Kanowit

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kanowit

Kanowit merupakan satu daerah kecil yang terletak di dalam Bahagian Sibu, Sarawak, Malaysia dengan keluasan 2,253.5 km persegi. Jumlah penduduknya 28,600 orang (2002).Daerah kecil ini dapat dihubungkan dengan menggunakan laluan air dan laluan darat dari Sibu menghala ke  bahagian Kapit dan daerah Julau. Perjalanan dari Sibu ke Kanowit mengambil masa 1 jam perjalanan. Kedudukan Kanowit amat strategik kerana menjadi tempat persinggahan sementara bagi pengguna laluan air sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan pedalaman Sarawak.

Pada tahun 1841, Kanowit yang terletak di persimpangan dua buah sungai iaitu Sungai Rajang dan Sungai Kanowit telah menarik perhatian penjajah berbangsa Inggeris bernama James Brooke untuk menguasainya bagi menjamin keselamatan Sarawak seterusnya dapat mengembangkan kuasa di kawasan pedalaman Sarawak. Sebagai langkah keselamatan dan kestabilan politik, pada tahun 1851, James Brooke telah membina sebuah kubu yang terletak di atas bukit kecil yang menghala ke arah Sungai Rajang yang dinamakan Kubu Emma. Pembinaan Kubu Emma ini bertujuan untuk menghalang perjuangan Syarif Masyahor dari menentang pemerintahan keluarga Brooke.

Pada peringkat awal, agama Islam berkembang di Kanowit di kalangan masyarakat Melayu yang datang dari kawasan luar Kanowit. Sebelum penjajahan Brooke, Kesultanan Brunei telah menghantar pembesar di daerah ini untuk mentadbir dan menguruskan hal ehwal masyarakat. Kemudian, perkembangan agama Kristian di Kanowit bermula pada tahun 1881 selepas seorang Paderi Kristian yang berasal dari Belanda bernama Edmund Dunn telah tiba di daerah Kanowit. Dalam tempoh 3 tahun, Paderi Edmund Dunn telah berjaya meyakinkan masyarakat Iban untuk menerima agama Kristian seterusnya berjaya membina Gereja St. Francis Xavier di kaki bukit Memaloh. Pada tahun itu juga, Paderi Edmund Dunn telah mencadangkan kepada Charles Brooke untuk menubuhkan sebuah sekolah rendah Kristian yang akan menjadi pusat penyebaran agama Kristian seterusnya menjadi simbol Kristian di Kanowit. Sekolah yang diberi nama St. Francis Xavier’s School didirikan pada tahun 1883 dan di antara sekolah mubaligh tertua di Sarawak. Dengan kelebihan boleh bertutur dalam bahasa Iban, paderi Edmund Dunn telah menyebarkan ajaran Kristian Roman Katolik kepada masyarakat Iban.

Menurut bancian, daerah Kanowit dihuni oleh masyarakat dari pelbagai etnik dan agama. Namun, etnik Iban mendominasi bilangan penduduk di Kanowit dengan bilangan seramai 23,000 orang, Cina 3,000 orang dan Melayu 1,200 orang. Terdapat juga etnik minoriti seperti Melanau yang jumlahnya lebih sedikit berbanding dengan etnik Melayu. Dari segi pegangan agama, Kristian dianuti oleh etnik Iban disamping Buddha (Cina) dan Islam (Melayu). Terdapat juga segelintir penduduk menganut agama Bahai, Pagan dan tidak menganut mana-mana agama. Walaupun Kristian dilihat majoriti di Kanowit, mereka terpisah kepada beberapa mazhab antaranya Roman Katolik, Sidang Injil Borneo (SIB) dan Methodis. 

Pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Ahli Parlimen P210 Kanowit adalah Ago Dagang @ Aaron (BN) sejak 2008. Sebelum itu Kanowit diwakili oleh Datuk Leo Moggie Anak Irok.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]