Pergi ke kandungan

Kepulauan Raja Ampat

Koordinat: 0°14′00″S 130°30′28″E / 0.2333115°S 130.5078908°E / -0.2333115; 130.5078908
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kepulauan Raja Ampat
Nama tempatan:
Kalano Muraha, Kolano Nguraha (Tidore)
Kalana Fat (Ma'ya)
Pemandangan panorama
Peta kepulauan
Kepulauan Raja Ampat yang terletak di Indonesia
Kepulauan Raja Ampat
Kepulauan Raja Ampat
Kedudukan di Indonesia
Geography
Koordinat0°14′00″S 130°30′28″E / 0.2333115°S 130.5078908°E / -0.2333115; 130.5078908
KepulauanMelanesia
Jumlah pulau612
Pulau-pulau utama
Keluasan8,034.44 km2 (3,102.11 bt2)
Pentadbiran
ProvinsiPapua Barat Daya
KabupatenKabupaten Raja Ampat
Demografik
Penduduk66,839 (mid 2022 estimate)[1]
Kepadatan penduduk8.32 /km2 (21.55 /sq mi)
Kelompok etnik

Kepulauan Raja Ampat ialah gugusan kepulauan yang terletak di barat bahagian Semenanjung Kepala Burung Pulau Papua. Secara pentadbiran, gugusan ini berada di bawah Kabupaten Raja Ampat dan Bandar Sorong, Provinsi Papua Barat Daya. Kepulauan ini kini menjadi tempat para penyelam yang tertarik kepada keindahan pemandangan bawah lautnya. Empat buah pulau yang membentuk kepulauan ini ialah Pulau Waigeo, Pulau Misool, Pulau Salawati, dan Pulau Batanta. Perairan Kepulauan Raja Ampat mempunyai 574 spesies terumbu karang dan 553 jenis ikan karang dan diketahui sebagai kawasan laut terkaya dengan keanekaragaman hidupan tertinggi di dunia.[2]

Asal usul dan sejarah

[sunting | sunting sumber]

Terdapat pelbagai asal muasal Raja Ampat menurut mitos masyarakat yang mempunyai pelbagai versi. Secara umumnya boleh dibezakan menjadi dua, tempoh sebelum dan selepas Gurabesi.[3]

Tempoh sebelum Gurabesi

[sunting | sunting sumber]

Menurut versi ini berdasarkan suku Kawe dan Wawiyai seperti yang dicatat Van der Leeden tahun 1979–1980, sebelum Gurabesi berkuasa, wilayah ini sudah mempunyai kerajaan tempatan dan dipimpin oleh raja bersaudara bergelar fun. Fun Giwar menguasai Waigeo, Fun Tusan menguasai Salawati, dan Fun Mustari menguasai Misool. Saudara keempat mereka, Fun Kilimuri menuju ke Pulau Seram, yang kelima Fun Sem menjelma sebagai makhluk halus; sementara Pin Take saudara perempuan keenam, dan saudara ketujuh mendiami Wawage (atau Kali Raja), Waigeo Selatan. Mereka awalnya hidup bersama di Wawage tetapi kemudiannya bertengkar dan berpisah.[3]

Rentetan dari sejarah tersebut, tersebar mitos yang dipercayai masyarakat tempatan, bahawa saudara yang perempuan Pin Take telah hamil tanpa suami. Peristiwa itu menyebabkan adik beradiknya yang lain malu. Oleh sebab itu, dia dihanyutkan oleh saudara-saudaranya ke laut. Pin Take terdampar di Pulau Numfor dan bertemu dengan Manar Maker, seorang watak mitos masyarakat Biak-Numfor.[3]

Pin Take kemudiannya melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Gurabesi (atau juga Kurabesi). Ketika dewasa, Gurabesi kembali ke Kali Raja (Wawage) dan bertemu bapa saudaranya, Fun Giwar. Gurabesi, Fun Giwar dan putera Giwar yang bernama Mereksopen, membantu Raja Tidore berperang melawan Raja Ternate.[3]

Sebagai hadiah kepada Gurabesi atas kemenangan melawan Ternate, dia dinikahkan dengan puteri Sultan Tidore, Boki Taiba. Gurabesi dan isterinya kemudiannya menetap di Wauyai, Waigeo, Raja Ampat hingga akhir hidupnya.[4][3]

Tempoh selepas Gurabesi

[sunting | sunting sumber]

Salah satu versi seperti yang dicatat F.C. Kamma akhir tahun 1930-an menyatakan, terdapat pemimpin dari Biak yang berhijrah ke kepulauan ini, yang bernama Gurabesi (Kurabesi) atau disebut juga Sekfamneri. Dia bersama-sama dengan penduduk tempatan menghentikan pengembangan orang Sawai yang berasal dari Patani, Halmahera Tengah ke kepulauan ini. Tempat orang Sawai berjaya ditewaskan dengan tipu muslihat Gurabesi kemudiannya dinamakan Bukorsawai (tengkorak orang Sawai) di Waigeo Utara.[3]

Gurabesi sendiri semakin terkenal dengan kepemimpinannya ke atas pulau-pulau di rantau ini dan juga dengan pengembaraannya ke luar rantau Raja Ampat di Seram, Halmahera dan kerajaan di Maluku dalam rangka pengayauan dan dagangan. Dalam pengembaraannya melawat Tidore, dia berdepan dengan peperangan antara Kesultanan Tidore dengan Kesultanan Jailolo. Atas permintaan bantuan Sultan Tidore, Gurabesi membantu pasukan Tidore mengalahkan Jailolo. Disebabkan bantuan ini, Gurabesi dinikahkan dengan Boki Tabai (puteri Sultan Tidore) dan didukung oleh Tidore menjadi raja yang menguasai wilayah kepulauan Raja Ampat, yang memerintah dari Wai-kew, Waigeo. Dia juga akan memberikan sebahagian ufti yang diterimanya kepada Tidore setiap musim angin timur (angin pasat). Pengembangan kawasan Gurabesi kemudiannya berkembang ke beberapa wilayah di Semenanjung Kepala Burung yang merupakan cikal bakal wilayah Papo-ua Gam Sio (sembilan negeri papoua).[3]

Gurabesi dan Boki Tabai dihikayatkan tidak mempunyai anak. Pada suatu hari ketika Boki Tabai dan Gurabesi menyusuri sungai Waikeo (Kali Raja di kawasan Tiplol Mayalibit) mereka menemui beberapa butir telur (ada yang mengatakan enam atau tujuh). Empat butir daripadanya menetas menjadi empat orang putera yang berpisah kerana pertengkaran atas kura-kura dan masing-masing menjadi raja yang berkuasa di Waigeo, Salawati, Misool Timur di Lilinta, dan Misool Barat di Waigama dan kemudiannya pergi ke Kalimuri (Seram). Sementara itu, telur kelima menjadi lelaki tapi kemudian menghilang di alam ghaib menjadi hantu, telur keenam menjadi perempuan, dan telur ketujuh menjadi menjadi batu Telur Raja (Kapatnai) yang dikeramatkan di Kali Raja.[5][6][3]

Dalam pengisahan sejarah, wilayah Raja Ampat telah lama dihuni oleh masyarakat bangsawan dan mengamalkan sistem kerajaan yang terpengaruhi adat Maluku. Raja Ampat menjadi bahagian tuntutan dari Kesultanan Tidore dengan hubungan dengan watak Gurabesi. Selepas Kesultanan Tidore ditakluk Belanda, Kepulauan Raja Ampat menjadi bahagian dari Hindia Belanda, dan kemudiannya Indonesia.

Senarai kerajaan

[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan kerajaan-kerajaan Islam di wilayah kepulauan Raja Ampat:[7]

  • Kerajaan Waigeo dengan pusat pemerintahannya di Weweyai, Pulau Waigeo
  • Kerajaan Salawati dengan pusat pemerintahannya di Samate, Pulau Salawati bahagian utara.
  • Kerajaan Misool dengan pusat pemerintahannya di Lilinta, Pulau Misool bahagian timur kemudian berpindah ke Sel Peleket di sebelah timurnya.
  • Kerajaan Waigama dengan pusat pemerintahan di Waigama, Pulau Misool bahagian barat.
  • Kerajaan Sailolof dengan pusat pemerintahannya di Sailolof, Pulau Salawati bahagian selatan.

Masyarakat

[sunting | sunting sumber]

Masyarakat Kepulauan Raja Ampat umumnya nelayan tradisional yang mendiami kampung-kampung kecil yang letaknya saling berjauhan dan berbeza pulau.

Mereka ialah pemeluk Islam dan Kristian dan sering kali di dalam satu keluarga atau marga terdapat ahli yang memeluk salah satu dari dua agama tersebut. Hal ini menjadikan masyarakat Raja Ampat tetap rukun walaupun berbeza keimanan.[8]

Berdasarkan etnik, penduduk Raja Ampat kebanyakannya ialah dari suku Ma'ya, suku Amber, suku Moi, suku Efpan dan suku Biak yang merupakan penghijrah ke kepulauan sebelum abad ke-15. Suku Ma'ya mempunyai 3 suku kecil, iaitu suku Kawei (Selpele dan Salyo, Waigeo Barat), suku Wauyai (Waigeo Selatan), suku Laganyan (Yefnu, Lopintol). Suku Amber pada awalnya menetap di pedalaman Waigeo sebelum berpindah ke pesisir utara Waigeo, Kabare, dan Teluk Manyalibit. Suku Matbat ialah penduduk asli Pulau Misool, manakala suku Moi ialah penduduk asli Pulau Salawati. Suku Moi terbahagi kepada dua kumpulan berdasarkan dialek iaitu dialek Palli di Salawati utara, sub-suku Mocu, Fiawat, Kalobo, Kapatlap dan Solol. Manakala dialek Mosenah tinggal di Salawati selatan, sub-suku Madem, Kawit, dan Waliam. Suku Efpan hanya tinggal di kampung Duriankeri yang hanya seramai 15 orang pada tahun 1979. Suku Biak yang menetap di Kepulauan Raja Ampat, merupakan sub-suku Beser yang mendiami pulau-pulau Ayau, pesisir utara dan selatan Pulau Waigeo, Pulau Batanta, Pulau Pam, Meoskapal, Pulau Kofiau, dan Pulau Yefman.[9]

Kekayaan sumber semulajadi

[sunting | sunting sumber]
Terumbu karang di Pulau Piaynemo, Raja Ampat

Kepulauan Raja Ampat ialah tempat yang sangat berpotensi untuk dijadikan sebagai tempat pelancongan, terutamanya kegiatan selam.

Dr. John Veron, pakar karang dari Australia, contohnya, dalam sebuah laman web, mendedahkan, Kepulauan Raja Ampat yang terletak di hujung paling barat Pulau Papua, sekitar 50 batu sebelah barat laut Sorong, mempunyai kawasan karang terbaik di Indonesia. Sekitar 450 jenis karang telah dikenal pasti dalam tempoh dua minggu kajian di kawasan tersebut.[10]

Pasukan pakar dari Konservasi Antarabangsa, The Nature Conservancy, dan Lembaga Oseanografi Negara (LON) Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) pernah melakukan penilaian pantas pada 2001 dan 2002. Hasilnya, mereka mencatatkan di perairan tersebut terdapat lebih dari 540 jenis karang keras (75% dari keseluruhan jenis di dunia), lebih dari 1.000 jenis ikan karang, 700 jenis moluska, dan catatan tertinggi bagi gonodactyloid stomatopod crustaceans.

Peninggalan prasejarah dan sejarah

[sunting | sunting sumber]
Lukisan prasejarah di Pulau Misool

Di kawasan gugusan Misool ditemukan peninggalan prasejarah berupa cap tangan yang diterakan pada dinding batu karang. Uniknya, cap-cap tangan ini berada sangat dekat dengan permukaan laut dan tidak berada di dalam gua. Menurut perkiraan, usia cap-cap tangan ini sekitar 50.000 tahun dan menjadi bahagian dari rangkaian petunjuk laluan penyebaran manusia dari kawasan barat Nusantara menuju Papua dan Melanesia.[11]

Bangkai pesawat karam peninggalan Perang Dunia Kedua boleh ditemui di beberapa tempat penyelaman, seperti di Pulau Wai.

Ancaman terhadap kepulauan ini

[sunting | sunting sumber]

Kekayaan keanekaragaman hidupan di Raja Ampat telah membuatkannya terdedah kepada ancaman yang tinggi. Ini boleh dilihat daripada kerosakan terumbu karang dan hutan. Kerosakan terumbu karang umumnya disebabkan aktiviti penangkapan ikan yang tidak mesra persekitaran seperti penggunaan bom, sianida dan akar bore (cecair dari olahan akar sejenis pokok untuk meracun ikan).

Untuk menjaga kelestarian bawah laut Kepulauan Raja Ampat, usaha-usaha pemuliharaan sangat diperlukan di kawasan ini. Terdapat dua badan antarabangsa yang peka terhadap kelestarian sumber alam semula jadi Raja Ampat, iaitu CI (Konservasi Antarabangsa) dan TNC (The Nature Conservancy). Pemerintah sendiri telah menetapkan laut sekitar Waigeo Selatan, yang meliputi pulau-pulau kecil seperti Gam, Mansuar, kumpulan Yeben dan kumpulan Batang Pele, telah disahkan sebagai Suaka Hidupan Laut. Menurut SK Menhut No. 81/KptsII/1993, luas wilayah ini mencapai 60.000 hektar.

Selain itu, beberapa kawasan laut lainnya telah dicadangkan untuk menjadi kawasan pemuliharaan. Masing-masing ialah Suaka Hidupan Laut Pulau Misool Selatan, laut Pulau Kofiau, laut Pulau Asia, laut Pulau Sayang dan laut Pulau Ayau.

  1. ^ Badan Pusat Statistik, Jakarta, 2023.
  2. ^ Pratiwi, Sudhiani; Herwinda, Ersa; Radiansyah, Antung Deddy; Nalang, Vidya Sari; Nooryanto, Bambang; Rahajoe, Joeni Setijo; Ubaidillah, Rosichon; Maryanto, Ibnu (2016). Indonesian Biodiversity Strategy and Action Plan 2015–2020 (PDF). Kementerian Perencanaan Pembangunan Nasional, BAPPENAS. ISBN 978-602-1154-49-6. |first= missing |last= (bantuan)
  3. ^ a b c d e f g h Mansoben, Johszua Robert (1995). Sistem Politik Tradisional Di Irian Jaya. Jakarta: LIPI – RUL 1995. m/s. 232–246. ISBN 979-8258-06-1. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Mansoben 1995 hlm 232-246" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  4. ^ Adelia, Jesslyn (2021-11-25). "Raja Ampat: Sejarah, Pesona Keindahan Alam dan Pantai". Kabar Wisata (dalam bahasa Indonesia). Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-12-12. Dicapai pada 2021-12-12.
  5. ^ "Telur Ajaib, Simbol Toleransi Raja Ampat". detikTravel (dalam bahasa Indonesia). 2020-05-29. Dicapai pada 2023-03-09.
  6. ^ "Raja Ampat Papua Barat Indonesia : Sejarah, Mitos, Asal Usul dan Kekayaan-nya". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-07-03. Dicapai pada 15 Maret 2019. Check date values in: |access-date= (bantuan)
  7. ^ Mansoben, Johszua Robert (1995). Sistem Politik Tradisional Di Irian Jaya. Jakarta: LIPI – RUL 1995. m/s. 242–246. ISBN 979-8258-06-1.
  8. ^ "The Other Side of Raja Ampat". Tempo.co. Dicapai pada 15 Maret 2019. Check date values in: |access-date= (bantuan)
  9. ^ Mansoben, Johszua Robert (1995). Sistem Politik Tradisional Di Irian Jaya. Jakarta: LIPI – RUL 1995. m/s. 229–231. ISBN 979-8258-06-1.
  10. ^ Asdhiana, I Made, penyunting (2014-03-26). "Jangan Mati Sebelum Lihat Raja Ampat..." Kompas.com. Dicapai pada 15 Maret 2019. Check date values in: |access-date= (bantuan)
  11. ^ "7 Wisata Sejarah Di Pulau Papua". Dicapai pada 15 Maret 2019. Check date values in: |access-date= (bantuan)

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]

Templat:Situs Warisan Dunia di Indonesia