gangster dan RM11 Juta – Formula Kejayaan Syamsul Yusof". Majalah Niaga. Dicapai 16 Mac 2013. 
  15. ^ a b KL Gangster, Filem Aksi Yang Realistik, gua.com.my, 9 Jun 2011. Dicapai pada 21 Jun 2011.
  16. ^ a b Ulasan KL GANGSTER, Tupai.com.my, 31 Mei 2011. Dicapai pada 21 Jun 2011.
  17. ^ Mohd Rasdan Ahmad (14 Ogos 2011). KL Gangster: perlu episod “origin” Utusan Malaysia. Dicapai pada 16 Mac 2013.
  18. ^ Pekida lonjakkan kutipan KL Gangster?, Malaysiakini, 18 Jun 2011. Dicapai pada 21 Jun 2011.
  19. ^ Pekida bantah filem Kongsi dan KL Gangster, Oh!Artis, 13 Jun 2011. Dicapai pada 21 Jun 2011.
  20. ^ Kemalia Othman (10 Jun 2011). "Dedah Perkara Sulit, Pekida Mahu Saman Farid Kamil & Syamsul". mStar Online. Dicapai 14 April 2014. 
  21. ^ Budiey (10 Jun 2011). "PEKIDA Mahu Saman Farid Kamil & Syamsul Yusof". Sensasi Selebriti. Dicapai 14 April 2014. 
  22. ^ Muhammad Syafiq Roos Anuar (24 Jun 2011). Takhta Filsuf dalam KL Gangster Utusan Malaysia. Dicapai pada 12 April 2018.
  23. ^ Keputusan Penuh Pemenang Festival Filem Malaysia Ke 24 (FFM 24) Putrajaya Rotikaya (20 November 2011). Diperoleh pada 30 November 2011.
  24. ^ KL Gangster sapu bersih Anugerah Blockbuster, Syamsul bolot RM20000 Malaysian Digest (20 November 2011). Diperoleh pada 1 Disember 2011.
  25. ^ Huahin International Film Festival 2012 (3 Januari 2012). Dicapai pada 11 April 2012.
  26. ^ KL Gangster bakal bersaing Harian Metro. Dicapai pada 11 April 2012.
  27. ^ Anugerah Blokbuster 2012 Astro Gempak. Diperoleh pada 11 April 2013.
  28. ^ Rosyam bintangi KL Gangster 2
  29. ^ Melati Pusaka (20 October 2013). Shamsul semakin matang dengan KL Gangster 2 Free Malaysia Today. Retrieved on 1 March 2014.
  30. ^ Feride Hikmet Atak (4 Oktober 2013). KL Gangster 2' Filem Termahal Arahan Syamsul Setaraf Hollywood mSTAR Online. Diperoleh pada 14 Mac 2014.
  31. ^ Feride Hikmet Atak (10 Jun 2014). "Abang Long Fadil berpaksikan dunia gengsterisme". mStar Online. Dicapai 9 April 2018. 
  32. ^ Othman, Kemalia (15 November 2015). "Zizan Cari Jalan Paling Baik Jika Ada Tawaran Bersama Kamal Adli". mStar. Dicapai 16 November 2015. 
  33. ^ Ashraff Naseer (6 Disember 2017). "Syafiq Yusof bakal mengarahkan KL Gangster: Underworld untuk iflix". Cinema.com.my. Dicapai 12 Mac 2018. 
  34. ^ "'KL Gangster' series in the works for iflix's 2018 original programme slate". The Malay Mail. 6 Disember 2017. Dicapai 12 Mac 2018. 
  35. ^ "iflix commissions first Malaysian original drama series Kl Gangster: Underworld". Digital News Asia. 6 Disember 2017. Dicapai 12 April 2018. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]