Rampasan kapal MT Bunga Melati II 2008

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kapal dagang MT Bunga Melati Dua milik MISC telah dirampas lanun di perairan Teluk Aden, antara Somalia dan Yemen pada 19 Ogos 2008 jam 10.09 malam.Terdapat 29 warga Malaysia dan 10 warga Filipina dalam kapal itu semasa kejadian. Kapal tangki MISC Bhd itu membawa minyak kelapa sawit belayar dari Dumai, Sumatera, Indonesia ke Rotterdam , Belanda. Pasukan lanun itu menggunakan senjata moden seperti AK-47 dan pelancar granade dan memanjat dinding vesel dengan galah. Kapal itu seberat 32,169 tan dibina pada 1997 dan mampu dipintas oleh bot laju lanun.[1]

Rampasan kapal tangki minyak kelapa sawit ini mungkin mempengaruhi pasaran saham. Sehingga jam 3.06 pm pada 20 Ogos 2008 , harga saham MISC adalah pada RM8.60, naik 10 sen. [2]MISC enggan mendedahkan senarai nama krew demi keselamatan mereka. Seorang krew telah cedera.

Kapal ini diinsurankan pada UK Mutual Steam Ship Assurance Association (Bermuda) dan pendaftaran Lloyd’s .

Tindakan menyelamat[sunting | sunting sumber]

Skuad khas telah ditubuhkan oleh Malaysia International Shipping Corporation (MISC) Berhad dengan Biro Maritim Antarabangsa (IMB) pada 21 Ogos 2008. Pasukan tindakan kecemasan MISC juga telah dibentuk kerana jaraknya terlalu jauh dari Malaysia.[3]Ketua Biro Maritim Antarabangsa di Kuala Lumpur ialah Noel Chong.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zain menjelaskan Angkatan Tentera Malaysia sentiasa bersedia ke Teluk Aden untuk membantu mengatasi masalah kapal yang telah dilanun itu. Sehingga kini, ATM menunggu tindakan dari pihak Somalia dan Yemen dahulu.[4]

Wisma Putra sedang berhubung dengan kerajaan Yaman dan Somalia menerusi pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Kenya dan kedutaan Malaysia di Yemen.[5]

Senario semasa[sunting | sunting sumber]

Sepanjang tahun 2007-2008 , 26 buah kapal dagang telah dirampas di perairan Somalia. Antaranya kapal Jerman, Iran dan Jepun. Kapal vesel kargo MV Thor Star (Thailand) , MT Yenegoa Ocean (Nigeria) , kapal MV Stella Maris dirampas pada bulan lepas.

Lanun di Selat Melaka telah berkurang dan mereka menukar lokasi ke perairan Somalia. perairan Indonesia dan Teluk Benggala. Kebanyakan kes diselesaikan menerusi bayaran tebusan. Sejak 1991 kerajaan diktator Somalia dan kerajaan sementara Somalia tidak berdaya mengawal perairannya yang panjang - 3025 kilometer , perairan terpanjang di Afrika.[6] Pemilik kapal biasanya membayar wang tebusan 10,000 dolar kepada pihak lanun.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Datuk Amdan Kurish mengingatkan semua nakhoda kapal milik Malaysia agar lebih berhati-hati ketika melalui perairan Somalia yang terkenal dengan aktiviti pelanunan. Laluan Somalia hendaklah dijauhi lebih 200 nautika bagi mengelakkan sebarang risiko. Radar berteknologi tinggi dan pemerhati tambahan atau bot pengiring keselamatan perlu ditingkatkan. Nakhoda perlu menukar haluan secara evatif, menghantar isyarat kecemasan sepantas mungkin kepada Malaysia dan negara berdekatan dan menggunakan hos air bertekanan tinggi. Nyawa krew lebih penting daripada barangan yang dirampas. [7]

Dibebaskan[sunting | sunting sumber]

Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan, Kol Fadzlette Othman Merican Idris Merican memberitahu bahawa MT Bunga Melati 2 dibebaskan pada 30 September 2008 jam 4.14 pagi. MISC membayar AS$2 juta (RM6.9 juta) bagi setiap kapal . 2 buah kapal itu akan bertukar anak kapal di Pelabuhan Djibouti . 30 kapal lain turut dirampas dan wang tebusan telah dibayar tetapi ada yang belum dibebaskan. Jumlah sebenar wang tebusan yang dibayar tidak akan diberitahu kerana masih ada kapal dari negara lain yang belum di bebaskan.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan Malaysia ketika dua buah kapal ini berlangsung. Lanun-lanun ini mahir menggunakan internet dan boleh berbahasa Arab tetapi mereka enggan berunding dalam bahasa Arab. Lanun ini dapat mengetahui sebarang perkembangan dan kebocoran maklumat yang berlaku di Malaysia. [8]

Pengerusi Petronas dan pengerusi MISC Tan Sri Mohd Hassan Merican menjelaskan , kapal MISC tidak akan menukar laluan dari Terusan Suez ke Afrika Selatan kerana memakan masa hampir 21 hari dan tentu merugikan MISC. Cuaca pula tidak menentu dan lautan sangat bergelora di Tanjung Harapan.[9]

Mayat salah seorang krew juga masih lagi berada dalam kapal . Krew warga Filipina itu mati akibat terkena peluru sesat. Semua krew kapal akan bercuti selama tiga bulan seperti biasa sebelum belayar balik .MISC tidak bercadang untuk membayar pampasan kepada semua keluarga mangsa (krew kapal).[10]

Reaksi rakyat Malaysia[sunting | sunting sumber]

Semua rakyat Malaysia terutama keluarga mangsa amat gembira kerana mangsa tebusan dibebaskan sebelum hari raya Aidilfitri. Reuters melaporkan lanun-lanun itu menuntut AS$4.7 juta untuk membebaskan dua kapal MISC yang membawa kira-kira 80 anak kapal itu.

Pada 2 Oktober 2008, Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar meminta ketelusan Pengerusi Malaysian International Shipping Corporation (MISC), Tan Sri Mohd Hassan Merican berhubung jumlah sebenar wang tebusan yang dibayar. Sekarang bukanlah masa untuk merahsiakan wang rakyat / wang syarikat berkaitan kerajaan yang digunakan.

62 peratus pegangan dalam MISC dimiliki oleh Cartaban Nominees (Tempatan) Sdn Bhd - Petroliam Nasional Berhad (Strategic INV), 8.92 peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), empat peratus Amanah Raya Nominees (Tempatan) Sdn Bhd - Skim Amanah Saham Bumiputera, 2.29 peratus Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), 1.65 peratus State Financial Secretary Sarawak, 1.18 peratus Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, 1.06 peratus Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), 1.03 peratus Valuecap Sdn Bhd, 0.97 peratus Amanah Raya Nominees (Tempatan) Sdn Bhd dan 0.96 peratus Lembaga Tabung Haji.[11]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]