Kajian Timur

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Barangan zaman purba Assyria di Muzium British. Pada kurun ke-19, pameran barang purba muzium-muzium baharu menarik minat terhadap Kajian Timur.

Kajian Timur ([Oriental studies] error: {{lang-xx}}: teks mempunyai penanda italik (bantuan)) ialah bidang kajian akademik yang merangkumi kajian penduduk, masyarakat dan kebudayaan, sejarah, dan arkeologi Timur Dekat dan Timur Jauh. Asal-usul kajian Eropah terhadap wilayah-wilayah ini, yang dikenali sebagai The Orient ("Timur"), terletak pada keagamaan dan, sehingga kebelakangan ini, menjadi dorongan penting kajian. Pembelajaran daripada perubatan dan falsafah Arab, dan terjemahan karya-karya Yunani dalam Bahasa Arab merupakan faktor penting sewaktu Zaman Pertengahan.

Pengetahuan linguistik mendahului kajian yang lebar terhadap kebudayaan dan pensejarahan dan, apabila Eropah mula menceroboh wilayah-wilayah tersebut, pengembangan kajian akademik juga didorong oleh faktor-faktor politik dan ekonomi. Bermula dari lewat kurun ke-18, ilmu kaji purba menjadi penghubung disiplin itu kepada masyarakat am Eropah, apabila khazanah kebudayaan Timur di bawa pulang oleh orang Eropah bagi dibuat pameran muzium-muzium baharu di Eropah. Kajian moden dipengaruhi sikap-sikap dan kepentingan imperialisme. Kadang kala kajian juga didorong oleh minat terhadap Timur oleh penulis dan pemikir Eropah, dan dirakam dalam lukisan; kesemua ini sebagai sebuah tema dalam pensejarahan idea-idea di Barat dan dikenali sebagai "Orientalisme".

Sejarah pengkajian Timur[sunting | sunting sumber]

Pra-Islam[sunting | sunting sumber]

Di dunia Barat, perbezaan antara "Barat dan "Timur" berlaku sewaktu peperangan antara Yunani dan Parsi (Perang Yunani-Parsi) dalam abad kelima SM. Para ahli sejarah Yunani membezakan "Demokrasi Athens" daripada kerajaan beraja Parsi. Perbezaan rasmi berlaku pada zaman pemerintahan maharaja Rom Diocletian. Dalam abad Ketiga Masihi, Empayar Rom dibahagikan antara wilayah Oriens dan Occidens, dan pembahagian emapayar antara wilayah berbahasa Yunani dan Latin. Dunia purba klasik mengenali jiran (dan sering kali) musuh mereka di Parsi, tetapi tidak mengetahui secara mendalam wilayah-wilayah yang terdapat lebih jauh ke timur seperti wilayah China.

Zaman Pertengahan[sunting | sunting sumber]

Hayton dari Corycus menyampaikan laporannya tentang Mongol kepada Paus Pope Clement V, pada tahun 1307 M.

Kenaikan Islam serta penaklukan oleh Islam pada kurun Ketujuh M menimbulkan tentangan dan perasaan perbezaan antara Eropah Zaman Pertengahan yang Kristian dengan dunia Islam. Dunia Islam pada masa itu berkembang dari Arabia di Timur Tengah dan merangkumi wilayah-wilayah dari Asia Tengah, hingga ke Afrika Utara dan Hispania di benua Eropah. Pada Zaman Pertengahan orang Islam dan Yahudi dianggap sebagai "musuh asing" orang Kristian Eropah. Pengetahuan orang Eropah tentang tanah-tanah di Timur amat terbatas dan berpandukan cereka pengembaraan dan legenda-legenda karya penulis seperti Sir John Mandeville dan Prester John.

Pada awalnya kerja-kerja ilmiah tertumpu kepada bidang bahasa dan pemahaman Bahasa Ibrani Bible dan bahasa-bahasa seperti bahasa Syriak buat pemahaman penulisan keagamaan Kristian, tetapi juga merangkumi Bahasa Arab bagi pemahaman Perubatan Islam, falsafah dan Sains Islam. Usaha ini, yang dikenali sebagai Studia Linguarum, berlaku sekali-sekala pada Zaman Pertengahan. Zaman Pembaharuan menyaksikan pengembangan penterjemahan teks bahasa Arab ke dalam bahasa Latin. Tokoh-tokoh seperti Constantine ("Constantine si orang Afrika") yang menterjemahkan 37 buah buku, dan Herman dari Carinthia, seorang penterjemah Al-Qur'an mula muncul. Terjemahan terawal Al-Qur'an ke dalam Latin, Lex Mahumet pseudoprophete ("Hukum Muhammad, nabi palsu") disiapkan dalam tahun 1143 M mahupun ia tidak banyak dgunakan sehinggalah ia diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah lain pada tahun 1543. Gerard dari Cremona dan sarjana lain tinggal di Al-Andalus dan mengambil kesempatan serta memanfaatkan kehadiran banyak perpustakaan serta sarjana di sana untuk menghasilkan karya-karya terjemahan. Kemudian, semasa Reconquista berjalan rancak, perhubungan antara Kristian dan Muslim terbatas dan kerusi pengajian bahasa Ibranni, Arab dan Aramia ditubuhkan di Universiti Oxford dan tiga universiti lain (universiti di Paris, Bologna dan Salamanca).[1]

Terdapat peningkatan pengetahuan (mahupun pengetahuan itu kabur) tentang tamadun-tamadun kompleks di China dan India, yang menghasilkan barangan mewah seperti kain kapas dan sutera dan juga barangan seramik.

Dan walaupun Perang Salib tidak menimbulkan banyak pertukaran pengetahuan ilmiah antara dunai Barat dan Timur Tengah, kemunculan Empayar Mongol membawa implikasi strategik terhadap kerajaan Negeri-negeri Salib dan Eropah sendiri dan membawa kepada perikatan antara negara Faranj (Eropah) dan Mongol. Minat Eropah berkaitan pemetaan Asia, khususnya jalan-jalan laut, meningkat pada Zaman Pengembaraan dan dijalankan di luar universiti.

Zaman Pembaharuan hingga tahun 1800[sunting | sunting sumber]

Matteo Ricci (kiri) dan Xu Guangqi (徐光啟) (kanan) dalam Euclid's Elements (幾何原本) edisi Bahasa Cina yang diterbitkan pada tahun 1607.

Kajian Timur Universiti menjadi lebih teratur pada Zaman Pembaharuan dengan dikuasai kajian linguistik dan keagamaan. Terdapat juga keperluan politik kerana penterjemahan diperlukan bagi perhubungan diplomatik mahupun Barat belum menjalinkan perhubungan dengan wilayah Timur selain wilayah Empayar Uthmaniyyah. Satu karya penting ialah terjemahan Bible Polyglot di Sepanyol pada tahun 1514 M. Kitab Bible ini mengandungi teks lengkap dalam bahasa-bahasa Ibrani dan Aramia selain Yunani dan Latin. Universiti-universiti Cambridge dan Oxford mewujudkan kerusi pengajian bahasa Ibrani dan Arab dalam lingkungan tahun 1540 hingga 1640. Sama juga, Universiti Salamanca mewujudkan kerusi Bahasa Timur dalan tahun 1570-an dan di Perancis pula terdapat sekolah latihan bahasa "Les Jeunes de langues" , bagi tujuan melahirkan para diplomat yang dapat menjadi penterjemah.

Pada abad ke-18, para sarjana Barat memperoleh pengetahuan asas yang agak memuaskan tentang ilmu alam dan sejarah dunia Timur mahupun pengetahuan tentang wilayah-wilayah yang lebih jauh, seperti Jepun dan Tibet, agak terbatas. Pemikir-pemikir Zaman Kesedaran menggambarkan beberapa aspek dunia pagan Timur sebagai lebih baik daripada Barat Kristian: penulisan Montesquieu, Lettres Persanes atau Voltaire mengetengahkan agama Majusi; sejarawan seperti Edward Gibbon pula memuji toleransi agama di Timur Tengah yang lebih baik daripada di Eropah Kristian; dan ramai memuji sikap China yang menitikberatkan ilmu pengetahuan bagi pegawai empayarnya (Mandarin).

Penghujung abad ke-18 menampilkan peningkatan kajian ilmu purba dan juga kajian tentang Mesir purba.

Kurun ke-19[sunting | sunting sumber]

Bangunan lama Asiatic Society di Kolkata, India. Asiatic Society ditubuhkan oleh seorang ahli filologi, William Jones, pada tahun 1784.

Dengan pertambahan pengetahuan tentang Asia di kalangan pakar-pakar Barat, peningkatan penglibatan politik dan sosial, dan kesedaran bahawa terdapat pertalian kuat antara bahasa-bahasa India dan Eropah (keluarga bahasa Indo-Eropah), timbullah pertalian intelektual antara budaya-budaya Barat dan Timur. Namun pemikir Barat sudah mengambil pendirian bahawa budaya Timur "lemah" berbanding budaya atau tamadun Barat. Ahli ekonomi liberal, James Mill mencemuh tamadun Timur sebagai kaku dan penuh rasuah. Karl Marx, seorang Yahudi, justeru berbangsa orang "Timur", memerikan cara pengeluaran Asia sebagai kaku dan tidak bertukar, disebabkan kesempitan ekonomi-ekonomi desa dan peranan negara dalam pengeluaran. Pemerintahan kuku besi Timur, ("Oriental despotism") sering dikatakan sebagai faktor utama kemunduran masyarakat-masyarakat Timur.

Kajian Islam masih kekal sebagai tumpuan utama Kajian Timur pada zaman ini kerana sebilangan besar penduduk wilayah yang dipangil "Timur" beragama Islam. Berbanding Zaman Pertengahan dan zaman-zaman terdahulu, minat terhadap kajian Islam kini juga didorong oleh faktor-faktor ekonomi dan perubahan pada keadaan politik dan intelektual pada kurun ke-19.[2]

Sepanjang abad ini, arkeologi Barat berkembang di Timur Tengah dan Asia. Muzium-muzium kebangsaan menyediakan runag untuk mempamerkan bahan-bahan yang diketemu yang banyaknya di bawa "pulang" ke Eropah untuk dipamerkan. Kegiatan sedemkian menakkan profil para Orientalis.

Kajian-kajian serius pertama berkaitan agama Buddha dan Hindu bermula dengan Eugene Burnouf dan Max Müller dan bersama-sama kajian Islam, Kajian Timur menjadi disiplin akademik di kebanyakan universiti di Eropah, terutamanya di negara-negara yang berniat imperialis.

Namun, kendatipun kajian ilmiah berkembang, sikap-sikap cauvinis dan rasis juga muncul. Stereotaip seperti orang Timur yang "sukar dibaca" dan "licik" mula digunakan di Eropah. Kesarjanaan juga sering kala berkait dengan prasangka dan tanggapan rasis dan agama. [3]


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Hebrew to Latin, Latin to Hebrew: the mirroring of two cultures 2006 Page 75 Giulio Busi, Freie Universität Berlin. Institut für Judaistik - 2006 "According to the famous decision of the council of Vienne (1311-1312), Oxford was chosen as one of four universities (with Paris, Bologna and Salamanca) where Hebrew, Arabic, Greek and Aramaic were to be taught"
  2. ^ Zachary Lockman, Contending Visions of the Middle East, Cambridge: Cambridge University Press, 2004:44
  3. ^ J Go, "'Racism' and Colonialism: Meanings of Difference and Ruling Practice in America's Pacific Empire" in Qualitative Sociology' 27.1 (March 2004).