Kaum tua

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kaum Tua ialah label yang bersifat essentialism, merujuk kepada golongan ulama tradisional yang hanya enggan menerima ijtihad baru daripada ulama “progresif” lulusan Timur Tengah. Golongan ulama ini menguasai majlis agama negeri dan berada dalam lingkungan establishment, manakala golongan pembaharu yang menjadi tentangannya ialah golongan Kaum Muda.

Kaum Muda merupakan gerakan pemikiran atau school of thought yang memperoleh inspirasi serta bawaan ilmu ijtihadi yang berasal dari Mesir. Golongan Kaum Muda menggunakan majalah Al-Imam (terbit 1906) sebagai wadah penyalur idea modenisme Islami mereka yang kebanyakannya dicedok daripada majalah Al-Manar yang diterbitkan di Mesir lapan tahun sebelumnya. Menurut Roff (1975: 97), asas pertentangan antara Kaum Muda dengan Kaum Tua ialah soal penentuan kebenaran. Kaum Muda menggunakan akal untuk menentukan kebenaran dalam agama dan menolak penerimaan secara membuta tuli atau taklid dalam agama. Kaum Tua pula mengatakan bahawa apa-apa yang telah diputuskan oleh ulama dan segala-gala yang tertulis dalam kitab wajib diterima begitu sahaja atas alasan bahawa tentulah ulama silam menulis dengan berhati-hati dan memahami apa-apa yang ditulisnya. Ini tidak dapat diterima oleh Kaum Muda kerana bagi mereka hanya yang terkandung dalam al-Quran dan hadis sahih yang wajib dipercayai sedangkan ulama masih terdedah kepada kesilapan kerana mereka bukannya maksum (bersih daripada dosa). [1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]