Kapak Siam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kapak Siam atau nama tempatannya, kapak kecil Kelantan adalah secara umumnya, kapak kecil yang bersaiz kira-kira sejengkal yang dicipta khusus untuk disorok dalam genggaman tangan, dengan kegunaan utamanya adalah sebagai senjata dilontar. Kapak kecil menjadi kegemaran ramai suatu masa dulu di Kelantan kerana ia senang di bawa dan pelbagai guna, sama ada untuk senjata dan boleh digunakan untuk kerja-kerja harian yang agak ringan. [1] Mata kapak yang kecil dan tangkainya yang pendek memudahkan ia disembunyikan dalam genggaman sebelum dibaling pada sasaran tanpa menarik banyak perhatian. Kepala kapak yang berat itu mampu memecahkan tempurung kepala mangsa dan membunuhnya. Ia juga digelar kapak bungkus atau kapak terbang kerana ia merujuk kepada cara kapak itu digunakan semasa menyerang. Menjelang masa, istilah Kapak Siam adalah lebih popular di kalangan penduduk luar dan telah digunakan bagi manggambarkan kesemua jenis kapak kecil yang ada.

Kapak Siam menjadi senjata kegemaran golongan samseng, kaki gaduh atau 'gedebe' kerana saiznya yang kecil memudahkannya diselit pada lilitan kain di pinggang atau semutar iaitu kain lilitan kepala lelaki.


Sejarah[sunting | sunting sumber]

Asal[sunting | sunting sumber]

Menurut seorang guru silat dari Tumpat, Wan Yusmar Wan Yusof, kapak itu pada asalnya digunakan oleh wanita di Pattani, Thailanduntuk membelah buah Pinang, tetapi ia kemudiannya digunakan oleh orang lelaki sebagai senjata pergaduhan kerana ia kecil dan mudah disembunyikan. Di Kelantan sendiri, senjata ini lebih dikenali dengan nama kapak kecil Kelantan, sungguhpun penduduk luar Kelantan memanggilnya dengan nama Kapak Siam.

Ada juga orang yang mengaitkannya sebagai cara untuk mengajar orang yang berkelakuan biadap apabila masuk ke kampung, misalnya mengganggu anak gadis atau mencuri. Kapak Siam ini atau juga digelar kapak bungkus atau kapak terbang kerana merujuk kepada cara kapak itu digunakan semasa menyerang. Mata kapak dibungkus dengan hanya mendedahkan beberapa inci hujung mata untuk mengelak kecederaan parah. Di situlah diukur kadar kebiadapan orang itu. Jika lebih banyak hujung mata yang tidak dibungkus, bermakna lebih besarlah salahnya. Mangsa yang terselamat akan menanggung parut pada bahagian kepala dan kalau orang nampak parut 'peringatan' kena takik kapak di kepala atau dahi itu, orang yang melihat biasanya akan berkata, "Orang itu ada mengacau anak dara orang".

Kapak Siam menjadi pilihan untuk dibawa kerana ia bersifat dwifungsi iaitu ia boleh digunakan untuk melakukan kerja-kerja ringan seperti menakik dan dijadikan senjata untuk menyerang. Ia kurang menarik perhatian orang berbanding keris yang pasti mendatangkan curiga orang jika dibawa.

Kegunaan sebagai senjata menyerang[sunting | sunting sumber]

Pada masa dahulu, Kapak Siam merupakan senjata pilihan samseng di Kelantan, tetapi nama Kapak Siam melonjak menjadi terkenal pada pertengahan 1960-an apabila ia digunakan dalam pembunuhan wakil rakyat PAS Samad Gul Ahmad Mianji berhampiran pasar lama Perbandaran Kota Baharu. [2]

Golongan samseng atau gedebe yang tiada kerja dan mahu mencari gaduh sahaja biasanya menyelit mata kapak kecil yang diikat pada hujung kain semutar untuk digunakan sebagai kapak terbang. Sekiranya ia digunakan sebagai satu peringatan, mata kapak akan dibungkus dengan hanya mendedahkan beberapa inci hujung mata untuk mengelak kecederaan parah. Di situlah diukur kadar kebiadapan orang itu. Jika lebih banyak hujung mata yang tidak dibungkus, bermakna lebih besarlah salahnya. Dengan itu ia digelar kapak bungkus.

Selain itu terdapat juga serangan yang dilakukan dengan mengikat hulu kapak dengan kain atau tali, dengan itu ia dinamakan kapak terbang. Punca kain akan diikat pada pergelangan siku. Kapak akan dibaling dan disentak semula ke dalam genggaman tangan. Serangan ini biasanya dilakukan oleh orang yang memiliki kemahiran tinggi. Sebaliknya pula, sekiranya mereka yang berniat membunuh, mereka menetak di kepala atau dahi hingga kapak itu terlekat di situ.

Terdapat juga sejenis kapak kecil lagi yang dikenali sebagai kapak binjai manis. Kapak binjai manis biasanya memiliki mata yang kelihatan berseni dengan lebih lebar melengkung pada bahagian bawah. Kapak binjai manis lebih sesuai untuk membunuh, kerana matanya yang melengkung sedikit menyebabkan ia sukar ditarik keluar apabila dipacak pada kepala mangsa. Serangan kapak siam juga boleh menyebabkan seseorang menjadi gila sama ada akibat hentakan di kepala atau ditusuk hulu kapak yang diperbuat daripada pokok nibung. Penduduk tempatan percaya bahawa getah nibung yang bercampur darah akan lebih berbisa. Ia boleh menyebabkan keracunan atau sawan. Bagaimanapun bisa nibung itu boleh dikurangkan dengan minum air kelapa atau menyapu luka dengan air perahan limau nipis.

Pada masa kini, dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, kapak siam tidak lagi digunakan untuk berkelahi secara meluas, tetapi lebih popular sebagai barang perhiasan.

Bentuk[sunting | sunting sumber]

Kapak Siam atau kapak kecil Kelantan memiliki bentuk seperti kapak biasa, tetapi bersaiz lebih kecil dengan ukuran kurang dari 18 cm panjang dari pangkal sehingga hujung mata. Mata kapak biasanya diperbuat daripada besi atau dicampur dengan tembaga dan tangkainya diperbuat daripada kayu, sungguhpun kadang-kala rotan digunakan bagi memberikan kelenturan.

Dua jenis asas kapak kecil yang terdapat di Kelantan dan selatan Tahailand adalah kapak kecil siam dan kapak binjai manis.

Nama kapak binjai manis dikatakan berasal dari matanya yang berbentuk buah binjai, tetapi terdapat juga dakwaan bahawa nama tersebut berasal dari Kampung Binjai Manis di Pattani, Thailand, tempat kapak tersebut berasal. kapak binjai manis memiliki bentuk yang berbeza sedikit berbanding kapak kecil Kelantan kerana ia memiliki tangkai dan mata melengkung. Matanya yang melengkung menjadikan ia lebih merbahaya kerana ia mampu menyebabkan kecederaan parah dan sukar mata kapak dikeluarkan sekiranya ia terbenam pada mangsa.


Rujukan[sunting | sunting sumber]