Kala Malam Bulan Mengambang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kala Malam Bulan Mengambang
Poster keluaran tayangan
PengarahMamat Khalid
PenulisMamat Khalid
Lakon layarMamat Khalid
Dihasilkan olehGayatri Su-Lin Pillai (eksekutif)
Dibintangi
SinematografiRaja Mukhriz
Disunting olehAffandi Jamaluddin
Muzik oleh
  • Ahmad Kamal Baharudin
  • Mamat Khalid
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehAstro Shaw
Tarikh tayangan
  • 10 Januari 2008 (2008-01-10) (Malaysia)
Masa tayangan
110 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM1.4 juta
Pecah panggungRM554,000

Kala Malam Bulan Mengambang (juga disingkat sebagai KMBM atau dipendekkan sebagai Kala Malam) merupakan sebuah filem komedi neo-noir Malaysia 2008 arahan sulung Mamat Khalid yang turut berkhidmat sebagai penulis skrip. Dibintangi oleh Rosyam Nor, Umie Aida dan Farid Kamil, filem ini mengisahkan mengenai Saleh, seorang wartawan yang diberhentikan kerja oleh syarikat penerbitannya. Namun, untuk membuktikan bahawa dia masih berbisa, Saleh telah pergi ke sebuah kampung untuk menyelesaikan misteri kehilangan pemuda-pemuda di kampung terbabit.[1][2] Avaa Vanja, Corinne Adrienne, Bront Palarae, Adam Corrie Lee dan Sofi Jikan melakonkan watak pembantu.

Idea untuk filem ini hadir apabila Mamat menyatakan keinginannya untuk menghasilkan sebuah filem dalam bentuk hitam putih sebaik sahaja filem Man Laksa arahannya ditayangkan kepada umum.[3] Diterbitkan dengan belanjawan sebanyak RM1.4 juta, KMBM menjadi filem pertama seumpamanya sejak penerbitan terakhir filem hitam putih pada sekitar 1970-an.[4][5] Ia diterbitkan khas sebagai menghargai pelakon-pelakon generasi terdahulu dan merupakan filem cereka pertama dalam era teknologi maklumat yang diterbitkan dalam gaya noir atau hitam putih bagi menyesuaikan kronologi penceritaan filem ini yang berlatarkan tahun 1950-an dan menekankan penceritaan berkaitan jenayah, gangsterisme, detektif, misteri dan komedi.[6]

Penggambaran dijalankan di Kuala Lumpur dan Tronoh, Perak dari Mac sehingga Mei 2007. Filem ini ditayangkan pada 10 Januari 2008 oleh Tayangan Unggul dan menerima pelbagai ulasan positif serta telah mewujudkan pelbagai reaksi dan perdebatan.[7][8][9] Ia telah memenangi 7 anugerah di Festival Filem Malaysia ke-21 dan 3 anugerah di Anugerah Skrin 2008.[10]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Mengisahkan tentang Saleh, seorang wartawan yang berupaya merungkai misteri di pekan Senduduk Rimbun. Setiap purnama pasti sekurang-kurangnya seorang jejaka akan hilang tanpa khabar berita. Misteri bermula apabila tayar kereta Saleh ditusuk sesuatu yang menyerupai rangka tangan sedang memegang ukiran lama berbentuk keris. Tayar kereta yang rosak menyebabkan Saleh terpaksa bermalam di Senduduk Rimbun. Saleh menghantar keretanya di bengkel milik Jongkidin. Ketika di situ, Saleh terpandang seorang gadis jelita.

Saleh kemudiannya berjalan-jalan mengelilingi pekan. Saleh mendapati penduduk pekan itu seakan-akan menghalaunya dari situ. Semakin lama Saleh di situ, semakin banyak benda misteri berlaku. Ada orang tangan merah! Ada pontianak! Naluri kewartawanannya menyebabkan Saleh mahu menyelesaikan misteri tersebut. Saleh ke Jubilee Park Cabaret mencari maklumat. Di sana, dia bertemu dengan Doreen Chua (tauke Jubilee Park Cabaret) dan Miss Rogayah (penyanyi kelab malam). Melalui Miss Rogayah, Saleh mengetahui bahawa kehilangan jejaka-jejaka tersebut angkara pontianak. Tetapi masih belum berpuas hati.

Kereta Saleh sudah siap dibaiki. Jongkidin mahu Saleh mengambil kunci keretanya di sebuah padang lumba kuda. Malangnya ketika di padang lumba kuda, Saleh dipukul dan diletakkan ke dalam keretapi untuk dihantar pulang. Setelah sedar, Saleh nekad dan kembali semula ke Senduduk Rimbun. Saleh mencari Jongkidin, tetapi tidak ditemui. Yang ada hanyalah gadis jelita tempohari, iaitu Cik Putih. Cik Putih memberitahu Saleh, Jongkidin adalah abang kandungnya.

Saleh sekali lagi pergi ke Jubilee Park Cabaret. Kali ini dia mendapat maklumat baru. Ramai orang hilang berdekatan dengan sebuah banglo lama di pekan itu. Saleh kemudiannya beberapa kali ke banglo itu untuk menyiasat. Malang sekali lagi bagi Saleh apabila beliau ditawan oleh komunis, iaitu orang tangan merah. Ketika dalam tawanan, Saleh cuba dipukau untuk menyertai Parti Komunis tersebut bersama dengan beberapa orang lelaki, antaranya Jongkidin dan Joki Ismadi. Tetapi kegiatan itu dapat dihidu dan diserbu oleh pihak berkuasa. Rupa-rupanya orang-orang yang Saleh temui di Jubilee Park Cabaret adalah agen-agen perisikan Kerajaan. Tujuan mereka adalah untuk menghapuskan Parti Komunis tersebut.

Tetapi misteri Senduduk Rimbun belum selesai. Muncul seorang Profesor Sejarah (Dr. Rusdi) mahukan rangka keris yang ada pada Saleh. Tetapi keris itu telah dicuri oleh satu lembaga. Mereka berdua ke banglo lama itu untuk merungkai satu lagi misteri. Dr. Rusdi menceritakan yang keris itu berkuasa untuk mengembalikan kuasa-kuasa alam jahat yang sekian lama terkunci. Jongkidin dan Cik Putih adalah keturunan kuasa jahat tersebut. Mereka mahu mengembalikan kuasa mereka. Tetapi masalahnya sekarang, Cik Putih sudah jatuh cinta dengan Saleh. Cik Putih perlu membuat pilihan samada menyertai abangnya menjadi hantu buat selama-lamanya atau mengikut Saleh, cinta hatinya. Waktu sudah terlambat kerana Cik Putih disinari cahaya bulan mengambang dan perlahan-lahan bertukar menjadi jembalang. Namun cinta itu buta, apabila Saleh masih sudi menerima Cik Putih, biarpun rupanya hodoh sebagai jembalang.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Pembangunan[sunting | sunting sumber]

Kala Malam Bulan Mengambang menjadi filem pertama seumpamanya dalam tempoh 3 dekad sejak filem Jantina (1974) arahan Naz Achnas terbitan Merdeka Studio dan dibintangi oleh Ed Osmera, Noran Nordin dan Noorizan Mohd. Noor.[15][16][17] Ia diarahkan oleh Mamat Khalid yang sebelum ini mengarahkan filem Lang Buana (2003), Rock (2005) dan Man Laksa (2006). Beliau turut berkhidmat sebagai penulis skrip. Untuk filem ini, beliau menggunakan latar belakang tahun 1950-an yang mana ia disampaikan dalam bentuk Neo-Noir bagi menyesuaikan penceritaannya.[18][19][20][17] Menurut Mamat, ia sengaja dihasilkan dalam format warna hitam putih dengan tujuan bagi menghargai para penggiat filem veteran dari zaman Studio Jalan Ampas hingga Studio Merdeka.[21] Beliau berkata:

"Memang ini merupakan sebuah filem yang mencabar bagi saya. Filem ini umpama kembali kepada asas. Kalau orang lain berlumba-lumba buat filem yang pelbagai teknik dan sebagainya, saya memilih untuk membuat filem hitam putih. Sebab utamanya, saya sukakan cabaran. Filem warna warni saya dah buat. Jadi filem hitam putih ini memberi saya peluang untuk belajar lagi teknik pembikinan filem ketika zaman P. Ramlee. Saya mahu menarik minat penonton menyaksikan filem ini. Saya ingin membawa mereka ke pawagam, menonton sebuah filem era 50-an yang dibikin pada zaman sekarang,".[18]

Mamat, yang turut mencipta skor muzik bersama Ahmad Kamal Baharudin,[17] meluahkan rasa terharu atas kepercayaan yang diberikan oleh Tayangan Unggul kepadanya untuk mengarahkan filem hitam putih. Beliau seterusnya menyebut dalam situasi pasaran semasa, penerbit filem sukar memberi peluang kepada pengarah untuk mencuba dan mencuba pelbagai perkara dalam penerbitan filem.[4][22] Beliau berkata, set penggambaran yang banyak dilakukan di studio yang dibina sendiri termasuk kawasan gua dan gerabak kereta api juga antara perbezaan yang ditampilkan dalam KMBM berbanding filem terdahulu. Menurutnya, pembikinan filem ini lebih teliti berbanding filem berwarna dan diterbitkan khas untuk Hani Mohsin yang meninggal dunia pada Julai 2006.[18][23][24] Mamat telah berbincang dengan Mohsin untuk menghasilkan sebuah filem ala-ala klasik yang sesuai untuk "beliau (Mohsin) membuat kemunculan semula", namun watak utamanya Saleh, dicipta khas untuk Mohsin sebelum tempatnya digantikan oleh Rosyam Nor. Mamat mengakui, beliau mendapat judul filem itu daripada kiriman SMS terakhir Mohsin.[18]

Pemilihan pelakon[sunting | sunting sumber]

Rosyam memegang watak Saleh, seorang wartawan. Beliau berkata, pertama kali menerima skrip filem ini, beliau menyangka watak Saleh yang diberikan kepadanya hanya satu watak yang mudah. Rosyam berkata: "Mula-mula saya fikir, biasalah watak komedi. Dulu pun saya pernah bawa watak yang macam itu. Tapi rupanya Mamat Khalid mahu saya bawa watak yang lain daripada biasa. Dia betul-betul nak saya lakonkan seperti pelakon terdahulu. Dari segi pertuturan dialog taklah susah sangat tapi cara penyampaian itu lebih sukar,". Rosyam mengakui, telah memberikan yang terbaik untuk menjayakan watak Saleh sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada Mohsin yang sepatutnya melakonkan watak itu.[18] Biarpun Hani Mohsin ialah pilihan pertamanya, Mamat mengakui kagum dengan persembahan Rosyam dalam filem ini dan berkata: "Saya tidak boleh membandingkan antara mereka berdua [Hani dan Rosyam]. Hani adalah pilihan pertama saya tetapi saya rasa kedua-duanya akan membawa tafsiran sendiri terhadap watak itu. Saya lebih berpuas hati dengan persembahan Rosyam. Saya kagum (dengannya),".[25] Barisan pelakon lain termasuk Avaa Vanja, Corinne Adrienne, Bront Palarae dan Sofi Jikan. Pelakon veteran, Kuswadinata membuat penampilan kameo dengan melakonkan watak Dr. Rushdi.[18][26]

Penggambaran[sunting | sunting sumber]

Penggambaran dijalankan di Kuala Lumpur dan Tronoh, Perak dari Mac sehingga Mei 2007 dengan kos pembikinan diperuntukkan sebanyak RM1.4 juta.[18] Semasa kru filem ini sedang menjalani penggambaran di sebuah banglo lama di Klang, salah seorang pelakon filem ini, Adam Corrie Lee telah diganggu oleh makhluk halus.[27]

Tema dan gaya[sunting | sunting sumber]

Budiey, menulis untuk portal Sensasi Selebriti memerhatikan bahawa filem ini diterbitkan dengan "berpandukan gaya noir yang cukup popular di Eropah" dari sekitar 1940-an sehingga penghujung tahun 50-an. Beliau menyatakan bahawa Mamat Khalid menghasilkan filem ini "hanya berdasarkan teori tanpa boleh merujuk kepada contoh filem noir Melayu, kerana tidak terdapat filem noir seumpama itu sebelum ini".[28] Beliau juga berpendapat filem-filem noir seperti karya Mamat pada kebiasaannya menggunakan plot jenayah atau pembunuhan sebagai tema filem tersebut. Selain dari itu, watak filem yang dihasilkan dalam bentuk noir melibatkan hero itu sendiri di mana, biasanya hero mempunyai bisikan hati serta jalan cerita bergerak di sekitar hero tersebut.[28]

Norman Yusoff dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), dalam eseinya mengenai filem ini menulis bahawa Kala Malam Bulan Mengambang bersifat parodi dan sindiran.[7] Sebagai parodi, sasaran filem ini adalah mementingkan unsur formal dan estetik. Mamat dengan cekap menjalinkan pelbagai genre filem, dari noir Hollywood sehinggalah seram Melayu lama.[29] Sebagai satira, filem ini adalah komedi dengan kelebihan, dengan sasarannya adalah sosial dan politik dalam beberapa cara. Dalam naratifnya, filem ini menyindir masyarakat dan politik Malaysia kontemporari secara halus dan asas, sekali gus memberikan penonton subteks yang menarik.[30]

Keluaran[sunting | sunting sumber]

Tayangan[sunting | sunting sumber]

Majlis pratonton media filem ini telah diadakan pada 27 Disember 2007 di Golden Screen Cinemas, Mid Valley Megamall. Majlis bermula seawal 9.30 pagi itu dihadiri tetamu jemputan terdiri daripada penggiat filem tempatan, wartawan media cetak dan elektronik serta tenaga kerja penerbitan filem.[4][17] Filem ini dikeluarkan di pawagam seluruh Malaysia pada 10 Januari 2008.[4][31][32]

Media rumah[sunting | sunting sumber]

Ia dikeluarkan dalam bentuk VCD dan DVD oleh Golden Satellite Marketing Sdn. Bhd. pada Februari 2008.[33]

Sambutan[sunting | sunting sumber]

Kutipan[sunting | sunting sumber]

Kala Malam Bulan Mengambang menjadi kegagalan komersial apabila hanya memperoleh kutipan pecah panggung sebanyak RM554,000.[34][35]

Ulasan kritis[sunting | sunting sumber]

Filem ini menerima ulasan positif daripada pengkritik filem. Budiey dari portal Sensasi Selebriti memuji filem ini dan menulis: "Kala Malam Bulan Mengambang memang patut ditonton terutamanya seisi keluarga. Jika sebelum ini, mereka yang berumur awal empat puluhan selalu menonton wayang gambar hitam putih ketika filem melayu belum diwarnakan lagi, maka, inilah masanya untuk membawa golongan muda merasai apa yang dirasai oleh mereka".[28] Shakilawati Abd Rahman, menulis untuk Metro Ahad berpendapat bahawa usaha Mamat "mengetengahkan filem hitam putih dan memilih bentuk penyampaian jenis Neo-Noir untuk disesuaikan dengan penceritaan yang berlatarbelakangkan tahun 50-an wajar dipuji" dan juga berpandangan bahawa "ini [ialah] hasil kerja Mamat Khalid terbaik (setakat ini)".[19] Wan Asrudi Wan Hasan dari Harian Metro pula berpendapat bahawa KMBM mempunyai "dialog ringan, komedi tepati selera penonton".[36] Suzan Ahmad dari Berita Minggu menyatakan kepujiannya terhadap filem ini sambil menulis bahawa ia merupakan sebuah karya yang "lucu", namun "ada falsafah".[37] Siti Ruqaiyah Hashim dari Berita Minggu memuji filem ini dan menulis bahawa ia merupakan sebuah filem "komedi cerdik".[38] Menulis untuk Utusan Malaysia, A. Wahab Hamzah dalam ulasannya untuk filem ini, memetik pelabelan pengarah filem itu sebagai 'neo-noir', menilai filem itu dengan meneliti unsur-unsur 'noir'nya berdasarkan kanun noir asas seperti yang dicontohkan oleh noir Hollywood pada dekad 1940-an dan 1950-an.[39] S. B. Toh dari The Star Online, dalam ulasannya mengenai Kala Malam Bulan Mengambang, menyatakan bahawa "Kala Malam sememangnya, seperti yang dikatakan pengarah, ialah satu penghormatan kepada pembikinan filem era 1950-an, ia bukan neo-noir seperti yang beliau katakan" semasa menilai filem itu dalam rangka kanonik neo-noir".[40] Caroline Chia, menulis untuk Cinema Online memuji filem ini kerana pengarahnya [Mamat] kerana "cuba mengembalikan gaya hitam putih filem lama" dan "memberikan penonton rasa nostalgia, mengingatkan mereka kepada P. Ramlee, Siput Sarawak dan Saloma.[41]

Komen retrospektif[sunting | sunting sumber]

Derek Elley dalam ulasan ringkasnya mengenai filem ini untuk Variety, menyebut filem itu sebagai "spoof noir-cum-horror pic".[42] Paolo Bertolin dari portal Far East Film menulis satu lagi ulasan ringkas mengenai filem itu, menggambarkannya sebagai "kemewahan yang dikurniakan secara koheren kepada adunan yang mempesonakan bagi genre filem klasik yang membawakan gaya nipis – dan tidak masuk akal secara terbuka – premis filem noir berunsurkan muzik, seram dan melodrama".[43] Dalam ulasan retrospektif mengenai filem ini, Screen Anarchy menulis: "Kala Malam adalah usaha yang sangat berani yang menambahkan kepelbagaian dan imaginasi yang sangat diperlukan dalam komedi arus perdana Malaysia, yang telah lama terperangkap dalam komedi biasa dan formula. Mamat Khalid sememangnya jauh lebih inventif dan berpandangan ke hadapan berbanding kebanyakan pengarah Malaysia".[44]

Reaksi dan perdebatan[sunting | sunting sumber]

Kala Malam Bulan Mengambang telah mewujudkan pelbagai reaksi dan perdebatan terutama selepas memenangi anugerah utama dam telah dibicarakan dalam beberapa siri ceramah sejak ditayangkan kepada umum.[34] Ini termasuk seminar Apresiasi Filem anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada Januari 2008; ceramah bersama pengarah Mamat Khalid mengenai filem anjuran ASWARA pada Ogos 2008; ceramah karya Mamat, Seminar Menjejak Pemikiran Mamat Khalid, anjuran FINAS dan UiTM yang diadakan pada September 2008;[45] dan Apresiasi Filem Antarabangsa 2008 (bersempena dengan Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur), anjuran FINAS, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Universiti Malaya (UM) yang diadakan pada November 2008.[46]

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Kala Malam Bulan Mengambang telah memenangi 7 anugerah, termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik daripada 12 pencalonan yang diterima di Festival Filem Malaysia ke-21 yang berlangsung pada 9 Ogos 2008.[47][48][49][50][51] Filem ini juga telah memenangi 3 anugerah daripada 4 pencalonan di Anugerah Skrin 2008 yang berlangsung pada 7 November 2008.[52]

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
2008 Festival Filem Malaysia ke-21 Filem Terbaik Keseluruhan Menang
Pengarah Terbaik Mamat Khalid Menang
Pelakon Lelaki Terbaik Rosyam Nor Menang
Lakon Layar Terbaik Mamat Khalid Menang
Cerita Asal Terbaik Mamat Khalid Menang
Penyuntingan Terbaik Affandi Jamaludin Tercalon
Skor Muzik Asal Terbaik Ahmad Kamal Baharudin Tercalon
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Farid Kamil Tercalon
Penataan Seni Terbaik Nazrul Asyraf Menang
Penataan Bunyi Terbaik Azman Abu Hassan Tercalon
Pereka Kostum/Busana Terbaik Nasirah Ramlan Menang
Pelakon Harapan Wanita Terbaik Avaa Vanja Tercalon
Anugerah Skrin 2008 Filem Terbaik Keseluruhan Menang
Pengarah Terbaik Filem Mamat Khalid Menang
Pelakon Lelaki Terbaik Filem Rosyam Nor Menang
Lakon Layar Terbaik Filem Mamat Khalid Tercalon

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Budiey (7 Januari 2008). "Sinopsis Kala Malam Bulan Mengambang Arahan Mamat Khalid". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 5 April 2010.
  2. ^ Akmal Abdullah (10 Januari 2008). "KMBM karya masterpiece Mamat Khalid". Berita Harian. Dicapai pada 6 April 2019.
  3. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (11 Januari 2008). "Hitam putih Mamat menjadi". Berita Harian. Dicapai pada 6 April 2019.
  4. ^ a b c d Azharul Azmir Kamarulzaman (28 Disember 2007). "Kala Malam Bulan Mengambang". Sinema Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-05-19. Dicapai pada 2008-01-01.
  5. ^ Nur Aqidah Azizi (17 Mei 2007). "Return of local noir" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 5 April 2019.
  6. ^ Zainuri Misfar (21 Februari 2007). "Filem Kala Malam Bulan Mengambang hitam putih". Berita Harian. Dicapai pada 5 April 2019.
  7. ^ a b Norman 2008, m/s. 71.
  8. ^ "KMBM sarat unsur pengajaran". Berita Harian. 12 Januari 2008. Dicapai pada 6 April 2019.
  9. ^ Adly Syairi Ramly (12 Januari 2008). "Noir order" (dalam bahasa Inggeris). Weekend Mail. Dicapai pada 6 April 2019.
  10. ^ "Kala Malam Bulan Mengambang wins five awards" (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. 10 Ogos 2008. Dicapai pada 29 Mei 2018.
  11. ^ a b Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamad (25 Februari 2007). "Mamat temukan Umie, Rosyam". Berita Minggu. Dicapai pada 5 April 2019.
  12. ^ a b c d e f Budiey (8 Januari 2008). "Watak & Sinopsis Filem KALA MALAM BULAN MENGAMBANG". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 8 April 2010.
  13. ^ a b Firdaus Sahat (30 Disember 2007). "Peluang Avaa, Corin". Metro Ahad. Dicapai pada 6 April 2019.
  14. ^ a b Zul Husni Abdul Hamid (2 Januari 2008). "Demi tanah air tercinta". Berita Harian. Dicapai pada 6 April 2019.
  15. ^ Zul Husni Abdul Hamid (19 Jun 2007). "KMBM penghargaan untuk Hani Mohsin". Berita Harian. Dicapai pada 6 April 2019.
  16. ^ Nur Aqidah Azizi (10 Januari 2008). "Noir babes" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 6 April 2019.
  17. ^ a b c d Shazryn Mohd Faizal (3 Januari 2008). "Kala Malam Bulan Mengambang - filem hitam putih Mamat Khalid". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Jun 2008. Dicapai pada 8 April 2015.
  18. ^ a b c d e f g Nor Fadzilah Baharudin (13 Mei 2007). "Kala Malam Bulan Mengambang khas buat arwah Hani Mohsin". Utusan Malaysia. Dicapai pada 5 April 2010.
  19. ^ a b Shakilawati Abdul Rahman (30 Disember 2007). "Neo-noir gaya Mamat". Metro Ahad. Dicapai pada 6 April 2019.
  20. ^ Sharifah Arfah (10 Januari 2008). "Crime, lust and the 1950s" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 6 April 2019.
  21. ^ Nur Ainne Johar (17 Januari 2008). "Doing P. Ramlee proud" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 6 April 2019.
  22. ^ Abdul Aziz Itar (12 Ogos 2005). "Mamat Khalid - Arah filem hitam putih". Utusan Malaysia. Dicapai pada 8 April 2015.
  23. ^ Nor Akmar Samudin (12 Mei 2007). "Dedikasi buat Mohsin". Harian Metro. Dicapai pada 5 April 2019.
  24. ^ "Tribute untuk Hani Mohsin". Harian Metro. 31 Disember 2007. Dicapai pada 6 April 2019.
  25. ^ Cammy Zulkifli (27 Disember 2007). ""KMBM" is homage to the days of yore" (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 7 April 2010.
  26. ^ Azhariah Kamin (15 Januari 2008). "Bad moon rising". E-Central (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. Dicapai pada 8 April 2015.
  27. ^ "Ulasan filem: Kala Malam Bulan Mengambang". Gua.com.my. 3 April 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 April 2008. Dicapai pada 5 April 2010.
  28. ^ a b c Budiey (10 Januari 2008). "Ulasan Filem KALA MALAM BULAN MENGAMBANG". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 5 April 2010.
  29. ^ Norman 2008, m/s. 77.
  30. ^ Norman 2008, m/s. 81.
  31. ^ Farihad Shalla Mahmud (10 Januari 2008). "Debaran Mamat bermula". Berita Harian. Dicapai pada 6 April 2019.
  32. ^ Rozdan Mazalan (26 Februari 2008). "Mamat tak suka gelaran pengarah 'merapu'". Berita Harian. Dicapai pada 6 April 2019.
  33. ^ "Kala Malam Bulan Mengambang". WorldCat. Dicapai pada 8 April 2015.
  34. ^ a b Norman 2008, m/s. 90.
  35. ^ "Kutipan Rendah Kerana Hollywood". Utusan Malaysia. 6 Jun 2008. Dicapai pada 21 Disember 2009.
  36. ^ Wan Asrudi Wan Hasan (31 Disember 2007). "Dialog ringan, komedi tepati selera penonton". Harian Metro. Dicapai pada 6 April 2019.
  37. ^ Suzan Ahmad (6 Januari 2008). "Lucu tapi filem ada falsafah". Berita Minggu. Dicapai pada 6 April 2019.
  38. ^ Siti Ruqaiyah Hashim (13 Januari 2008). "Kala Malam Bulan Mengambang komedi cerdik". Berita Minggu. Dicapai pada 6 April 2019.
  39. ^ A. Wahab Hamzah (15 Januari 2008). "Kala Malam Bulan Mengambang menggoda dan berbahaya". Utusan Malaysia. Dicapai pada 7 April 2015.
  40. ^ S.B. Toh (19 Januari 2008). "Noir-stalgia". E-Central (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. Dicapai pada 7 April 2015.
  41. ^ Caroline Chia (23 September 2008). "Movie review: Kala Malam Bulan Mengambang" (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 7 April 2010.
  42. ^ "Movie review: Kala Malam Bulan Mengambang" (dalam bahasa Inggeris). Variety. 25 Ogos 2008. Dicapai pada 7 April 2019.
  43. ^ Paolo Bertolin (30 September 2008). "Review of the film Kala Malam Bulan Mengambang" (dalam bahasa Inggeris). Far East Film. Dicapai pada 7 April 2015.
  44. ^ "Review Of KALA MALAM BULAN MENGAMBANG" (dalam bahasa Inggeris). Screen Anarchy. 13 Januari 2008. Dicapai pada 8 April 2015.
  45. ^ "Seminar kupas pemikiran filem Mamat Khalid". Berita Harian. 8 September 2008. Dicapai pada 8 April 2019.
  46. ^ Farihad Shalla Mahmud (25 November 2008). "Apresiasi filem antarabangsa di UM". Berita Harian. Dicapai pada 8 April 2019.
  47. ^ Elrafaei Sapi (11 Ogos 2008). "Tuah filem hitam putih". Harian Metro. Dicapai pada 8 April 2019.
  48. ^ Norman Yusoff (12 Ogos 2008). "A well-deserved winner" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 8 April 2019.
  49. ^ Sharifah Arfah (10 Ogos 2008). "Mamat's film parody bags 5 awards" (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. Dicapai pada 8 April 2019.
  50. ^ Hardi Effendi Yaakob; Azrina Ahzan (10 Ogos 2008). "Mamat Khalid pengarah terbaik". Berita Minggu. Dicapai pada 8 April 2019.
  51. ^ Michelle Tan (13 Ogos 2008). ""Kala Malam" triumphs at FFM21" (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 8 April 2019.
  52. ^ Serimah Mohd Sallehuddin; Zul Husni Abdul Hamid (18 November 2008). "Malam bersejarah Mamat". Berita Harian. Dicapai pada 8 April 2019.

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]