Keranda 152

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Keranda 152 merujuk kepada perarakan bantahan para pejuang Bahasa Melayu terutama penulis dari Dewan Bahasa dan Pustaka yang mencapai kemuncaknya pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka. Antara tokoh terpenting ialah Usman Awang yang ketika itu menjadi editor Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya yang diterbitkan DBP. Perarakan ini merupakan simbolik kepada kematian bahasa Melayu apabila kerajaan Malaysia tidak menepati janji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Semua orang Melayu di Malaysia dipelopori pejuang bahasa mahu mengangkat martabat bahasa Melayu ke tempat yang wajar di negara ini bagi menggantikan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa pengantar di sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti ketika itu.

Dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 jelas mencatatkan kedudukan bahasa Melayu akan dinaikkan kedudukan secara berperingkat dari 31 Ogos 1957 kepada tahap lebih baik 10 tahun kemudian iaitu pada 1967. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan ialah salah satu kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa termasuk Cina, India dan lain-lain. Ketika Malaysia baru merdeka pada 1957, parti pemerintah beranggapan bahawa bahasa Melayu belum bersedia untuk mengambil alih tugas bahasa Inggeris yang digunakan oleh pentadbiran penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara.

Apabila persidangan Dewan Rakyat membahaskan Perkara 152 yang majoritinya daripada Perikatan, janji 10 tahun lalu diabaikan. Badan NGO Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan Bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman. Tempoh 10 tahun dikatakan tidak berjaya membaiki jumlah perbendaharaan bahasa Melayu, bilangan guru di sekolah dan pensyarah di universiti. Bahasa Melayu hanya dilihat memadai untuk pelajaran bahasa Melayu dan bidang sastera sahaja dan tidak layak untuk bidang sains.

Kemuncak demonstrasi - 3 Mac 1967[sunting | sunting sumber]

Lebih 2,000 pejuang bahasa termasuk pengarah DBP, Tun Syed Nasir Ismail dan Usman Awang berhimpun dan berucap di Balai Budaya, DBP selepas sembahyang Jumaat pada 3 Mac 1967. Mereka mahu berarak membawa keranda putih bertulis Perkara 152 ke bangunan Parlimen yang terletak di Jalan Mahameru, kira-kira 3 km dari DBP. Namun, kerajaan Perikatan tetap bertegas dengan bahasa Inggeris. Perarakan Keranda 152 ini telah disemadikan oleh Usman Awang dalam puisinya "Sajak Keranda 152".

Tetapi Peristiwa 13 Mei menjadi detik penting dan peluang terbaik untuk menukar status bahasa Melayu kepada bahasa pengantar, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang sebenar-benarnya dalam semua majlis dan semua perkara. Menteri Pelajaran yang berani bertindak ketika itu ialah Abdul Rahman Yaakub dari Sarawak. Konvensyen Ekonomi Melayu yang diadakan juga setuju menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan seberapa segera sebagai alternatif Universiti Malaya di Singapura yang ditubuhkan oleh penjajah British.[1] Ini ialah kejayaan terbesar yang dilakukan oleh kakitangan DBP sehingga ke hari ini. Keberanian Tun Abdul Rahman Yaakub menukar bahasa pengantar ini telah dicemuh oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu wawancara pada 2003.

Perarakan Keranda 152 Ke-2 pada 7 Mac 2009[sunting | sunting sumber]

Perarakan "Keranda 152" yang Ke-2 dipimpin oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) & Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) ke Istana Negara pada 7 Mac 2009 sebagai tanda terkuburnya Bahasa Kebangsaan ekoran dari pelbagai dasar kerajaan yang "menghina" Bahasa Kebangsaan termasuk PPSMI

Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dikatakan merancang mengadakan bantahan terhadap Dasar Pembelajaran & Pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara lembut. Namun, tindakan kurang agresif ini akhirnya menyebabkan muncul satu gerakan baru - Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang dipimpin oleh Allahyarham Dato' Dr Hassan Ahmad dan SN Dato' A Samad Said. GMP telah dilancarkan pada 31 Januari 2009 di Kompleks Membeli Belah Sogo, Kuala Lumpur dan berkembang sehingga mendapat sokongan ratusan gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Kemuncak bantahan besar-besaran terhadap dasar PPSMI adalah pada 7 Mac 2009 apabila puluhan ribu rakyat telah berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum derita lara pelajar yang mengikuti PPSMI sejak 2003 - 2009. Ini merupakan jalan terakhir yang terpaksa dilakukan setelah Kementerian Pelajaran Malaysia masih mahu meneruskan dasar-dasar mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Bulan Mac dipilih kerana Perhimpunan Agung UMNO 2009 akan diadakan pada bulan Mac. Himpunan Anti ISA juga dirancang pada bulan itu oleh Gerakan Mansuhkan ISA, DAP, PAS, PKR dan NGO lain.[2] Rentetan daripada perarakan tersebut, nama-nama tokoh besar telah disiarkan di media arus perdana oleh polis kerana dikatakan cuba mencetuskan huru-hara. Antara nama yang disiarkan ialah Allahyarham Dato' Dr Hassan Ahmad, SN Dato' A Samad Said, Hasni Abas (DBP), Prof Shahrir Md Zain, Muhammad Faisal Bin Abdul Aziz (Presiden PKPIM), Ainon Muhamad, Prof Emeritus Abdullah Hassan, Suhaizan Kayat dan Dinsman. Akhirnya kerajaan melalui Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pemansuhan dasar PPSMI pada 8 Julai 2009.

Perarakan Keranda 152 Ke-3 pada 26 Mac 2016[sunting | sunting sumber]

Ekoran daripada janji kerajaan untuk terus mansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat mulai tahun 2012, ia telah melegakan seluruh pihak. Pihak kerajaan juga menerusi Menteri Pendidikan I, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan satu dasar baru yang dikenali sebagai "Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris" (MBMMBI). Namun, menerusi satu laporan yang dibuat oleh Performance and Delivery Unit (PEMANDU) dalam mencari mekanisme untuk memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah, PEMANDU telah mengetengahkan cadangan untuk melaksanakan Program Dwi-Bahasa (DLP) untuk mewajibkan 300 sekolah kebangsaan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk subjek Sains, Matematik, Reka Bentuk, Teknologi Maklumat dan komunikasi. Cadangan ini dibuat secara senyap bagi mengelakkan kemarahan rakyat yang masih belum reda dengan dasar PPSMI lalu. Namun, ia telah disedari kumpulan pejuang bahasa daripada pelbagai latar. Angkatan Belia Islam malaysia (ABIM) ialah pertubuhan pertama mengeluarkan kenyataan pada 15 Oktober 2015 menerusi Setiausaha Agung Faisal Aziz yang telah mengecam usaha pihak tertentu yang mahu mengembalikan PPSMI melalui pintu belakang. Kumpulan pejuang bahasa kemudiannya menuntut kerajaan menepati janji yang dibuat untuk memansuhkan dasar PPSMI atau sebarang dasar yang mirip dengannya. Namun, situasi bertambah buruk setelah Menteri Pendidikan I, Tan Sri Muhyiddin Yassin, seorang tokoh pemimpin yang dilihat tegas mempertahan kedaulatan Bahasa Melayu dipecat dari Kabinet dan digantikan dengan Dato' Seri Mahdzir Khalid. Akibat daripada pemecatan itu, program DLP telah menjadi dasar yang diterima pakai walau tanpa melalui konsultasi secara menyeluruh dengan semua pihak.

Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang dipimpin Prof Emeritus Shahrir Md Zain telah mengadakan satu Sidang Media pada 5 Januari 2016 bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) serta Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan yang diwakili Gabungan Penulis Nasional (GAPENA). Dalam sidang media yang dianjurkan di Sekretariat ABIM, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) berkata memilih jalan terakhir untuk mengadakan perhimpunan bantahan secara aman di seluruh negara pada 26 Mac 2016. Tindakan ini kerana kecewa dan terkilan dengan sikap kerajaan yang tidak melayan segala usaha berbentuk rundingan bagi memansuhkan Program Dwi-Bahasa (DLP). GMP menyatakan, berdasarkan fakta kajian dan statistik telah jelas menunjukkan kegagalan dasar PPSMI yang mengorbankan 3 juta pelajar yang menelan belanja RM5.2 bilion. Pihak GMP bertegas bahawa mekanisme pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah yang harus ditingkatkan sekiranya mahu memastikan pelajar sekolah fasih berbahasa Inggeris bukan dengan cara mirip PPSMI atau DLP.

Pejuang Bahasa seterusnya bersama delegasi bijak pandai Melayu, mahaguru bahasa, sasterawan, budayawan, aktivis NGO dan pakar sains telah mengadap Baginda Sultan Perak, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membincangkan masa depan anak bangsa dan bahasa kebangsaan. Baginda Sultan Perak secara dasar bersetuju dengan kajian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) bahawa sesuatu ilmu lebih berkesan dan mudah dikuasai sekiranya diajar dalam bahasa ibunda.

Kemuncak bantahan adalah pada 26 Mac 2016 apabila pejuang bahasa yang terdiri daripada GMP, ABIM, PKPIM, MBPK, Gapena dan lain-lain berarak mengusung Keranda 152 yang ketiga di ibu kota. Keranda 152 yang ketiga diusung sebagai menifestasi kegagalan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjadi payung untuk mempertahan kedaulatan bahasa kebangsaan. Walaupun perhimpunan itu telah diisytiharkan oleh polis sebagai haram dan bercanggah dengan undang-undang, kumpulan pejuang bahasa tetap tekad untuk mengusung Keranda 152 sebagai simbol perjuangan bahasa Melayu tidak pernah malap malah akan terus diperjuangkan oleh generasi akan datang. Ekoran Perarakan Keranda 152 tersebut, empat individu penggerak utama telah dipanggil polis atas kesalahan kononnya cuba mencetuskan huru hara. Empat individu tersebut ialah Faisal Aziz (Setiausaha Agung ABIM), Prof Emeritus Shahrir Md Zain (GMP), Prof Dato' Zainal Abidin Borhan (MBPK), dan Rozan Azen Rasip (Paksi).

Rujukan[sunting | sunting sumber]