Kanak-kanak hijau Woolpit

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Papan tanda yang merujuk kepada kanak-kanak berkulit hijau di Woolpit, didirikan pada 1977.[1]

Kanak-kanak hijau Woolpit (Tulisan Jawi: كانق-كانق هيجاو وواولڤيت; bahasa Inggeris: Green children of Woolpit) merupakan kisah legenda mengenai kanak-kanak misteri yang dilaporkan muncul di sebuah kampung bernama Woolpit yang terletak di Suffolk, England sekitar abad ke-12 iaitu berkemungkinan ketika zaman pemerintahan Raja Stephen. Kanak-kanak yang terdiri daripada adik lelaki dan kakak itu mempunyai penampilan biasa seperti kanak-kanak lain kecuali warna kulit mereka yang berwarna hijau. Mereka bertutur dalam bahasa yang tidak diketahui dan hanya memakan kacang hijau sahaja. Pada akhirnya, kanak-kanak itu belajar untuk makan makanan yang lain dan warna hijau pada kulit mereka memudar. Walau bagaimanapun, si lelaki telah sakit dan meninggal dunia selepas mereka dibaptiskan. Manakala, si perempuan telah memulakan kehidupan baharu tetapi dia dianggap bersikap "bebas dan kurang sopan"[2] Setelah mempelajari bahasa Inggeris, si kanak-kanak perempuan itu menjelaskan bahawa dia dan saudaranya itu berasal dari negeri St Martin, sebuah kawasan di bawah tanah di mana penghuninya berkulit hijau.

Catatan kontemporari mengenai kisah legenda ini hanya terkandung dalam Chronicum Anglicanum karya Ralph dari Coggeshall dan Historia rerum Anglicarum karya William dari Newburgh yang mana kedua-dua karya tersebut masing-masing ditulis pada tahun 1189 dan 1220. Antara masa itu dan penemuan kembali kisah itu pada pertengahan abad ke-19, kanak-kanak hijau kelihatannya hanya muncul dalam karya The Man in the Moone yang ditulis oleh biskop Francis Godwin yang menceritakan catatan William dari Newburgh.[3]

Dua pendekatan telah digunakan bagi memberikan penjelasan tentang kisah kanak-kanak hijau tersebut iaitu kisah tersebut hanyalah cerita rakyat tentang pertemuan khayalan dengan penghuni dunia lain yang mungkin datang dari bawah tanah atau angkasa lepas atau kisah sejarah yang diputarbelitkan. Kisah tersebut telah diakui sebagai kisah fantasi unggul oleh seorang pengkritik dan penyajak anarki, Herbert Read dalam karyanya English Prose Style yang diterbitkan pada tahun 1931. Kisah itu juga telah menjadi inspirasi kepada beliau dalam penulisan satu-satunya novel yang dihasilkannya iaitu The Green Child pada tahun 1934.

Sumber[sunting | sunting sumber]

Ralat Lua pada baris 425 di Modul:Location_map: No value was provided for longitude. Kampung Woolpit terletak di kaunti Suffolk, Anglia Timur iaitu kira-kira 7 batu (11 kilometer) timur bandar Bury St Edmunds. Ketika Zaman Pertengahan, kampung itu menjadi terkenal kerana terdapatnya Biara Bury St Edmunds dan merupakan sebahagian daripada kawasan paling ramai penduduk di kawasan pedalaman England. Dua orang penulis iaitu Ralph dari Coggeshall (meninggal sekitar 1226) dan William dari Newburgh (sekitar 1136 hingga 1198) telah melaporkan kemunculan secara tiba-tiba kanak-kanak misteri berkulit hijau ketika suatu musim panas pada abad ke-12. Ralph merupakan seorang ketua biara Cistercian di Coggeshall, kira-kira 26 batu (42 kilometer) selatan Woolpit manakala William pula ialah seorang kanun biara Newburgh Augustin yang terletak jauh ke utara di Yorkshire. William menyatakan bahawa catatan kisah yang terdapat dalam bukunya, Historia rerum Anglicarum (1189) berdasarkan "laporan daripada sejumlah sumber yang boleh dipercayai" manakala catatan kisah yang ditulis oleh Ralph dalam karya Chronicum Anglicanum yang ditulis beberapa waktu pada tahun 1220-an, menggabungkan maklumat daripada Sir Richard de Calne dari Wykes yang dilaporkan telah memberi perlindungan kepada kanak-kanak hijau di rumah kediamannya, 6 batu (9.7 kilometer) di utara Woolpit.[nb 1] Penjelasan oleh kedua-dua orang penulis itu berbeza dalam beberapa butiran.[1]

Cerita[sunting | sunting sumber]

Menurut William dari Newburgh ketika zaman pemerintahan Raja Stephen (1135-1154),[1] pada suatu musim menuai, penduduk kampung Woolpit telah menemui dua orang kanak-kanak yang bersaudara, kakak dan adik serta lubang serigala yang memberikan nama kepada kepada kampung itu.[4][nb 2] Kanak-kanak tersebut mempunyai kulit yang berwarna hijau, bercakap dalam bahasa yang tidak diketahui serta memakai pakaian yang pelik. Ralph dari Coggeshall mengatakan mereka itu telah dibawa ke kediaman Richard de Calne. Ralph dan William berpendapat bahawa dua orang kanak-kanak itu enggan memakan semua makanan selama beberapa hari sehingga mereka menemui kacang hijau dan memakannya dengan bersemangat.[nb 3] Kemudian, mereka menyesuaikan diri dengan makanan biasa secara beransur-ansur dan dalam waktu yang tidak lama kemudian, warna hijau pada kulit mereka hilang.[1] Kanak-kanak lelaki yang merupakan adik itu menjadi sakit dan akhirnya mati selepas dia dan kakaknya dibaptiskan.

Selepas mempelajari bahasa Inggeris, seorang kanak-kanak itu (Ralph mengatakan bahawa hanya kakak yang masih hidup) menjelaskan bahawa mereka berasal dari kawasan yang tidak pernah disinari oleh matahari dan sinarannya seperti waktu senja. William pula mengatakan bahawa tempat asal kanak-kanak itu ialah St. Martin manakala Ralph menambah bahawa tempat itu kesemuanya berwarna hijau. Menurut William, mereka tidak dapat menjelaskan sebab kedatangan mereka ke Woolpit. Mereka ketika itu sedang mengembala haiwan ternakan bapa mereka apabila mereka terdengar satu bunyi yang kuat (menurut William ia ialah bunyi loceng di Bury St Edmunds)[9] dan secara tiba-tiba mereka berada di sebuah lubang serigala tempat mereka dijumpai. Ralph pula mengatakan mereka telah sesat setelah mengikuti haiwan ternakan yang menuju ke sebuah gua dan dipandu oleh bunyi loceng sehingga akhirnya mereka muncul di tanah England.[1]

Menurut Ralph lagi, si kanak-kanak perempuan itu telah diambil dan bekerja sebagai seorang pelayan di kediaman Richard de Calne selama bertahun-tahun di mana dia dianggap sebagai "budak nakal dan kurang ajar". Dia kemudiannya berkahwin dengan seseorang dari King's Lynn, 40 batu (64 kilometer) dari Woolpit yang mana Ralph telah mengatakan dia masih hidup tidak lama sebelum Ralph menulis mengenai kisahnya. Berdasarkan kajian tentang sejarah keluarga Richard de Calne, ahli astronomi dan penulis, Duncan Lunan telah membuat kesimpulan bahawa kanak-kanak perempuan itu telah diberi nama "Agnes" dan berkahwin dengan seorang pegawai kerajaan bernama Richard Barre.[10]

Penjelasan[sunting | sunting sumber]

Sekurang-kurangnya terdapat dua pendekatan yang menguasai penjelasan mengenai misteri kanak-kanak hijau. Pendekatan pertama menganggap bahawa kisah tersebut ialah cerita rakyat biasa yang menerangkan pertemuan khayalan antara manusia dengan penduduk dari "Dunia Pari-pari".[1] Pendekatan kedua pula menjelaskan terdapatnya kemungkinan bahawa kisah yang dicatatkan ini berasal daripada kejadian yang pernah berlaku,[1] walaupun ia adalah mustahil sama ada cerita tersebut merupakan laporan sahih yang diberikan kepada kanak-kanak atau hanya sebuah "khayalan orang dewasa".[11] Kajian tentang catatan kanak-kanak dan pelayan yang melarikan diri daripada tuannya memberikan suatu kesimpulan kepada Charles Oman bahawa "terdapat misteri yang jelas di sebalik semua [kisah kanak-kanak hijau] dengan sesetengah cerita melibatkan kejadian penculikan".[12]

Penjelasan cerita rakyat[sunting | sunting sumber]

Sarjana seperti Charles Oman menyatakan bahawa satu unsur dalam kisah kanak-kanak hijau ini iaitu "laluan masuk menuju ke dunia yang berbeza melalui sebuah gua" kelihatan cukup terkenal. Gerald dari Wales menceritakan kisah yang serupa tentang seorang budak lelaki yang melarikan diri daripada tuannya. Budak lelaki tersebut "menemui dua orang pigmi yang telah membawanya melalui sebuah laluan bawah tanah ke sebuah kawasan yang indah dengan padang dan sungai, tetapi kawasan itu tidak diterangi dengan cahaya matahari".[12] Lantaran cerita itu ialah kisah dongeng, maka cerita seperti itu adalah jarang dan E. W. Baughman menyenaraikannya sebagai satu-satunya contoh dalam kategori F103.1 (kategori mengenai cerita rakyat Inggeris dan Amerika Utara) yang menjelaskan "penghuni dunia lain mengunjungi manusia dan terus hidup dengan mereka".[13] Martin Walsh menganggap rujukan kepada Santo Martin adalah cukup penting dan kisah kanak-kanak hijau kelihatannya seperti bukti bahawa jamuan Martinmas mempunyai asal-usul dalam kisah lalu orang asli Inggeris yang mana kisah kanak-kanak membentuk "lingkungan terendah".[14] E. S. Alderson mengemukakan terdapatnya perkaitan kisah itu dengan tradisi Celt dalam edisi Notes and Queries tahun 1900: "Roh 'Hijau' adalah 'tidak berdosa' dalam sastera dan tradisi Celt...Ia mungkin lebih daripada kebetulan bahawa gadis hijau berkahwin dengan 'lelaki dari [Kings] Lynn'. Di sini, [perkataan Celt] yang asli akan menjadi lein, jahat iaitu pari-pari murni yang mengahwini seorang kanak-kanak berdosa dari bumi."[15]

Jeffrey Jerome Cohen berpendapat bahawa cerita ini adalah tentang perbezaan kaum dan "membenarkan William untuk menulis mengenai orang Wales secara tidak langsung"[16] dengan menyatakan kanak-kanak hijau ialah kenangan England pada masa lalu dan penaklukan secara kejam terhadap puak Briton oleh kaum Anglo-Saxon dan diikuti dengan penaklukan Norman. William dari Newburgh dengan berat hati memasukkan cerita kanak-kanak hijau dalam kisahnya mengenai penyatuan sebahagian besar England,[17] yang mana Cohen mengatur seiring dalam karya milik Geoffrey dari Monmouth, Sejarah Raja Britain. Menurut William, buku tersebut penuh dengan pembohongan.[18] Sejarah versi Geoffrey menjelaskan tentang para raja dan kerajaan terdahulu yang terdiri daripada pelbagai kaum, sedangkan England versi William ialah negara di mana orang-orangnya sama ada telah diasimilasikan (dalam kes ini ialah bangsa Norman) atau "ditolak ke sempadan" (suku Wales, Scotland, dan Pict). Menurut Cohen, kisah kanak-kanak hijau mewakili dua pencerobohan dalam wawasan William mengenai England yang bersatu. Dari satu segi, kisah tersebut merupakan satu peringatan terhadap perbezaan kaum dan budaya antara orang Norman dan Anglo-Saxon kerana kanak-kanak itu mendakwa telah datang dari Tanah St Martin, dinamakan sempena Santo Martin. Perkara tersebut hanya disebut melalui William yang mana beliau menyebut bahawa santo merujuk kepada Biara Santo Martin di Hastings, yang dibangunkan bagi memperingati kemenangan Norman pada 1066.[19] Tetapi, kisah kanak-kanak itu juga merangkumi penghuni awal Kepulauan British yang mana "orang Wales (dan juga orang Ireland dan Scotland) telah 'diinggeriskan' secara paksa ... Kisah kanak-kanak Hijau menimbulkan suatu cerita yang tidak mampu untuk William menceritakannya yang mana salah satu daripadanya adalah tentang kekuasaan Inggeris yang menjadi andaian bermasalah dan bukannya kesimpulan yang dipinggirkan".[20] Budak lelaki dalam kisah kanak-kanak hijau secara khususnya mati berbanding diasimilasikan, mewakili "suatu dunia bersebelahan yang tidak dapat dikuasai ... suatu kelainan yang akan binasa jika ia bertahan".[21]

Ilustrasi Babes in the Wood oleh Randolph Caldecott, 1879

Dalam perkembangan moden, kisah kanak-kanak hijau dikaitkan dengan kisah Babes in the Wood. Dalam kisah itu, kanak-kanak yang juga terdiri daripada dua beradik ditinggalkan supaya mati oleh bapa saudara mereka dan dalam versi ini, warna pada kulit dua beradik ini adalah hijau disyaki kerana keracunan arsenik. Dengan keadaan ketakutan di dalam hutan di mana dua beradik ini ditinggalkan (mungkin berdekatan dengan Hutan Thetford), kanak-kanak tersebut terjatuh ke dalam lubang di Woolpit di mana mereka dijumpai oleh penduduk kampung. Penulis tempatan dan penyanyi lagu rakyat, Bob Roberts menyatakan dalam bukunya, A Slice of Suffolk: "Saya diberitahu masih terdapat penduduk di Woolpit yang mempunyai 'keturunan dengan kanak-kanak hijau', tetapi tiada seorang pun yang mahu beritahu saya siapakah mereka!".[1]

Sesetengah pendapat mengatakan bahawa kanak-kanak hijau tersebut ialah makhluk asing atau penghuni dunia di bawah Bumi. Dalam rencana yang diterbitkan di majalah Analog pada tahun 1996, ahli falak Duncan Lunan membuat andaian bahawa kanak-kanak itu secara tidak sengaja dibawa kepada Woolpit dari planet asal mereka disebabkan oleh kerosakan pada "pemancar jirim" mereka.[22] Lunan pula membayangkan bahawa planet asal kanak-kanak tersebut mungkin terperangkap dalam orbit segerak mengelilingi Matahari dan ia menunjukkan keadaan kehidupan di situ hanya dalam kawasan senja yang sempit di antara permukaan yang sangat panas dan sisi gelap yang membeku. Beliau menjelaskan warna hijau pada kulit kanak-kanak itu adalah disebabkan oleh kesan sampingan memakan tumbuh-tumbuhan asing yang diubahsuai secara genetik.[10]

Lunan bukanlah orang pertama yang mendakwa kanak-kanak hijau itu ialah makhluk asing. Cendekiawan Robert Burton berpendapat dalam karyanya, The Anatomy of Melancholy yang diterbitkan pada tahun 1621 bahawa kanak-kanak itu telah "jatuh dari langit" dan idea itu kelihatannya telah diambil oleh Francis Godwin, sejarawan dan biskop dari Hereford dalam karya cereka spekulatifnya, The Man in the Moone[1] yang diterbitkan selepas kematiannya pada tahun 1638.[23]

Penjelasan sejarah[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan pendatang Flemish tiba di timur England pada abad ke-12 dan mereka telah dianiaya selepas Henry II menjadi raja pada tahun 1154. Sebilangan besar daripada mereka telah dibunuh berdekatan Bury St Edmunds pada tahun 1173 ketika pertempuran di Fornham antara Henry II dan Robert de Beaumont, Earl ke-3 Leicester. Paul Harris telah mengatakan bahawa ibu bapa kanak-kanak hijau Flemish terkorban semasa tempoh perbalahan saudara dan kanak-kanak tersebut mungkin telah datang dari kampung Fornham St Martin, sedikit ke utara Bury St Edmunds, di mana penempatan pembuat baju bulu Flemish telah wujud pada masa itu. Mereka mungkin telah melarikan diri dan akhirnya merayau hingga ke Woolpit. Dalam keadaan keliru, bingung dan berpakaian dalam pakaian suku Flemish yang tidak dikenali, penduduk kampung Woolpit telah memberikan pandangan yang sangat pelik kepada kanak-kanak tersebut.[24] Warna kanak-kanak tersebut boleh dijelaskan dengan penyakit hijau, hasil daripada kekurangan pemakanan.[1] Brian Haughton menganggap penjelasan Harris adalah munasabah dan merupakan salah satu penjelasan yang paling diterima secara meluas.[25] Demikianpun, terdapat beberapa kesulitan. Sebagai contoh, beliau mengatakan adalah tidak mungkin bahawa seorang lelaki tempatan yang berpendidikan seperti Richard de Calne tidak dapat memahami bahasa yang dituturkan oleh kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai bahasa Flemish.[26]

Penjelasan sejarawan Derek Brewer pula adalah lebih membosankan:

Barangkali punca utama kejadian itu ialah kanak-kanak yang sangat kecil ini, yang mengembala atau mengikuti ternakan mereka, tersesat dari kampung hutan mereka, bercakap sedikit, dan (dalam istilah moden) tidak tahu alamat rumah mereka sendiri. Mereka mungkin mengalami penyakit klorosis, penyakit kekurangan makanan yang mengakibatkan kulit menjadi hijau, lalu digelarlah "penyakit hijau". Dengan diet yang lebih baik, penyakit itu akan hilang.[27]

Legasi[sunting | sunting sumber]

Pengkritik dan penyajak anarki berbangsa Inggeris, Herbert Read menerangkan kisah kanak-kanak hijau dalam English Prose Style sebagai "kebiasaan yang harus diikuti dalam semua fantasi". Cerita ini menjadi inspirasi bagi novel beliau, The Green Child yang telah ditulis pada 1934.[28] Adaptasi kisah tersebut juga telah ditulis oleh Kevin Crossley-Holland pada 1994, yang mana ia diceritakan dari sudut pandangan si kanak-kanak perempuan hijau.[1]

Penulis John Macklin turut menulis sebuah kisah dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 1965 berjudul Strange Destinies mengenai dua orang kanak-kanak yang tiba di kampung Banjos di Sepanyol pada 1887.[1] Banyak maklumat kisah tersebut menyerupai kisah kanak-kanak hijau di Woolpit. Antaranya seperti nama Ricardo de Calno, datuk bandar Banjos yang berkawan dengan dua orang kanak-kanak itu. Nama tersebut adalah mirip dengan Richard de Calne.[29] Dengan itu, ia kelihatan bahawa cerita Macklin ialah rekaan yang diilhamkan daripada kisah kanak-kanak hijau Woolpit[1] terutamanya kerana tiada catatan mengenai kampung di Sepanyol yang bernama Banjos.[29]

Penyajak dan penulis novel Australia, Randolph Stow menggunakan kisah kanak-kanak hijau dalam novel 1980 beliau, The Girl Green as Elderflower. Gadis hijau merupakan sumber kepada watak pada namanya yang mana dalam novel ini ia ialah seorang gadis berambut perang dengan mata hijau. Kanak-kanak hijau menjadi sumber yang penting bagi watak utama, Crispin Clare, bersama dengan beberapa watak lain daripada kisah dalam bahasa Latin William dari Newburgh, Gervase dari Tilbury dan lain-lain. Stow juga memasukkan terjemahan daripada teks-teks mereka : watak ini "mempunyai sejarah kehilangan dan perampasan yang bergema dalam diri [Clare] sendiri".[16] Kisah kanak-kanak hijau juga menjadi subjek opera masyarakat pada tahun 1990 yang telah dipersembahkan oleh kanak-kanak dan orang dewasa. Pementasan opera tersebut digubah oleh Nicola LeFanu dengan libreto yang dikarang oleh Kevin Crossley-Holland.[30] Pada tahun 2002, penyajak Inggeris, Glyn Maxwell menulis drama puisi berdasarkan kisah kanak-kanak hijau. Drama bertajuk Wolfpit (nama awal untuk Woolpit)[31] ini telah dipersembahkan di Bandaraya New York. Dalam versi Maxwell, si kanak-kanak perempuan hijau menjadi pelayan kepada tuan rumah besar sehinggalah orang asing bernama Juxon membeli dan membebaskan kanak-kanak itu lalu membawanya ke suatu tempat yang tidak diketahui.[32]

Nota dan rujukan[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Richard de Calne meninggal dunia sebelum atau pada tahun 1188. Dalam beberapa sumber, beliau bernama Richard de Caine.[1]
  2. ^ Lubang serigala merupakan sebuah lubang berbentuk kon yang dalam di mana bangkai diletakkan untuk menarik perhatian serigala dan ditutup dengan dahan.[5]
  3. ^ "Perhatian bahawa makanan yang lazim bagi kanak-kanak ialah kekacang iaitu makanan orang mati.", kata K.M. Briggs.[6] Beliau telah membuat pemerhatian yang sama tentang makanan orang yang mati dalam buku tahun 1967-nya, The Fairies in English Tradition and Literature (Pari-pari dalam Tradisi dan Sastera Inggeris),[7] tetapi John Clark ragu-ragu terhadap pendapat yang diutarakan oleh Briggs. John Clark mengatakan bahawa "kekacang sebagai makanan orang yang mati adalah tidak munasabah".[8]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h i j k l m n Clark, John (2006), "'Small, Vulnerable ETs': The Green Children of Woolpit", Kajian Sains Cereka, 33 (2): 209–229
  2. ^ Simpson, Jacqueline; Roud, Steve (2000), "Green Children", Kamus Budaya Rakyat Inggeris (ed. dalam talian), Oxford University Press, dicapai pada 5 April 2009
  3. ^ Lawton, H. W. (Januari 1931), "Bishop Godwin's Man in the Moone", Tinjauan Kajian Inggeris, 7 (25): 23–55
  4. ^ Mills, A. D. (2003), "Woolpit", Kamus Nama-Tempat British ((langganan atau keahlian perpustakaan awam United Kingdom diperlukan)), Oxford University Press, dicapai pada 25 April 2009
  5. ^ Cosman & Jones 2008, halaman 127
  6. ^ Briggs, K. M. (1970), "The Fairies and the Realms of the Dead", Persatuan Budaya Rakyat, 81 (2): 81–96
  7. ^ Briggs 1967, halaman 6
  8. ^ Clark, John (2006), "Martin and the Green Children", Persatuan Budaya Rakyat, 117 (2): 207–214, doi:10.1080/00155870600707904
  9. ^ Cohen 2008, halaman 83
  10. ^ a b Lunan, Duncan (September 1996), "Children from the Sky", Astounding (en), jil. 116 no. 11, m/s. 38–53
  11. ^ Orme, Nicholas (1995), "The Culture of Children in Medieval England", Past & Present, 148 (1): 48–88, doi:10.1093/past/148.1.48, JSTOR 651048
  12. ^ a b Oman, C. C. (1944), "The English Folklore of Gervase of Tilbury", Persatuan Budaya Rakyat, 55 (1): 2–15, doi:10.1080/0015587X.1944.9717702, JSTOR 1257623
  13. ^ Baughman 1966, halaman 203
  14. ^ Walsh, Martin W. (2000), "Medieval English Martinmesse: The Archaeology of a Forgotten Festival", Persatuan Budaya Rakyat, 111 (2): 231–254
  15. ^ Alderson, E.S. (24 February 1900), "Green Fairies: Woolpit Green Children", Notes and Queries, 5 (113): 155, doi:10.1093/nq/s9-V.113.155a
  16. ^ a b Duckworth, Melanie (2011), "Grievous Music: Randolph Stow's Middle Ages", Pengajian Sastera Australia, 26 (3/4): 102–14
  17. ^ Cohen 2008, m/s. 84
  18. ^ Cohen 2008, m/s. 80
  19. ^ Cohen 2008, m/s. 85–88
  20. ^ Cohen 2008, m/s. 90
  21. ^ Cohen 2008, m/s. 91
  22. ^ Haughton 2007, m/s. 236
  23. ^ Hutton, Sarah (Spring 2005), "The Man in the Moone and the New Astonomy: Godwin, Gilbert, Kepler" (PDF), Etudes Epistémè (7): 3–13
  24. ^ Harris 1998
  25. ^ Haughton 2007, m/s. 441
  26. ^ Haughton 2007, m/s. 443
  27. ^ Brewer 1998, m/s. 182
  28. ^ The Green Child by Herbert Read, Perpustakaan Universiti Leeds, dicapai pada 22 Februari 2011
  29. ^ a b Fanthorpe & Fanthorpe 2010, m/s. 311
  30. ^ Nicola LeFanu: The Green Children, Chester Novello, dicapai pada 5 Julai 2011
  31. ^ Harvey, Nigel (1943), "Some Suffolk Superstitions", Folklore, 54 (4): 390–91, doi:10.1080/0015587X.1943.9717694, JSTOR 1257174
  32. ^ Smith, Dinitia (18 Mac 2002), "Foundlings Wrapped in a Green Mystery", The New York Times, dicapai pada 3 Mac 2011

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Baughman, E. W. (1966), Type and Motif-Index of the Folktales of England and North America, Mouton
  • Brewer, Derek (1998), "The Colour Green", dalam Brewer, Derek; Gibson, Jonathan (penyunting), A Companion to the Gawain-Poet, D. S. Brewer, m/s. 181–190, ISBN 978-0-859-91433-8
  • Briggs, K. M. (1967), The Fairies in English Tradition and Literature, Routledge and Kegan Paul, ISBN 978-0-415-29151-4
  • Cohen, Jeffrey Jerome (2008), "Green Children from Another World, or the Archipelago in England", dalam Cohen, Jeffrey Jeremy (penyunting), Cultural Diversity in the British Middle Ages: Archipelago, Island, England, The New Middle Ages, Palgrave, m/s. 75–94, ISBN 978-0-230-60326-4
  • Cosman, Pelner; Jones, Linda Gale (2008), Handbook to Life in the Medieval World, Facts On File, ISBN 978-0-816-04887-8
  • Fanthorpe, Lionel; Fanthorpe, Patricia (2010), The Big Book of Mysteries, Dundurn Group, ISBN 978-1-554-88779-8
  • Harris, Paul (1998), "The Green Children of Woolpit: A 12th Century Mystery and its Possible Solution", dalam Moore, Steve (penyunting), Fortean Studies: No. 4, John Brown Publishing, m/s. 81–95, ISBN 978-1-870-87096-2
  • Haughton, Brian (2007), Hidden History: Lost Civilizations, Secret Knowledge, and Ancient Mysteries, New Page Books, ISBN 978-1-564-14897-1

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]