Pergi ke kandungan

Kematian Zara Qairina Mahathir

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kematian Zara Qairina Mahathir
Tarikh16 Julai 2025; 3 bulan yang lalu (2025-07-16)
Masa3:00 pagi (UTC+8:00)
LokasiSekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, Malaysia
PenyebabDipertikai, didasari unsur buli
PerkuburanKampung Kalamauh Mesapol, Sipitang
Suspek5
KesalahanMengugut

Zara Qairina Mahathir, seorang murid Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, meninggal dunia pada 17 Julai 2025 selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asramanya, dan dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah. Disangka secara popular sebagai mangsa buli, kematiannya memperoleh liputan meluas di Malaysia. Di samping itu, sifatnya yang meninggal dunia tanpa siasatan forensik yang lengkap menyebabkan gaya kematiannya dipertikai sehingga menimbulkan kontroversi yang besar, termasuk dakwaan penyembunyian kes dan penglibatan orang kenamaan.[1]

Latar belakang insiden

[sunting | sunting sumber]

Pada kira-kira 3 pagi (UTC+8:00) 16 Julai 2025, Zara Qairina, ditemui tidak sedarkan diri di longkang berdekatan asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, tempat pelajarannya, dengan tiada saksi langsung dalam insiden itu meskipun kebanyakan pelajar lain masih terjaga.[2] Tidak lama selepas itu, pihak perubatan dari Kinarut tiba untuk memberi rawatan awal.[3] Dia kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth pagi kemudian, di mana dia memperoleh sokongan hayat akibat koma dengan kecederaan parah, termasuk patah tangan kaki. Walau bagaimanapun, pada keesokan harinya, pihak hospital membuat keputusan untuk menghentikan sokongan hayatnya akibat ketiadaan fungsi otak. Dia kemudiannya dikebumikan di tempat kediamannya di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang.[2]

Laporan polis mula diperoleh pada waktu pagi tidak lama selepas Zara ditemui tidak sedar diri. Pendapat tentang penglibatan isu buli mula dibicarakan di media sosial tidak lama selepas kematiannya.[4] Pada hari Ahad, polis menerima laporan daripada waris di ibu pejabat polis daerah Papar berkenaan dakwaan pengetua yang ingin menghalang pelaporan awal kematian Zara, serta surat rasmi kepada sekolah untuk menuntut penjelasan tentang kematiannya.[2] Berkenaan perihal pengetua, bekas pengetua sekolah, Rosnih Nasir yang dituduh selaku isteri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud, menafikan sebarang perkaitan dengan insiden tersebut dengan memetik perihal bahawa beliau hanya menjadi pengetua dari Mac hingga November 2024 sebelum bersara.[5][6]

Sepanjang proses siasatan, setakat awal Ogos, 60 orang hadir sebagai saksi untuk membantu siasatan polis.[7] Pada 2 Ogos, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution mengesahkan bahawa penyiasatan polis sudah selesai, dan kertas siasatan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.[8] Walau bagaimanapun, pihak peguam waris mendakwa bahawa kertas siasatan yang dihantar adalah tidak lengkap oleh kerana kekurangan pembuktian, dan menyeru agar kertas siasatan dihantar semula kepada polis.[9] Kertas siasatan tersebut kemudian dihantar semula secara rasmi kepada polis.[10] Siasatan polis diteruskan dengan bantuan pasukan khas dari ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman yang dihantar ke Sabah.[11] Pada 18 Ogos, pihak polis telah memberi semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara, dengan perolehan maklumat daripada sejumlah 195 saksi.[12] Pada hari sama, Saifuddin Nasution telah membentangkan perihal siasatan kes di Dewan Rakyat, di mana beliau memperincikan kronologi kes yang dikemas kini, dan mengesahkan adanya unsur buli dalam kematiannya.[13][3]

Anomali penyiasatan dan siasatan lanjutan

[sunting | sunting sumber]

Dalam kematian Zara, tiada bedah siasat dilakukan pada asalnya, menyebabkan bantahan orang ramai ketika unsur buli dan jenayah mula dikaitkan dengan kematiannya.[9] Pada 3 Ogos, ibu mangsa, Noraidah Lamat, memfailkan satu lagi laporan polis kerana mengesyaki terjumpa kesan lebam di badan ketika menyiapkan jenazah untuk dikebumikan, dengan peguam mewakilinya menyeru agar jenazahnya digali semula agar bedah siasat dapat dijalankan susulan pengetahuan itu. [14] Para peguam pewakil tersebut juga mendakwa bahawa pihak polis tidak mengambil pakaian Zara buat tujuan siasatan forensik, sekaligus mencanggahi amalan biasa dalam siasatan unsur jenayah.[15] Susulan itu, pihak ibu pejabat polis negara melancarkan siasatan tatatertib kepada tiga orang pegawai polis telibat kerana melanggar prosedur lazim, terutamanya berkenaan ketiadaan bedah siasat.[16] Pada 18 Ogos, Saifuddin Nasution berkata bahawa permintaan bedah siasat telah dikemukaan kepada waris mangsa, tetapi telah ditolak dua kali kerana ingin menyegerakan pengebumian.[17]

Pada 8 Ogos, Jabatan Peguam Negara Malaysia mengarahkan agar kubur Zara Qairina digali semula supaya proses bedah siasat dapat dijalankan untuk mengenal pasti punca utama kematian Zara Qairina. Proses penggalian semula kubur telah dijalankan oleh pasukan forensik pada hari keesokannya dalam kawalan polis, dengan mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat pada hari Ahad sebelum dikebumikan semula di tempat asal pada awal pagi esok.[18][19] Pihak peguam sejurus selepas bedah siasat mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada badannya tanpa memperincikan butirannya yang perlu disulitkan.[20]

Pada 13 Ogos, pihak Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan,[21] dengan Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan 3 September sebagai waktu mula inkues, serentak dengan pendakwaan suspek.[22] Ibu Zara serta warga sekolah terkait dijangka menjadi saksi, dengan jumlah 195 orang saksi disenarai awal kepada Mahkamah Koroner.[23]

Pada 30 Julai, tular satu hantaran di Internet yang mendakwa bahawa kematian Zara didalangi oleh sekumpulan pembuli di sekolahnya, termasuk "anak-anak VVIP".[4] Pelbagai pihak, termasuk waris mangsa, pihak polis dan pihak kerajaan Sabah menafikan tuduhan penglibatan kenamaan tersebut.[24][25][26] Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali yang juga didakwa bahawa anak saudaranya berkait dengan insiden tersebut menafikan penglibatan sebegitu.[27] Tiga orang pelajar yang didakwa sebagai suspek utama, digelar sebagai "Kak Wana", "Kak Dedeng" dan "Tomboi", dinafikan sebagai anak kenamaan atau pihak polis menurut Pengarah Pendidikan Negeri Sabah.[28] Pada Ogos, beberapa rakaman perbualan telefon antara Zara dengan ibunya tular, di mana Zara mengadu terhadap ibunya mengenai beberapa orang pelajar senior di sekolahnya yang tidak berpuas hati dengannya sambil memetik nama seperti "Kak M" dan "Kak C", dan mengatakan bahawa dia serta rakannya diganggu mereka.[29] Pihak peguam waris mengesahkan bahawa beberapa perbualan telefon tersebut adalah benar.[30]

Pada 18 Ogos, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan bahawa lima orang remaja akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu berdasarkan Kanun Keseksaan atas kesalahan mengugut dan memberi kata-kata ancaman.[31]

Sepatutnya daripada awal lagi kes macam itu perlu ada post-mortem (bedah siasat), tetapi nampak macam hendak sembunyi sebab-sebab kematian, sepatutnya perkara yang seperti ini tidak berlaku, pihak polis tidak boleh pilih-pilih, siapa saja yang jadi macam itu dia kena post-mortem.

— Mahathir Mohamad[32]

Saifuddin Abdullah, Ahli Parlimen Indera Mahkota membawa persoalan kematian Zara ke Parlimen Malaysia, di mana beliau menyeru agar persoalan tentang gaya kematian Zara, dakwaan cubaan penyembunyian kes dan mempengaruhi siasatan dijawab segera. [33] Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertegas kepada pihak terbabit agar siasatan dijalankan secara telus, termasuk berbincang dengan Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail, dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk mencepatkan siasatan.[34] Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad berharap agar kes Zara Qairina dapat diselesaikan berdasarkan kedaulatan undang-undang, dengan Mahathir berkata seandainya perkara tersebut tidak dapat dipatuhi maka keadaan akan menjadi kucar-kacir.[32] Pengerusi parti BERSATU Kelantan, Kamaruddin Md Nor, menganggap isu tersebut sebagai suatu kegagalan dalam menjaga kepentingan rakyat di Sabah.[35]

Protes dan respons awam

[sunting | sunting sumber]

Pada 8 Ogos, kira-kira 10 ribu orang ramai di seluruh Sabah mengadakan tunjuk perasaan untuk menuntut keadilan ditegakkan buat Zara, merangkumi himpunan di Tawau, Sandakan dan Lahad Datu.[36] Ribuan lain turut dari menghadiri tunjuk perasaan lanjutan diadakan di Labuan dan Sipitang.[37][38] Pada 16 Ogos, kira-kira 20 ribu orang hadir ke sebuah protes di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.[39] Tunjuk perasaan juga dilakukan di Semenanjung sepanjang Ogos, dengan ribuan orang berhimpun di merata Semenanjung seperti di Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur.[40][41][42] Perihal kes kematian ini juga mendorong permohonan penyemakan semula kes-kes buli terdahulu seperti buli mati Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman pada 2013.[43]

Pihak pakar seperti peguam berpendapat bahawa isu kematian Zara terbit daripada kecuaian dan anomali penyiasatan kematiannya yang tidak menurut tatacara lazim.[44][45] Wartawan senior, Hanneeyzah Baharin, berpendapat bahawa persepsi berkenaan ketelusan kes boleh mempengaruhi pilihan raya negeri di Sabah yang bakal diadakan tidak lama selepas kes berlaku.[46]

  1. ^ Sipalan, Joseph (2025-08-11). "'A show of anger': in Malaysia, Zara's death ignites outrage over impunity". South China Morning Post (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-08-11.
  2. ^ a b c "'Tak sangka itu tempatnya hela nafas terakhir.' Kronologi Zara Qairina terjatuh tingkat 3, video kongsi kelebihan tinggal di asrama runtun hati". SinarPlus. 28 Julai 2025. Dicapai pada 4 Ogos 2025.
  3. ^ a b "Kronologi lengkap kes kematian Zara Qairina dibentang di Parlimen". Astro Awani. 2025-08-18. Dicapai pada 2025-08-19.
  4. ^ a b Ang, May Vin (2025-07-31). "Chronology Of Events In The Death Of 13-Year-Old Zara Qairina At Sabah School Dorm". SAYS (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-08-04.
  5. ^ "Mustapha denies link between wife, student's death". www.dailyexpress.com.my (dalam bahasa Inggeris). 2025-07-31. Dicapai pada 2025-08-04.
  6. ^ Hazzwan, Iqmal (29 Julai 2025). ""Saya Tak Terbabit, Sudah Bersara Ketika Insiden Berlaku" – Bekas Pengetua Sekolah". SAYS. Dicapai pada 4 Ogos 2025.
  7. ^ "3 schoolmates among 60 quizzed over Zara Qairina's death". Free Malaysia Today (dalam bahasa Inggeris). 2 Ogos 2025. Dicapai pada 4 Ogos 2025.
  8. ^ "Polis selesai siasatan kes kematian Zara Qairina - Saifuddin Nasution". Sinar Harian. 2025-08-02. Dicapai pada 2025-08-10.
  9. ^ a b Asmin, Asyikin (2025-08-03). "Kes Zara Qairina: Peguam dakwa kertas siasatan dihantar ke AGC tidak lengkap". Sinar Harian. Dicapai pada 2025-08-10.
  10. ^ "AGC kembalikan laporan penuh kes Zara Qairina untuk dilengkapkan". Astro Awani. Dicapai pada 2025-08-10.
  11. ^ Razali, Safeek Affendy (2025-08-11). "Kes Zara Qairina: Bukit Aman ambil alih siasatan, hantar pasukan petugas khas ke Sabah". Berita Harian. Dicapai pada 2025-08-11.
  12. ^ Halid, Suzalina (2025-08-18). "Polis sudah serah kertas siasatan kes Zara Qairina kepada AGC pagi tadi". Berita Harian. Dicapai pada 2025-08-19.
  13. ^ ""Ada elemen buli!" - Saifuddin". Astro Awani. Dicapai pada 2025-08-19.
  14. ^ "Mother files new police report over bruising on Zara Qairina's body". Borneo Post Online (dalam bahasa Inggeris). 3 Ogos 2025. Dicapai pada 4 Ogos 2025.
  15. ^ "Police failed to forensic-test Zara's clothes - lawyers". Borneo Post (dalam bahasa Inggeris). 3 Ogos 2025. Dicapai pada 4 Ogos 2025.
  16. ^ Mokhtar, Nor Azizah (2025-08-16). "JIPS Bukit Aman ke Sabah siasat 3 pegawai kes kematian Zara Qairina". Berita Harian. Dicapai pada 2025-08-19.
  17. ^ Halid, Suzalina (2025-08-18). "Ibu Zara Qairina tolak bedah siasat, mahu segerakan pengebumian - Menteri". Berita Harian. Dicapai pada 2025-08-19.
  18. ^ "Proses gali semula kubur Zara Qairina selesai 7.15 malam, bedah siasat pagi esok". Sinar Harian. 2025-08-09. Dicapai pada 2025-08-10.
  19. ^ Dahali, Rafiqah (2025-08-11). "Jenazah Zara Qairina selamat dikebumikan semula". Berita Harian (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-08-11.
  20. ^ "Lawyer confirms injuries seen on Zara Qairina during autopsy". The Star (dalam bahasa Inggeris). 2025-08-11. Dicapai pada 2025-08-11.
  21. ^ Muzamir, Muhammad Yusri (2025-08-13). "TERKINI: Peguam Negara arah inkues kematian Zara Qairina". Berita Harian. Dicapai pada 2025-08-19.
  22. ^ "Pendakwaan dan inkues Zara Qairina serentak: Tiada elemen prosiding bertindih - Peguam". Berita Harian. 2025-08-19. Dicapai pada 2025-08-19.
  23. ^ Abdullah, Izwan (2025-08-18). "Ibu Zara Qairina, guru dan pelajar antara saksi inkues". Berita Harian. Dicapai pada 2025-08-19.
  24. ^ "Istana Seri Kinabalu denies viral claim linking Sabah Governor's family to Form One student's death in Papar". Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 4 Ogos 2025.
  25. ^ "Police say 'no evidence' linking minister's child to Form One Sabahan Zara Qairina's fatal fall". Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). 2 Ogos 2025. Dicapai pada 4 Ogos 2025.
  26. ^ "Mother denies VIP link in daughter's death". Borneo Post Online (dalam bahasa Inggeris). 2 Ogos 2025. Dicapai pada 4 Ogos 2025.
  27. ^ Asmin, Asyikin (2025-08-01). "Kes Zara Qairina: 'Saya tidak ada 'anak buah' di sekolah dimaksudkan' - Armizan". Sinar Harian. Dicapai pada 2025-08-10.
  28. ^ "Kes Zara Qairina: 'Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi' masih bersekolah di situ, tiada kaitan VIP". Sinar Harian. 2025-08-02. Dicapai pada 2025-08-10.
  29. ^ "'Kakak M tak puas hati' - Pendedahan terbaru rakaman perbualan Zara Qairina tular". Astro Awani. 2025-08-09. Dicapai pada 2025-08-10.
  30. ^ "Peguam sahkan tiga rakaman suara tular adalah Zara Qairina dan ibunya". Astro Awani. 2025-08-06. Dicapai pada 2025-08-10.
  31. ^ Mohd Ali, Ahmad Johari (2025-08-18). "TERKINI: Lima remaja perempuan akan didakwa ugut Zara Qairina, keluarkan perkataan mengancam". Berita Harian. Dicapai pada 2025-08-19.
  32. ^ a b "Dr Mahathir gesa kes Zara Qairina diselesaikan berdasar 'rule of law'". Astro Awani. 2025-08-16.
  33. ^ Rou, Chia Wan (30 Julai 2025). "'Pastikan keadilan, ketelusan kes Zara', tegas Ahli Parlimen PN". Free Malaysia Today. Dicapai pada 4 Ogos 2025.
  34. ^ "Anwar tekankan siasatan telus kes kematian Zara Qairina". thesun.my. 3 Ogos 2025. Dicapai pada 4 Ogos 2025.
  35. ^ "Kerajaan gagal tangani kes Zara, rakyat berhimpun". Harakah. 13 Ogos 2025. Dicapai pada 19 Ogos 2025.
  36. ^ "10,000 hadiri himpunan Justice For Zara di Tawau". Astro Awani. Dicapai pada 2025-08-10.
  37. ^ "Lebih 3,000 sertai himpunan 'Justice for Zara' di Labuan". Berita Harian. 2025-08-10. Dicapai pada 2025-08-11.
  38. ^ Dahali, Rafiqah (2025-08-10). "5,000 termasuk dari Brunei, Labuan, Sarawak sertai himpunan solidariti Zara Qairina di Sipitang". Berita Harian. Dicapai pada 2025-08-11.
  39. ^ Riduan, Juwan (2025-08-16). "Lebih 20,000 bersolidariti untuk Zara Qairina di Padang Merdeka". Berita Harian. Dicapai pada 2025-08-19.
  40. ^ Mohamed, Mustaqim (2025-08-16). "Rakyat Kelantan berhimpun solidariti Justice For Faris & Zara". Kosmo Digital. Dicapai pada 2025-08-19.
  41. ^ "Shouts of 'Justice for Zara' echo as crowds rally in KL, Melaka". TheStarTV.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-08-19.
  42. ^ Zulkifli, Syamilah (2025-08-17). "Ribuan berhimpun di Melaka tuntut keadilan buat Zara Qairina". Sinar Harian. Dicapai pada 2025-08-19.
  43. ^ "Zara's death fuels renewed push for justice in 2013 tahfiz student case". Malaysiakini (dalam bahasa Inggeris). 2025-08-17. Dicapai pada 2025-08-19.
  44. ^ Backer, Ab Jalil (3 Ogos 2025). "Zara Qairina tragedi kecuaian". Sinar Harian. Dicapai pada 19 Ogos 2025.
  45. ^ Razali, Safeek Affendy (2025-08-16). "Jika ikut prosedur, gelombang 'JusticeForZara' tidak akan terjadi - Peguam". Berita Harian. Dicapai pada 2025-08-19.
  46. ^ Baharin, Hanneeyzah (2025-08-15). "Kematian misteri pelajar boleh pengaruhi pilihan raya Sabah, Berita Malaysia - Beritaharian.sg". Berita Harian. Dicapai pada 2025-08-19.