Kapcai

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Motosikal Modenas Kriss dengan enjin 4 lejang.

Motosikal kapcai merupakan sejenis motosikal kecil yang dibina menggunakan kerangka yang sebahagian besarnya terdiri daripada satu komponen tiub berdiameter besar. Reka bentuk sedemikian turut dikenali sebagai "step-through" di negara-negara Barat, memandangkan kerangka tersebut membolehkan pengguna melangkau kaki di bahagian hadapan motosikal jika bakul tidak dipasang, sebagaimana basikal wanita. Walaupun kedudukan tangki bahan api, reka bentuk kerangka terbuka hasil reka bentuk tangki bahan api, serta pelindung kaki memberikan penampilan skuter pada kapcai, roda-roda, kedudukan enjin serta sistem transmisi adalah berasaskan motosikal konvensional biasa. Walaupun terdapat perbezaan reka bentuk yang asas, motosikal kapcai ada kalanya dijual sebagai skuter di Barat.

Motosikal kapcai menjadi popular di seluruh dunia, tetapi di Asia Timur serta Asia Tenggara pula kapcai mendominasi segmen pasaran motosikal kos rendah disebabkan ia mudah digunakan seperti skuter, sesuai digunakan oleh kedua-dua jantina, serta sifat pengendalian seperti motosikal biasa.

Reka bentuk[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan motosikal kapcai direka berasaskan model Honda Cub.
Honda Bravo di Filipina.

Sistem aliran kuasa motosikal kapcai adalah berasaskan motosikal konvensional. Enjinnya terletak antara kaki penunggang, manakala roda belakang dipacu rantai motosikal sekunder biasa. Penutup rantai, diperbuat sama ada daripada plastik ataupun kepingan keluli, adalah lumrah.

Tangki bahan api kapcai terletak di bawah tempat duduk, yang membezakannya dengan motosikal konvensional yang memiliki tangki bahan api yang terletak di antara bahagian lutut penunggang serta disokong kerangka motosikal. Reka letak motosikal kapcai ini memudahkan pemasangan. Roda kapcai adalah seperti motosikal konvensional biasa.

Saiz enjin bagi kebanyakan model kapcai adalah antara 50 cc hingga 125 cc, walaupun ada di antaranya yang memiliki enjin yang lebih besar, misalnya Suzuki Belang R150. Kebanyakan motosikal kapcai mampu mencapai kelajuan lebuh raya sekitar 110-120 km/j atau lebih; maka ia dibenarkan untuk digunakan di lebuh raya di Malaysia, Singapura dan Thailand. Namun demikian, kapcai tidak dibenarkan untuk digunakan di lebuh raya di Indonesia dan Filipina.

Kecanggihan teknikal motosikal yang lebih besar semakin giat diterapkan pada motosikal kapcai, seperti sistem suntikan bahan api pada Honda Wave 125i, Yamaha Spark 135i[1] serta, sejak tahun 2007, Honda Cub bagi pasaran Jepun.[2] Motosikal kapcai moden menggunakan sistem penyalaan nyahcas kapasitor (CDI) bagi sistem penyalaan, kesemuanya ada lampu isyarat membelok, serta sesetengah model turut dilengkapi penghidup elektrik.

Asal-usul[sunting | sunting sumber]

Heinkel Perle diperkenalkan pada tahun 1954, empat tahun sebelum Honda Cub.

Konsep kapcai boleh dilihat pada pada beberapa model moped Eropah awal 1950an, termasuklah NSU Quickly dan Heinkel Perle. Namun demikian, model kapcai terpenting ialah motosikal Honda Cub yang menggunakan kerangka keluli bertekanan serta fairing plastik, mula dikeluarkan pada tahun 1958. Honda Cub masih dikeluarkan, dan dengan lebih 60 juta unit terjual, ia adalah kenderaan terlaris sepanjang zaman.[2]

Aksesori kapcai[sunting | sunting sumber]

Ruang meletak topi keledar bagi motosikal Yamaha Nouvo, juga digunakan sebagai ruang menyimpan barangan.

Kebanyakan motosikal kapcai yang dijual di Asia Tenggara dilengkapi bakul keluli standard, membolehkan penunggang membawa barangan dengan mudah. Untuk lebih ruang simpanan barangan, penunggang boleh membeli kotak simpanan barangan yang boleh ditanggalkan, dengan pemasangan braket secara percuma pada kerangka motosikal bagi memasang kotak simpanan tersebut.

Beberapa model kapcai seperti Honda Wave, Modenas X-cite dan Yamaha Nouvo mempunyai ruangan meletak barang tambahan di bawah tempat duduk untuk lebih ruangan meletak barang.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]