Kerajaan perpaduan (Malaysia)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Di Malaysia, idea pembentukan kerajaan perpaduan pernah dicetuskan oleh Presiden Parti Islam Se-Malaysia, Abdul Hadi Awang pada Februari 2009 ketika pentadbiran Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi agar Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat membentuk sebuah kerajaan tanpa pembangkang[1].

Idea ini mencetuskan kerencaman maklum balas dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Pemimpin Barisan Nasional menyambut idea ini dengan menggambarkan PAS ingin keluar daripada Pakatan Rakyat. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pula bersetuju untuk menolak idea ini[2]. Idea tersebut telah ditarik balik[1], dan perbahasan mengenainya tidak lagi berbangkit terutama selepas perlantikan Perdana Menteri baharu, Najib Razak[3].

Idea pembentukan kerajaan perpaduan dicetuskan semula oleh Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pascapilihan raya umum 2018 ketika Malaysia ditadbir oleh Pakatan Harapan di bawah Perdana Menteri, Mahathir Mohamad selepas "tiada gabungan parti politik mempunyai majoriti mudah di dalam Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan"[4].

Istilah kerajaan perpaduan kembali disebut apabila Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri memimpin kerajaan baharu gabungan Pakatan Harapan, BN dan tiga parti lain (GPS, GRS dan Parti Warisan bersama PBM dan KDM) membentuk nama Kerajaan Perpaduan Malaysia[5]. Walau bagaimanapun, istilah tersebut tidak dipersetujui beberapa pihak termasuk ahli akademik kerana masih wujud blok pembangkang yang dimainkan peranannya oleh Perikatan Nasional (terdiri daripada BERSATU, PAS dan GERAKAN)[6], sesetengah ahli akademik lain juga menganggap ia hanya sebuah jenama[7].

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b G. MANIMARAN (20 April 2009). "Hadi gugur syor dibentuk kerajaan perpaduan". mStar. Dicapai pada 27 Julai 2022.
  2. ^ G. MANIMARAN (22 Jun 2009). "Pakatan tolak idea kerajaan perpaduan dengan Umno-BN". mStar. Dicapai pada 27 Julai 2022.
  3. ^ Abdul Rahim Sabri (April 17, 2009). "Tiada lagi k'jaan campuran PAS-BN". Malaysiakini. Dicapai pada 27 Julai 2022.
  4. ^ Mohd Nasaruddin Parzi (Ogos 15, 2021). "Parti politik wajar kerjasama bentuk kerajaan perpaduan". BH. Dicapai pada 27 Julai 2022.
  5. ^ "Apakah tujuan sebenar MoU Kerajaan Perpaduan Malaysia?". Sinar Harian. 18 Disember 2022. Dicapai pada 13 Februari 2023.
  6. ^ "Istilah Kerajaan Perpaduan tak tepat, lebih sesuai Kerajaan PH+". Ismaweb. November 26, 2022. Dicapai pada 13 Februari 2023.
  7. ^ "Kerajaan Anwar bukan kerajaan perpaduan, kata penganalisis". The Malaysian Insight. 28 November 2022. Dicapai pada 13 Februari 2023.