Kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain
Tarikh21-22 Mei 2017; 6 tahun yang lalu
LokasiBlok Jebat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Koordinat3°03′01″N 101°43′24″E / 3.0503154°N 101.7234175°E / 3.0503154; 101.7234175Koordinat: 3°03′01″N 101°43′24″E / 3.0503154°N 101.7234175°E / 3.0503154; 101.7234175
PenyebabKes Kecurian Sebuah Komputer Riba
Kematian1 (Zulfarhan Osman Zulkarnain)
KecederaanTerdapat Kesan Lebam Dan Kesan Melecur Di Badannya Secara Seksa
PerkuburanTanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, Johor
Suspek6 Suspek Utama Termasuk UPNM

Muhammad Akmal Zuhairi Azmal / Abdoul Hakeem Mohd Ali / Muhammad Najib Mohd Razi / Azamuddin Md Sofi / Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri

12 Pertuduhan UPNM Termasuk

Mohd Hafiz Fauzan Ismail / Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain/ Ahmad Shafwan Berdal/ Muhammad Amirul Asraff Mala/ Luqman Hakim Shamsuri Agus/ Muhammad Sufi Mohd Mustapha/ Noriznan Izzairi Noor Azhar/ Muhamad Ashraf Abdullah/ Muhammad Danial Firdaus Azmir/ Muhammad Hasif Ismail/

Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa
HukumanHukuman penjara sebanyak-banyaknya 18 + 3 tahun[1]
KeputusanDidapati bersalah
KesalahanPencederaan tanpa niat membunuh, pencederaan am

Kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain ialah satu kes jenayah melibatkan penderaan yang berlaku pada awal pagi 21 dan 22 Mei 2017 (Waktu Piawai Malaysia). Kes ini melibatkan seorang mangsa, pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang didera melalui tekapan seterika wap terhadap badannya secara berulang kali serta pukulan-pukulan oleh sekumpulan pelajar sealiran atas tuduhan pencurian sebuah komputer riba. Zulfarhan cedera parah akibat perbuatan tersebut dan meninggal dunia pada 1 Jun.[2] Kes ini kemudian memperoleh perhatian negara sebagai suatu insiden buli secara ekstrem dalam persekitaran asrama.

Kes berakhir tiga tahun kemudian pada 2 November 2021 apabila keputusan akhir dimuktamadkan, dengan enam orang suspek dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun atas kesalahan pencederaan tanpa niat membunuh (Seksyen 330 Kanun Keseksaan) sementera 17 orang suspek dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan pencederaan (Seksyen 34 Kanun Keseksaan), dengan hukuman bermula hari itu.[1]

Huraian[sunting | sunting sumber]

Pada 4:45 pagi, 21 Mei 2017, Zulfarhan Osman Zulkarnain disoal siasat berhubung kehilangan sebuah komputer riba oleh sekumpulan pelajar di bilik 04-10, Blok Hostel Jebat di UPNM. Meskipun begitu, Zulfarhan menolak dakwaan mereka, menyebabkan dirinya dibelasah beramai-ramai menggunakan seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju. Perbuatan tersebut dilakukan hingga azan Subuh berkumandang pada kira-kira jam 5.45 pagi.[3] Kejadian ini diulang pada 1.30 pagi hingga 4.30 pagi hari keesokannya.[3][4]

Kecederaan yang terbit daripada kes ini menyebabkan Zulfarhan dibawa ke Klinik Al-Salam, Bandar Baru Bangi pada 26 Mei, tetapi suspek yang membawanya menyembunyikan perihal sebenar dan mendakwa bahawa mangsa terkena letupan bom wap dalam latihan di Port Dickson, Negeri Sembilan.[5] Mangsa dibenarkan pulang dan dibawa ke sebuah kondominium berdekatan. Namun begitu, Zulfarhan dilihat kaku oleh saksi pada 1 Jun sebelum dibawa ke Hospital Serdang.[6] Zulfarhan disahkan meninggal dunia pada hari itu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.[7]

Kronologi[sunting | sunting sumber]

Berikut Kronologi Kes:

  • 21 Mei 2017 :

Zulfarhan disoal siasat berhubung kehilangan komputer riba sebelum dibelasah beramai-ramai menggunakan seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju.

  • 27 Mei 2017 :

Mangsa dibawa ke sebuah klinik swasta di Bandar Baru Bangi dan dibenarkan pulang.

  • 31 Mei 2017 :

Mangsa dihantar ke sebuah kondominium di Bangi untuk berehat oleh dua pelajar UPNM.

  • 1 Jun 2017 :

Saksi melihat Zulfarhan kaku sebelum dibawa ke Hospital Serdang dan disahkan meninggal dunia.

  • 2 Jun 2017 :

Jenazah Zulfarhan diserahkan kepada keluarga dan dikebumikan di Johor.

  • 14 Jun 2017 :

Enam penuntut UPNM dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman Zulkarnain.

  • 12 November 2017 :

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pendakwaan untuk menggabungkan perbicaraan 19 penuntut UPNM yang didakwa membunuh, subahat bunuh dan mencederakan Zulfarhan.

  • 29 Januari 2018 :

Perbicaraan bermula. Pihak pendakwaan memanggil 31 saksi memberi keterangan antaranya Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr. Salmah Arshad.

  • 31 Julai 2019 :

18 penuntut UPNM dipanggil membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Seorang lagi, Muhammad Akmal Akif Alias dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mencederakan mangsa.

  • 2 Oktober 2019 :

Kes pembelaan bermula. Seramai 20 saksi termasuk Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Dr. Rohayu Shahar Adnan memberi keterangan.

  • 8 April 2021 :

Pembelaan menutup kes.

  • 29 dan 30 September 2021 :

Penghujahan akhir kes pembelaan

  • 2 November 2021 :

Keputusan akhir kes pembelaan.

Perbicaraan[sunting | sunting sumber]

Perbicaraan dan keputusan akhir[sunting | sunting sumber]

Keputusan akhir diputuskan pada 2 November 2021 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh hakim, Datuk Azman Abdullah, dengan enam suspek utama dikenakan hukuman penjara 18 tahun atas kesalahan pencederaan tanpa niat membunuh (Seksyen 330 Kanun Keseksaan) sementera 17 orang suspek, termasuk lima orang suspek tadi dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan pencederaan (Seksyen 34 Kanun Keseksaan).[1] Walau bagaimanapun, pihak pendakwa raya bercadang untuk memfailkan kes ini ke tahap mahkamah rayuan untuk memperoleh sabitan membunuh ke atas suspek, dan seterusnya menjatuhkan hukuman mati ke atas para suspek.[8]

Kesan Tekapan[sunting | sunting sumber]

Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memutuskan bahawa sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada anggota badan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain telah menyebabkan kematian mangsa, namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.

Hakim Datuk Azman Abdullah dalam penghakimannya berkata, selepas mengambil kira keterangan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad dan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan, mahkamah membuat dapatan bahawa kematian mangsa bukan suatu kematian yang mengejut selepas dicederakan.


Beliau berkata, mahkamah membuat penemuan fakta bahawa berdasarkan penelitian dalam kes pembelaan, tertuduh pertama hingga kelima yang menyebabkan 90 tekapan seterika wap ke atas Zulfarhan Osman.

Tertuduh pertama, kedua, keempat dan kelima mengaku menekap hanya sekali atau dua kali manakala tertuduh ketiga tidak mengaku menekap namun tertuduh keenam dan seorang saksi pendakwaan melihat tertuduh ketiga turut menekap, katanya.

Azman berkata, tiada keterangan kukuh menunjukkan bahawa terdapat individu lain menekap seterika ke badan Zulfarhan

Beliau berkata, di peringkat pendakwaan, Dr Salmah berkata, bedah siasat mendapati terdapat 90 kesan luka lecur di hampir keseluruhan badan termasuk kedua-dua belah punggung dan zakar Zulfarhan Osman.

Kesan luka lecur itu adalah pada kategori tahap satu, dua dan tiga yang didapati dari pangkal leher sehingga ke kaki mangsa termasuk bahu, lengan, dada, perut, rusuk, belikat, betis, paha dan buku lali,” katanya.

Enam tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali dipenjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Zulfarhan Osman.

Mahkamah juga menjatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya yang didapati bersalah mencederakan mangsa.

Kesemua tertuduh kini berumur 25 tahun.

Dalam penghakiman, Azman berkata, Dr Salmah dan Dr Rohayu bersetuju bahawa terdapat 90 kesan tekapan seterika pada tubuh mangsa kecuali pada bahagian muka dan belakang tapak tangan.

Jika mangsa memakai baju lengan panjang dan umur mangsa panjang maka parut tidak akan kelihatan, begitulah betapa telitinya orang yang menekap seterika wap panas di tubuh mangsa.

Tertuduh-Tertuduh menyatakan mereka sayang kepada mangsa, kalau mereka tidak rasa sayang, muka Zulfarhan Osman Zulkarnain akan ditekap juga dan lebih daripada 90 tekapan akan dikenakan,” katanya.

Hakim itu juga berkata, nyawa Zulfarhan Osman Zulkarnain mungkin boleh diselamatkan sekiranya terdapat campur tangan oleh seorang doktor sebuah klinik swasta di Bangi semasa mangsa menerima rawatan di klinik tersebut.

Beliau berkata, pada kebiasaannya, pihak hospital atau klinik kesihatan akan menelefon polis jika mengesyaki pesakit didera kerana ia adalah isu perundangan perubatan.

Sepatutnya doktor tersebut tidak membabi buta mempercayai mangsa terlibat dengan letupan dalam latihan sehingga terkena pada semua tubuh mangsa termasuk zakar dan testis namun tidak pada muka si mati, katanya.

Beliau berkata, jika mangsa tidak mengalami cedera parah, beliau tidak perlu dibawa ke klinik sebanyak dua kali memandangkan kosnya adalah mahal iaitu kira-kira RM500 bagi setiap sesi rawatan.

Katanya, tertuduh boleh membawa mangsa ke hospital kerajaan yang percuma atau klinik UPNM, namun mereka tidak berbuat demikian kerana bimbang rahsia mereka (cederakan Zulfarhan Osman Zulkarnain) pecah.

Azman juga berkata Zulfarhan Osman mungkin boleh diselamatkan jika seorang jurulatih di UPNM tidak bertindak menularkan keadaan Pegawai Kadet Laut UPNM itu di dalam kumpulan WhatsApp.

Beliau berkata, nasib tidak menyebelahi mangsa apabila Kapten Haryani Hassan pendek akal dengan menularkan dalam kumpulan WhatsApp itu siapa yang dimaksudkan ‘sakit’ menurut surat layang yang diterima.

SP23 (penuntut UPNM, Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi) yang menulis surat layang bersama tertuduh kelapan (Muhammad Akmal Akif Alias) menyatakan ‘si mati ada memesan kepada beliau jika hendak sapu ubat, sapu semasa dia lena sebab sakit sangat jika dia sedar.’

Surat layang itu membuktikan penelitian mereka berdua (SP23 dan tertuduh kelapan) bahawa si mati sakit tenat semasa berada di dalam bilik asrama namun tertuduh pertama hingga keenam tidak perasan mangsa cedera parah dan mereka nampak mangsa kelihatan biasa sahaja tidak seperti orang sakit,” katanya.

Azman berkata, nasib malang mangsa bermula apabila komputer riba tertuduh pertama iaitu Muhammad Akmal hilang dan ayah tertuduh ke-17, Noriznan Izzairi Noor Azhar telah menelefon serta mengesahkan tiga suspek termasuk mangsa sebagai individu yang mencuri komputer riba itu.

Pada 21 dan 22 Mei 2017, Zulfarhan Osman telah dibawa ke bilik 03-05 Blok Jebat jam 2.30 pagi dan bermula sesi memukul mangsa oleh tertuduh bertujuan untuk mendapatkan pengakuan mangsa.

Pada 22 Mei 2017, jam 4.45 pagi hingga hampir waktu Subuh, mangsa mula diseksa dengan menggunakan seterika wap oleh Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif, Mohamad Shobirin atas arahan Muhammad Hasif apabila mangsa tidak mengaku mencuri komputer riba berkenaan,” kata hakim itu.- Laporan Bernama

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Pelakon, Diana Danielle menasihatkan individu yang 'tersalah cakap' dan mendakwa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain kononnya ada 'perangai' yang menjadi punca kepada buli yang dilakukan ke atasnya supaya membuat permohonan maaf dengan secara ikhlas.

Dalam hantarannya di Twitter, Diana berkata, permohonan maaf atas kesilapannya 'tersalah cakap' adalah lebih baik daripada terus membuat video secara langsung untuk menjelaskan sesuatu yang akan membuatkan lebih ramai orang marah.

"Kepada netizen, kalau dah tersalah cakap, tolonglah jangan buat video secara langsung atau video yang kononnya anda boleh menjelaskan keadaan sebenar mengenai diri anda.

"Tak perlu jelaskan. Anda cuma perlu buat empat hingga lima baris ayat memohon maaf dengan ikhlas dan mengakui bahawa anda sudah terlajak kata," tulisnya.

Diana berkata, itu adalah cara terbaik untuk menamatkan isu perbalahan ini dan pada masa sama mengelakkan sebarang provokasi.

"Sementara isu ini masih panas, tak kisahlah sebanyak mana pun provokasi, anda patut diam. Jangan respon atau buat sebarang hantaran di Instagram Story untuk raih perhatian. Itu cara yang sepatutnya untuk hentikan semua ini," tulisnya.

Menurut Diana, setiap penjelasan yang dibuat akan memakan diri individu itu sendiri.

"Orang takkan terima penjelasan anda, bahkan anda akan memarakkan lagi api yang akan memakan diri anda sendiri.

"Itu belum lagi akan ada netizen yang membuat parodi atau meme dari video secara langsung dan rakaman anda. Itu akan menampakkan anda lebih teruk," tulisnya.

Terdahulu, Diana memuat naik beberapa hantaran di Instagram Story dan menyelar individu yang menulis ciapan berbaur sokongan kepada pembuli yang menyebabkan kematian Zulfarhan.

Diana juga antara selebriti yang dilihat menyelar dan mengecam aktiviti buli dalam kalangan remaja.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu.- Laporan Harian Metro

Kematian[sunting | sunting sumber]

Jenazah Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang meninggal dunia dipercayai didera selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh di sini, jam 9.30 malam ini.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Bangi, Selangor sebelum disembahyangkan sekali lagi di Masjid Jamek Kampung Kurnia di sini, selepas solat Isyak.

Lebih 100 ahli keluarga dan kenalan hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang berasal dari Bandar Uda Utama, Skudai, di sini.

Pelajar tahun tiga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu dipercayai didera rakan dengan seterika wap, selain terdapat kesan melecur di bahagian dada, tangan dan kakinya.

Setakat ini, polis menahan 36 penuntut berusia antara 20 dan 21 tahun bagi membantu siasatan kejadian berkenaan dan kesemua mereka ditahan reman selama seminggu bermula hari ini.

Pegawai Kadet Laut Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia dengan kesan lebam dan melecur di badan, sempat berpesan kepada ibunya supaya menjaga diri. Ibunya, Hawa Osman, 54, berkata anak sulung daripada empat beradik itu berpesan demikian ketika dihubungi baru-baru ini ekoran tidak dapat pulang ke rumah bagi menyambut Ramadan.

"Ketika itu, saya dengar suara Allahyarham seperti kurang sihat, namun, Allahyarham mengatakan bahawa dia sihat. Dia suruh saya jaga diri," katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh , di sini semalam.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Daud, Ridauddin Daud (2 November 2021). "Kes kematian Zulfarhan: Enam penuntut UPNM dipenjara 18 tahun". Astro Awani. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-04. Dicapai pada 4 November 2021.
  2. ^ "Jenazah penuntut UPNM dipercayai mati didera selamat dikebumikan". Astro Awani. 2 Julai 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-04. Dicapai pada 4 November 2021.
  3. ^ a b Azmi, Siti Nurazlinee (29 Januari 2018). "Pendakwaan akan buktikan Zulfarhan mati didera". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-05. Dicapai pada 5 November 2021.
  4. ^ "'Ada orang suruh saya tumbuk Zulfarhan'". Berita Harian. 30 Mac 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-05. Dicapai pada 5 November 2021.
  5. ^ "'Bukan saya cucuh seterika wap di badan Zulfarhan'". Berita Harian. 26 Februari 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-05. Dicapai pada 5 November 2021.
  6. ^ Abas, Norlizah (1 November 2021). "Kronologi kes pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain". Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-05. Dicapai pada 5 November 2021.
  7. ^ "Jenazah penuntut UPNM dipercayai mati didera selamat dikebumikan". Astro Awani. 2 Jun 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-04. Dicapai pada 5 November 2021.
  8. ^ Abd Malik, Mahaizura; Muharam, Redzuan (2 November 2021). "'Saya maafkan mereka tapi akan lawan sampai ke mahkamah rayuan' - Bapa Zulfarhan [METROTV]". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-11-05. Dicapai pada 5 November 2021.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]