Pergi ke kandungan

Kecelaruan kulit anjing

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kecelaruan kulit merupakan antara masalah kesihatan paling lazim pada anjing dan mempunyai banyak punca. Keadaan kulit dan lapis bulu anjing juga merupakan penunjuk penting bagi kesihatan umumnya. Kecelaruan kulit anjing berbeza-beza daripada masalah akut batas diri kepada masalah kronik atau berpanjangan yang memerlukan rawatan seumur hidup. Kecelaruan kulit mungkin bersifat primer atau sekunder (kerana penggaruan, kegatalan), lalu menjadikan diagnosis rumit.

Kecelaruan kulit berantarakan imun

[sunting | sunting sumber]

Penyakit kulit mungkin disebabkan oleh kekurangan atau kegiatan berlebihan gerak balas imun. Dalam kes bilamana terdapat gerak balas imun tidak mencukupi, penyakit ini biasanya diperihalkan oleh penyakit sekunder yang terhasil. Contohnya termasuk peningkatan kerentanan terhadap kurap demodeks dan jangkitan kulit berulang, seperti jangkitan Malassezia atau jangkitan bakteria. Gerak balas imun meningkat tetapi memudaratkan dapat dibahagikan kepada kecelaruan kehiperpekaan seperti dermatitis atopi dan kecelaruan autoimun (keautoimunan), seperti pemfigus dan lupus eritematosus diskoid.[1][2]

Dermatitis atopi

[sunting | sunting sumber]

Atopi ialah penyakit kulit alahan keturunan[3] dan kronik (sepanjang hayat). Tanda biasanya bermula pada usia antara 6 bulan dengan 3 tahun, dengan sesetengah baka anjing, seperti anjing pengutip keemasan, yang menunjukkan tanda pada usia lebih muda. Anjing dengan dermatitis atopi mengalami kegatalan, terutamanya di sekeliling mata, muncung, telinga, dan kaki. Dalam kes parah, kerengsaan adalah menyeluruh. Jika alergen adalah bermusim, tanda kerengsaan adalah turut bermusim. Banyak anjing yang menghidap alahan tungau habuk rumah menghidap penyakit saka.[4] Sesetengah alergen yang dikaitkan dengan atopi pada anjing termasuk debunga daripada pokok, rumput, dan rumpai, serta kulapuk dan tungau habuk rumah. Jangkitan telinga dan kulit oleh bakteria Staphylococcus pseudintermedius dan yis Malassezia pachydermatis lazimnya bersifat sekunder kepada dermatitis atopi.[5]

Anjing dengan keadaan ini kerap hadir dengan eritema. Ketiak, abdomen ventral, hujung distal, cuping dalam; dan kawasan periokular, kawasan perioral, dan kawasan perianal lazimnya terjejas. Pruritus dan keradangan mungkin mengakibatkan alopesia aruhan diri dan ekskoriasi. Otitis eksterna hadir pada separuh daripada semua anjing dengan dermatitis atopi.[5]

Alahan makanan dapat dikaitkan dengan tanda seiras dan sesetengah pihak berkuasa menganggap alahan makanan anjing sebagai sejenis dermatitis atopi.[6] Alahan makanan dapat dikenal pasti melalui penggunaan percubaan diet penghapusan yang dalamnya diet baharu atau diet protein terhidrolisis digunakan selama sekurang-kurangnya 6 minggu.

Diagnosis dermatitis atopi adalah melalui penghapusan punca lain kerengsaan, termasuk pinjal, tungau, dan parasit lain, seperti Cheyletiella dan kutu. Alahan kepada aeroalergen dapat dikenal pasti dengan menggunakan pengujian alahan intradermis dan/atau pengujian darah (ELISA IgE spesifik alergen).

Rawatan termasuk penghindaran alergen pencetus jika mungkin, tetapi, untuk kebanyakan anjing, ini adalah tidak praktikal atau berkesan. Rawatan lain memodulasi gerak balas imun buruk terhadap alergen dan termasuk antihistamin, steroid, siklosporin, dan imunoterapi (suatu proses yang dalamnya alergen disuntikkan untuk mencuba untuk mengaruh toleransi).[7] Dalam kebanyakan kes, syampu, sapuan berubat, dan pembersih telinga diperlukan untuk mencuba untuk mencegah kepulangan jangkitan.

Penyakit kulit autoimun

[sunting | sunting sumber]

Pemfigus foliaseus ialah penyakit autoimun anjing paling lazim.[1] Lepuh di dalam epidermis cepat-cepat pecah untuk membentuk kerak dan hakisan, paling kerap menjejaskan muka dan telinga pada mulanya, tetapi dalam sesetengah kes merebak ke seluruh tubuh. Pad kaki dapat terjejas, lalu menyebabkan hiperkeratosis ketara (penebalan pad dengan sisik). Penyakit autoimun lain termasuk pemfigoid berbula dan epidermolisis bulosa akuisita.

Rawatan bagi penyakit kulit autoimun pada anjing memerlukan kaedah untuk mengurangkan gerak balas imun abnormal; steroid, azatioprina, dan ubat lain digunakan sebagai agen imunosupresif.[1]

Penyakit kulit fizikal dan persekitaran

[sunting | sunting sumber]

Tompok panas

[sunting | sunting sumber]

Tompok panas, atau dermatitis lembap akut, ialah kawasan meradang akut dan terjangkit dengan kerengsaan kulit yang terhasil dan diperparah apabila anjing menjilat dan menggigit dirinya. Tompok panas dapat bermanifestasi dan merebak dengan cepat dalam masa beberapa jam, kerana jangkitan sekunder Staphylococcus menyebabkan lapisan atas kulit berpecah dan nanah menjadi terperangkap di dalam bulu. Tompok panas dapat dirawat dengan ubat kortikosteroid dan penerapan antibiotik oral atau topikal, serta pengguntingan bulu dari sekeliling lesi. Punca dasar termasuk dermatitis alahan pinjal atau penyakit kulit alahan lain. Anjing dengan lapis bulu bawah tebal adalah paling rentan untuk menghidap tompok panas.[8]

Granuloma jilat akral

[sunting | sunting sumber]
Granuloma jilat daripada penjilatan berlebihan

Granuloma jilat ialah kawasan ternaik dan biasanya berulser pada hujung pada anjing yang disebabkan oleh jilatan kompulsif berterusan oleh anjing itu sendiri. Jilatan kompulsif ditakrifkan sebagai jilatan melebihi yang diperlukan untuk dandanan atau penerokaan standard dan mewakili perubahan dari segi tingkah laku tipikal haiwan berkenaan dan mengganggu kegiatan atau fungsi lain (cth., makan, minum, main, interaksi dengan orang) dan tidak dapat semudahnya dicelah.[9]

Penyakit kulit berjangkit

[sunting | sunting sumber]
Seekor anjing dengan perengsaan kulit dan keguguran bulu pada tungkainya disebabkan oleh kurap demodeks

Penyakit kulit berjangkit bagi anjing termasuk jangkitan atau infestasi berjangkit dan tidak berjangkit. Jangkitan berjangkit termasuk penyakit kulit parasit, bakteria, kulat, dan virus.

Salah satu penyakit kulit parasit berjangkit paling lazim ialah kurap sarkoptik (skabies). Satu lagi ialah kurap yang disebabkan oleh tungau Demodex (demodikosis), walaupun bentuk kurap ini tidak berjangkit. Satu lagi infestasi berjangkit disebabkan oleh tungau, Cheyletiella. Anjing dapat diinfestasi dengan kutu berjangkit.

Ektoparasit lain, termasuk infestasi pinjal dan sengkenit tidak dianggap berjangkit secara langsung tetapi diperoleh daripada persekitaran dengan perumah berinfestasi lain yang telah mengasaskan kitaran hayat parasit.

Kurap (dermatofitosis) ialah jangkitan kulat yang dapat berjangkit kepada anjing lain serta manusia.[10] Ini ialah salah satu penyakit kulit paling kerap.[11] Anjing dapat dijangkiti melalui sentuhan langsung dengan anjing terjangkit lain, gosokan pada permukaan yang disentuh oleh anjing terjangkit,[12] serta sentuhan dengan spesies kurap yang hidup di dalam tanah.[13] Kurap berbentuk bulat[10] atau gelang.[14] Gejala kurap dapat termasuk keguguran bulu pada bahagian kawasan terjangkit,[13] kegatalan (mungkin berlaku atau tidak berlaku),[12] Kurap cenderung berlaku lebih banyak pada anak anjing berbanding dengan anjing dewasa.[14] Kurap bukan keadaan mengancam nyawa tetapi lawatan veterinar biasanya diperlukan untuk mengesahkan diagnosis dan dipreskripsi ubat topikal atau oral untuk kurap.[12]

Anjing dengan dermatitis disebabkan oleh Malassezia (ragi)

Jangkitan kulit tidak berjangkit dapat terhasil apabila flora kulit bakteria atau kulat normal dibiarkan membiak dan menyebabkan penyakit kulit. Contoh lazim pada anjing termasuk Staphylococcus intermedius pyoderma dan Malassezia dermatitis yang disebabkan oleh pertumbuhan berlebihan Malassezia pachydermatis.

Reput Alabama, yang dipercayai disebabkan oleh toksin E. coli, juga menyebabkan lesi kulit dan akhirnya kegagalan ginjal dalam 25% daripada jumlah kes.[perlu rujukan]

Dermatitis alahan pinjal

[sunting | sunting sumber]

Penyakit kulit keturunan dan perkembangan

[sunting | sunting sumber]

Sesetengah penyakit merupakan keabnormalan bawaan bagi struktur atau fungsi kulit. Ini termasuk dermatitis seborea, iktiosis, sindrom kerapuhan kulit (Ehlers–Danlos), displasia folikel anjing keturunan, dan hipotrikosis, seperti alopesia pencairan warna.

Selulitis juvenil, yang juga dikenali sebagai cekikan anak anjing, ialah penyakit kulit anak anjing dengan etiologi yang tidak diketahui, yang paling berkemungkinan mempunyai komponen kebakaan yang berkaitan dengan sistem imun.[15]

Dermatosis lupoid ialah penyakit resesif autosom keturunan yang telah dikenal pasti pada anjing penuding berbulu pendek Jerman dan anjing penuding berbulu pendek Hungary. Tanda klinikal biasanya bermula sebelum usia satu tahun. Anjing dengan keadaan ini mempunyai jangka hayat lemah dan kerap dieutanasia selepas diagnosis.[16] Tanda klinikal termasuk: eritema muka, kerakan dan sisikan,[17] lesi kulit, ketempangan, ulser, dan pencacatan rupa: ini berkembang ke arah sakit sendi dan azoospermia pada jantan dan gangguan kitaran estrus pada betina.[16]

Manifestasi kutis penyakit dalaman

[sunting | sunting sumber]

Sesetengah penyakit sistemik dapat menjadi bergejala sebagai kecelaruan kulit. Ini termasuk banyak keabnormalan endokrin (hormon), seperti hipotiroidisme, sindrom Cushing (hiperadrenokortisisme), dan tumor bagi ovari atau testis.

Dasar nutrisi kecelaruan kulit

[sunting | sunting sumber]

Asid lemak perlu

[sunting | sunting sumber]

Banyak kecelaruan kulit anjing dapat mempunyai dasar dalam nutrisi buruk. Pensuplemenan bagi kedua-dua asid lemak omega 3 dan 6 telah ditunjukkan mengantarai gerak balas kulit keradangan yang terlihat dalam penyakit kronik.[18] Asid lemak omega 3 semakin digunakan untuk merawat kulit gatal dan merengsa. Sekumpulan anjing yang menerima suplemen dengan asid lemak omega 3 (660 mg/kg [300 mg/lb] berat badan/hari) bukan hanya mengalami penambahbaikan keadaan gatal, tetapi juga menunjukkan penambahbaikan keseluruhan dari segi keadaan kulit.[18] Tambahan pula, diet yang kekurangan asid lemak perlu biasanya hadir sebagai bulu kusut dan tidak terjaga sebagai tanda pertama bagi kekurangan.[18] Asid eikosapentaenoik (EPA), iaitu suatu omega 3 cukup terkenal, berfungsi dengan mencegah sintesis bagi satu lagi metabolit omega yang dikenali sebagai asid arakidonik.[19] Asid arakidonik ialah suatu omega 6, yang menjadikannya proradang. Walaupun tidak selalu demikian, asid lemak omega 6 menggalakkan keradangan kulit, yang seterusnya mengurangkan penampilan dan kesihatan keseluruhan.[19] Terdapat manfaat kulit daripada kedua-dua lipid ini, kerana kekurangan omega 6 membawa kepada pengurangan keupayaan untuk sembuh dan risiko lebih tinggi bagi jangkitan, yang juga mengurangkan kesihatan kulit.[18] Lipid pada umumnya memberikan manfaat kepada kesihatan kulit anjing, kerana memberikan khasiat kepada epidermis dan mengekalkan kelembapan untuk mencegah kulit kering dan mengelupas.[20]

Vitamin ialah salah satu daripada banyak faktor nutrisi yang mengubah penampilan luaran anjing. Vitamin larut lemak A dan E memainkan peranan genting dalam mengekalkan kesihatan kulit. Vitamin A, yang juga dapat disuplemenkan sebagai beta-karotena, mencegah kemerosotan tisu epitelium yang dikaitkan dengan penyakit kulit kronik dan penuaan.[21] Kekurangan vitamin A dapat membawa kepada kulit bersisik dan isu lain berkaitan dengan dermatitis seperti alopesia.[22] Vitamin E ialah antioksidan.[23] Vitamin E meneutralkan radikal bebas yang bertumpuk di dalam sel amat proliferatif seperti kulit dan mencegah kemerosotan tisu gentian yang disebabkan oleh molekul terion ini.[24] Terdapat juga dua vitamin larut air yang menyumbang kepada kesihatan kulit. Riboflavin (B2) ialah kofaktor kepada metabolisme bagi karbohidrat dan, apabila kurang dalam diet, membawa kepada kulit merekah dan rapuh.[25] Biotin (B7) ialah satu lagi vitamin B yang, apabila kurang, membawa kepada alopesia.[25]

Mineral mempunyai banyak peranan di dalam badan, yang termasuk tindakan sebagai antioksidan bermanfaat.[24] Selenium ialah nutrien perlu, yang patut hadir dalam jumlah surih dalam diet.[24] Seperti antioksidan lain, selenium bertindak sebagai kofaktor untuk meneutralkan radikal bebas.[24] Mineral lain bertindak sebagai kofaktor penting kepada proses biologi yang berkaitan dengan kesihatan kulit. Zink memainkan peranan penting dalam sintesis protein, yang membantu dalam mengekalkan keanjalan kulit. Dengan menyertakan zink dalam diet, ini bukan hanya membantu dalam perkembangan kolagen dan penyembuhan luka, tetapi juga mencegah kulit daripada menjadi kering dan mengelupas.[26] Tembaga terlibat dalam berbilang tapak jalan enzim.[27] Pada anjing, kekurangan tembaga mengakibatkan pengkeratinan tidak lengkap yang membawa kepada kulit kering dan hipopigmentasi.[27] Gabungan rumit mineral surih dalam diet merupakan komponen kunci bagi kesihatan kulit dan sebahagian daripada diet lengkap dan seimbang.

  1. ^ a b c Barnes, Courtney; Weir, Malcolm; Ward, Ernest. "Autoimmune Skin Disease in Dogs" [Penyakit Kulit Autoimun pada Anjing] (dalam bahasa Inggeris). VCA Animal Hospitals. Dicapai pada 3 November 2025.
  2. ^ Tait, Jennie (17 Disember 2018). "Immune-Mediated Skin Disorders of Dogs" [Kecelaruan Kulit Berantarakan Imun bagi Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Today's Veterinary Nurse. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 November 2019. Dicapai pada 3 November 2025.
  3. ^ Shaw, Stephen Charles; Wood, James Lionel Norman; Freeman, Julia; Littlewood, Janet D.; Hannant, Duncan (1 Julai 2004). "Estimation of heritability of atopic dermatitis in Labrador and Golden Retrievers" [Anggaran kebolehwarisan dermatitis atopi pada anjing pengutip Labrador dan anjing pengutip keemasan]. American Journal of Veterinary Research (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Perubatan Veterinar Amerika. 65 (7): 1014–1020. doi:10.2460/ajvr.2004.65.1014. ISSN 1943-5681. PMID 15281664. S2CID 21776444.
  4. ^ Favrot, Claude; Steffan, Jean; Seewald, Wolfgang; Picco, Federicca (28 Januari 2010). "A prospective study on the clinical features of chronic canine atopic dermatitis and its diagnosis" [Kajian prospektif tentang ciri klinikal dermatitis atopi anjing kronik dan diagnosisnya]. Veterinary Dermatology (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 21 (1): 23–31. doi:10.1111/j.1365-3164.2009.00758.x. ISSN 1365-3164. PMID 20187911. S2CID 822245.
  5. ^ a b Gedon, Natalie Katharina Yvonne; Mueller, Ralf Steffen (5 Oktober 2018). "Atopic dermatitis in cats and dogs: a difficult disease for animals and owners" [Dermatitis atopi pada kucing dan anjing: penyakit menyukarkan untuk haiwan dan pemilik]. Clinical and Translational Allergy (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 8 (1). doi:10.1186/s13601-018-0228-5. ISSN 2045-7022. PMC 6172809. PMID 30323921. S2CID 52986534. Unknown parameter |article-number= ignored (bantuan)
  6. ^ Picco, Federicca; Zini, Eric; Nett-Mettler, Claudia S.; Nägeli-Schenker, Catherine; Bigler, Beat; Rüfenacht, Silvia; Roosje, Petra J.; Ricklin Gutzwiller, Meret Elisabeth; Wilhelm, Sylvie; Pfister, Jean C.; Meng, Elisabeth; Favrot, Claude (28 Jun 2008). "A prospective study on canine atopic dermatitis and food-induced allergic dermatitis in Switzerland" [Kajian prospektif tentang dermatitis atopi anjing dan dermatitis alahan cetusan makanan di Switzerland]. Veterinary Dermatology (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 19 (3): 150–155. doi:10.1111/j.1365-3164.2008.00669.x. ISSN 1365-3164. PMID 18477331. S2CID 205392905.
  7. ^ Olivry, Thierry; Foster, Aiden P.; Mueller, Ralf Steffen; McEwan, Neil A.; Chesney, Christopher; Williams, Hywel Charles (28 Januari 2010). "Interventions for atopic dermatitis in dogs: a systematic review of randomized controlled trials" [Campur tangan untuk dermatitis atopi pada anjing: semakan sistematik bagi percubaan terkawal terawak]. Veterinary Dermatology (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 21 (1): 4–22. doi:10.1111/j.1365-3164.2009.00784.x. hdl:1983/e37fa1ee-d1bc-49f4-ba2a-4f4630878e18. ISSN 1365-3164. PMID 20187910. S2CID 35824048.
  8. ^ "Hot Spots in Dogs" [Tompok Panas pada Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Pet Health Network. Dicapai pada 3 November 2025.
  9. ^ "Other Canine Behavioral Problems" [Masalah Tingkah Laku Anjing Lain] (dalam bahasa Inggeris). Merck Veterinary Manual. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Februari 2009. Dicapai pada 24 Jun 2013.
  10. ^ a b "Disease risks for dogs in social settings" [Risiko penyakit untuk anjing dalam persekitaran sosial] (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Perubatan Veterinar Amerika. Dicapai pada 3 November 2025.
  11. ^ Chermette, René; Ferreiro, Laerte; Guillot, Jacques (14 Mei 2008). "Dermatophytoses in Animals" [Dermatofitosis pada Haiwan]. Mycopathologia (dalam bahasa Inggeris). Springer Science+Business Media. 166 (5): 385–405. doi:10.1007/s11046-008-9102-7. ISSN 1573-0832. PMID 18478363. S2CID 9294569.
  12. ^ a b c Burke, Anna (24 Mei 2021). "Ringworm in Dogs: Signs, Symptoms, Treatment" [Kurap pada Anjing: Tanda, Gejala, Rawatan] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 3 November 2025.
  13. ^ a b Howe, Stephanie (1 Februari 2022). "Ringworm in Dogs" [Kurap pada Anjing] (dalam bahasa Inggeris). PetMD. Dicapai pada 3 November 2025.
  14. ^ a b "Remedies for Dog Ringworm" [Ubat untuk Kurap Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Disemak oleh Amy Flowers. WebMD. 8 Disember 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Oktober 2021. Dicapai pada 3 November 2025.CS1 maint: others (link)
  15. ^ Martens, Sabrina M. (Februari 2016). "Juvenile cellulitis in a 7-week-old golden retriever dog = Cellulite juvénile chez un chien Golden retriever âgé de 7 semaines" [Selulitis juvenil pada seekor anjing pengutip keemasan berusia 7 minggu]. Canadian Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). Canadian Veterinary Medical Association. 57 (2): 202–203. ISSN 0008-5286. PMC 4713003. PMID 26834274. S2CID 21961980.
  16. ^ a b "Lupoid Dermatosis (Exfoliative Cutaneous Lupus Erythematosus)" [Dermatosis Lupoid (Lupus Eritematosus Kutis Eksfoliat)] (dalam bahasa Inggeris). Sekolah Perubatan Veterinar Universiti Pennsylvania. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Februari 2024. Dicapai pada 3 November 2025.
  17. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion: Small Animal Dermatology [Teman Klinikal Rujukan Veterinar Lima Minit Blackwell: Dermatologi Haiwan Kecil] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 67. ISBN 9780813815961. OCLC 645598149.
  18. ^ a b c d Kirby, Naomi A.; Hester, Shaleah Lynnae; Bauer, John E. (1 Jun 2007). "Dietary fats and the skin and coat of dogs" [Lemak diet dan kulit dan lapis bulu anjing]. Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Perubatan Veterinar Amerika. 230 (11): 1641–1644. doi:10.2460/javma.230.11.1641. ISSN 1943-569X. PMID 17542730. S2CID 1602086.
  19. ^ a b Lee, Je Min; Lee, Hyungjae; Kang, Seok-Beom; Park, Woo Jung (4 Januari 2016). "Fatty Acid Desaturases, Polyunsaturated Fatty Acid Regulation, and Biotechnological Advances" [Desaturase Asid Lemak, Pengawalaturan Asid Lemak Politaktepu, dan Kemajuan Bioteknologi]. Nutrients (dalam bahasa Inggeris). MDPI. 8 (1): 23. doi:10.3390/nu8010023. ISSN 2072-6643. PMC 4728637. PMID 26742061. S2CID 15482421.
  20. ^ Bellows, Jan; Colitz, Carmen M. H.; Daristotle, Leighann; Ingram, Donald K.; Lepine, Allan; Marks, Stanley Leon; Sanderson, Sherry Lynn; Tomlinson, Julia E.; Zhang, Jin (1 Januari 2015). "Common physical and functional changes associated with aging in dogs" [Perubahan fizikal dan perubahan fungsian lazim yang berkaitan dengan penuaan pada anjing]. Journal of the American Veterinary Medical Association (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Perubatan Veterinar Amerika. 246 (1): 67–75. doi:10.2460/javma.246.1.67. ISSN 1943-569X. PMID 25517328. S2CID 34402354.
  21. ^ Watson, Timothy D. G. (Disember 1998). "Diet and Skin Disease in Dogs and Cats" [Diet dan Penyakit Kulit pada Anjing dan Kucing]. Journal of Nutrition (dalam bahasa Inggeris). American Society for Nutrition. 128 (12): S2783–S2789. doi:10.1093/jn/128.12.2783S. ISSN 1541-6100. PMID 9868266. S2CID 19054050.
  22. ^ Baviskar, Snehlata U.; Chandran, Jayanthy; Balasubramanian, Nagarajan (Jun 2013). "Vitamin-A Responsive Dermatosis in a Dog" [Dermatosis Responsif Vitamin A pada Seekor Anjing]. Intas Polivet (dalam bahasa Inggeris). Intas Pharmaceuticals. 14 (2): 210. ISSN 2249-8796.
  23. ^ Debier, Cathy; Larondelle, Yvan (Februari 2005). "Vitamins A and E: metabolism, roles and transfer to offspring" [Vitamin A dan vitamin E: metabolisme, peranan, dan pemindahan kepada anak]. British Journal of Nutrition (dalam bahasa Inggeris). Cambridge University Press. 93 (2): 153–174. doi:10.1079/BJN20041308. ISSN 1475-2662. PMID 15788108. S2CID 4686710.
  24. ^ a b c d Case, Linda P.; Daristotle, Leighann; Hayek, Michael G.; Raasch, Melody Foess (2011). Canine and Feline Nutrition: A Resource for Companion Animal Professionals [Pemakanan Anjing dan Kucing: Sumber untuk Profesional Haiwan Teman] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-3). Maryland Heights, Missouri, Amerika Syarikat: Mosby. doi:10.1016/C2009-0-39175-8. ISBN 9780323066198. OCLC 501273989.
  25. ^ a b Last, John Murray, penyunting (23 November 2006). A Dictionary of Public Health [Kamus Kesihatan Awam] (dalam bahasa Inggeris). Oxford, United Kingdom: Oxford University Press. ISBN 9780195160901. OCLC 63176655.
  26. ^ Marsh, Katrina A.; Ruedisueli, F. L.; Coe, S. L.; Watson, Timothy D. G. (Disember 2000). "Effects of zinc and linoleic acid supplementation on the skin and coat quality of dogs receiving a complete and balanced diet" [Kesan pensuplemenan zink dan asid linoleik terhadap kualiti kulit dan lapis bulu anjing yang menerima diete lengkap dan seimbang]. Veterinary Dermatology (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 11 (4): 277–284. doi:10.1046/j.1365-3164.2000.00202.x. hdl:10779/lincoln.24364090. ISSN 1365-3164. S2CID 71736067.
  27. ^ a b Tewari, Dharmesh; Singh, Vijay Kumar; Gautam, Sachin; Dwivedi, V. (Jun 2013). "Nutritional Dermatosis - A Review" [Dermatosis Nutrisi - Semakan]. Intas Polivet (dalam bahasa Inggeris). Intas Pharmaceuticals. 14 (2): 199–202. ISSN 2249-8796.