Keadilan iklim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Demonstrasi Fridays for Future di Berlin pada September 2021
Kebanyakan peserta pergerakan akar umbi yang menuntut keadilan iklim turut menggesa perubahan sistemik.

Keadilan iklim bermaksud pembahagian dan perkongsian kebaikan, beban serta tanggungjawab menangani perubahan iklim secara adil dan saksama antara semua individu. Konsep keadilan iklim melihat perubahan iklim antropogenik bukan sahaja sebagai satu isu alam semula jadi atau teknikal, malah juga sebagai satu isu etika, perundangan dan politik. Keadilan iklim memastikan bahawa pembahagian kesan perubahan iklim yang tidak saksama dapat diseimbangkan dengan memerlukan pencemar membayar pampasan terhadap kemusnahan alam sekitar yang disebabkan oleh tindakannya (berdasarkan prinsip pencemar membayar)[1]. Hal ini adalah kerana golongan yang paling terkesan dengan perubahan iklim (kebanyakannya dari Global South) biasanya menyumbang paling sedikit terhadap perubahan iklim.[2]

Keadilan iklim juga berkaitan dengan keadilan alam sekitar dan sosial, egalitarianisme, hak asasi manusia, hak kolektif serta litigasi perubahan iklim.[3] Pada 2017, sebuah laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenal pasti 894 tindakan perundangan iklim yang sedang berlangsung di seluruh dunia.[4] Keadilan iklim turut merupakan aspek asas SDG ke-13 (Tindakan Terhadap Iklim) di bawah Agenda 2030 PBB.

Penggunaan dan populariti istilah ini kian meningkat kebelakangan ini. Salah satu faktor utama ialah kebangkitan pergerakan akar umbi seperti Fridays for Future, Ende Gelände dan Extinction Rebellion. Tumpuan khas diberikan kepada peranan Most Affected People and Areas (MAPA),[5] yang merujuk kepada golongan yang terkesan terhadap perubahan iklim secara tidak seimbangnya, seperti golongan wanita, etnik minoriti, pemuda, warga tua dan golongan miskin.[6] Golongan yang sering diabaikan seperti golongan berpendapatan rendah, peribumi dan orang kulit berwarna biasanya menghadapi kesan yang terburuk akibat perubahan iklim walaupun sumbangannya terhadap perubahan iklim sangat kurang sahaja.[7][8][9] Keadaan perubahan iklim turut akan menyebabkan ketidakseimbangan masyarakat bertambah buruk.[10][11][12]

Sesetengah pendekatan keadilan iklim menekankan keadilan transformatif manakala terdapat juga pendekatan yang mementingkan mitigasi perubahan iklim. Bagi pihak yang mementingkan keadilan transformatif, mereka berpendapat bahawa ketidakadilan iklim mencerminkan ketidakadilan struktur dalam masyarakat, contohnya golongan yang terabai lazimnya tidak berpeluang untuk terlibat dalam rezeki yang bertahan sewaktu perubahan iklim. Oleh itu, tindakan iklim mestilah menangani ketidakseimbangan struktur kuasa dalam masyarakat dan tidak mengulangi atau memperkasakan ketidakadilan ini. Hal ini menyentuh prinsip keadilan teragih dan keadilan prosedur. Bagi pihak yang menekankan mitigasi perubahan iklim pula, mereka berpendapat bahawa usaha untuk mengawal perubahan iklim di bawah had tertentu, seperti sasaran 1.5 °C yang terkandung dalam Perjanjian Iklim Paris, adalah diperlukan kerana impak perubahan iklim yang serius akan menyebabkan ketidakadilan berlaku dalam ramai populasi dan generasi yang akan datang.[13] Tambahan pula, terdapat juga pihak yang berpendapat bahawa sekiranya implikasi sosial yang disebabkan oleh langkah-langkah mitigasi perubahan iklim, masalah ekonomi dan sosial yang serius akan berlaku serta perubahan yang diperlukan akan diperlahankan.[14] Oleh itu, mereka mencadangkan agar langkah-langkah yang mengurangkan pembebasan gas rumah hijau secara adil, juga dikenali sebagai "peralihan adil",[15][16] haruslah dilaksanakan dan diutamakan kerana cara tersebut adalah lebih baik, lebih adil, lebih menurut etika dan lebih efektif serta serasi dengan hak asasi manusia.[17][18][19]

Secara amnya, idea keadilan iklim boleh dibahagikan kepada tiga prinsip:

  • Keadilan prosedur, yang menekankan proses membuat keputusan yang adil, tulen dan inklusif
  • Keadilan teragih, yang menekankan penentuan pihak yang menanggung kos perubahan iklim dan tanggungjawab untuk menanganinya[10]
  • Pengiktirafan, penghormatan, penglibatan dan pertimbangan yang adil terhadap budaya serta perspektif yang berbeza, yang dicadangkan oleh Kumpulan Kerja II IPCC.[20]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Negara maju, sebagai punca utama perubahan iklim, dalam memikul tanggungjawab sejarah mereka, mestilah mengiktiraf dan menghormati hutang iklim mereka dalam semua dimensi sebagai asas untuk satu penyelesaian yang adil, berkesan dan saintifik kepada perubahan iklim. (...) Mereka haruslah memfokuskan bukan sahaja kepada pampasan kewangan, tetapi juga kepada keadilan pemulihan yang difahami sebagai pemulihan integriti kepada Ibu Bumi kita dan semua makhluknya.

Persidangan Rakyat Dunia mengenai Perubahan Iklim dan Hak Ibu Bumi (World People's Conference on Climate Change and the Rights of Mother Earth), Perjanjian Rakyat, April 2010, Cochabamba, Bolivia[21]

Konsep keadilan iklim sudah mempunyai pengaruh yang besar terhadap perundingan iklim sebelum istilah "keadilan iklim" digunakan secara kerap untuk merujukkan konsep tersebut. Pada Disember 1990, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (INC) untuk merangka Persidangan Rangka Kerja mengenai Perubahan Iklim (FCCC) yang diterima pakai pada Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCED) di Rio de Janeiro pada Jun 1992.[22] Seperti namanya, "Alam Sekitar dan Pembangunan", matlamat asas persidangan tersebut adalah untuk menyelaraskan tindakan Namun, terhadap perubahan iklim dengan tindakan terhadap pembangunan lestari. Namun, adalah mustahil untuk mendraf teks FCCC tanpa menghadapi persoalan utama keadilan iklim mengenai cara berkongsi tanggungjawab untuk memperlahankan perubahan iklim secara adilnya antara negara maju dan negara membangun.

Isu terma adil untuk perkongsian tanggungjawab telah diutarakan secara paksanya kepada INC melalui kenyataan-kenyataan tentang keadilan iklim daripada negara-negara membangun.[23] Akibatnya, FCCC telah menerima pakai prinsip-prinsip keadilan iklim yang terkenal (dan masih dipertikaikan) dalam Artikel 3.1:[24]

Pihak-Pihak haruslah melindungi sistem iklim untuk manfaat generasi kini dan masa depan manusia, atas dasar kesaksamaan dan mengikut tanggungjawab mereka yang sama tetapi dibezakan serta keupayaan masing-masing. Sehubungan dengan itu, Pihak-Pihak negara maju harus mengetuai usaha dalam memerangi perubahan iklim dan kesan buruknya.
The Parties should protect the climate system for the benefit of present and future generations of humankind, on the basis of equity and in accordance with their common but differentiated responsibilities and respective capabilities. Accordingly, the developed country Parties should take the lead in combating climate change and the adverse effects thereof.

Prinsip pertama keadilan iklim yang terkandung dalam Perkara 3.1 ialah pengiraan kebaikan (dan beban) mesti termasuk bukan sahaja untuk generasi masa sekarang, tetapi juga untuk generasi akan datang. Prinsip yang kedua ialah tanggungjawab bagi setiap negara adalah "sama tetapi dibezakan", iaitu setiap negara mempunyai tanggungjawab yang tertentu, tetapi tanggungjawab saksama adalah berbeza bagi jenis negara yang berbeza. Prinsip yang ketiga ialah salah satu contoh yang penting bagi konsep "tanggungjawab yang dibezakan" ialah tanggungjawab negara maju mesti lebih besar berbanding dengan negara membangun dalam segi keadilan. Namun, betapa besarnya tanggungjawab terus masih dibahaskan secara politik sehingga kini.[25][26]

Pada tahun 2000, sempena dengan penganjuran Persidangan Pihak-Pihak keenam (COP 6) di The Hague, Belanda, Sidang Kemuncak Keadilan Iklim yang pertama telah berlangsung di The Hague. Sidang kemuncak ini bertujuan untuk "menegaskan bahawa perubahan iklim merupakan satu isu hak" dan untuk "membina pakatan merentas negeri dan sempadan" untuk menentang perubahan iklim dan menyokong pembangunan mampan.[27]

Seterusnya, pada Ogos–September 2002, kumpulan alam sekitar antarabangsa bertemu di Johannesburg untuk menghadiri Sidang Kemuncak Bumi 2002.[28] Dalam sidang kemuncak ini yang juga dikenali sebagai Rio+10 kerana persidangan ini berlangsung sepuluh tahun selepas Sidang Kemuncak 1992 di Rio, Prinsip Keadilan Iklim Bali telah diterima pakai.[29]

Keadilan Iklim menegaskan hak komuniti yang bergantung terhadap sumber semula jadi untuk rezeki dan budaya mereka untuk memiliki dan menguruskannya dengan cara yang lestari, berbanding dengan komodifikasi semula jadi dan sumbernya.

Prinsip Keadilan Iklim Bali, artikel 18, 29 Ogos 2002[29]

Pada 2004, Kumpulan Durban untuk Keadilan Iklim (Durban Group for Climate Justice) telah ditubuhkan semasa satu mesyuarat antarabangsa di Durban, Afrika Selatan. Dalam kumpulan itu, wakil daripada NGO dan gerakan rakyat akan membincangkan dasar-dasar realistik untuk menangani perubahan iklim.[30]

Pada 2007 semasa Persidangan Parti-Parti Ke-13 (COP 13) di Bali, gabungan global Climate Justice Now! telah ditubuhkan. Pada 2008, Forum Kemanusiaan Global telah memfokuskan kepada keadilan iklim dalam mesyuarat pertamanya di Geneva.[31]

Pada 2009, Rangkaian Climate Justice Action telah ditubuhkan pada saat-saat menjelang Sidang Kemuncak Copenhagen.[32] Rangkaian tersebut telah mencadangkan keingkaran awam dan tindakan langsung semasa sidang kemuncak tersebut, dan ramai aktivis iklim telah menggunakan slogan 'perubahan sistem dan bukannya perubahan iklim' (system change not climate change).[33]

Pada April 2010, Persidangan Rakyat Dunia mengenai Perubahan Iklim dan Hak Ibu Bumi (bahasa Inggeris: World People's Conference on Climate Change and the Rights of Mother Earth) telah berlangsung di Tiquipaya, Bolivia. Persidangan tersebut dianjurkan oleh kerajaan Bolivia sebagai perhimpunan global bagi masyarakat sivil dan kerajaan. Persidangan tersebut telah mengeluarkan "Perjanjian Rakyat" yang menggesa supaya tindakan keadilan iklim yang lebih besar dilakukan.[34]

Pada September 2013, Climate Justice Dialogue yang dianjurkan oleh Dana Mary Robinson dan World Resource Institute mengeluarkan Deklarasi Keadilan Iklim dalam usaha untuk memasukkan topik tersebut ke dalam perjanjian yang sedang didrafkan dan dijadualkan untuk dirundingkan pada COP 21 di Paris pada 2015.[35]

Pada December 2018, Tuntutan Rakyat untuk Keadilan Iklim (People's Demands for Climate Justice) yang ditandatangani oleh 292,000 individu dan 366 organisasi, menggesa agar delegasi kerajaan di COP24 untuk menerima enam tuntutan keadilan iklim mereka.[36] Salah satu tuntutan tersebut ialah "Memastikan negara maju menunaikan “Bahagian Adil” (Fair Share) mereka kerana merekalah yang menyebabkan krisis ini."

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Polluter pays as environmental management principle". The Herald. Zimbabwe. 18 Mei 2016. Dicapai pada 26 April 2022.
  2. ^ Noah S. Diffenbaugh; Marshall Burke (22 April 2019). "Global warming has increased global economic inequality". Proceedings of the National Academy of Sciences of the United States of America (PNAS). doi:10.1073/pnas.1816020116. Dicapai pada 26 April 2022.
  3. ^ Lihat, sebagai contohnya, Pangkalan Data Perundangan Iklim Diarkibkan 9 April 2011 di Wayback Machine Program Keadilan Iklim.
  4. ^ (dalam bahasa Perancis) Patricia Jolly, "Les Pays-Bas sommés par la justice d'intensifier leur lutte contre le changement climatique" Diarkibkan 12 Oktober 2018 di Wayback Machine, Le Monde, 9 Oktober 2018 (dicapai pada 18 Oktober 2018).
  5. ^ "As young people, we urge financial institutions to stop financing fossil fuels". Climate Home News. 9 November 2020. Dicapai pada 31 January 2021.
  6. ^ Climate Change and Land: An IPCC Special Report on climate change, desertification, land degradation, sustainable land management, food security, and greenhouse gas fluxes in terrestrial ecosystems. IPCC. 2019. m/s. 17.
  7. ^ Global Humanitarian Forum (1 Oktober 2009) Kofi Annan launches climate justice campaign track Diarkibkan 15 Julai 2011 di Wayback Machine, Global Humanitarian Formum, 1 Oktober 2009.
  8. ^ Wendy Koch, Study: Climate change affects those least responsible Diarkibkan 7 Disember 2015 di Wayback Machine, USA Today, 7 Mac 2011
  9. ^ Africa Speaks up on Climate Change Diarkibkan 19 Disember 2018 di Wayback Machine
  10. ^ a b Peter Newell, Shilpi Srivastava, Lars Otto Naess, Gerardo A. Torres Contreras and Roz Price, "Towards Transformative Climate Justice: Key Challenges and Future Directions for Research," Working Paper Volume 2020, Number 540 (Sussex, UK: Institute for Development Studies, Julai 2020)
  11. ^ Institut Penyelidikan Pembangunan Sosial PBB (UNRISD) (2016) "Policy Innovations for Transformative Change: Implementing the 2030 Agenda for Sustainable Development", Geneva: UNRISD
  12. ^ Jafry, Tahseen, penyunting (2019). Routledge handbook of climate justice. Abingdon, Oxon. ISBN 978-1-315-53768-9. OCLC 1056201868.
  13. ^ Edward Cameron, Tara Shine, and Wendi Bevins, "Climate Justice: Equity and justice informing a new climate agreement," Working Paper (Washington, DC: World Resources Institute & Mary Robinson Foundation, September 2013)
  14. ^ Powers, Melissa (4 December 2019). "Energy transition: reforming social metabolism". Research Handbook on Global Climate Constitutionalism. SSRN 3376212.
  15. ^ Newell, Peter; Mulvaney, Dustin (2013). "The political economy of the 'just transition'". The Geographical Journal (dalam bahasa Inggeris). 179 (2): 132–140. doi:10.1111/geoj.12008. ISSN 1475-4959.
  16. ^ Ciplet, David; Harrison, Jill Lindsey (15 April 2020). "Transition tensions: mapping conflicts in movements for a just and sustainable transition". Environmental Politics. 29 (3): 435–456. doi:10.1080/09644016.2019.1595883. ISSN 0964-4016. S2CID 159439879.
  17. ^ "Five ways to achieve climate justice". The Guardian (dalam bahasa Inggeris). 12 Januari 2015. Dicapai pada 29 Oktober 2021.
  18. ^ McKendry, Corina (15 November 2016). McKendry, Corina (penyunting). "Participation, Power and the Politics of Multiscalar Climate Justice". The WSPC Reference on Natural Resources and Environmental Policy in the Era of Global Change. WORLD SCIENTIFIC. 2: 393–413. doi:10.1142/9789813208162_0017. ISBN 978-981-4713-72-6.
  19. ^ "Climate change and social justice: an evidence review". JRF (dalam bahasa Inggeris). 11 Februari 2014. Dicapai pada 29 Oktober 2021.
  20. ^ "AR6 Climate Change 2022: Impacts, Adaptation and Vulnerability — IPCC". Dicapai pada 2022-03-18.
  21. ^ World People's Conference on Climate Change and the Rights of Mother Earth April 22nd, Cochabamba, Bolivia - People's Agreement (Laporan). World People's Conference on Climate Change and the Rights of Mother Earth. 22 April 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 Disember 2019. Dicapai pada 20 Disember 2019.
  22. ^ Bolin, Bert (2007). A history of the science and politics of climate change : the role of the Intergovernmental Panel on Climate Change. Bert Bolin. Cambridge, England: Cambridge University Press. m/s. 69. ISBN 978-0-521-08873-2. OCLC 1058098098.
  23. ^ Agarwal, Anil; Narain, Sunita (2019-11-21). Global Warming in an Unequal World: A Case of Environmental Colonialism. India in a Warming World (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. m/s. 81–91. doi:10.1093/oso/9780199498734.003.0005. ISBN 978-0-19-949873-4. Dicapai pada 2022-03-09.
  24. ^ "UNITED NATIONS FRAMEWORK CONVENTION ON CLIMATE CHANGE" (PDF). 1992. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 7 Mei 2022. Dicapai pada 9 Mac 2022.
  25. ^ Cripps, Elizabeth (2022). What climate justice means and why we should care. London. ISBN 978-1-4729-9183-6. OCLC 1295438411.
  26. ^ Moellendorf, Darrel (2022). Mobilizing hope : climate change and global poverty. New York, NY. ISBN 978-0-19-087561-9. OCLC 1285485609.
  27. ^ "Alternative Summit Opens with Call for Climate Justice". CorpWatch. 19 November 2000. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 April 2016.
  28. ^ "WORLD SUMMIT ON SUSTAINABLE DEVELOPMENT (WSSD): JOHANNESBURG, AUGUST 26 - SEPTEMBER 4, 2002". worldsummit2002.org. Heinrich Böll Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 September 2002.
  29. ^ a b Bali Principles of Climate Justice (PDF). EJNet.org (Laporan). 29 Ogos 2002. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 1 April 2016. Dicapai pada 20 Disember 2019.
  30. ^ "Durban Group for Climate Justice". Transnational Institute. 6 Julai 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 April 2016. Dicapai pada 6 April 2016.
  31. ^ "The Global Humanitarian Forum Annual Meeting 2008". Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Januari 2010. Dicapai pada 28 Jun 2017.
  32. ^ "Climate Change and Justice: On the road to Copenhagen". Heinrich Böll Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Disember 2018.
  33. ^ "100,000 March for System Change not climate change in Copenhagen with mass arrests". Indymedia. 13 Disember 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Disember 2018.
  34. ^ "World People's Conference on Climate Change and the Rights of Mother Earth, People's Agreement". Cochabamba, Bolivia. 22 April 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Julai 2011.
  35. ^ "Mary Robinson Foundation – Climate Justice | Climate Justice Dialogue". www.mrfcj.org. Dicapai pada 2022-03-18.
  36. ^ "The People's Demands for Climate Justice". The People's Demands for Climate Justice. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Mac 2022. Dicapai pada 8 Disember 2018.