Pergi ke kandungan

Kepulangan ke Sion

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Cyrus memulangkan wadah-wadah Bait Suci, oleh Gustave Doré

Kepulangan ke Sion atau Zion (Ibrani: שִׁיבָת צִיּוֹן or שבי ציון, Syivat Tzion atau Syavei Tzion, lit. orang-orang yang kembali ke Sion) merupakan sebuah peristiwa dalam Kitab Ezra–Nehemiah daripada Alkitab Ibrani, yang mana orang Yahudi Kerajaan Yehuda—yang ditangkap Empayar Babilon Baru—dimerdekakan daripada dibuang ke Babilon selepas Parsi menakluk Babilon. Pada tahun 539 SM, raja Cyrus Agung atau Kores dari Parsi menitahkan orang Yahudi dibenarkan pulang ke Baitulmuqaddis dan negeri Yehuda, menjadi wilayah Yahudi jajahan Empayar Parsi yang swatadbir.

Pembuangan ke Babilon

[sunting | sunting sumber]

Empayar Babilon Baru yang diperintah oleh Bakhtunasar atau Nebuchadnezzar II menduduki Kerajaan Yehuda antara tahun 597–586 SM dan memusnahkan Bait Pertama di Baitulmuqaddis.[1] Menurut Alkitab Ibrani, raja Yehuda yang terakhir, Zedekiah, dipaksa melihat putera-puteranya dibunuh, kemudian matanya sendiri dibuang dan baginda dibuang ke Babilon (2 Raja-raja 25).[2]

Pulang ke Sion

[sunting | sunting sumber]
Empayar Hakhamaniyah

Menurut kitab Uzair–Nehemia, beberapa puluh tahun kemudian pada 538 SM, orang Yahudi di Babilon dibenarkan pulang ke negeri Yehuda kerana perintah Cyrus. Pada mulanya, kira-kira 50,000 orang Yahudi pulang ke Yehuda menurut kitab Uzair, manakala kebanyakannya terus tinggal di Babilon.[3][4] Kemudian, sebilangan orang buangan pulang dari Babilon bersama Uzair.[5] Kepulangan orang-orang buangan ke Yehuda sepanjang 110 tahun selepas itu dikenali sebagai kepulangan ke Sion, peristiwa yang kaum Yahudi tidak akan lupakan.[6]

Yehud Medinata

[sunting | sunting sumber]

Orang-orang yang pulang menetap di Yehud Medinata atau Yehud. Yehud Medinata adalah wilayah Yahudi yang memerintah sendiri di bawah pemerintahan Empayar Hakhamaniyah, bahkan mengeluarkan duit syiling Yehud mereka sendiri yang ditulis dengan tiga huruf Y-H-D.[perlu rujukan]

Penceritaan Alkitab

[sunting | sunting sumber]

Menurut kitab Uzair–Nehemia dalam Alkitab Ibrani, kepulangan ke Sion berlaku dalam beberapa gelombang: gelombang Sesbazar, Zerubabel, Uzair dan Nehemia.

Kepulangan Sesbazar

[sunting | sunting sumber]

Kitab Uzair mula-mula menceritakan kepulangan Sesbazar atas perintah Raja Cyrus dari Parsi:

7) Raja Kores mengembalikan semua mangkuk dan cawan yang dahulu dipakai di dalam Rumah TUHAN di Yerusalem. Perkakas itu telah dibawa oleh Raja Nebukadnezar dan disimpan di dalam kuil dewa-dewanya sendiri. 8) Raja Kores menyerahkan tugas mengurus perkakas itu kepada Mitredat, ketua perbendaharaan kerajaan. Kemudian Mitredat membuat senarai perkakas itu bagi Sesbazar, gabenor negeri Yehuda. …

11 Semuanya berjumlah 5,400 buah pinggan mangkuk daripada emas dan daripada perak serta perkakas lain. Kesemua barangan ini dibawa oleh Sesbazar dari Babilonia ke Yerusalem, bersama dengan orang buangan yang lain.

— Kitab Uzair 1:7–8,11 [7]

Kepulangan Zerubabel

[sunting | sunting sumber]

Hijrah kedua yang diceritakan dalam Kitab Uzair diketuai oleh Zerubabel dan termasuk 42,360 orang, tidak termasuk hamba atau pelayan. Antaranya, terdapat 24,144 lelaki biasa (57%) dan 12,452 wanita dan kanak-kanak (29%). Terdapat juga 4,289 pendeta (10%), 74 orang Lewi keramaian, 128 penyanyi Lewi, 139 orang Lewi penjaga pintu, dan 392 orang pembantu rumah Netin. Terdapat 652 orang lagi yang tidak diketahui keturunannya dan 90 lagi orang yang tidak diperincikan. 7,337 hamba dan pelayan meningkatkan populasi mereka kepada 49,697. Haiwan-haiwan kerja mereka termasuk 736 ekor kuda (satu untuk setiap 68 orang), 246 ekor baghal (satu setiap 202), 435 ekor unta (satu setiap 114), dan 6,720 ekor keldai (satu setiap 7).[8]

Kepulangan Uzair

[sunting | sunting sumber]

Hijrah ketiga diketuai oleh Jurutulis Uzair, dan Talmud menjelaskan bahawa dia menangguhkan kepulangannya ke Yehuda untuk tinggal bersama rabainya, Barukh ben Neriah, seorang pengikut terkenal Yeremia yang terlalu tua dan lemah untuk mengikut perjalanan mereka.[9]

Uzair kembali dengan persetujuan kerajaan Parsi dan diberikan izin untuk membelanjakan semua sumbangan ke kuil suci Baitulmuqaddis. Dia juga dibenarkan memindah bejana-bejana suci yang dikembalikan ke Bait, dan satu titah memperuntukkan mereka dana kerajaan, gandum, wain dan minyak. Selain itu, semua orang yang berkhidmat di bait suci, para pendeta, orang Lewi dan Netin dikecualikan daripada cukai, dan Uzair diberi kuasa untuk melantik pegawai-pegawai dan hakim juga untuk mengajar hukum Tuhan kepada orang Yehuda, serta kuasa kehakiman untuk mengenakan hukuman sita, buang negeri atau hukuman mati.[10]

Kepulangan Nehemia

[sunting | sunting sumber]

Hijrah keempat diketuai oleh Nehemia, yang diberi kebenaran untuk membina semula Baitulmuqaddis dan membaiki tembok kotanya. Dia diberi kebenaran untuk menebang pokok-pokok dan diiringi oleh tentera Parsi.[11]

Kerana kesusahan ekonomi di Yehuda, Nehemia menghadapi krisis awam semasa membaiki tembok Baitulmuqaddis. Nehemia mendengar keluhan orang-orang Yahudi dan marah terhadap pencatutan para pembesar dan pegawai Yahudi, terutama mereka yang berkhidmat di Bait Suci yang dikecualikan daripada cukai-cukai Parsi yang tinggi. Nehemia mengadakan perbicaraan awam dan menggesa para bangsawan untuk mengembalikan ladang-ladang dan rumah-rumah yang disita dan mengampunkan semua pinjaman wang. Dia orang pertama yang berbuat demikian, mengisytiharkan bahawa dia dan rakan-rakan rapatnya akan memaafkan hutang mereka. Dia menyuruh para bangsawan bersumpah untuk memenuhi janji mereka.[12] Pada hari kedua puluh lima bulan Elul, 52 hari selepas kerja-kerja bermula, tembok itu siap.[13]

Silinder Cyrus

[sunting | sunting sumber]
Silinder Cyrus

Kitab Uzair dalam Alkitab mengandungi dua teks yang dikatakan adalah titah Cyrus Agung mengizinkan orang Yahudi pulang ke tanah air mereka selepas beberapa dekad dan mengarahkan agar Bait Suci dibina semula. Perbezaan dari segi kandungan dan nada kedua-dua titah, satunya dalam bahasa Ibrani dan satu lagi dalam bahasa Aram, telah menyebabkan beberapa pakar sangsi dengan kesahihannya.[14] Silinder Cyrus, sebuah batu bersurat kuno yang tertulis pengisytiharan atas nama Cyrus yang bercakap tentang pemulihan kuil-kuil dan pengembalian orang-orang buangan, sering dianggap sebagai bukti yang menyokong keaslian titah Cyrus dalam Alkitab,[15] tetapi sarjana lain mengatakan bahawa teks silinder tersebut adalah khusus untuk Babylon dan Mesopotamia dan tidak menyebut Yehuda atau Baitulmuqaddis.[15] Profesor Lester L Grabbe menegaskan bahawa "titah Cyrus" itu mengenai Yehuda, "tidak boleh dianggap sahih", tetapi memang ada satu "dasar umum yang membenarkan orang asing dihantar pulang dan membina semula tapak pemujaan mereka". Beliau juga menyatakan arkeologi mencadangkan bahawa pemulangan mereka hanyalah "titis-titisan" yang menjangkau selama beberapa dekad, bukannya satu peristiwa tunggal.[16]

Dalam diaspora

[sunting | sunting sumber]

Pada pertengahan abad ke-5 SM, komuniti Yehuda yang dibuang negeri mengalami semangat kebangsaan yang besar. Telah ditunjukkan bahawa penduduk Yehuda di Nippur, yang majoritinya mempunyai nama yang berasal daripada bahasa Babylonia, tiba-tiba mula memberi anak-anak mereka nama Yehuda yang menyebut nama Tuhan.[17]

  1. ^ "Temple of Jerusalem". www.britannica.com. Encyclopedia Britannica. 2 Jun 2023.
  2. ^ "2 Raja-raja 25 di chabad.org".
  3. ^ Ezra 2:64–65
  4. ^ http://hirr.hartsem.edu/ency/jews.htm Diarkibkan 2018-06-24 di Wayback Machine, bahagian "populasi" rencana ini menganggarkan populasi sebelum pembuangan adalah sebanyak 1.8 juta di Israel dan Yehuda digabungkan. Dirujuk pada 26/6/2018.
  5. ^ Uzair 8:1–32
  6. ^ Mazmur 126
  7. ^ [1]
    Uzair 1:7Template:Bibleverse with invalid book
  8. ^ Ezra 2
  9. ^ Babylonian Talmud: Order Moed, Tractate Megillah 16b. Megilah PDF dalam Inggeris Diarkibkan 2010-11-24 di Wayback Machine pada laman 65/127, (perenggan terakhir sebelum nota kaki), lihat nota kaki terakhir di halaman seterusnya juga.
  10. ^ Ezra 7
  11. ^ Nehemia 2
  12. ^ Nehemia 5
  13. ^ Nehemia 6:15
  14. ^ Bedford, Peter Ross (2001). Temple Restoration in Early Achaemenid Judah. Leiden: Brill. m/s. 112 (Seksyen titah Cyrus hlm. 111–131). ISBN 9789004115095.
  15. ^ a b Becking, Bob (2006). ""We All Returned as One!": Critical Notes on the Myth of the Mass Return". Dalam Lipschitz, Oded; Oeming, Manfred (penyunting). Judah and the Judeans in the Persian Period. Winona Lake, IN: Eisenbrauns. m/s. 8. ISBN 978-1-57506-104-7.
  16. ^ Grabbe, Lester L. (2004). Yehud - A History of the Persian Province of Judah. A History of the Jews and Judaism in the Second Temple Period. The Library of Second Temple Studies. 1. T & T Clark. m/s. 355. ISBN 9780567089984.
  17. ^ Talshir, David, “The Habitat and History of Hebrew during the Second Temple Period,” Pages 251-275 in Biblical Hebrew: Studies in Chronology and Typology. Edited by Ian Young. London: T&T Clark, 2003.