Kenaikan harga beras 2008

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kenaikan harga beras 2008 merupakan isu yang berkaitan dengan kenaikan global harga beras. Beras merupakan makanan ruji di Asia Tenggara dan juga sebilangan besar masyarakat dunia, maka sebarang isu yang berkaitan beras seperti bekalan beras dan harga boleh memberi impak besar kepada sesebuah negara dan dunia. Seperti barangan komoditi lain, jumlah penawaran dan permintaan beras mempengaruhi harga beras di pasaran. Contohnya negara Filipina dilanda krisis bekalan beras yang serius apabila bekalan beras merosot sehingga harga beras meningkat 60 peratus daripada kira-kira 25 peso (RM1.92) sekilogram ke 40 peso (RM3.20) sekilogram[1]. Di Thailand, pengeksport utama beras, harga komoditi itu telah meningkat lebih dua kali ganda[2].

Harga beras sudah melonjak sebanyak 141 peratus semenjak Januari 2008 berbanding 2007 sebanyak 16 peratus. Peningkatan harga beras di pasaran global dikaitkan dengan permintaan melonjak dunia terhadap beras dan bukan daripada penuaian yang kurang. Ini kerana antara November 2007 dan Februari 2008, eksport beras dari Thailand adalah 1 juta tan sebulan, sesuatu jumlah yang besar berbanding sebelumnya[3]. Thailand menghasilkan 20 juta tan metrik (22 juta U.S. tan) beras setahun dan mengeksport dalam 9 juta tan metrik (9.9 juta U.S.tan).

Selain Asia, krisis juga merebak ke negara maju seperti Amerika Syarikat apabila dua pasaraya besar di Amerika Syarikat Costco Wholesale dan Wal-Mart's Sam's Club, menghadkan jumlah guni beras import yang boleh dibeli oleh pelanggan[4]. Tindakan dua pasaraya ini dijangka meningkatkan lagi harga beras di pasaran Amerika Syarikat.

Sebab[sunting | sunting sumber]

Kenaikan harga beras disebabkan beberapa faktor. Antara faktor-faktor ini adalah peningkatan permintaan seperti di Timur Tengah dan Afrika; pengeluaran yang tidak dapat memenuhi jumlah permintaan yang besar; serta proses industrialisasi di Asia yang menyebabkan tanah digunakan untuk industri dan bukan untuk pertanian.

Kenaikan harga beras juga dikaitkan dengan tindakan negara pengeksport utama beras seperti India dan Vietnam yang mengharamkan eksport ke luar negara dengan harapan mereka dapat mengekang kenaikan harga beras di negara mereka. Pada masa yang sama tindakan mereka ini menyebabkan kenaikan harga beras di pasaran antarabangsa. Menurut ketua pengarah urusan Bank Pembangunan Asia, Rajat Nag, krisis beras berlaku kerana reaksi panik dunia kepada tindakan pengeksport beras ini dan tindakan mereka (pengeksport beras) tidak ada bezanya dari menyorok beras di pasaran tempatan[5].

Pertubuhan Makanan dan Pertanian meramalkan bekalan beras di pasaran dunia akan menurun sebanyak 3.5 peratus kepada 29.9 juta tan pada 2008 kerana negara-negara pengeluar utama beras menyorokkan tanaman mereka dan kemerosotan pengeluaran di Amerika Syarikat dan Jepun[6].

Kenaikan harga beras di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Pergantungan kepada import[sunting | sunting sumber]

Di Malaysia, beras merupakan makanan asasi penduduk Malaysia. Maka beras adalah komoditi yang sangat penting di dalam kegunaan penduduk sehari-hari.

Walaupun Malaysia mempunyai industri pengeluaran berasnya sendiri, 30 hingga 35 peratus keperluan beras negara diimport. Daripada jumlah itu, beras Thailand merupakan import utama Malaysia sebanyak 60 peratus atau 480,000 tan metrik setahun[7].

Fokus kepada perindustrian[sunting | sunting sumber]

Fokus kepada polisi perindustrian yang pada masa yang sama tidak menghiraukan industri pertanian terutamanya penanaman padi adalah sebab utama kenaikan harga beras di Malaysia. Antara tahun 1960-an dan 1970-an, kerajaan Malaysia membuat pelaburan yang tiggi untuk membina infrastruktur industri padi seperti sistem saliran dan pengairan. Kajian juga dilakukan untuk menghasilkan baka yang tahan penyakit, berhasil tinggi serta boleh dituai dua kali setahun.

Hasil dari pelaburan ini, Malaysia mencapai 90 peratus tahap sara diri dan industri beras pada masa itu mensasarkan 100 peratus tahap sara diri. Perubahan kepimpinan, struktur ekonomi dan fokus negara pada tahun 1980-an menyaksikan perubahan dalam industri beras dan padi negara. Perubahan ini menyebabkan persaingan untuk sumber-sumber seperti tenaga kerja, tanah dan air yang memberi tamparan hebat kepada industri padi dan beras tempatan. Akibatnya, banyak kawasan pertanian diubah kepada kawasan industri dan perumahan. Purata kawasan padi adalah 2.0 hektar untuk seorang petani yang puratanya berusia antara 55 dan 60 tahun[8].

Peranan Bernas[sunting | sunting sumber]

Beras merupakan produk yang tidak termasuk di bawah barang kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).[9]

Kerajaan Malaysia mengawal bekalan beras di bawah Perintah Beras (Gred dan Kawalan Harga) 1992 bagi beras super tempatan yang mempunyai 15 peratus beras hancur. Harga jual ditetapkan antara RM1.65 dan RM1.80 per kilogram berdasarkan zon-zon di Semenanjung Malaysia. Masalah timbul apabila beras yang dijual di pasar raya mengandungi 10 peratus beras hancur sementara 15 peratus sukar dicari kerana kebanyakannya dijual di kawasan pedalaman untuk mereka yang berpendapatan rendah.

Pada masa yang sama, FOMCA menerima aduan dari pemborong bumiputera tentang kesukaran mendapat bekalan beras dari Padiberas Nasional Berhad (Bernas). Mereka mendakwa Bernas hanya membekalkan kepada anak syarikat atau konsortium pemborong utama dan mengenakan kuota kepada pemborong bebas[10].

Oleh itu harga beras bergantung kepada bekalan beras yang mana sebagian besar adalah barangan import yang dimonopoli oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas). Mengikut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mah Siew Keong berkata Bernas berperanan memastikan harga beras yang berpatutan dan juga menyimpan stok yang mencukupi.[11]

Usaha menangani kenaikan harga beras[sunting | sunting sumber]

Krisis kenaikan harga beras global berlaku dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) 2006-2010 di mana kerajaan Malaysia mensasarkan pengeluaran padi mencapai sasaran 90 peratus tahap sara diri menjelang tahun 2010, daripada 70 peratus yang dicapai sekarang.

Sarawak sebagai jelapang padi kesembilan[sunting | sunting sumber]

Bagi menangani kekurangan bekalan beras dan kenaikan harga beras global, Kerajaan Malaysia mengumumkan untuk menjadikan Sarawak negeri jelapang padi kesembilan di bawah Pelan Strategi Jaminan Makanan Negara (FSs), kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed[12]. Limbang, Sarawak, tanah subur yang di atasnya mengalir Sungai Limbang dikenal pasti sebagai kawasan yang sesuai untuk projek penanaman padi[13].

Mustapa berkata langkah menambah kawasan baru penanaman padi adalah bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi tanpa bergantung kepada import.

Malaysia mengumumkan satu pelan untuk menjamin bekalan makanan domestik negara dengan peruntukan RM4 bilion. Jumlah besar wang ini akan digunakan untuk menjadikan Borneo sebagai jelapang padi negara, dan juga perancangan untuk meningkatkan penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran.

Cadangan undang-undang elak status tanah sawah ditukar[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Malaysia sedang mengkaji untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengelak tanah sawah ditukar status untuk kegunaan lain[14]. Terdapat 670,000 hektar tanah sawah padi di Malaysia tetapi ia semakin berkurangan pada setiap tahun atau pengurangan sebanyak 4 peratus dalam tempoh 15 tahun, kebanyakannya diguna untuk kawasan perumahan dan kedai[15].

Cadangan tersebut bagaimanapun masih di peringkat Kementerian Pertanian dan Asas Tani dan ia dalam proses kajian sebelum di bawa ke peringkat tertinggi. Pengeluaran tempatan padi hanya memenuhi 70 peratus keperluan pengguna tempatan. Rakyat Malaysia menggunakan 77kg beras setahun.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Filipina dilanda krisis bekalan beras", Utusan Malaysia. 27 Mac 2008
  2. ^ "Government scramble to tackle food crisis", New Straits Times, 23 April 2008
  3. ^ The new face of hunger, The Economist, 17 April 2008
  4. ^ Global rice squeeze hitting U.S. consumers, San Francisco Chronicle, 25 April 2008
  5. ^ New Straits Times, 23 April 2008
  6. ^ Shortage drives rice prices to record high Diarkibkan 2008-05-01 di Wayback Machine, Financial Post, 4 April 2008
  7. ^ Malaysia seeks assurances of rice supplies from Thailand Diarkibkan 2008-04-29 di Wayback Machine, The Malaysian Insider, 25 April 2008
  8. ^ Melati Mohd Arif, Malaysia's rice industry: A revamp needed?, Bernama, 16 April 2008
  9. ^ "KPDNHEP tidak kawal semua harga barang", Utusan Malaysia. 15 Februari 2008
  10. ^ Melati Mohd Arif, Rice issue: A lesson for all?, Bernama, 2 Mei 2008
  11. ^ "Kedudukan Bernas sebagai pengimport tunggal beras dikaji", Utusan Malaysia. 4 September 2007.
  12. ^ Sarawak sebagai jelapang padi kesembilan negara, Mstar, 20 April 2008
  13. ^ Jed Yoong, Psst, Malaysia’s Got a New Rice Bowl Diarkibkan 2008-05-01 di Wayback Machine, Asia Sentinel, 27 April 2008
  14. ^ Undang-undang elak status sawah ditukar, Utusan Malaysia, 28 April 2008
  15. ^ Government mulls control of padi land use, New Straits Times, 28 April 2008