Kemalangan helikopter Semenyih 2015

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Kemalangan helikopter Semenyih 2015
Ringkasan kemalangan
Tarikh5 April 2015; 4 tahun yang lalu (2015-04-05)
Tempatkira-kira 12km di utara Semenyih, Hulu Langat, Selangor
Penumpang5
Anak kapal1
Kematian6
TerselamatTiada
Jenis pesawatEurocopter AS365 Dauphin 2

Pada 4 April 2015, sekitar pukul 4.55 petang,[1] sebuah helikopter awam terhempas di sebuah kawasan pertanian berdekatan Kampung Pasir Baru, Semenyih, Selangor, menyebabkan keenam-enam orang yang menaikinya terkorban. Antara yang terkorban ialah ahli politik terkemuka negara iaitu Ahli Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

Helikopter terbabit merupakan model Eurocopter AS365 Dauphin 2 dengan pengenal 9M-IGB yang dimiliki oleh IGB Corporation dan dikendalikan oleh Cempaka Aviation, sebuah syarikat pengendalian helikopter persendirian yang dimiliki oleh mendiang Kapten Clifford William Fournier, iaitu warganegara Amerika Syarikat dan juruterbang utama helikopter ini yang turut terkorban dalam nahas ini.

Ketika nahas berlaku, ia sedang dalam perjalanan dari Kuantan ke Subang, mengangkut TS Jamaluddin dan beberapa tokoh lain dari majlis kenduri perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang ke sebuah lagi majlis kenduri perkahwinan bagi anak perempuan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias di Kuala Lumpur.

Sebelum terhempas, helikopter ini dilaporkan meletup di udara oleh beberapa saksi.[2] Helikopter ini akhirnya terhempas di atas sebuah tanah kebun getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru. Tapak hempasannya terletak kira-kira 5 km di dalam kawasan Kampung Sungai Pening, kira-kira 13 km dari pekan Semenyih.

Pasukan bomba dan penyelamat segera bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan mengenai kemalangan itu. Keenam-enam mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 10.15 malam.[3] Lima daripada mayat itu dikenal pasti secara forensik dan dituntut oleh ahli keluarga masing-masing pada keesokan harinya.[4] Lima mayat itu selain Jamaluddin dan Fournier adalah Ketua Setiausaha Sulit Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azlin Alias, pengawal peribadi Jamaluddin iaitu Razkan Seran dari Sabah, dan seorang ahli perniagaan dari Kedah iaitu Datuk Tan Huat Seang. Pada 5 April juga ditemuinya kotak hitam helikopter nahas dalam keadaan selamat.[5]

Satu lagi mayat yang belum dikenal pasti sepenuhnya malah menimbulkan keraguan umum diberi namanya sebagai Aidana Baizieva, disahkan seorang warganegara Kyrgyzstan yang mula-mula dikhabarkan merupakan pembantu juruterbang bersama Fournier tetapi dibetulkan sekadar pembantu Cempaka Aviation.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Helikopter awam terhempas di Semenyih, 6 maut". Astro Awani. 4 April 2015. Dicapai 6 April 2015. 
  2. ^ "Saksi Lihat Helikopter Meletup Di Udara". Bernama. 4 April 2015. Dicapai 6 April 2015. 
  3. ^ "Semua 6 mayat mangsa helikopter terhempas ditemui". Berita Harian. 4 April 2015. Dicapai 6 April 2015. 
  4. ^ "Mayat juruterbang Dauphin 9M-1GB dan pembantu dijangka dituntut esok". The Rakyat Post. 5 April 2015. Dicapai 6 April 2015. 
  5. ^ "Kotak hitam AS3655N2 Dauphin 9M-1GB ditemui dalam keadaan baik". The Rakyat Post. 5 April 2015. Dicapai 6 April 2015. 
  6. ^ "Semenyih crash: Woman believed to be Aidana Baizieva's sister arrives to assist in investigations". The Star Online. 6 April 2015. Dicapai 6 April 2015.