Kematian Sandra Dianne

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Kematian Sandra Dianne
Sandra Dianne on MeleTOP.jpg
Sandra pada 2016.
Tarikh5 September 2020 (2020-09-05) – 11 September 2020 (2020-09-11)
Lokasi
PenyebabKemalangan jalan raya
PerkuburanTanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan, Tuaran

Penyanyi wanita Malaysia, Sandra Dianne meninggal dunia pada 11 September 2020 selepas enam hari terlantar di Hospital Putrajaya, Putrajaya akibat kemalangan jalan raya.[1][2][3] Semasa kejadian pada 5 September, beliau dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi menghadiri sesi raptai konsert minggu keempat Big Stage musim ketiga yang akan diadakan pada keesokan harinya. Kemalangan dikatakan berlaku apabila kereta Haval H1 yang dipandunya mengalami masalah brek sebelum hilang kawalan.[4] Kematian mengejut beliau telah mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan perhatian umum yang menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar bagi industri muzik Malaysia.[5]

Garis masa[sunting | sunting sumber]

Semua waktu telah dicatatkan mengikut Waktu Piawai Malaysia (UTC+08:00).

Pada 5 September 2020, Sandra dalam perjalanan menuju ke Kilometer 9.2, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) berdekatan Subang Jaya, Selangor menghala ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya untuk menghadiri sesi raptai konsert Big Stage musim 3, minggu keempat yang akan diadakan keesokan harinya, iaitu pada 6 September.[6]

Pada jam 2:30 petang hari sama, semasa tiba di lorong paling kanan, kereta Haval H1 berwarna merah hati yang dinaiki oleh Sandra bersama sepupunya membrek secara mengejut sebelum hilang kawalan kemudian terbalik.[7][6] Hasil siasatan mendapati keretanya telah melanggar kereta Nissan Almera yang berada di depannya, kemudian melanggar kereta Perodua Axia dan satu lagi Nissan Almera yang berada di lorong sama.[6][8] Susulan kejadian itu, Sandra mengalami kecederaan di kepala dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,[9] lalu dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya sementara sepupunya menerima rawatan sebagai pesakit luar.[4]

Pada 6 September, Sandra diberikan pengecualian daripada menjayakan konsert Big Stage susulan insiden itu, di mana beliau sepatutnya menyanyikan lagu "Nuri" nyanyian asal Ella pada konsert minggu keempat bertemakan 'Baby Bash'.[10] Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal memaklumkan tiada penyingkiran dibuat terhadap Sandra biarpun tidak membuat persembahan.[10]

Pada 9 September, Emarina turut memaklumkan bahawa bayaran elaun penuh telah diberikan kepadanya. Bagaimanapun, Sandra tidak layak menerima pelan perlindungan insurans yang diambil ke atas semua rancangan terbitan ASTRO kerana melibatkan polisi yang berada di kawasan rakaman sahaja. Beliau turut mengatakan "apa jua keputusan yang diambil selepas ini adalah bergantung kepada nasihat doktor dan pakar".[11]

Ibu kepada Sandra, Nor Syakinah Abdullah dilaporkan telah meminta mana-mana individu yang dipercayai mengambil telefon pintar Samsung S20 Ultra milik anaknya, agar memulangkannya.[12] Menurut Syakinah, telefon milik Sandra menyimpan pelbagai dokumen penting terutama berkaitan kerjanya,[12] serta maklumat mengenai media sosial seperti Instagram dan Twitter yang disimpan selain maklumat-maklumat sulit yang lain.[12] Beliau berkata: "Saya mohon kerjasama kepada individu yang ada menyimpan telefon anak saya untuk memulangkannya semula kepada saya. Bantu saya sebarkan supaya rayuan ini sampai kepada mereka yang berkenaan,".[12] Syakinah turut meminta agar gambar keadaan anaknya di hospital tidak disebarkan untuk tujuan publisiti.[13]

Pada 10 September, Sandra ditempatkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU), Hospital Putrajaya pada pagi sebelum keadaan fizikalnya dilaporkan kritikal pada jam 11 malam.[14] Beliau turut mengalami kegagalan fungsi otak akibat kesan daripada kemalangan tersebut.[15]

Kematian dan pengebumian[sunting | sunting sumber]

Selepas lima hari terlantar dalam keadaan koma, Sandra Dianne meninggal dunia pada jam 1:20 pagi 11 September,[1][2][16][17] tepat lima hari sebelum ulang tahun kelahirannya ke-26 pada 16 September.[18]

Kos untuk membawa pulang jenazah Sandra ke kampung halamannya dibiayai sepenuhnya oleh Astro bagi membantu meringankan beban keluarganya.[19] Jenazah Sandra dimandikan dan disembahyangkan di Hospital Putrajaya dan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Kauluan di Tuaran, Sabah[20] dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan di Tuaran pada jam 5 petang selepas solat Asar dalam keadaan hujan renyai.[21][22][23] Pengebumiannya dihadiri oleh keluarga, saudara-mara dan penduduk Kampung Kauluan. Rakan-rakan artis seperti Zizi Kirana, Aiman Tino dan rakan seperjuangan beliau dalam Big Stage 2020 Qody Rany dan Nana Sheme antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir.[24]

Majlis tahlil dan doa selamat untuk Sandra diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Rabu, 16 September, iaitu sempena ulang tahun kelahirannya ke-26[25] dan telah dihadiri seramai 250 orang.[25] Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan surah Yaasin dan tahlil dan bersurai pada jam 9 malam selepas solat Isyak berjemaah.[25]

Reaksi awam[sunting | sunting sumber]

Ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan artis dan mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan Sandra Dianne menyatakan reaksi mereka mengenai kematian mengejutnya dan menyampaikan ucapan takziah.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Ibu Sandra, Nor Syakinah berkata kepada Harian Metro: "Sebagai ibu mestilah sedih sebab kehilangan anak yang menyayat hati. Dia (Sandra Dianne) hilang dalam sekelip mata,".[26] Nor Syakinah meluahkan rasa kecewa dengan warganet yang menyifatkan Sandra sebagai mati katak.[27] Menurutnya: "Terima kasih kerana anda sudi komen walaupun komen anda tidak sepatutnya ditulis sebegitu [...] Sebagai seorang ibu yang kehilangan anak dalam kemalangan yang tragis ingin saya beritahu ya, anak saya yang awak cakap mati katak tu meninggal dunia dalam keadaan menangis dan hidungnya berpeluh [...] Keluarga kami sedang berkabung, berhati-hatilah dengan komen anda".[27] Menurut beliau, pakaian yang dipakai oleh Sandra untuk persembahan Big Stage akan disimpannya sebagai tanda kenangan.[28] Datuk saudara Sandra, Mohd Said Mohd Sator berkata: "Pemergian Sandra amat dirasai namun seluruh keluarga redha dengan ketentuan Ilahi".[29]

Rakan artis[sunting | sunting sumber]

Penyanyi Dayang Nurfaizah yang pernah membimbing Sandra di Mentor Legend terkesan dengan pemergiannya dan berkata: "Sebagai orang yang bekerja rapat dengan Sandra, saya cukup terkesan dengan perkhabaran ini [...] Membimbing arwah dalam Mentor Legend kira-kira enam tahun lalu, saya sifatkan sebagai suatu perjalanan yang cukup menyenangkan. Saya bersyukur sempat berkongsi ilmu dengannya".[30] Zizi Kirana yang juga anak jati Sabah menyifatkan Sandra sebagai seorang sahabat yang baik, malah mengakui kemunculan dalam IG Live menjadi komunikasi terakhir antaranya dengan Sandra, menurutnya: "Sehari sebelum kemalangan, Sandra muncul dalam IG Live saya [...] Tidak disangka momen itu menjadi perbualan terakhir kami. Kami mula berkenalan tiga tahun lalu sebelum rapat selepas terbabit dengan pembikinan lagu "Terkemuka" bersama Benzooloo [...] Arwah manusia baik, punya hati bersih dan tidak suka bercakap perkara buruk mengenai orang lain".[30] Vokalis iamNEETA dan peserta Big Stage 2019, Neeta Manishaa berkongsi kenangan semasa mula mengenali Sandra, katanya: "Siapa yang kenal Sandra memang tahu dia seorang yang baik dan sentiasa akan buat orang selesa berada dengan dia. Kami mula kenal ketika dia mempromosikan lagunya, "Hey! Kau",".[31]

Aiman Tino, yang mula mengenali Sandra pada 2017 menyifatkannya sebagai seorang rakan yang baik dan sentiasa menceriakan orang sekeliling, sambil berkata: "Saya dan beliau pertama kali kenal masa kami ada persembahan di MATiC sekitar 2017, selain pernah beberapa kali bekerjasama membuat persembahan di acara hiburan. Mengenali Sandra ini, dia seorang yang ceria...".[22] Wani Kayrie yang mula mengenali Sandra ketika sama-sama mula menapak dalam industri muzik pada 2015 berkata: "Sandra Dianne, rakan seperjuangan yang sama kumpulan 2015 dengan saya... Banyak membuat persembahan sama-sama sebab nama kami baru nak naik [...] Orang tak kenal pun nama kami, tapi kenal lagu saja".[32]

Sarah Fazny, rakan seperjuangan Sandra dalam Mentor Legend menyifatkannya seorang yang baik hati dan berfikiran positif, beliau berkata: "Sandra secara peribadi seorang yang baik hati, tak suka bercakap fasal orang dan sentiasa positif".[32] Bennye Francis atau Benzooloo yang pernah bekerjasama dengan Sandra menerusi lagu "Terkemuka" pula menganggap suara Sandra terlalu unik, dan berkata: "Mana saya mahu cari suara macam Sandra lagi... susah. Suaranya terlalu unik dan sesuai digandingkan lagu rap".[33] Farisha Iris pula menyifatkan Sandra ialah "seorang yang pendiam, tidak banyak bergurau dan akan bercakap bila perlu sahaja".[34] Nana Sheme berkongsi penglamannya bersama Sandra: "Saya mula mengenali Sandra dan rapat dengannya beberapa tahun lalu dan pemergiannya adalah satu perkara yang benar-benar mengejutkan saya".[35]

Ekoran kejadian[sunting | sunting sumber]

Pada 13 September 2020, Astro mengumumkan bahawa Konsert Big Stage 2020 minggu kelima tidak akan diadakan seperti kebiasaan, sebaliknya mengadakan sebuah konsert penghargaan khas bertajuk #SandraDalamKenangan bagi mengenang jasa dan penglibatan Sandra dalam industri seni muzik tanahair terutamanya sepanjang pertandingan Big Stage 2020 berlangsung.[36][31] Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal, konsert ini diadakan bukan berniat untuk meratapi Sandra, namun lebih kepada mengenang jasanya.[37][38]

Pada 2 Oktober 2020, single terakhir Sandra, "Jelaskan" yang merupakan hasil nukilannya bersama Apex CZ telah dikeluarkan, iaitu empat minggu selepas kematiannya.[39] Pada 20 Disember, tiga bulan selepas kematiannya, lagu bertajuk "Sandra" hasil nukilan Jonathan Tse dan Mohariz Yaakup telah dikeluarkan.[40]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Muhammad Afham Ramli (11 September 2020). "Sandra Dianne meninggal dunia". Sinar Harian. Dicapai pada 26 Oktober 2020.
  2. ^ a b "Peserta Big Stage 2020, Sandra Dianne meninggal dunia". Astro Awani. 11 September 2020. Dicapai pada 26 Oktober 2020.
  3. ^ Arif Razali (11 September 2020). "Penyanyi kelahiran Sabah, Sandra Dianne meninggal dunia". Sabah News. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  4. ^ a b Syafil Syazwan Jefri (5 September 2020). "Sandra Dianne kemalangan". Harian Metro. Dicapai pada 25 Oktober 2020.
  5. ^ Khai Azfar (11 September 2020). "Industri seni berduka, Sandra Dianne meninggal dunia". Murai.my. Dicapai pada 6 November 2020.
  6. ^ a b c Hafidzul Hilmi Mohd Noor (6 September 2020). "Kereta Sandra langgar tiga kereta". Harian Metro. Dicapai pada 25 Oktober 2020.
  7. ^ Hafidzul Hilmi Mohd Noor (6 September 2020). "Kereta Sandra tiba-tiba brek mengejut". Harian Metro. Dicapai pada 25 Oktober 2020.
  8. ^ Muhammad Afham Ramli (7 September 2020). "Brek mengejut dipercayai punca peserta Big Stage 3 kemalangan". Sinar Harian. Dicapai pada 26 Oktober 2020.
  9. ^ Farihad Shalla Mahmud (6 September 2020). "Penyanyi Sandra Dianne tak sedar diri selepas kemalangan". Berita Harian. Diarkib daripada yang asal pada 12 September 2020. Dicapai pada 7 September 2020.
  10. ^ a b Najiy Jefri (6 September 2020). "Sandra di ICU, dikecualikan dari Big Stage". Harian Metro. Dicapai pada 25 Oktober 2020.
  11. ^ Georgie Joseph (9 September 2020). "Sandra tetap dapat elaun penuh Big Stage 2020". Harian Metro. Dicapai pada 25 Oktober 2020.
  12. ^ a b c d Georgie Joseph (9 September 2020). "Ibu rayu telefon Sandra dipulangkan". Harian Metro. Dicapai pada 25 Oktober 2020.
  13. ^ Georgie Joseph (7 September 2020). "Pada foto kemalangan anak saya - ibu Sandra". Harian Metro. Dicapai pada 25 Oktober 2020.
  14. ^ Sudirman Mohd Tahir (11 September 2020). "Air mata terakhir Sandra..." Harian Metro. Dicapai pada 26 Oktober 2020.
  15. ^ "Sandra Dianne sering rasa tak dihargai, ibu terkilan arawah tak tahu hal sebenar - "Semuanya terlambat, tapi syukur anak mama disayangi"". mStar Online. 17 September 2020. Dicapai pada 27 Oktober 2020.
  16. ^ "Singer Sandra Dianne dies". BERNAMA. 11 September 2020. Dicapai pada 26 Oktober 2020.
  17. ^ "Sandra dies after car crash". Daily Express. 12 September 2020. Dicapai pada 26 Oktober 2020.
  18. ^ Sudirman Mohd Tahir (12 September 2020). "Mama rindu..." Harian Metro. Dicapai pada 26 Oktober 2020.
  19. ^ "Astro biaya kos penghantaran pulang jenazah Sandra Dianne, tiada konsert Big Stage 2020 ahad ini". mStar Online. 11 September 2020. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  20. ^ Georgie Joseph (11 September 2020). "Jenazah Sandra dikebumi di Sabah". Harian Metro. Dicapai pada 27 Oktober 2020.
  21. ^ Recqueal Raimi (11 September 2020). "Jenazah Sandra selamat dikebumikam dalam hujan renyai". Harian Metro. Dicapai pada 27 Oktober 2020.
  22. ^ a b "Hujan renyai iringi pengebumian jenazah Sandra Dianne". mStar Online. 11 September 2020. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  23. ^ Alif Fadli (11 September 2020). "Sandra Dianne selamat dikebumi di Tuaran". Utusan Malaysia. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  24. ^ ""Alhamdulillah, kami bacakan Yasin, wajah dia cantik dan bersih" - Qody Rany, Nana Sheme syukur diberi kesempatan tatap wajah Sandra Dianne buat kali terakhir". mStar Online. 11 September 2020. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  25. ^ a b c Azwa Rahman (17 September 2020). "Majlis tahlil dan doa selamat arwah Sandra berjalan lancar mengikut SOP, keluarga ucap terima kasih". Astro Gempak. Dicapai pada 27 Oktober 2020.
  26. ^ Sudirman Mohd Tahir (11 September 2020). ""Kehilangan anak yang menyayat hati" - ibu Allahyarham Sandra". Harian Metro. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  27. ^ a b Sudirman Mohd Tahir (12 September 2020). ""Anak saya tak mati katak" - ibu Allahyarham Sandra". Harian Metro. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  28. ^ Recqueal Raimi (11 September 2020). ""Saya akan terus simpan baju itu" - ibu Allahyarham Sandra". Harian Metro. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  29. ^ Azwa Rahman (11 September 2020). "Tenanglah dikau di sana... Hujan renyai iringi pengebumian jenazah Sandra Dianne". Astro Gempak. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  30. ^ a b Farihad Shalla Mahmud (11 September 2020). "Dayang, Zizi teringat detik manis bersama Sandra". Berita Harian. Dicapai pada 30 Oktober 2020 – melalui MSN News.
  31. ^ a b Nur Asyikin Mayudin (13 September 2020). "Suasana pilu dan titisan air mata iringi konsert #SandraDalamKenangan". mStar Online. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  32. ^ a b Nur Asyikin Mayudin (11 September 2020). ""Arwah baik hati, tak suka cakap fasal orang" - Wani Kayrie, Sarah Fazny sedih pemergian Sandra Dianne, teringat susah senang mulakan kerjaya seni". mStar Online. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  33. ^ Recqueal Raimi (11 September 2020). "Suara Sandra terlalu unik - Benzooloo". Harian Metro. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  34. ^ ""Kami pernah menangis bersama-sama" - Farisha Iris berkongsi pengalaman bersahabat dengan Sandra Dianne". Astro Awani. 11 September 2020. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  35. ^ Syafil Syazwan Jefri (12 September 2020). "Pahit memori bersama Sandra". Harian Metro. Dicapai pada 1 November 2020.
  36. ^ ""Konsert Big Stage 2020 Minggu Kelima Akan Digantikan Dengan Konsert Tribute #SandraDalamKenangan" - Pengurus Saluran Astro Ria". Astro Gempak. 11 September 2020. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  37. ^ Syafil Syazwan Jefri (16 September 2020). "Kenang bukan meratapi". Harian Metro. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  38. ^ Georgie Joseph (11 September 2020). "Big Stage minggu ini 'tribute' buat Sandra". Harian Metro. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  39. ^ Wawann Mohd (2 Oktober 2020). "Karya terakhir Allahyarham Sandra buat peminat". Sinar Harian. Dicapai pada 30 Oktober 2020.
  40. ^ Georgie Joseph (21 Disember 2020). "Bingkisan terakhir Sandra". Harian Metro. Dicapai pada 21 Disember 2020.