Kemangkatan dan pemakaman Putera Philip, Duke Edinburgh

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kemangkatan dan pemakaman Putera Philip,
Duke Edinburgh
Bendera Union Jack dikibarkan separuh tiang di Istana Westminster pada 9 April 2021
Tarikh9 April 2021
(Tarikh kemangkatan)
17 April 2021, jam 3 petang (BST)
(Tarikh pemakaman)
LokasiIstana Windsor, United Kingdom

Putera Philip, Duke Edinburgh, suami Ratu Elizabeth II dari United Kingdom dan alam Komanwel yang lain, pasangan diraja British yang paling lama berkhidmat dalam sejarah, mangkat di Istana Windsor pada pagi 9 April 2021. Baginda mangkat pada usia 99 tahun, dua bulan sebelum ulang tahun keputeraannya yang ke-100.[1][2] Punca kemangkatan baginda belum didedahkan oleh keluarga diraja, walaupun kenyataan rasmi mengatakan bahawa baginda "mangkat dengan aman". Pemakamannya telah berlangsung pada 17 April 2021.[3]

Kemangkatan Putera Philip bermula dengan Operasi Forth Bridge, sebuah rancangan yang memperincikan prosedur termasuk penyebaran maklumat, hari berkabung negara dan pemakaman baginda. Sebelum baginda mangkat, baginda telah menyatakan hasrat agar pemakamannya dilakukan secara sederhana. Perubahan tetap dilakukan untuk pemakaman baginda bersesuaian dengan protokol COVID-19. Ini termasuk kuarantin untuk anggota keluarga diraja yang tiba dari luar negara.

Wakil-wakil dari pelbagai negara di seluruh dunia merakamkan ucapan takziah kepada Ratu, orang British dan rakyat daripada Komanwel. Jambangan bunga dan pesanan takziah ditinggalkan oleh orang ramai di luar Istana Buckingham dan Istana Windsor. Anggota keluarga diraja juga dilihat memberi penghormatan terakhir kepada Putera Philip, beberapa hari selepas kemangkatan baginda.

Masalah kesihatan dan kemangkatan[sunting | sunting sumber]

Foto Istana Windsor pada 2019; di sinilah Putera Philip mangkat dan lokasi pemakamannya.

Putera Philip, Duke Edinburgh telah beberapa kali dimasukkan ke hospital sebelum kemangkatannya. Pada tahun 2012, baginda dimasukkan ke hospital akibat jangkitan di saluran kencing. Baginda menjalani pembedahan eksplorasi pada bahagian perutnya pada bulan Jun 2013 dan menjalani pembedahan penggantian pinggul pada bulan April 2018. Pada 16 Februari 2021, baginda dimasukkan ke Hospital King Edward VII sebagai langkah berjaga-jaga setelah dilaporkan tidak berasa sihat. Pada 1 Mac, baginda dipindahkan ke Hospital St Bartholomew dan pada 3 Mac, baginda menjalani prosedur yang berjaya untuk keadaan jantungnya yang ada. Pada 5 Mac, baginda dipindahkan kembali ke Hospital King Edward dan pada 16 Mac, baginda dibenarkan keluar dari hospital dan boleh kembali ke Istana Windsor.

Tiga minggu selepas Putera Philip dibenarkan keluar dari hospital, kemangkatan baginda diumumkan oleh keluarga diraja pada tengah hari 9 April 2021. Punca kemangkatan baginda belum didedahkan walaupun kenyataan rasmi mengatakan baginda mangkat dengan amannya.[4] Menantu Philip, Sophie, Countess Wessex mengesahkan kenyataan rasmi itu sambil menggambarkan kemangkatannya "...begitu lembut. Ia seperti seseorang mengambil tangannya dan baginda pergi."[5] Ratu dilaporkan berada di sisi katil suaminya semasa baginda mangkat.[5][6]

Pemakaman[sunting | sunting sumber]

Perarakan[sunting | sunting sumber]

Putera Philip dimakamkan dalam satu upacara sederhana mengikut istiadat diraja dan bukan istiadat pengebumian negara atas permintaan baginda. Upacara pemakaman baginda disiarkan secara langsung yang mengambil tempat di kawasan Istana Windsor yang hanya dihadiri 30 orang. Pada hari pemakaman, keranda baginda dipindahkan dari bangunan Istana Windsor pada jam 2:40 petang BST dan dibawa masuk ke Gereja Kecil St. George.[7] Keranda baginda ditempatkan di dalam sebuah Land Rover berwarna hijau gelap yang telah diubah suai oleh baginda sendiri semasa hayatnya.[8]

Keranda Putera Philip diselubung dengan bendera peribadi baginda (suku pertama mewakili Denmark, suku ke-2 mewakili Greece, suku ke-3 mewakili keluarga Mountbatten, suku ke-4 mewakili Edinburgh).

Kereta Land Rover itu kemudiannya diiringi kenderaan tentera dan keluarga diraja. Isteri Putera Philip, Ratu Elizabeth II hadir menaiki kenderaan The State Bentley dengan menggenakan kot hitam. Seramai 730 anggota Troop Royal Horse Artillery yang menyertai upacara berkenaan melaksanakan beberapa simbolik dalam mengiringi perjalanan terakhir baginda seperti alunan muzik, tembakan meriam selang lapan minit serta paluan loceng gereja. Tepat jam 3 petang BST, para hadirin bertafakur selama satu minit diiringi tembakan oleh Troop Royal Horse Artillery. Hanya anggota keluarga diraja memasuki Gereja Kecil St. George.[9] Ratu dilihat duduk berseorangan sepanjang istiadat yang berlangsung di dalam gereja. Mengikuti protokol kesihatan pandemik COVID-19, hanya 30 tetamu yang dibenarkan berada di dalam gereja termasuk kaum kebarat keluarga diraja itu. Putera Harry turut hadir bersama paduka ayahandanya, Charles, Putera Wales dan paduka kekandanya, Putera William. Istiadat pemakaman itu diketuai oleh Uskup Agung Canterbury, Justin Welby. Selesai upacara pemakaman yang berlangsung 50 minit, keranda baginda selamat disemadikan di Royal Vault di gereja.[10][11]

Rakyat di seluruh United Kingdom pula memberikan penghormatan terakhir kepada Putera Philip dengan meluangkan masa bersama untuk menonton istiadat pemakaman baginda yang disiarkan secara langsung. Loceng juga dibunyikan di Katedral Blackburn sebagai tanda penghormatan kepada baginda. Rakyat juga menyalakan lilin dengan 10 ekor burung merpati dilepaskan.[12]

Para hadirin[sunting | sunting sumber]

Keluarga terdekat[sunting | sunting sumber]

  • Ratu, balu Putera Philip
    • Putera Wales dan Duchess Cornwall, anakanda lelaki dan menantu perempuan Putera Philip
    • Puteri Diraja dan Vice Admiral Sir Timothy Laurence, anakanda perempuan dan menantu lelaki Putera Philip
      • Peter Phillips, cucunda lelaki Putera Philip
      • Zara dan Michael Tindall, cucunda perempuan dan menantu cucunda lelaki Putera Philip
    • Duke York, anakanda lelaki Putera Philip
      • Puteri Beatrice dan Edoardo Mapelli Mozzi, cucunda perempuan dan menantu cucunda lelaki Putera Philip
      • Puteri Eugenie dan Jack Brooksbank, cucunda perempuan dan menantu cucunda lelaki Putera Philip
    • Earl dan Countess Wessex, anakanda lelaki dan menantu perempuan Putera Philip
      • Lady Louise Mountbatten-Windsor, cucunda perempuan Putera Philip
      • Viscount Severn, cucunda lelaki Putera Philip

Putera Harry, yang bermastautin di California, turut ke United Kingdom untuk menghadiri pemakaman datuknya, Putera Philip. Isteri Harry, Meghan Markle tidak turut serta kerana sarat hamil anak kedua mereka. Ini adalah pertemuan pertama Harry dengan ahli keluarga diraja Britiah sejak temu bual baginda bersama Oprah Winfrey yang menjadi tumpuan umum.[13]

Reaksi[sunting | sunting sumber]

Keluarga diraja[sunting | sunting sumber]

Notis rasmi yang mengumumkan kemangkatan Putera Philip yang dipaparkan di luar Istana Holyroodhouse di Edinburgh

Secara peribadi, Ratu menganggap kemangkatan suaminya telah "meninggalkan kekosongan besar dalam hidupnya."[14]

Anakanda Duke Edinburgh iaitu Charles, Putera Wales; Anne, Puteri Diraja; Putera Andrew, Duke York; dan Putera Edward, Earl Wessex, memberi penghormatan kepada ayahanda mereka dalam satu temu bual yang disiarkan selepas kematiannya.[15][16][17] Puteri Anne menyatakan, "Tanpa baginda, hidup akan sama sekali berbeza".[16] Putera Charles juga membuat kenyataan pendek yang disiarkan di televisyen dari Highgrove House. Baginda menggambarkan ayahandanya sebagai "tokoh yang sangat disayangi dan dihargai" yang telah "memberikan layanan yang paling luar biasa dan sentiasa berbakti kepada Ratu, keluarga saya dan negara, tetapi juga kepada seluruh Komanwel".[18] Cucunda lelaki dan cucunda menantu perempuan Putera Philip, Putera Harry and Meghan Markle berkata bahawa Duke akan "sangat dirindui".[19] Harry kemudian memberikan jambangan bunga khas untuk Duke, dengan nota yang disertakan dari Meghan.[20]

Setelah mengumumkan kemangkatan Duke, laman web Keluarga Diraja sementara membuang semua kandungannya dan menggantinya dengan latar belakang hitam, yang memaparkan kenyataan dari istana,[21] sebelum buku ucapan takziah dalam talian disediakan di laman web untuk orang ramai menyampaikan penghormatan peribadi mereka, memandangkan protokol COVID-19 menghalang orang ramai berkumpul menandatangani buku ucapan takziah.[22] Sesuai dengan kehendak Ratu, keluarga diraja akan berkabung selama dua minggu bermula 9 April.

Istana Buckingham pada 9 April; bendera Union Jack dikibarkan separuh tiang.

Anakanda Duke dan Ratu, dan beberapa pasangan termasun anak-anak mereka, berkunjung ke Windsor untuk memberi sokongan moral kepada Ratu beberapa hari selepas kematian Duke,[22][23][24] dan beberapa anggota keluarga diraja menghadiri upacara peringatan di sebuah gereja kecil diraja pada 11 April.[14] Selepas upacara tersebut, Putera Andrew mengatakan bahawa British telah kehilangan "datuk negara".[25] Kemudian pada hari itu, Puteri Anne menerbitkan kenyataan bertulis di laman web Keluarga Diraja dan memberi penghormatan kepada ayahandanya, yang digambarkannya sebagai "guru, penyokong dan pengkritik".[26]

British Academy Film Awards ke-74 diadakan pada 10 hingga 11 April. Putera William, presiden British Academy of Film and Television Arts (BAFTA), sepatutnya membuat kemunculan pada kedua-dua malam tetapi menarik diri kerana kematian datuknya. Putera Philip telah menjadi presiden pertama BAFTA, dan kedua-dua malam dimulakan dengan penghormatan kepada baginda.[27][28][29]

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 12 April, Putera William menggambarkan Duke sebagai "seorang lelaki luar biasa", sambil menambah bahawa baginda berasa "beruntung kerana tidak hanya mempunyai teladannya untuk membimbing saya, tetapi kehadirannya yang berkekalan hingga ke kehidupan dewasa saya sendiri".[30] Potret yang diambil oleh isterinya, Catherine, Duchess Cambridge memamparkan anakanda lelaki mereka, Putera George, bersama Duke juga disiarkan.[31] Dalam kenyataan yang berasingan, Putera Harry mengatakan bahawa Duke adalah "orang yang penuh layanan, kehormatan dan gurau senda yang hebat" dan menambahkan bahawa dirinya, Meghan, dan anak-anak mereka akan selalu memegang "tempat istimewa" untuknya di dalam hati mereka.[32][33] Potret Ratu dan Duke bersama tujuh cucunda dan cicit mereka, juga diambil oleh Catherine, disiarkan dalam media sosial oleh anggota keluarga diraja.[34]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Prince Philip has died aged 99, Buckingham Palace announces". BBC News. 9 April 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 April 2021. Dicapai pada 9 April 2021.
  2. ^ Shields, Bevan (9 April 2021). "Prince Philip dies in Windsor Castle aged 99". The Sydney Morning Herald. Dicapai pada 9 April 2021.
  3. ^ "Prince Philip: Funeral to take place on 17 April". BBC News. 10 April 2021. Dicapai pada 10 April 2021.
  4. ^ Shields, Bevan (9 April 2021). "Prince Philip dies in Windsor Castle aged 99". Sydney Morning Herald. Dicapai pada 2021-04-12.
  5. ^ a b Davies, Caroline (11 April 2021). "Queen says Prince Philip's death has left 'a huge void'". The Guardian. Dicapai pada 2021-04-12.
  6. ^ Tominey, Camilla. "Prince Philip's peaceful passing reflects a remarkable life lived in self-effacing dignity". The Telegraph. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 April 2021. Dicapai pada 12 April 2021.
  7. ^ "Fine tuning for Prince Philip's funeral". AFP. News Straits Times. 16 April 2021. Dicapai pada 17 April 2021.
  8. ^ Amy Coles (17 April 2021). "Prince Philip: Bespoke Land Rover hearse designed by Duke of Edinburgh revealed ahead of funeral". Sky News. Dicapai pada 17 April 2021.
  9. ^ Faris Danial Razi (17 April 2021). "Istiadat pemakaman Putera Philip: Ini fakta anda perlu tahu". Astro Awani. Dicapai pada 17 April 2021.
  10. ^ "Ratu Elizabeth II beri penghormatan terakhir kepada Putera Philip". Berita Harian. Microsoft News. 18 April 2021. Dicapai pada 18 April 2021.
  11. ^ "Putera Philip selamat dimakamkan, upacara dilangsung penuh istiadat diraja". Sinar Harian. 18 April 2021. Dicapai pada 18 April 2021.
  12. ^ "Pemakaman Putera Philip: Rakyat UK beri penghormatan terakhir". Astro Awani. 18 April 2021. Dicapai pada 18 April 2021.
  13. ^ "Putera Harry tiba di UK untuk upacara pemakaman Putera Philip". Bernama. 12 April 2021. Dicapai pada 18 April 2021.
  14. ^ a b "Prince Philip: The Queen says his death has 'left a huge void' - Duke of York". BBC News. 11 April 2021. Dicapai pada 11 April 2021.
  15. ^ "Prince Philip tributes: Royals reflect on the 'rock in the Queen's life'". BBC News. 10 April 2021. Dicapai pada 10 April 2021.
  16. ^ a b "Prince Philip: Princess Anne and Prince Edward pay tribute to their late father". ITV. 9 April 2021. Dicapai pada 9 April 2021.
  17. ^ Jamieson, Alastair; Forrest, Adam (10 April 2021). "Prince Philip: Duke of Edinburgh's children pay tribute to the Queen's 'rock'". Independent. Dicapai pada 10 April 2021.
  18. ^ "Prince Philip: Charles says dear papa was very special". BBC News. 10 April 2021. Dicapai pada 10 April 2021.
  19. ^ Wilkinson, David; Foster, Max (9 April 2021). "Harry and Meghan say Prince Philip will be 'greatly missed'". CNN. Dicapai pada 9 April 2021.
  20. ^ Kacala, Alexander (17 April 2021). "Meghan Markle sent a handwritten note for Prince Philip's funeral". Today. Dicapai pada 17 April 2021.
  21. ^ Campbell, Nakeisha (9 April 2021). "The Royal Family's Website Was Taken Down Entirely Following the Passing of Prince Philip". PureWow. Dicapai pada 9 April 2021.
  22. ^ a b "Prince Philip has died aged 99, Buckingham Palace announces". BBC News. 9 April 2021. Dicapai pada 10 April 2021.
  23. ^ Lewis, Rebecca (10 April 2021). "Princess Anne and family comfort Queen at Windsor Castle after sad death of Prince Philip". Hello!. Dicapai pada 13 April 2021.
  24. ^ "Prince Philip: Queen 'has been amazing', says Countess of Wessex". BBC News. 10 April 2021. Dicapai pada 10 April 2021.
  25. ^ "Britain has lost 'the grandfather of the nation,' Prince Andrew says". Global News. 11 April 2021. Dicapai pada 11 April 2021.
  26. ^ "Prince Philip: My father was my teacher, supporter and critic - Princess Royal". BBC News. 11 April 2021. Dicapai pada 11 April 2021.
  27. ^ Hoffman, Jordan. "Prince William Will Not Appear at BAFTAs After Death of Prince Philip". Vanity Fair. Dicapai pada 10 April 2021.
  28. ^ "BAFTA pays tribute to HRH Prince Philip". South West Londoner. 9 April 2021. Dicapai pada 10 April 2021.
  29. ^ "Dermot O'Leary and Edith Bowman pay tribute to Prince Philip at the Baftas". Independent. 11 April 2021. Dicapai pada 12 April 2021.
  30. ^ "A message from The Duke of Cambridge following the death of The Duke of Edinburgh". The Royal Family. Dicapai pada 12 April 2021.
  31. ^ "Prince William Shares Never-Before-Seen Photo of Prince George and Prince Philip: 'I Will Miss My Grandpa'". People. Dicapai pada 12 April 2021.
  32. ^ "Prince Philip: William and Harry pay tribute to grandfather". BBC News. 12 April 2021. Dicapai pada 12 April 2021.
  33. ^ "Prince Harry, Meghan Markle, and Archie "Will Always Hold a Special Place" for Prince Philip in Their Hearts". Town & Country. 12 April 2021. Dicapai pada 12 April 2021.
  34. ^ "Prince Philip: Royals release new photos of the Duke of Edinburgh". BBC News. 14 April 2021. Dicapai pada 14 April 2021.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]