Pergi ke kandungan

Kemuluran

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kemuluran ialah satu sifat fizik iaitu kebolehan untuk mengekalkan cangaan plastik tanpa retakan atau patah (dalam logam, contohnya apabila ditarik menjadi dawai). Ia dicirikan dengan pengaliran bahan oleh tegasan ricih.

Sejenis bahan mulur adalah sebarang bahan yang alah dalam keadaan tegasan ricih (bertentangan dengan patah rapuh, iaitu alah dalam keadaan tegasan normal). Emas, tembaga, dan aluminium merupakan logam yang sangat mulur.

Kemuluran adalah berkaitan dengan kebolehtempaan.

Dalam sains Bumi, zon peralihan rapuh-mulur adalah zon pada kedalaman kira-kira 10 km bawah tanah, apabila batuan semakin jarang mengalami retakan, sebaliknya lebih berkemungkinan untuk bercangga secara mulur. Dalam ais glasier, zon ini terletak pada kedalaman 30 m. Tidaklah mustahil bagi satu-satu bahan untuk bercangga secara mulur di atas zon peralihan rapuh-mulur, sebegitu juga dengan bahan di bawah zon tersebut untuk bercangga secara rapuh. Zon ini wujud kerana semakin dalamnya di bawah tanah, semakin tinggi tekanan mengekang, dan kekuatan rapuh meningkat dengan kenaikan tekanan mengekang sementara kekuatan mulur sentiasa malar. Zon peralihan berlaku apabila kekuatan rapuh mengatasi kekuatan mulur.

Dalam fizik/sains bahan, suhu peralihan rapuh-mulur SPRM sesuatu bahan menunjukkan titik ketika tenaga retakan jatuh di bawah titik yang telah ditentukan (bagi keluli biasanya 40 J (J.Vernon, Introduction to engineering Materials) bagi ujian hentaman Charpy piawai). SPRM adalah penting kerana apabila suatu bahan disejukkan di bawah SPRM, ia akan mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk pecah akibat hentaman, berbanding dengan melentur (membengkok) atau bercangga. Contohnya, ZAMAK 3, sejenis aloi penuangan acuan zink, menunjukkan kemuluran yang baik pada suhu bilik tetapi patah pada suhu bawah sifar apabila ia dihentam. SPRM adalah pertimbangan yang penting dalam pemilihan bahan terutamanya jika bahan adalah tertakluk kepada tegasan mekanikal.

Dalam sesetengah bahan, peralihan ini adalah lebih jelas berbanding yang lain. Contohnya, peralihan adalah lebih jelas pada bahan dengan kekisi kubus berpusat jasad berbanding dengan kekisi kubus berpusat muka. SPRM juga boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran seperti penyinaran neutron yang menjurus kepada peningkatan kecacatan kekisi dan penurunan dalam kemuluran (atau peningkatan dalam SPRM) yang berpadanan.

Templat:Sci-stub