Pergi ke kandungan

Kelainan (linguistik)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Dalam sosiolinguistik, kelainan bahasa atau varieti, turut dikenali sebagai lek atau isolek,[1] adalah bentuk khusus bagi suatu bahasa atau kelompok bahasa. Ini mungkin termasuk bahasa, dialek, laras, ragam, atau bentuk bahasa lain, serta varieti baku.[2] Penggunaan perkataan varieti untuk merujuk kepada bentuk-bentuk yang berbeza mengelakkan penggunaan istilah bahasa, yang bagi kebanyakan orang hanya dikaitkan dengan bahasa baku, dan istilah dialek, yang sering dikaitkan dengan bentuk bahasa tidak standard yang dianggap kurang berprestij atau "betul" berbanding bahasa baku.[3] Ahli linguistik membincangkan kedua-dua varieti baku dan tidak baku (vernakular)[4] sebagai bentuk bahasa yang sama kompleks, sah, dan lengkap. Istilah lek mengelakkan masalah dalam kes-kes yang kabur untuk menentukan sama ada dua varieti adalah bahasa yang berbeza atau dialek bagi satu bahasa yang sama.

Variasi pada peringkat leksikon, seperti slanga dan argot, sering dipertimbangkan dalam hubungan dengan ragam atau tahap formaliti tertentu (juga dipanggil laras), tetapi penggunaan sedemikian kadang-kadang dibincangkan sebagai varieti juga.[2]

O'Grady et al. mentakrifkan dialek: "Varieti bahasa tempatan atau sosial yang dicirikan oleh sifat fonologi, sintaksis, dan leksikonnya sendiri."[5] Varieti yang dituturkan di kawasan tertentu dipanggil dialek tempatan (regiolek, geolek[6]); sesetengah varieti tempatan dipanggil regionalek[7] atau topolek, terutamanya untuk membincangkan varieti bahasa Cina.[8] Selain itu, terdapat varieti yang dikaitkan dengan kumpulan etnik tertentu (kadang-kadang dipanggil etnolek), kelas sosioekonomi (kadang-kadang dipanggil sosiolek), atau kumpulan sosial atau budaya lain.

Dialektologi ialah kajian tentang dialek dan taburan geografis atau sosial mereka.[5] Secara tradisionalnya, ahli dialektologi mengkaji varieti bahasa yang digunakan dalam komuniti pertuturan tertentu, iaitu sekumpulan orang yang berkongsi set norma atau kelaziman dalam penggunaan bahasa.[2]

Untuk mengelakkan masalah yang rumit dalam membezakan dialek dengan bahasa, sesetengah ahli linguistik telah menggunakan istilah komunalek[9][10] – yang ditakrifkan sebagai "istilah neutral untuk sebarang tradisi pertuturan yang terikat dengan komuniti tertentu".[11]

Baru-baru ini, ahli sosiolinguistik telah menerima konsep komuniti amalan, iaitu sekumpulan orang yang membangunkan pengetahuan bersama dan norma interaksi bersama, sebagai kumpulan sosial di mana dialek berkembang dan berubah.[12] Ahli sosiolinguistik Penelope Eckert dan Sally McConnell-Ginet menjelaskan: "Sesetengah komuniti amalan mungkin membangunkan cara bertutur yang lebih berbeza daripada yang lain. Oleh itu, dalam komuniti amalanlah pengaruh linguistik mungkin tersebar di dalam dan antara komuniti pertuturan."[13]

Perkataan dialek dan aksen sering digunakan dengan erti yang sama dalam pertuturan harian, tetapi ahli linguistik mentakrifkan kedua-dua istilah ini secara berbeza. Aksen secara amnya merujuk kepada perbezaan dalam sebutan, terutamanya yang dikaitkan dengan perbezaan geografis atau sosial, manakala dialek merujuk kepada perbezaan dalam tatabahasa dan kosa kata juga.[14]

Varieti baku

[sunting | sunting sumber]

Banyak bahasa mempunyai varieti baku, iaitu lek yang dipilih dan dipromosikan secara preskriptif oleh pihak berkuasa separa undang-undang atau institusi sosial lain, seperti sekolah atau media. Varieti baku diberikan lebih banyak prestij sosiolinguistik berbanding lek lain yang tidak baku dan secara amnya dianggap "betul" oleh penutur bahasa tersebut. Memandangkan pemilihan ini ialah standard yang sembarangan, bentuk baku adalah varieti yang "betul" hanya dalam erti kata ia dihargai secara tersirat oleh strata sosioekonomi yang lebih tinggi dan dipromosikan oleh pengaruh awam dalam hal-hal penggunaan bahasa, seperti penulis, penerbit, pengkritik, guru bahasa, dan konon penjaga bahasa. Seperti yang dinyatakan oleh Ralph Harold Fasold, "Bahasa baku malah mungkin bukan gabungan ciri linguistik terbaik yang ada. Penerimaan sosial umum yang memberikan kita standard sembarangan yang boleh digunakan, bukan superioriti sejadi ciri-ciri yang ditetapkannya."[15]

Ahli sosiolinguistik secara amnya mengiktiraf varieti baku suatu bahasa sebagai salah satu dialek bahasa tersebut.[16]

Dalam sesetengah kes, badan pengawal berwibawa seperti Académie Française,[17] mengekalkan dan mengkodifikasikan norma penggunaan untuk varieti baku. Namun lebih kerapnya, baku difahami secara tersirat, berdasarkan amalan. Menulis tentang Bahasa Inggeris Baku, John Algeo mencadangkan bahawa varieti baku "hanyalah apa yang penutur Bahasa Inggeris bersetuju untuk dianggap sebagai bagus".[18]

Laras dan ragam

[sunting | sunting sumber]

Laras (kadang-kadang dipanggil ragam) adalah varieti bahasa yang digunakan dalam suasana sosial tertentu.[19] Suasana boleh ditakrifkan dari segi formaliti yang lebih atau kurang,[20] atau dari segi peristiwa yang diiktiraf secara sosial, seperti bahasa bayi, yang digunakan dalam banyak budaya Barat untuk bercakap dengan kanak-kanak kecil atau sebagai laras bergurau yang digunakan dalam bergurau.[19] Terdapat juga laras yang dikaitkan dengan profesion atau kumpulan minat tertentu; jargon merujuk khusus kepada kosa kata yang dikaitkan dengan laras sedemikian.

Tidak seperti dialek, yang digunakan oleh komuniti pertuturan tertentu dan dikaitkan dengan suasana geografi atau pengelompokan sosial, laras dikaitkan dengan situasi komunikasi, tujuan, atau tahap formaliti tertentu, dan boleh terdiri daripada bahagian-bahagian dalam satu lek tempatan atau varieti baku. Dialek dan laras oleh itu boleh dianggap sebagai dimensi varieti linguistik yang berbeza. Sebagai contoh, Trudgill mencadangkan ayat berikut sebagai contoh dialek tidak baku yang digunakan dengan laras teknikal geografi fizikal:

There was two eskers what we saw in them U-shaped valleys.[16]

Kebanyakan penutur menguasai pelbagai laras, yang mereka gunakan dalam situasi-situasi yang berbeza. Pilihan laras dipengaruhi oleh suasana dan topik pertuturan, serta hubungan antara penutur.[21]

Bentuk bahasa yang sesuai juga mungkin berubah sepanjang peristiwa komunikasi apabila hubungan antara penutur berubah, atau fakta sosial yang berbeza-beza menjadi relevan. Penutur mungkin bertukar ragam, apabila persepsi mereka tentang peristiwa yang sedang berlangsung berubah. Pertimbangkan panggilan telefon berikut ke Kedutaan Cuba di Washington, DC.

Penelefon: ¿Es la embajada de Cuba? (Adakah ini kedutaan Cuba?)
Penyambut tetamu: Sí. Dígame. (Ya, boleh saya bantu?)
Penelefon: Es Rosa. (Ini Rosa.)
Penyambut tetamu: ¡Ah Rosa! ¿Cóma anda eso? (Oh, Rosa! Apa khabar?)

Pada mulanya, penyambut tetamu ini menggunakan laras yang agak formal, sesuai dengan peranan kerjanya. Selepas penelefon menyatakan siapa dirinya, penyambut tetamu itu sedar bahawa dia sedang bercakap dengan seorang kawan, dan dia bertukar ke laras tidak formal basahan Bahasa Sepanyol Cuba.[21] Peralihan laras ini serupa dengan peralihan kod metaforis, tetapi kerana ia melibatkan ragam atau laras, ia dianggap sebagai contoh peralihan ragam.

Idiolek ditakrifkan sebagai "penggunaan bahasa yang tipikal bagi seseorang individu".[22] Idiolek seseorang mungkin dipengaruhi oleh hubungan dengan pelbagai dialek tempatan atau sosial, laras profesional dan, dalam kes penutur multibahasa, pelbagai bahasa.[23]

Bagi sarjana yang melihat bahasa dari perspektif kompetensi bahasa, iaitu pengetahuan bahasa dan tatabahasa yang wujud dalam minda pengguna bahasa individu, idiolek ialah cara untuk merujuk kepada pengetahuan khusus tersebut. Bagi sarjana yang menganggap bahasa sebagai amalan sosial yang dikongsi, idiolek adalah lebih seperti dialek dengan komuniti pertuturan yang terdiri daripada satu sahaja individu.[24]

  1. ^ Hudson, Alfred B. 1967. The Barito isolects of Borneo: A classification based on comparative reconstruction and lexicostatistics. Data Paper no. 68, Southeast Asia Program, Department of Asian Studies, Cornell University. Ithaca, N.Y.: Cornell University,
  2. ^ a b c Meecham, Marjorie dan Janie Rees-Miller. (2001) "Language in social contexts." Dalam W. O'Grady, J. Archibald, M. Aronoff dan J. Rees-Miller (eds) Contemporary Linguistics. pp. 537-590. Boston: Bedford/St. Martin's.
  3. ^ Schilling-Estes, Natalies. (2006) "Dialect variation." Dalam R.W. Fasold dan J. Connor-Linton (eds) An Introduction to Language and Linguistics. pp. 311-341. Cambridge: Cambridge University Press.
  4. ^ Wolfram, Walt; Schilling-Estes, Natalie (1998). American English: dialects and variation. Malden, Mass.: Blackwell. m/s. 13–16.
  5. ^ a b O'Grady, William, John Archibald, Mark Aronoff, dan Jane Rees-Miller. eds. (2001) Contemporary Linguistics. Boston: Bedford/St. Martin's.
  6. ^ Christopher D. Land (21 February 2013), "Varieties of the Greek language", dalam Stanley E. Porter, Andrew Pitts (penyunting), The Language of the New Testament: Context, History, and Development, BRILL, m/s. 250, ISBN 978-9004234772
  7. ^ Daniel. W. Bruhn, Walls of the Tongue: A Sociolinguistic Analysis of Ursula K. Le Guin's The Dispossessed (PDF), m/s. 8
  8. ^ "topolect". The American Heritage Dictionary of the English Language (ed. 4th). Boston: Houghton Mifflin Harcourt. 2010.
  9. ^ Pawley, Andrew & Timoci Sayaba. 1971. Fijian dialect divisions: eastern and western Fijian. Journal of the Polynesian Society 80.4 (1971): 405-436.
  10. ^ Lihat halaman 8: Ross, Malcolm D. (1988). Proto-Oceanic and the Austronesian languages of Western Melanesia. Canberra: Australian National University. ISBN 978-0-85883-367-8. OCLC 20100109.
  11. ^ Lihat halaman 89 François, Alexandre (2012), "The dynamics of linguistic diversity: Egalitarian multilingualism and power imbalance among northern Vanuatu languages" (PDF), International Journal of the Sociology of Language (214): 85–110, doi:10.1515/ijsl-2012-0022, S2CID 145208588.
  12. ^ Lave, Jean & Etienne Wenger. (1991) Situated Learning: Legitimate Peripheral Participation. Cambridge: Cambridge University Press.
  13. ^ Eckert, Penelope & Sally McConnell-Ginet. (2003) Language and Gender. Cambridge: Cambridge University Press.
  14. ^ Lyons, John (2002) [1981]. Language and Linguistics: An introduction. Cambridge University Press. m/s. 268. ISBN 0-52-123034-9.
  15. ^ Fasold, Ralph. (2006) "The politics of language." Dalam R.W. Fasold dan J. Connor-Linton (eds) An Introduction to Language and Linguistics. pp. 371-400. Cambridge: Cambridge University Press.
  16. ^ a b Trudgill, Peter (1999). "Standard English: what it isn't". Dalam Bex, T.; Watts, R.J. (penyunting). Standard English: The Widening Debate. London: Routledge. m/s. 117–128. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 March 2009.
  17. ^ "Le Dictionnaire". Académie française (dalam bahasa Perancis). Dicapai pada 20 July 2016.
  18. ^ Algeo, John. (1993) "What Makes Good English Good?" Dalam L. Miller Cleary dan M.D. Lin (eds) Linguistics for Teachers. pp. 473-82. New York: McGraw.
  19. ^ a b Ottenheimer, Harriet Joseph. (2006) The Anthropology of Language. Belmont, CA: Wadsworth Cengage.
  20. ^ Joos, Martin. (1961) The Five Clocks. New York: Harcourt, Brace and World.
  21. ^ a b Saville-Troike, Muriel. (1982) The Ethnography of Communication: An Introduction. Oxford and Cambridge, Massachusetts: Blackwell.
  22. ^ Freeborn, Dennis, Peter French & David Langford. (1993) Varieties of English. Houndsmill and London: MacMillan Press.
  23. ^ Gregory, Michael dan Susanne Carroll. (1978) Language and situation: language varieties and their social contexts. London: Routledge.
  24. ^ Barber, Alex. (2004) "Idiolects." Stanford Encyclopedia of Philosophy. Diakses pada 07-01-2009.