Kapal karam Nassau

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kapal karam Nassau merupakan kapal karam yang tersadai di dalam perairan Port Dickson, Negeri Sembilan sejak tahun 1606. Ia karam disebabkan pertempuran armada antara pihak Belanda dan Portugis yang dikenali sebagai Pertempuran Cape Rachado yang berlaku pada 16 Ogos 1606. Kapal karam Nassau ini asalnya sebuah kapal milik Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) yang ditubuhkan pada tahun 1602.

Berdasarkan fakta sejarah, angkatan laut Belanda waktu itu diketuai Laksamana Cornelis Matelief de Jonge bertempur dengan angkatan laut Portugis diketuai Don Martin d’Alphonso de Castro, seorang wizurai (gabenor) dari India dalam Pertempuran Cape Rachado (kini dikenali Tanjung Tuan).

Matelief kalah dalam pertempuran itu menyebabkan Belanda kehilangan dua kapal iaitu Nassau dan Middleburg, manakala Portugis kehilangan kapal San Salvador dan Don Duarte De Guerra.

Sebelumnya mengikut rekod, terdapat 4 buah kapal karam yang disyaki karam berdekatan Tanjung Tuan (Cape Rachado), Kapal-kapal karam itu adalah Kapal karam Nassau, Middelburg, São Salvador dan Dom Duarte de Guerra. Kapal karam Nassau telah dijumpai terdampar pada tahun 1995 berhampiran Bambek Shoal, iaitu kira-kira 8 batu nautika (15km) dari pusat bandar Port Dickson. Usaha pengesanan ini mendapat perhatian dan bantuan penyeliaan dari Mensun Bound dari Universiti Oxford. Kerja-kerja eskavasi ini juga turut mendapat bantuan dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia.

Antara barangan tinggalan yang dijumpai dari kapal Nassau ini termasuklah 15 buah meriam, peluru batu meriam, senapang besi dan gangsa, dua sauh besi, peluru plumbum, seramik dari Eropah Utara, tempayan martaban dari Asia Tenggara, barangan piuter, tali dan tong kayu dari tulang haiwan, wang syiling, tembikar-tembikar dagangan buatan China serta antara menarik ialah botol kaca minuman yang tertulis perkataan "Van Hovoken and Co Rotterdam".

Kini terdapat sebilangan artifak tinggalan yang ditemukan dari kapal Nassau ini dipamerkan di Muzium Lukut di pusat bandar Port Dickson.

Pasca penyelidikan[sunting | sunting sumber]

Bertitik tolah dari penemuan kapal karam Nassau ini pada tahun 1995, Jabatan Muzium dan Antikuiti bersama beberapa badan kerajaan serta swasta termasuk dari luar negara kemudian menjalankan beberapa lagi eskavasi arkeologi maritim sehingga 2001.

Hasilnya, sebanyak 13 kapal karam lain berjaya ditemui sekali gus mengesahkan perairan negara Malaysia sememangnya sudah cukup terkenal sejak berzaman lamanya.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]