Kampong Ayer

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Kampong Ayer (Brunei))
Kampong Ayer.
Bot berdekatan Kg Ayer.

Kampong Ayer adalah sebuah perkampungan air yang didiami penduduk. Kampung ini terletak di Bandar Seri Begawan, Brunei. Ia merupakan sebuah perkampungan air terbesar di Asia Tenggara.

Gambaran am dan sejarah[sunting | sunting sumber]

Gagasan 42 kampung yang dibina di atas kaki bajang dan laluan pejalan kaki dari kayu diduduki lebih kurang 30,000 orang penduduk dan merupakan kampung air terbesar di dalam dunia. Ia juga digelar "Venice Timur". [1]

Sekolah Menengah Awang Semaun

Kampung air sebenarnya terdiri daripada perkampungan kecil yang dihubungkan oleh lebih dari 29,140 meter jambatan kaki, dan merangkumi 4,200 binaan termasuk rumah kediaman, masjid, restoran, kedai, sekolah dan sebuah hospital. Laluan pejalan kaki yang panjang tuntas 36 kilometer menghubungkan bangunan-bangunan kampung ini. Pengangkutan utama di kampung ini ialah sampan yang kebiasaannya dilengkapi dengan enjin bot; teksi air persendirian, ataupun swasta, yang kebanyakannya menyerupai bot laju panjang, menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang pantas. Dari jauh, kampung ini kelihatan seakan-akan kampung setinggan tetapi sebenarnya penduduk kampung ini menikmati kemudahan moden seperti bekalan elektrik, penyaman udara, televisyen satelit, Internet, dan sistem saliran. Beberapa orang kampung juga membela ayam dan bercucuk tanam dalam pasu. Rumah-rumah kediaman daerah ini mempunyai ciri seni bina unik — bahagian dalam rumah-rumah kayu penuh hiasan yang rapi.

Kampong Ayer telah diduduki selama 1,300 tahun. Antonio Pigafetta menggelarnya "Venice Timur" apabila armada Ferdinand Magellan singgah di kawasan itu pada tahun 1521.[2] Dari segi budaya Brunei, daerah ini merupakan daerah yang penting yang mengekalkan asal-usul petempatan tebing sungai penduduknya. Mengikut Profesor Abdul Aziz daripada Universiti Brunei Darussalam, Kampong Ayer merupakan petempatan air yang paling luas dan termasyhur di Asia Tenggara. "Dari segi sejarah, ia merupakan jati diri negara Brunei dan juga sebuah pusat perdagangan terpenting di Borneo."[3]

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Kampung-kampung dalam Kampong Ayer adalah Mukim Sungai Kedayan termasuk Bukit Salat, Sumbiling Lama, Sungai Kedayan 'A', Sungai Kedayan 'B', Ujong Tanjong dan Kuala Peminyak; Mukim Tamoi termasuk Tamoi Ujong, Tamoi Tengah, Pengiran Kerma Indera Lama, Pengiran Tajuddin Hitam, Ujong Bukit/Limbongan, Pengiran Bendahara Lama; Mukim Burong Pingai Ayer termasuk Burong Pingai Ayer, Lurong Dalam, Pandai Besi 'A', Pandai Besi 'B', Sungai Pandan 'A', Sungai Pandan 'B', dan Pengiran Setia Negara, Pekan Lama; Mukim Peramu termasuk Peramu, Pekilong Muara, Bakut Pengiran Siraja Muda ' A', Bakut Pengiran Siraja Muda 'B', Bakut Berumput dan Lurong Sikuna; Mukim Saba termasuk Saba Tengah, Saba Ujong, Saba Laut, Saba Darat 'A' dan Saba Darat 'B'. Mukim Sungai Kebun termasuk Setia 'A', Sungai Siamas/Ujong Klinik, Setia 'B' Sungai Kebun, Bolkiah 'A' dan Bolkiah 'B'.

Dalam usaha mengekalkan Kampong Ayer sebagai tapak warisan penting negara, kerajaan Brunei menyediakan beberapa kemudahan seperti jambatan kaki, jeti simen, air paip, bekalan elektrik, sekolah, masjid, klinik, balai polis, dan balai bomba marin. Kesemua enam mukim dikenali sebagai Kampong Ayer.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Brunei Tourism". BRUNEIresources.com. Dicapai pada 2011-08-10.
  2. ^ Wilson, Robert. "Brunei: The Abode of Peace". Jadedragon.com. Dicapai pada 2011-08-10.
  3. ^ "Asia Times: Old water village drowning in modern problems". Atimes.com. 1999-03-26. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-05-17. Dicapai pada 2011-08-10.

Koordinat: 4°55′0″N 114°55′0″E / 4.91667°N 114.91667°E / 4.91667; 114.91667