Pergi ke kandungan

Kesultanan Riau-Lingga

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kesultanan Riau-Lingga
کسلطانن رياو-ليڠڬا (Jawi)
Sultanaat van Riau en Lingga (Belanda)
1830–1911
Bendera Riau-Lingga
Riau-Lingga
Bendera Jata
Wilayah Kesultanan Riau-Lingga yang ditandakan dengan warna merah
Wilayah Kesultanan Riau-Lingga yang ditandakan dengan warna merah
StatusPenerus Kesultanan Johor Lama dan negeri naungan Belanda
Ibu negaraTanjung Pinang, Riau
(Pusat pemerintahan 1830–1900)
(Istana diraja dan pusat pemerintahan 1900–1911)
Daik, Lingga
(Istana diraja 1830–1900)
Bahasa yang umum digunakanBahasa Melayu
Agama
Sunni Islam
KerajaanSistem beraja
Sultan 
• 1830–1832
Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah
• 1832–1835
Sultan Muhammad II Muazzam Shah
• 1835–1857
Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah
• 1857–1883
Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah
• 1883–1911
Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah
Yang Dipertuan Muda 
• 1830–1831
Raja Jaafar
• 1831–1844
Raja Abdul Rahman
• 1844–1857
Raja Ali
• 1857–1858
Raja Haji Abdullah
• 1858–1899
Raja Muhammad Yusuf
Era SejarahEmpayar Belanda
17 Mac 1824
• Perjanjian 1830 (Penubuhan Kesultanan Riau-Lingga)
29 Oktober 1830
• Perjanjian 1857 (Kesultanan Riau-Lingga mengakui ketuanan Belanda)
1 Disember 1857
• Dibubarkan oleh Belanda
10 Februari 1911
Didahului oleh
Diganti oleh
Kesultanan Johor Lama
Hindia Timur Belanda
Sekarang sebahagian dari Indonesia

Kesultanan Riau-Lingga (Jawi: کسلطانن رياو-ليڠڬا), atau Kesultanan Lingga-Riau atau Kesultanan Riau dan Lingga atau Kesultanan Lingga dan Riau atau Kesultanan Riau atau Kesultanan Lingga, adalah sebuah kerajaan Melayu Islam yang terdiri daripada Kepulauan Riau dan Kepulauan Lingga dan wujud dari tahun 1830 hingga tahun 1911. Kesultanan Riau-Lingga merupakan kesinambungan langsung Kesultanan Johor Lama (1528-1830). Kesultanan Riau-Lingga wujud apabila Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dikuatkuasakan di Alam Melayu melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 antara Kesultanan Johor Lama dan Belanda di mana Kepulauan Riau dan Kepulauan Lingga kekal di bawah pemerintahan Sultan Johor ke-16, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah manakala negeri Johor dan negeri Pahang menjadi negeri merdeka yang bebas daripada pemerintahan baginda. Maka, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah secara rasmi menjadi Sultan Riau-Lingga pertama pada tahun 1830. Kesultanan Riau-Lingga dibubarkan oleh Belanda pada tahun 1911.

Bunyi Nobat Kesultanan Riau-Lingga

Kesultanan Riau-Lingga memainkan peranan yang penting dalam perkembangan Bahasa Melayu hingga menjadi asas pembentukan Bahasa Indonesia. Sepanjang pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga, Bahasa Melayu menjadi sebuah bahasa baku yang kaya dengan kesusasteraan serta memiliki kamus ekabahasa (monolingualisme) sendiri dan setanding dengan bahasa-bahasa lain yang besar di dunia. Tokoh di sebalik perkembangan pesat Bahasa Melayu adalah Raja Ali Haji, seorang pujangga dan ahli sejarah yang berketurunan Melayu-Bugis.

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]
Lakaran tentang peperangan antara Raja Haji Fisabilillah dari Kesultanan Johor Lama dengan Syarikat Hindia Timur Belanda pada 6 Januari 1784 di Tanjung Pinang, Riau. Peperangan tersebut merupakan kempen ketenteraan terbesar di Selat Melaka yang berlaku pada abad ke-18.

Kepulauan Riau dan Kepulauan Lingga pada awalnya merupakan sebahagian daripada Kesultanan Melayu Melaka dan kemudian Kesultanan Johor Lama. Sejarah merekodkan bahawa Kepulauan Riau mula menjadi sebahagian daripada Kesultanan Melayu Melaka ketika zaman pentadbiran dan perluasan kuasa Bendahara Tun Perak pada abad ke-15 Masihi. Selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 akibat penaklukan Melaka oleh Portugis, Kesultanan Johor Lama wujud pada tahun 1528 sebagai kesinambungan Kesultanan Melayu Melaka. Ketika zaman kegemilangan Kesultanan Johor Lama, Kesultanan Johor Lama meluaskan empayarnya hingga merangkumi separuh Semenanjung Tanah Melayu, timur Sumatera, Singapura, Bangka, Jambi dan Kepulauan Riau.

Berdasarkan catatan sejarah dalam Hikayat Johor tahun 1849, pada 27 September 1673, Laksamana Johor, Laksamana Tun Abdul Jamil telah diperintahkan oleh Sultan Johor ke-7, Sultan Abdul Jalil Shah III untuk membuka petempatan baru di Sungai Carang, Ulu Riau, yang terletak di Pulau Bintan. Petempatan tersebut kemudian dikenali sebagai Riau Lama. Pada awalnya, Riau Lama berperanan sebagai pelindung Kesultanan Johor Lama tetapi kemudian berkembang menjadi pusat perdagangan dan pelabuhan di Selat Melaka.

Ulu Riau menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Johor Lama ketika zaman pemerintahan Sultan Johor ke-8, Sultan Ibrahim Shah. Baginda telah memindahkan pusat pemerintahannya dari Batu Sawar, Kota Tinggi yang terletak di Johor ke Ulu Riau selepas Batu Sawar diserang oleh Kesultanan Jambi pada 4 Oktober 1722. Riau Lama kemudian menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Johor Lama selama 65 tahun iaitu dari tahun 1722 hingga tahun 1787.[1]

Peranan Pulau Lingga bermula sejak zaman Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Riayat Shah III. Baginda memindahkan pusat pemerintahannya dari Riau Lama, Ulu Riau, Bintan ke Daik, Lingga pada tahun 1788.[2] Baginda berpindah kerana baginda percaya bahawa baginda hanya sekadar boneka di bawah kekuasaan Belanda. Baginda kemudian meminta bantuan saudara jauhnya, Raja Ismail, seorang pemerintah di Tempasuk, Kepulauan Borneo (kini Sabah), untuk menyerang Belanda. Oleh sebab bimbang akan serangan balas Belanda, baginda membuat keputusan untuk berpindah ke Lingga bersama 2000 orang manakala Bendahara Johor berpindah ke Pahang bersama 1000 orang dan yang lain berpindah ke Terengganu. Apabila Belanda tiba di Riau, hanya tinggal peladang-peladang Cina yang memujuk Belanda supaya tidak menyerang orang Melayu.

Sultan Mahmud Riayat Shah III kemudian membangunkan Lingga dan menerima kedatangan penduduk baru di pulau tersebut. Baginda melantik Dato’ Kaya Megat sebagai Bendahara Lingga yang baru. Kediaman baru dan jalan dibina serta bangunan dibaiki. Aktiviti perlombongan bijih timah dijalankan di Singkep. British dan Belanda kemudian menyerahkan kembali Riau kepada baginda. Baginda menghidupkan kembali aktiviti perdagangan maritim dengan British di mana bijih timah, gambir dan rempah ratus menjadi barang yang diperdagangkan.

Krisis pewarisan takhta dan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah

[sunting | sunting sumber]
Peta Alexander Hamilton yang bertajuk "A Map of the Dominions of Johore and of the Island of Sumatra with the Adjacent Islands" (Peta Kerajaan Johor dan Pulau Sumatera serta pulau-pulau di sekitarnya) (1727). Peta ini menggambarkan tanah besar Johor, Sumatera timur, Singapura, Bangka dan Kepulauan Riau di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama dan peta ini dilakar satu abad sebelum Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.

Pada tahun 1812, berlaku krisis pewarisan takhta apabila Sultan Mahmud Riayat Shah III mangkat. Menurut adat, bakal Sultan Johor perlu hadir ketika Sultan Johor mangkat. Namun, ketika Sultan Mahmud Riayat Shah III mangkat, putera sulungnya, Tengku Hussein berada di Pahang kerana berkahwin dengan anak perempuan Bendahara Johor. Baginda juga mempunyai putera bongsu yang bernama Tengku Abdul Rahman. Masalah menjadi lebih teruk apabila kedua-dua putera baginda bukan anak gahara kerana bonda mereka bukan berketurunan diraja. Bonda Tengku Hussein, Cik Mariam merupakan anak seorang rakyat berbangsa Bugis dan hamba perempuan berbangsa Bali manakala bonda Tengku Abdul Rahman, Cik Halimah merupakan orang kebanyakan. Satu-satunya isteri Sultan Mahmud Riayat Shah III yang berdarah raja ialah Engku Puteri Raja Hamidah tetapi anaknya meninggal dunia selepas dilahirkan.

Dalam krisis pewarisan takhta tersebut, Engku Puteri Raja Hamidah ingin menabalkan Tengku Hussein sebagai Sultan Johor seperti yang dikehendaki oleh Sultan Mahmud Riayat Shah III. Berdasarkan adat, perkenan Engku Puteri Raja Hamidah adalah penting kerana beliau merupakan penyimpan alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama dan pertabalan Sultan Johor yang baru hanya sah jika baginda ditabalkan bersama alat kebesaran diraja tersebut. Alat kebesaran diraja merupakan elemen yang penting dalam pertabalan Sultan Johor yang baru kerana alat kebesaran diraja ialah lambang kekuasaan, keabsahan dan kedaulatan sebuah kesultanan Melayu.

Namun, Yang Dipertuan Muda Riau ke-6, Raja Jaafar menyokong Tengku Abdul Rahman yang berasa keberatan untuk ditabalkan sebagai Sultan Johor kerana Tengku Abdul Rahman berada di sisi Sultan Mahmud Riayat Shah III ketika baginda mangkat. Apabila mengetahui tindakan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar, Engku Puteri Raja Hamidah berasa marah dan dilaporkan berkata: “Siapakah yang telah mengangkat Abdul Rahman jadi Sultan Johor? Saudara saya Raja Jaafar? Adat pelantikan dari manakah yang diikutinya? Perbuatan yang tidak adil seperti inilah yang menyebabkan kerajaan Johor akan segera rosak binasa!”.

Persaingan antara British dan Belanda mula berlaku apabila British mengambil alih Melaka daripada Belanda melalui Treaty of The Hague (Perjanjian Hague) (1795) dan mencari peluang untuk meningkatkan pengaruhnya di Alam Melayu. British menyokong dan mengangkat Tengku Hussein menjadi Sultan Johor dengan gelaran Sultan Hussein Muhammad Shah di Singapura. British terlibat secara aktif dalam urusan pemerintahan Kesultanan Johor Lama dari tahun 1812 hingga tahun 1818 dan campur tangan mereka mengukuhkan lagi penguasaan mereka di Selat Melaka. British menawarkan wang sebanyak 50,000 Ringgit (Syiling Sepanyol) kepada Engku Puteri Raja Hamidah untuk mengambil alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama tetapi tawaran tersebut ditolak.

Bangsawan Riau-Lingga bersama Sultan Riau-Lingga ke-4, Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah (duduk di bahagian tengah) sekitar tahun 1867.

Apabila British ingin meluaskan pengaruhnya di Alam Melayu, Belanda bertindak balas dengan mengadakan perjanjian dengan Kesultanan Johor Lama pada 27 November 1818 di mana Belanda mengiktiraf Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan Belanda boleh melibatkan diri mereka dalam urusan perdagangan Kesultanan Johor Lama. Belanda kemudian menempatkan tenteranya di Riau.[3] Belanda juga mengadakan perjanjian di mana persetujuan Belanda diperlukan untuk pertabalan Sultan Johor pada masa akan datang. Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar mewakili Kesultanan Johor Lama tanpa pengetahuan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah.

Alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama yang bernama Cogan. Pertabalan Sultan Johor menjadi sah apabila baginda ditabalkan bersama alat kebesaran diraja ini. Ini menyebabkan British dan Belanda ingin mengambil alat kebesaran diraja ini daripada Engku Puteri Raja Hamidah untuk menabalkan Sultan Johor pilihan mereka.

Seperti yang dilakukan oleh British, Belanda dan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar kemudian berusaha untuk mendapatkan alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama daripada Engku Puteri Raja Hamidah. Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, yang merasakan bahawa baginda bukan pewaris takhta yang sah, telah membuat keputusan untuk berpindah dari Lingga ke Terengganu atas alasan bahawa baginda ingin meraikan perkahwinannya. Belanda, yang ingin menguasai Kesultanan Johor Lama, mengarahkan Gabenor Belanda di Melaka Belanda, Timmerman Tyssen untuk menyerang Pulau Penyengat pada bulan Oktober 1822 bagi merampas alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama daripada Engku Puteri Raja Hamidah. Alat kebesaran diraja tersebut kemudian disimpan di Kubu Kroonprins (perkataan Belanda yang bermaksud Putera Mahkota) di Tanjung Pinang. Engku Puteri Raja Hamidah dilaporkan telah menulis surat kepada Gabenor Belanda di Batavia, Godert van der Capellen mengenai tindakan Timmerman Tyssen tersebut. Selepas Belanda merampas alat kebesaran diraja tersebut, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah telah dijemput dari Terengganu dan ditabalkan semula sebagai Sultan Johor pada 27 November 1822. Dengan pertabalan baginda yang dilakukan bersama alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama, maka Sultan Johor yang sah ialah Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan bukannya kakanda tirinya, Sultan Hussein Muhammad Shah yang disokong oleh British.

Berakhirnya Kesultanan Johor Lama dan bermulanya Kesultanan Riau-Lingga

[sunting | sunting sumber]
Peta Kesultanan Johor Lama selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang dikuatkuasakan melalui Perjanjian 29 Oktober 1830.[4]

Di bawah pengaruh British:

Di bawah pengaruh Belanda:
  Kesultanan Riau-Lingga (penerus Kesultanan Johor Lama)

Peristiwa pertabalan semula Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor yang sah dan berdaulat telah membawa kepada peristiwa pembahagian Kesultanan Johor Lama melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di mana Johor dan Singapura berada di bawah pengaruh British manakala Kepulauan Riau dan Kepulauan Lingga berada di bawah pengaruh Belanda. Dengan menabalkan dua orang Sultan Johor daripada kesultanan yang sama, British dan Belanda telah memecahkan Kesultanan Johor Lama dengan berkesan dan memenuhi cita-cita penjajahan mereka.

Kesultanan Johor Lama berakhir secara rasmi pada tahun 1830 apabila Perjanjian 29 Oktober 1830 antara Kesultanan Johor Lama dan Belanda telah menguatkuasakan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di Alam Melayu di mana negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah pemerintahan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah.[5] Berikutan perjanjian tersebut, wujudnya Kesultanan Riau-Lingga dan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah secara rasmi menjadi Sultan Riau-Lingga pertama.[6][7] Namun, Kesultanan Riau-Lingga yang baru ditubuhkan itu diletakkan di bawah naungan Belanda.

Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan krisis 1857

[sunting | sunting sumber]
Sebuah kubu di Reteh, Indragiri, di tanah besar Sumatera (sekitar tahun 1857). Salah satu wilayah di bawah Kesultanan Riau-Lingga. Kubu ini dibina oleh Tengku Sulung sebagai tanda ketidaksetujuannya terhadap pelantikan Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah sebagai Sultan Riau-Lingga ke-4 dan pemerintahan Belanda yang ingin menguasai kawasan itu.

Semasa zaman pemerintahan Sultan Riau-Lingga ke-3, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, hubungan baginda dengan Belanda mula tegang. Baginda merasakan bahawa Kesultanan Riau-Lingga berada di bawah kawalan Belanda dan Yang Dipertuan Muda Riau. Untuk membebaskan dirinya daripada pengaruh mereka, baginda sering berangkat ke Singapura, Terengganu dan Pahang untuk mendapatkan pengiktirafan atas pemerintahannya daripada British dan sokongan daripada kerabat diraja negeri-negeri Melayu lain. Baginda juga menuntut haknya sebagai pewaris takhta Kesultanan Johor Lama yang telah berakhir pada tahun 1830. British, yang berasa curiga dengan tindakan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, kemudian memberi amaran kepada Belanda bahawa tindakan baginda selaku Sultan Riau-Lingga yang dinaungi oleh Belanda telah melanggar Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Belanda kemudian melarang baginda daripada berangkat ke luar wilayah Kesultanan Riau-Lingga tanpa kebenaran Belanda terlebih dahulu tetapi larangan Belanda tidak diendahkan oleh baginda.

Konflik antara Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan Belanda mencapai kemuncaknya pada tahun 1857 apabila Yang Dipertuan Muda Riau ke-8, Raja Ali mangkat dan baginda menangguhkan pelantikan Yang Dipertuan Muda Riau yang baru. Ini kerana baginda tidak memperkenankan mana-mana calon yang ditawarkan oleh keluarga Yang Dipertuan Muda Riau. Baginda kemudian cuba menamakan seorang calon dari Singapura dan baginda juga mendakwa bahawa hasil yang dikutip oleh Yang Dipertuan Muda Riau perlu dibayar kepadanya. Tamparan terakhir datang apabila baginda membuat keputusan untuk berangkat ke Singapura tanpa melantik Yang Dipertuan Muda Riau yang baru walaupun baginda dilarang untuk berangkat ke luar negeri oleh Belanda. Akhirnya, pada 7 Oktober 1857, Belanda menurunkan baginda daripada takhtanya semasa baginda berada di Singapura. Baginda kemudian kekal bersemayam di Singapura dan berunding dengan Belanda tetapi British tidak campur tangan dalam isu antara baginda dan Belanda.

Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah

[sunting | sunting sumber]
Tanjung Pinang pada tahun 1859

Di Riau, Belanda dan Yang Dipertuan Muda ke-9, Raja Haji Abdullah menabalkan ayahanda saudara Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, Tengku Sulaiman sebagai Sultan Riau-Lingga ke-4 dengan gelaran Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah. Baginda telah menandatangani perjanjian dengan Belanda pada 1 Disember 1857 di mana Kesultanan Riau-Lingga mengakui ketuanan Belanda dan kedudukan Yang Dipertuan Muda Riau diperkukuhkan lagi. Semasa zaman pemerintahan Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah, baginda meningkatkan ekonomi tempatan dengan menggalakkan penanaman padi dan penyediaan candu. Baginda juga memiliki armada kecil untuk mempromosikan hubungan perdagangan. Baginda memperkenalkan sagu dari Kepulauan Maluku kepada penduduk tempatan, di mana baginda percaya bahawa sagu adalah tanaman yang lebih baik daripada beras sebagai makanan ruji, kerana padi hanya boleh dituai sekali setahun. Daik kemudian menjadi pusat perdagangan serantau yang menarik pedagang dari China, Celebes, Borneo, Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Pagar Ruyung, Jawa, Siak dan Pahang.

Kemakmuran Daik telah menyebabkan Belanda berasa bimbang kerana mereka takut apabila Kesultanan Riau-Lingga mungkin akan mengumpulkan bekalan makanan, senjata dan pasukan tentera yang mencukupi untuk mengalahkan mereka. Disebabkan kebimbangan ini, Belanda melantik seorang Timbalan Residen untuk ditempatkan di Tanjung Buton, sebuah pelabuhan berhampiran Pulau Mepar, terletak 6 kilometer dari pusat pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga di Riau.

Kebangkitan nasionalisme

[sunting | sunting sumber]
Raja Ali Kelana, Putera Mahkota Riau-Lingga, salah seorang pengasas Roesidijah Club Riouw (Rusydiah Klub Riau), pertubuhan moden pertama di Hindia Timur Belanda. (gambar diambil pada tahun 1899)

Globalisasi pada abad ke-19 membuka peluang baru kepada Kesultanan Riau-Lingga. Kedudukannya yang terletak hanya 40 batu dari Singapura membentuk keadaan politiknya, memberi peluang kepada orang Melayu Riau untuk membiasakan diri mereka dengan idea-idea baru dari Timur Tengah. Pembukaan Terusan Suez menandakan bahawa perjalanan ke Mekah melalui Pelabuhan Said, Mesir dan Singapura boleh mengambil masa tidak lebih daripada dua minggu dan dengan itu, bandar-bandar tersebut menjadi pelabuhan utama untuk haji.[8]

Mendapat ilham daripada pengalaman dan kemajuan intelektual yang dicapai di Timur Tengah dan dipengaruhi oleh persaudaraan Pan-Islamisme, golongan cendekiawan Melayu Riau menubuhkan Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau) pada tahun 1895. Pertubuhan ini ditubuhkan untuk membangunkan keperluan agama, budaya dan intelektual untuk Kesultanan Riau-Lingga tetapi lama-kelamaan pertubuhan ini mula menentang pemerintahan Belanda dalam Kesultanan Riau-Lingga.[9]

Pada zaman tersebut, kesedaran tentang kepentingan watan (tanah air) dan kewajipan rakyat terhadap tanah kelahirannya mula meningkat dalam kalangan bangsawan dan pemerintah. Untuk menubuhkan watan, negeri mesti merdeka dan berdaulat, jauh sekali daripada kesultanan yang dikuasai oleh Belanda. Selain itu, penguasaan Barat dalam kesultanan secara perlahan-lahan menghakis jati diri Melayu-Islam.

Menjelang awal abad ke-20, Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau) telah menjadi alat politik untuk bangkit menentang kuasa penjajah dengan Raja Muhammad Thahir dan Raja Ali Kelana bertindak sebagai tulang belakangnya. Misi diplomatik telah dihantar ke Empayar Uthmaniyah oleh Raja Ali Kelana, diiringi oleh ulama terkenal kelahiran Patani, Syeikh Wan Ahmad Fatani, pada tahun 1883, 1895 dan pada tahun 1905 untuk membebaskan Kesultanan Riau-Lingga. Pejabat Tanah Jajahan Belanda di Tanjung Pinang melabelkan pertubuhan itu sebagai versetpartai (perkataan Belanda yang bermaksud parti berhaluan kiri). Pertubuhan itu juga mendapat sokongan penting daripada Mohakamah (Badan Kehakiman Melayu) dan Dewan Kerajaan (Badan Pemerintahan Kesultanan). Pertubuhan tersebut memantau dan meneliti setiap langkah yang diambil oleh Residen Belanda dalam urusan pemerintahan kesultanan dan tindakan yang diambil oleh pertubuhan tersebut menimbulkan kemarahan Belanda.

Peta Belanda bertajuk Residentie Riouw en Onderhoorigheden (Keresidenan Riau dan jajahan takluknya) pada tahun 1860.

Gerakan tersebut merupakan satu bentuk Nasionalisme Melayu awal. Langkah-langkah penentangan pasif dan tanpa kekerasan telah digunapakai oleh gerakan tersebut. Kaedah utama pergerakan itu ialah mengadakan boikot secara simbolik. Belanda kemudian melabelkan gerakan itu sebagai leidelek verset (perkataan Belanda yang bermaksud penentangan pasif) dan tindakan pasif seperti mengabaikan pengibaran bendera Belanda menimbulkan kemarahan Raad van Indie (Dewan Hindia Timur Belanda) yang berpangkalan di Batavia dan Penasihat Hal Ehwal Anak Negeri, Christiaan Snouck Hurgronje. Dalam surat geheim (perkataan Belanda yang bermaksud rahsia) 660/G bertarikh 7 Mei 1904 kepada Dewan Hindia Timur Belanda, Hurgronje mencadangkan agar Kesultanan Riau-Lingga dan Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau) dihapuskan seperti penentangan dalam Perang Aceh sebelumnya. Hurgronje menyokong cadangannya dengan beberapa hujah iaitu antaranya sejak tahun 1902, ahli-ahli Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau) akan berkumpul di sekeliling istana diraja dan enggan mengibarkan bendera Belanda di atas kapal kesultanan. Residen Belanda di Riau, A.L. Van Hasselt menasihati Gabenor Hindia Timur Belanda bahawa Sultan Riau-Lingga adalah penentang Belanda dan penyokong kumpulan verzetparty tegar. Kemudian, pada 1 Januari 1903, Residen Belanda mendapati bahawa bendera Belanda tidak dikibarkan semasa lawatannya ke istana diraja. Dalam laporannya kepada gabenor, beliau menulis; “nampaknya baginda (Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah) bertindak seolah-olah baginda seorang raja yang berdaulat dan baginda mengibarkan benderanya sendiri”. Berdasarkan beberapa rekod dalam Arkib Negara Indonesia, terdapat beberapa laporan bahawa Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah kemudian memohon maaf kepada gabenor berhubung "insiden bendera".

Dalam jawapannya kepada surat geheim bernombor 1036/G dan bertarikh 9 Ogos 1904, Dewan Hindia Timur Belanda bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Hurgronje dan membenarkan tindakan diambil terhadap pertubuhan nasionalis itu. Namun begitu, nasihat yang diberikan kepada Sultan Riau-Lingga ialah menjadi orang pertama yang mengemukakan tindakan ketenteraan terhadap kesultanan dan pertubuhan. Dewan Hindia Timur Belanda itu juga menasihati Residen Belanda di Riau supaya tidak mengadakan perjanjian sebelum mencapai kata sepakat dengan Kesultanan Riau-Lingga.

Pembubaran Kesultanan Riau-Lingga oleh Belanda

[sunting | sunting sumber]
Sultan Riau-Lingga terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah. Baginda terpaksa hidup dalam buangan selepas baginda tidak mahu menandatangani perjanjian dengan Belanda yang bertujuan untuk mengurangkan kuasanya.

Pada 18 Mei 1905, Belanda menuntut perjanjian baru dengan Sultan Riau-Lingga terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah di mana Belanda ingin mengurangkan kuasa Kesultanan Riau-Lingga, mewajibkan bendera Belanda dikibarkan lebih tinggi daripada bendera Riau-Lingga, dan menetapkan bahawa pegawai-pegawai Belanda harus diberikan penghormatan tertinggi dalam Kesultanan Riau-Lingga. Perjanjian itu seterusnya menyatakan bahawa Kesultanan Riau-Lingga hanya sekadar achazat (perkataan Belanda yang bermaksud pinjaman) daripada Kerajaan Belanda. Perjanjian itu dibuat kerana pelantikan Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah sebagai Sultan Riau-Lingga telah diadakan tanpa persetujuan Belanda dan baginda juga jelas menentang pemerintahan penjajah.[10]

Belanda mendesak Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah untuk menandatangani perjanjian tersebut, tetapi setelah berunding dengan para kerabat dan pembesar negeri iaitu Engku Kelana, Raja Ali, Raja Hitam dan yang lain, baginda menolak dan membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah rejimen tentera di bawah pimpinan pemangku raja, Tengku Umar. Semasa lawatan Residen Belanda ke Pulau Penyengat, baginda kemudian, bertindak sendirian dan tanpa persetujuan Belanda, menjemput pemerintah Reteh, Gaung dan Mandah, membuatkan Residen Belanda berasa seperti sedang dikepung oleh Kesultanan Riau-Lingga. Ahli-ahli Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau), terutamanya ahli-ahli kumpulan pemerintahan, dengan itu dapat memujuk baginda, yang pernah menyokong pemerintahan Belanda, secara perlahan-lahan untuk bertindak menentang kehendak penjajah.

Pembubaran Kesultanan Riau-Lingga seperti yang dilaporkan dalam surat khabar Nieuwe Rotterdamsche Courant yang berpangkalan di Rotterdam pada 19 Februari 1911.

Keputusan berani yang ditunjukkan oleh Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah dan para pembesar Kesultanan Riau-Lingga tidak disenangi oleh Belanda. Menurut jurnal yang disimpan oleh Syahbandar (Penguasa Pelabuhan), keputusan baginda mengecewakan Residen Belanda, G.F Bruijn Kops yang menyatakan “mereka menggunakan sultan untuk menentang (Belanda), maka tindak balas (oleh Belanda) akan diambil”.

Pada pagi 11 Februari 1911, ketika Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah dan para pegawai istana berada di Daik untuk melakukan Mandi Safar (upacara penyucian), kapal perang tentera laut Belanda dari Jawa dan bot torpedo dari Koetai dan Tromp berlabuh di Pulau Penyengat dan menghantar ratusan askar peribumi (marechausse dalam bahasa Belanda) untuk mengepung istana diraja. Selepas itu, pegawai Belanda, K.M. Voematra dari Tanjung Pinang tiba di ibu pejabat Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau) untuk mengumumkan pemecatan Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah.[11] Setelah surat pemecatan itu dibacakan oleh pegawai Belanda, beliau menyifatkan putera mahkota dan ahli-ahli Roesidijah Klub Riouw (Rusydiah Klub Riau) yang lain sebagai “orang berniat bermusuhan dengan Sri Padoeka Gouvenrnement Hindia Nederland”.

Belanda kemudian merampas alat kebesaran diraja Kesultanan Riau-Lingga,[12] dan untuk mengelakkan rampasan oleh Belanda, banyak bangunan kesultanan sengaja dirobohkan oleh kerabat diraja kesultanan sendiri. Perpindahan besar-besaran rakyat dan pegawai Kesultanan Riau-Lingga ke Johor dan Singapura kemudian berlaku. Untuk mengelakkan keganasan dan kematian rakyat di Pulau Penyengat, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah dan para pembesarnya membuat keputusan untuk tidak melawan tentera Belanda. Baginda dan Tengku Ampuan (Permaisuri) meninggalkan Pulau Penyengat dan berlayar ke Singapura dengan menaiki kapal diraja Sri Daik manakala Putera Mahkota Raja Ali Kelana, Khalid Hitam dan gerakan penentangan di Bukit Bahjah menyusul beberapa hari kemudian. Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah yang digulingkan terpaksa hidup dalam buangan di Singapura.

Riau dan Lingga diambil alih oleh Belanda

[sunting | sunting sumber]
Pemimpin Melayu tempatan Poelau Toedjoeh (Pulau Tujuh) yang dikenali sebagai Datuk Kaya bersama Residen Belanda di Riau, G.F Bruijn Kops. Gambar ini diambil di Tanjung Pinang seminggu selepas pembubaran Kesultanan Riau-Lingga pada tahun 1911.

Belanda telah mengambil alih wilayah Kesultanan Riau-Lingga secara rasmi untuk mengelakkan tuntutan daripada kerabat diraja Riau-Lingga pada masa akan datang. Rechtstreeks bestuur (perkataan Belanda yang bermaksud pentadbiran langsung) Belanda ke atas Kepulauan Riau bermula pada tahun 1913 di mana wilayah tersebut ditadbir sebagai Residentie Riouw en Onderhoorigheden (perkataan Belanda yang bermaksud Keresidenan Riau dan jajahan takluknya). Keresidenan Riau tersebut terdiri daripada Tanjung Pinang, Lingga, Riau dan Indragiri manakala Kepulauan Tujuh ditadbir secara berasingan sebagai Afdeeling Poelau-Toedjoeh (perkataan Belanda yang bermaksud Bahagian Pulau Tujuh).[13]

Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah telah membuat rayuan kepada kerajaan British untuk mendapatkan bantuan tetapi British berasa keberatan untuk campur tangan walaupun British memberikan perlindungan dan tempat tinggal kepada baginda di Singapura. Misi diplomatik telah dihantar ke Empayar Jepun oleh Raja Khalid Hitam pada tahun 1911 dan ke Empayar Uthmaniyah oleh Raja Ali Kelana pada tahun 1913 untuk meminta agar Kesultanan Riau-Lingga ditubuhkan semula.[14] Pada satu ketika, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah bahkan berhasrat untuk menuruni takhta bagi menyerahkan takhta kepada anakandanya, Tengku Besar kerana usaha diplomatik tersebut kelihatan sia-sia. Baginda mangkat di Singapura pada tahun 1930. Beberapa orang kerabat diraja Riau-Lingga kemudian membuat tuntutan untuk meminta pengiktirafan sebagai Sultan Riau-Lingga.

Cubaan menubuhkan semula Kesultanan Riau-Lingga dan Dewan Riau

[sunting | sunting sumber]

Apabila Perang Dunia Kedua tercetus, Belanda mengalami masalah kekurangan tenaga manusia dalam wilayah mereka di Hindia Timur Belanda.[15] Keadaan ini mendorong British untuk mempertimbangkan penubuhan sebuah negeri penampan (buffer state) di Riau. Belanda dan British membincangkan tentang kemungkinan penubuhan semula Kesultanan Riau-Lingga dengan keturunan Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah, Tengku Omar dan Tengku Besar yang bersemayam di Terengganu pada ketika itu. Namun, apabila perang semakin menghampiri Asia Tenggara, Belanda terlibat secara aktif dalam urusan pertahanan bersama British dan British membuat keputusan untuk menangguhkan rancangan penubuhan semula Kesultanan Riau-Lingga tersebut.

Surat khabar The Straits Times bertarikh 11 Disember 1947 yang memaparkan berita tentang penubuhan Riouw Raad (Dewan Riau) dan pertabalan Tengku Ibrahim (gambar kiri) sebagai Sultan Riau-Lingga sekiranya Kesultanan Riau-Lingga ditubuhkan semula. Gambar kanan merupakan gambar nendanya, Almarhum Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah.

Selepas Perang Dunia Kedua, perjuangan menentang penjajahan Belanda kembali berlaku. Beberapa pertubuhan dalam buangan yang dikenali secara bersama sebagai Gerakan Kesultanan Riau muncul di Singapura dengan rancangan untuk menubuhkan semula Kesultanan Riau-Lingga. Sebahagian daripada pertubuhan tersebut telah wujud sejak pembubaran Kesultanan Riau-Lingga tetapi mula menyerlah selepas Perang Dunia Kedua dan berlaku ketidakstabilan politik pada ketika itu. Dalam suasana tersebut, munculnya sebuah pertubuhan setiaraja yang dikenali sebagai Persatoean Melayu Riouw Sedjati (Persatuan Melayu Riau Sejati) (PMRS) yang meminta agar Kesultanan Riau-Lingga ditubuhkan semula. PMRS mendapat sokongan dari segi kewangan daripada para perantau Melayu Riau yang kaya dan para pedagang Cina yang berharap untuk memperoleh konsesi bijih timah. PMRS ditubuhkan di High Street, Singapura dan kemudian berpindah ke Tanjung Pinang, Riau dengan kebenaran Belanda. PMRS berjaya mendapatkan persetujuan Belanda untuk mengadakan pemerintahan sendiri di wilayah tersebut melalui penubuhan Dewan Riouw (Dewan Riau) yang merupakan badan perundangan satu dewan (unicameral) Riau yang mempunyai kedudukan yang setaraf dengan sebuah Parlimen.[16]

Selepas bertapak di Tanjung Pinang, PMRS menubuhkan sebuah pertubuhan baru yang bernama Djawatan Koewasa Pengoeroes Rakjat Riow (Jawatankuasa Pengurus Rakyat Riau) di mana ahli-ahlinya berasal dari Kepulauan Tujuh, Pulau Karimun Besar, Kepulauan Lingga dan Pulau Singkep. Pertubuhan tersebut kuat menyokong penubuhan semula Kesultanan Riau-Lingga selepas status Indonesia menjadi rasmi. Pemimpin pertubuhan tersebut, Raja Abdullah mendakwa bahawa orang Melayu Riau telah dipinggirkan demi kepentingan orang bukan Riau Indonesia yang menguasai kedudukan tertinggi dalam pentadbiran awam Riau. Pertubuhan tersebut percaya bahawa penubuhan semula Kesultanan Riau-Lingga dapat menjamin kedudukan orang Melayu Riau.

Bangunan Riouw Raad (Dewan Riau) dan pemimpin sementaranya, Encik Mohamad Apan (tengah, memakai songkok) bersama ahli-ahli Dewan Riau yang lain semasa pelantikan Residen Wilayah pada 4 Ogos 1947.

Namun, pertubuhan setiaraja tersebut mendapat tentangan daripada pertubuhan pro-republik yang dipimpin oleh Dr. Iljas Datuk Batuah yang menghantar delegasi ke Singapura untuk melawan propaganda kumpulan setiaraja. Berdasarkan rekod arkib Indonesia, Dr. Iljas mendapat sokongan daripada pendatang bukan Melayu ke Riau termasuk orang Minangkabau, Jawa, Palembang dan Batak. Beliau kemudian menubuhkan sebuah pertubuhan yang bernama Badan Kedaulatan Indonesia Riouw (Badan Kedaulatan Indonesia Riau) (BKRI) pada 8 Oktober 1945. BKRI berhasrat untuk menjadikan Kepulauan Riau sebahagian daripada Indonesia yang baru merdeka memandangkan wilayah tersebut masih berada di bawah penjajahan Belanda. BKRI berharap agar pentadbiran republik di bawah Soekarno akan memberi peluang yang adil kepada pribumi untuk mentadbir kerajaan tempatan.

Pertubuhan setiaraja tersebut tidak mahu memberi sokongan terbuka kepada gerakan Indonesia dengan cara tidak mahu mengibarkan Bendera Merah-Putih (Bendera Indonesia) semasa sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1947 di Singapura. Ini menyebabkan pertubuhan pro-republik menuduh pertubuhan setiaraja sebagai 'pro-Belanda'. Namun, pihak setiaraja menegaskan bahawa Riau adalah wilayah Belanda dan hanya Belanda yang boleh menyokongnya.

Bendera Federasi Bangka Belitung dan Riau (Persekutuan Bangka Belitung dan Riau), sebuah wilayah autonomi di bawah penjajahan Belanda dalam Republik Indonesia Serikat sehingga tahun 1950.

Belanda menangkis tohmahan BKRI dengan memberikan autonomi pentadbiran kepada Dewan Riau di mana hubungan dengan Belanda akan dikekalkan manakala Kesultanan Riau-Lingga yang ditubuhkan semula akan memainkan peranan sampingan. Dewan Riau telah ditubuhkan melalui perintah Gabenor Jeneral Hindia Timur Belanda pada 12 Julai 1947 dan kemudian telah dirasmikan pada 4 Ogos 1947. Dewan Riau merupakan satu langkah besar ke arah penubuhan semula Kesultanan Riau-Lingga. Beberapa tokoh penting PMRS telah dipilih untuk menjadi ahli Dewan Riau bersama-sama dengan pesaing mereka daripada BKRI, para Kapitan Cina dari Tanjung Pinang dan Pulau Tujuh, pemimpin Melayu tempatan Lingga dan para pegawai Belanda di Tanjung Pinang. Pada 23 Januari 1948, negeri-negeri di bawah Dewan Bangka, Dewan Belitung dan Dewan Riau bergabung untuk membentuk Federasi Bangka Belitung dan Riau (Persekutuan Bangka Belitung dan Riau) yang kemudian diterima sebagai sebahagian daripada Republik Indonesia Serikat pada tahun berikutnya.

Seruan untuk menubuhkan semula Kesultanan Riau-Lingga berterusan sepanjang tempoh pentadbiran autonomi di bawah Dewan Riau walaupun pengaruh republikanisme juga semakin kuat melalui wakil-wakil BKRI yang berperanan sebagai pembangkang dalam Dewan Riau. Namun, semangat untuk menubuhkan semula Kesultanan Riau-Lingga semakin hilang dan pudar selepas pembubaran Federasi Bangka Belitung dan Riau (Persekutuan Bangka Belitung dan Riau) pada 4 April 1950. Selepas pengunduran rasmi Belanda pada tahun 1950, Kepulauan Riau menjadi Keresidenan Riau di bawah Provinsi Sumatera Tengah berikutan penggabungan rasmi oleh Republik Indonesia Serikat. Sebagai salah satu wilayah terakhir yang digabungkan ke dalam Indonesia, Riau dikenali sebagai daerah-daerah pulihan dan wilayah Riau dinaikkan taraf menjadi sebuah provinsi pada bulan Ogos 1957. Pada ketika itu, Dewan Riau ditubuhkan semula oleh Indonesia sebagai Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Provinsi Riau (DPRD Provinsi Riau), sebuah badan perundangan provinsi yang berkhidmat untuk kedua-dua wilayah tanah besar dan kepulauan. Pada tahun 2002, pulau-pulau luar pesisir Kepulauan Riau, yang merupakan wilayah bekas Kesultanan Riau-Lingga, menjadi sebuah provinsi berasingan yang dinamakan sebagai Provinsi Kepulauan Riau dengan pihak berkuasa dan badan perundangan provinsinya sendiri. Badan perundangan tersebut dianggap sebagai kesinambungan moden Dewan Riau.

Pemimpin pasukan Riau yang memimpin usaha untuk menubuhkan semula Kesultanan Riau-Lingga di luar Indonesia, Mejar Raja Muhammad Yunus telah melarikan diri ke Johor selepas usaha beliau menemui kegagalan. Akar geopolitik Kepulauan Riau telah membentuk kedudukan nasionalisnya yang diapit antara Nasionalisme Melayu Beraja di Semenanjung Tanah Melayu di bawah pengaruh British dengan Nasionalisme Indonesia pro-republik dan berbilang etnik yang berkembang pesat dalam wilayah Hindia Timur Belanda.

Sistem pemerintahan

[sunting | sunting sumber]
Gambar Sultan Riau-Lingga terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah (1890–1911) menunjukkan baginda memakai penutup kepala yang mempunyai lambang bulan sabit dan bintang berbucu lima di mana hiasan berbentuk bunga lili timbul. Bulan sabit dan bintang melambangkan "Ketua Negara" kerana bulan sabit ialah lambang negara Islam dan bintang ialah lambang pemerintah (Muslim).[13]

Kesultanan Riau-Lingga mempunyai sistem pembahagian kuasa yang unik di mana Sultan merupakan ketua pemerintah yang berbangsa Melayu manakala Yang Dipertuan Muda merupakan timbalan ketua pemerintah yang dipegang oleh waris Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara dan mereka bertindak seperti ketua pentadbir (dalam Bahasa Inggeris disebut viceroy). Selepas tahun 1830, jawatan Yang Dipertuan Muda dikekalkan dalam Kesultanan Riau-Lingga manakala jawatan Bendahara dan Temenggung tidak dikekalkan. Bendahara yang bersemayam di Pahang kemudian menubuhkan Kesultanan Pahang Moden manakala Temenggung yang bersemayam di Johor kemudian menubuhkan Kesultanan Johor Moden.

Istana Sultan terletak di Penyengat Inderasakti, Riau dan Yang Dipertuan Muda bersemayam di Daik, Lingga. Sultan berpengaruh di Lingga dan pulau-pulau di sekitarnya manakala Yang Dipertuan Muda menguasai Riau (terdiri daripada Bintan, Penyengat dan pulau-pulau di sekitarnya) dan masing-masing tidak mempunyai tuntutan ke atas hasil yang lain. Pembahagian ini mula terhakis pada zaman Yang Dipertuan Muda Riau ke-10, Raja Muhammad Yusuf.

Riau kemudian menjadi pusat pengaruh politik Bugis di Alam Melayu. Walau bagaimanapun, pembahagian kuasa antara orang Melayu dan Bugis telah menimbulkan pertikaian besar antara kedua-dua kaum tersebut.

Perkataan Onderkoning Van Riau (Wizurai Riau atau lebih tepat Raja Muda Riau dalam konteks Kesultanan Riau-Lingga) yang tertera pada cap mohor Yang Dipertuan Muda Riau ke-9, Raja Haji Abdullah (1857–1858). Dalam gabungan Bahasa Arab-Bahasa Melayu yang ditulis dalam Tulisan Jawi, tertera juga ayat Al-Watik Baladun Al-Aziz Al-Ghaffar Sultan Alauddin Shah ibni Almarhum Raja Jaafar 1273 Hijrah (maksud: gabenor yang dipercayai, berkuasa, pelindung, Sultan Alauddin Shah ibni Almarhum Raja Jaafar, tahun 1273 Hijrah (bersamaan tahun 1856 Masihi)

Adat-istiadat menyeru pemisahan kuasa dan ikrar kesetiaan yang dipanggil Persetiaan Sungai Baru yang disumpah oleh orang Bugis dan orang Melayu serta diperbaharui selama lima kali dari tahun 1722 hingga tahun 1858. Menurut adat, hanya orang Melayu yang boleh menjadi Sultan dan kedudukan Yang Dipertuan Muda dikhaskan untuk orang Bugis.[17]

Sistem tradisional ini dikekalkan hingga pelantikan Sultan Riau-Lingga terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah. Ayahanda baginda, Raja Muhammad Yusuf merupakan seorang bangsawan Bugis dan Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 dan terakhir. Yang Dipertuan Muda Raja Muhammad Yusuf telah berkahwin dengan Tengku Fatimah, anakanda perempuan Sultan Riau-Lingga ke-3, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah dan satu-satunya ahli yang berketurunan diraja dan berbangsa Melayu.

Pada 17 September 1883, selepas kemangkatan Sultan Riau-Lingga ke-4, Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah, para bangsawan Bugis dan Melayu memilih Tengku Fatimah sebagai penggantinya lalu menjadikan baginda sebagai ratu (raja perempuan) pertama dalam sejarah sejak zaman Kesultanan Melaka. Hampir sebulan kemudian, pada 13 Oktober 1883, satu lagi pertemuan telah diadakan dan dalam pertemuan tersebut, Raja Abdul Rahman ditabalkan sebagai Sultan Riau-Lingga baru selepas Tengku Fatimah menuruni takhta secara sukarela dan memihak kepada anakandanya.

Peristiwa tersebut merupakan perkara yang bukan kebiasaan kerana Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah merupakan Sultan Riau-Lingga pertama yang juga mewarisi jawatan Yang Dipertuan Muda Riau. Tahun 1895 merupakan kali terakhir ikrar kesetiaan diangkat sumpah, dalam keadaan ini antara Sultan Riau-Lingga dan ayahanda baginda, Yang Dipertuan Muda Riau terakhir. Ayahandanya kemudian melepaskan jawatannya sebagai Yang Dipertuan Muda Riau dan selepas itu kedua-dua jawatan tersebut disatukan melambangkan perpaduan antara orang Bugis dan orang Melayu.

Ikrar kesetiaan adalah seperti berikut:

Tulisan Jawi Tulisan Rumi Terjemahan Bahasa Inggeris

...جكالاو توان كڤد بوڬيس
توانله كڤد ملايو
دان جكالاو توان كڤد ملايو
توانله كڤد بوڬيس

دان جكالاو موسوه كڤد بوڬيس
موسوهله كڤد ملايو
دان جكالاو موسوه كڤد ملايو
موسوهله كڤد بوڬيس

مك بارڠسياڤا موڠكير

دبينساكن الله سمڤأي انق چوچوڽ..."

...jikalau tuan kepada Bugis,
tuanlah kepada Melayu
dan jikalau tuan kepada Melayu
tuanlah kepada Bugis

dan jikalau musuh kepada Bugis
musuhlah kepada Melayu
dan jikalau musuh kepada Melayu
musuhlah kepada Bugis

maka barangsiapa mungkir
dibinasakan Allah sampai anak cucunya...

"... if he was an ally to the Bugis
he shall then be an ally to the Malays
and if he was an ally to the Malays
he shall then be an ally to the Bugis

and if he was a nemesis to the Bugis
he shall then be a nemesis to the Malays
and if he was a nemesis to the Malays
he shall then be a nemesis to the Bugis

if one ever betrayed
calamity by Allah till his descendants..."

Yang Dipertuan Muda

[sunting | sunting sumber]
Residen Belanda bersama Sultan Riau-Lingga. (1890–1910)

Yang Dipertuan Muda Riau mendakwa diri mereka sebagai keturunan keluarga diraja Bugis di Luwu, Celebes. Peranan Bugis di Alam Melayu bermula semasa pemerintahan Sultan Johor ke-11, Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Semasa tempoh pergolakan, Sultan Johor ke-10 dan Sultan Johor pertama daripada Wangsa Bendahara, Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV mangkat dibunuh oleh pengikut Laksamana Nakhoda Sekam atas perintah Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah yang mendakwa dirinya sebagai anakanda Sultan Johor ke-9, Sultan Mahmud Shah II. Kemangkatan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV disaksikan oleh anakandanya, Raja Sulaiman yang kemudian meminta bantuan daripada Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara untuk memerangi Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Kerjasama yang terbentuk antara Raja Sulaiman dan Bugis berjaya menewaskan dan menyingkirkan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah daripada takhta Kesultanan Johor Lama. [18]

Sebagai tanda penghargaan untuk bantuan yang diberikan oleh Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara, Bugis terlibat dalam urusan pemerintahan Kesultanan Johor Lama di mana beberapa perkahwinan politik antara orang Bugis dan orang Melayu telah terjalin dan jawatan Yang Dipertuan Muda dikhaskan untuk orang Bugis sahaja. Yang Dipertuan Muda Riau kemudian menguasai pemerintahan Kesultanan Johor Lama dan selepas itu jawatan itu disatukan dengan jawatan Sultan Riau-Lingga pada tahun 1899.

Yang Dipertuan Muda memiliki kuasa prerogatif de facto melebihi kuasa Sultan Johor (kemudian Sultan Riau-Lingga) sendiri. Walaupun kedudukan Yang Dipertuan Muda menurut undang-undang adalah kedua tertinggi dalam hierarki Kesultanan Johor Lama, namun pada hakikatnya, Yang Dipertuan Muda boleh mengatasi Sultan. Ini boleh dilihat pada zaman pemerintahan Sultan Johor ke-16 dan Sultan Riau-Lingga pertama, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah di mana Yang Dipertuan Muda Riau ke-6, Raja Jaafar bertindak sebagai pemangku raja Kesultanan Johor Lama. Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar bertanggungjawab dalam menabalkan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan sangat berpengaruh semasa rundingan dengan Belanda dan British semasa krisis pewarisan takhta antara Tengku Hussein dan Tengku Abdul Rahman.

Sultan tertakluk sepenuhnya di bawah pengaruh Belanda. Walaupun baginda merupakan pemerintah de jure kesultanan, baginda berada di bawah kawalan langsung Residen Belanda di Tanjung Pinang. Semua perkara berkaitan urusan pemerintahan kesultanan termasuk pelantikan Sultan dan Yang Dipertuan Muda mesti dibuat dalam pengetahuan dan juga persetujuan Residen Belanda.

Pada tahun 1785, David Ruhde menjadi Residen Belanda yang pertama di Riau lalu menubuhkan pejabatnya di Pulau Bayan, Tanjung Pinang. Untuk dua tahun yang pertama selepas beliau memegang jawatan itu, urusan pemerintahan masih lagi di tangan Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Riayat Shah III.

Riau diserahkan sepenuhnya kepada David Ruhde hanya setelah Sultan Mahmud Riayat Shah III menandatangani perjanjian dengan Belanda pada 7 Februari 1787 di Melaka.

Antara lain syarat-syarat perjanjian tersebut adalah seperti berikut:

  1. Sultan Mahmud Riayat Shah III hendaklah menyerahkan segala urusan pemerintahan di Riau itu kepada Belanda;
  2. Sultan Mahmud Riayat Shah III dibebaskan daripada jagaan Raja Tua, Bendahara, Temenggung dan Raja Indera Bongsu, dan hanya akan berunding dengan mereka mengenai urusan pemerintahan kesultanan yang penting, kecuali hal-ehwal istana, tetapi hanya boleh dilakukan setelah berunding dengan Residen Belanda;
  3. Sultan dan pembesar berhak menerima satu pertiga (1/3) daripada hasil pendapatan Riau dalam masa 3 tahun atau lebih yang pertama;
  4. Perselisihan antara orang-orang Cina dan orang-orang asing yang lainnya dengan penduduk-penduduk Riau akan diputuskan oleh Residen kecuali melibatkan antara orang-orang Melayu dan Bugis sahaja yang diputuskan oleh Sultan dan hukuman bunuh ke atas sesiapa pun hendaklah diputuskan oleh Residen;
  5. Kesemua pedagang-pedagang yang datang ke Riau dikehendaki membayar cukai lima peratus (5%) mengikut taksiran harga barang (ad valorem) ke atas barang-barang import dan eksport yang tidak dikecualikan daripada cukai. Syarikat Hindia Timur Belanda juga dikehendaki membayar cukai import kecuali candu, bijih timah dan lada hitam.[19]

Senarai Sultan dan Yang Dipertuan Muda

[sunting | sunting sumber]

Sultan Riau-Lingga

[sunting | sunting sumber]
No. Sultan Riau-Lingga Tempoh pemerintahan
Wangsa Bendahara
1. Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah 1830–1832
2. Sultan Muhammad II Muazzam Shah 1832–1835
3. Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah 1835–1857
4. Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah 1857–1883
Wangsa Yang Dipertuan Muda
5. Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah 1883–1911

Yang Dipertuan Muda Riau

[sunting | sunting sumber]
No. Yang Dipertuan Muda Riau Tempoh pemerintahan
Kesultanan Johor Lama
1. Daeng Marewah 1722–1728
2. Daeng Chelak 1728–1745
3. Daeng Kemboja 1745–1777
4. Raja Haji Fisabilillah 1777–1784
5. Raja Ali 1784–1806
6. Raja Jaafar 1806–1830
Kesultanan Riau-Lingga
(6.) Raja Jaafar 1830–1831
7. Raja Abdul Rahman 1831–1844
8. Raja Ali 1844–1857
9. Raja Haji Abdullah 1857–1858
10. Raja Muhammad Yusuf 1858–1899

Salasilah keluarga

[sunting | sunting sumber]

Lambang kebangsaan

[sunting | sunting sumber]

Bendera Kesultanan Riau-Lingga

[sunting | sunting sumber]

Bendera awal Kesultanan Riau-Lingga telah dicipta pada 26 November 1818. Menurut Seksyen 11 Titah Diraja, bendera Kesultanan Riau-Lingga mestilah berwarna hitam dengan petak putih di sudut atas kiri. Reka bentuk bendera yang sama juga diguna pakai oleh negeri Johor. Ini tidak mengejutkan memandangkan Kesultanan Riau-Lingga dan Johor dahulunya berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang turut mengguna pakai reka bentuk bendera yang sama.

Pangkat diraja dan bangsawan

[sunting | sunting sumber]
Jata diraja Kesultanan Riau-Lingga yang memaparkan seni khat Islam yang terdiri daripada Doa dan ayat-ayat daripada Surah As-Saff.

Sultan Riau-Lingga

[sunting | sunting sumber]
  • Sultan: Putera yang memerintah diberikan gelaran Sultan (nama pemerintahan peribadi) ibni al-Marhum (gelaran dan nama peribadi ayah), Sultan Riau, Lingga dan jajahan takluknya, dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia.
  • Tengku Ampuan: Isteri tertua putera yang memerintah (Sultan).
  • Tengku Besar: Pewaris takhta.
  • Tengku Besar Perempuan: Isteri pewaris takhta.
  • Tengku Muda: Pewaris sementara.
  • Tengku Muda Perempuan: Isteri pewaris sementara.
  • Tengku: Anak-anak lelaki dan perempuan yang lain serta keturunan Sultan melalui jalur lelaki: Mereka akan diberikan gelaran Tengku (nama peribadi) ibni al-Marhum (gelaran dan nama peribadi ayah).

Yang Dipertuan Muda Riau

[sunting | sunting sumber]
  • Yang Dipertuan Muda: Putera yang memerintah Riau dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia. Pada zaman awal pemerintahan Yang Dipertuan Muda, putera yang memerintah juga diberikan gelaran Sultan dan nama pemerintahan peribadi.
  • Raja Muda: Pewaris takhta yang diberikan gelaran Raja (nama peribadi) bin Raja (nama ayah), Raja Muda.
  • Raja: Anak-anak lelaki dan perempuan, cucu serta keturunan lain putera yang memerintah Riau melalui jalur lelaki: Raja (nama peribadi) bin Raja (nama ayah).

Selepas perpecahan Kesultanan Johor Lama dan kehilangan hak ke atas Semenanjung Tanah Melayu, wilayah kekuasaan Kesultanan Riau-Lingga terdiri daripada Kepulauan Riau, Kepulauan Lingga dan Kepulauan Tujuh, termasuk Batam, Rempang, Galang, Bintan, Combol, Kundur, Karimun, Bunguran, Lingga, Singkep, Badas, Tambelan, Natuna, Anambas dan pulau-pulau kecil yang lain. Terdapat juga beberapa wilayah di Igal, Gaung, Reteh dan Mandah yang terletak di Indragiri di Sumatera.

Semua wilayah ini diketuai oleh Datuk Kaya yang dikenali sebagai Amir (setanding dengan Putera atau Adipati) yang telah dipilih oleh Sultan Riau-Lingga untuk menguruskan hal-ehwal pemerintahan tempatan.

Hubungan luar dan perdagangan

[sunting | sunting sumber]
Sebuah lombong bijih timah milik Sultan Riau-Lingga di Singkep.

Terdapat dua sumber kekayaan ekonomi dan perdagangan utama di Kesultanan Riau-Lingga, iaitu rempah-ratus (terutamanya lada) dan timah. Belanda telah memonopoli sistem perdagangan di Kepulauan Riau sebelum Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, dan berhasrat untuk menguasai rantau tersebut selepas memperoleh pengaruh melalui Perjanjian 29 Oktober 1830.[20]

Salah satu pertempuran paling menonjol dalam peperangan Riau–Belanda ialah antara Yang Dipertuan Muda Riau ke-4, Raja Haji Fisabilillah dan pasukan militia Belanda. Penentangan terhadap Belanda yang dipimpin oleh Yang Dipertuan Muda Raja Haji Fisabilillah di Tanjung Pinang berjaya menghalang kemaraan tentera Belanda ke Melaka. Pada bulan Jun 1784, Yang Dipertuan Muda Raja Haji Fisabilillah telah gugur syahid di Teluk Ketapang dan beliau dikenali sebagai "Marhum Teluk Ketapang" selepas kemangkatannya. Pada bulan November 1784, Belanda memeterai satu perjanjian dengan Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Riayat Shah III. Perjanjian tersebut mengandungi 14 fasal yang terbukti merugikan Kesultanan Johor Lama. Antaranya ialah Belanda bebas menjalankan kegiatan perdagangan di Kesultanan Johor Lama dan dibenarkan membuka pusat perdagangan sendiri di Tanjung Pinang. Setiap kapal yang melalui rantau tersebut perlu mendapatkan kebenaran daripada Belanda dan hanya Belanda sahaja yang boleh membawa bijih dan rempah-ratus.

Penguasaan Belanda mula merosot apabila Syarikat Hindia Timur Belanda muflis pada tahun 1799. Pengaruh British kemudian mula mengatasi Belanda di rantau tersebut. Berbeza dengan Belanda, British mengambil pendekatan yang lebih sederhana dalam berurusan dengan Kesultanan Johor Lama. Selain menguasai Melaka pada tahun 1795, British mengiktiraf Kesultanan Johor Lama sebagai sebuah negara berdaulat. British bebas menjalankan kegiatan perdagangan dengan para pedagang Riau tanpa sebarang beban ekonomi yang besar ke atas mereka. Hubungan perdagangan antara Kesultanan Johor Lama dan British pada awalnya dijalankan secara rahsia sebelum didedahkan secara terbuka kemudian.

Uthmaniyah

[sunting | sunting sumber]
Setem Jepun yang dikeluarkan di Tanjung Pinang, Riau pada tahun 1943. Wilayah tersebut diduduki oleh Empayar Jepun semasa Perang Dunia Kedua, dengan bidang kuasa wilayahnya dimasukkan ke dalam Tanah Melayu.

Dengan memerhatikan kebangkitan Ukhwah Islamiyah yang semakin berkembang pada akhir abad ke-18, Kesultanan Riau–Lingga memandang Empayar Uthmaniyah sebagai pelindung daripada kuasa penjajah bukan Islam. Pada pandangan golongan elit pemerintah istana, Empayar Uthmaniyah menjadi sumber inspirasi dan kuasa pengimbang antara kuasa Barat dan dunia Islam. Perang Krimea yang diperangi oleh Uthmaniyyah dianggap sebagai perjuangan "kuasa Islam" menentang "orang asing", iaitu Kristian, yang pada tahap tertentu selari dengan perjuangan yang dihadapi di Kesultanan Riau–Lingga.

Status Kesultanan Aceh sebagai negeri naungan Empayar Uthmaniyah memberikan satu contoh penting kepada Kesultanan Riau–Lingga berikutan hubungan yang semakin merosot dengan Belanda. Pihak istana membincangkan kemungkinan untuk memperoleh status dan perlindungan yang sama di bawah Empayar Uthmaniyah dengan Konsulat Jeneral Uthmaniyah di Batavia pada tahun 1897–1899 melalui Muhammad Kamil Bey. Satu misi diplomatik telah dimulakan pada bulan Oktober 1904 di bawah pimpinan Raja Ali Kelana bersama dokumen, surat dan perjanjian yang diperlukan. Namun demikian, disebabkan keadaan dalaman Empayar Uthmaniyah yang semakin lemah, usaha Kesultanan Riau-Lingga tersebut gagal menarik minat Empayar Uthmaniyah.

Kebangkitan pesat Jepun sebagai kuasa besar dunia pada abad ke-19 turut dipandang dengan penuh kekaguman dan harapan oleh masyarakat Riau. Selepas Kesultanan Riau-Lingga dibubarkan oleh Belanda pada tahun 1911, para pembesar Riau mula mencari bantuan bagi menubuhkan semula Kesultanan Riau-Lingga. Ini merupakan sebahagian daripada gerakan Pan-Asianisme menentang kuasa Eropah. Pada bulan Oktober 1912, sepucuk surat yang memohon campur tangan Maharaja Jepun telah dihantar. Sultan Riau-Lingga ke-5 dan terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah yang telah disingkirkan daripada takhta berhasrat untuk menjadikan Kesultanan Riau-Lingga sebagai negeri naungan Jepun selepas Kesultanan Riau-Lingga ditubuhkan semula. Raja Khalid Hitam kemudian ditugaskan untuk mengetuai misi diplomatik tersebut. Setibanya di Tokyo, beliau tinggal sementara bersama Encik Ahmad, seorang ahli akademik Melayu kelahiran Pulau Penyengat yang mengajar di Universiti Bahasa Asing Tokyo (Tokyo School of Foreign Languages). Namun, selepas ketibaannya, Konsul Jeneral Belanda di Tokyo meninggalkan negara tersebut dan pergi ke Singapura, menyebabkan misi diplomatik tersebut gagal.

Misi diplomatik kedua telah dihantar pada bulan Jun 1914, tetapi misi tersebut juga menemui kegagalan. Kesihatan Raja Khalid Hitam semakin merosot dan beliau meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital dalam tempoh yang singkat di Jepun.

Masyarakat

[sunting | sunting sumber]
Pulau Penyengat, litografi daripada cat air asal oleh J.C. Rappard, sekitar tahun 1883–1889. Pada asalnya, pulau tersebut merupakan mas kahwin diraja untuk Engku Puteri Raja Hamidah. Menjelang akhir abad ke-19, pulau tersebut dikenali sebagai Penyengat Inderasakti. Nama "Inderasakti" merupakan gabungan perkataan "Indera" dan "Sakti".

Pembukaan bandar-bandar perlombongan bijih timah di Karimun, Kundur dan Singkep menjelang tahun 1801 terbukti membawa kemakmuran kepada Kepulauan Riau. Pada ketika itu, Pulau Penyengat dijadikan sebagai petempatan diraja pada tahun 1804. Pada asalnya, pulau tersebut merupakan mas kahwin diraja untuk Engku Puteri Raja Hamidah, seorang bangsawan Johor Lama berketurunan Bugis yang kembali ke pulau tersebut dari Kesultanan Mempawah di Borneo Barat. Beliau menjadi isteri keempat Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Riayat Shah III dan Permaisuri Kesultanan Johor Lama.

Pulau Penyengat kemudian dibangunkan sebagai pusat pemerintahan Yang Dipertuan Muda Riau. Sebuah istana, balai menghadap, masjid dan kubu pertahanan telah dibina di pulau tersebut, dipercayai bagi menyelesaikan pertikaian antara orang Melayu dan Bugis. Pulau tersebut secara khusus diwariskan kepada Engku Puteri Raja Hamidah dan keturunan Yang Dipertuan Muda Raja Haji Fisabilillah (ayahanda kepada Engku Puteri Raja Hamidah yang terlibat dalam peperangan menentang Belanda). Sultan Mahmud Riayat Shah III kemudian membahagikan kesultanannya kepada wilayah Melayu dan Bugis. Baginda menetapkan bahawa Yang Dipertuan Muda Bugis akan mentadbir Riau (Pulau Bintan, Pulau Penyengat dan wilayah takluknya), manakala Sultan Melayu mentadbir Lingga dan wilayah takluknya, dalam keadaan di mana salah satu pihak tidak mempunyai tuntutan ke atas hasil pihak yang lain. Walaupun Pulau Penyengat secara peribadi milik Engku Puteri Raja Hamidah, pulau tersebut ditadbir oleh saudaranya Raja Jaafar (Yang Dipertuan Muda Riau ke-6) dan kemudian oleh keturunan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar. Pembahagian pentadbiran Kesultanan Johor Lama yang berkesan oleh Sultan Mahmud Riayat Shah III memberikan peluang besar, yang belum pernah terjadi sebelumnya, kepada Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar untuk membangunkan Pulau Penyengat sebagai jantung kesultanan. Pulau Penyengat, yang terletak di tengah laluan perdagangan maritim Alam Melayu, kemudian menjadi pusat kesusasteraan dan kebudayaan Melayu yang penting pada abad ke-19.[21][22]

Sebuah Mushaf Al-Quran yang berasal dari zaman Kesultanan Riau-Lingga, dengan kemasan berkilat gaya Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu.

Bagi mengangkat martabat Islam di Kesultanan Riau–Lingga, Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar mula menjemput para ulama dan cendekiawan agama ke istana. Proses pengislaman semakin pesat pada zaman Yang Dipertuan Muda Riau ke-8, Raja Ali. Dengan berpegang pada tafsiran Al-Quran yang lebih tegas, Yang Dipertuan Muda Raja Ali mula melaksanakan hukum dan adat Islam di rantau tersebut. Pada zaman pemerintahannya, tarekat Naqshabandi menjadi terkenal di Pulau Penyengat, dan semua putera serta pegawai istana diwajibkan mempelajari agama, tasawuf dan memperbaiki bacaan Al-Quran. Belanda menggambarkan Yang Dipertuan Muda Riau dan keluarganya sebagai Muslim yang kuat pegangan agamanya dan terlalu menumpukan perhatian kepada pengajian Islam.

Yang Dipertuan Muda Raja Ali berpegang teguh pada pandangan Al-Ghazali tentang urusan pemerintahan, menerima pakai teori hubungan antara pemerintah dan agama. Beberapa pembaharuan dilaksanakan di mana perjudian, sabung ayam, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang belum berkahwin serta pemakaian emas atau sutera adalah dilarang, dan wanita diwajibkan bertudung. Lanun dan penjenayah dihukum berat serta dibuang negeri. Rakyat diwajibkan menunaikan solat lima waktu, dan rondaan khas waktu subuh diwujudkan bagi memastikan orang ramai bangun untuk menunaikan solat subuh. Amalan ini diteruskan pada zaman pemerintahan Yang Dipertuan Muda Riau ke-9, Raja Haji Abdullah yang juga seorang pengikut tarekat Sufi yang taat.

Peranan imam di Kesultanan Riau–Lingga dianggap berwibawa dalam hal-ehwal hukum Islam, setanding dengan peranan Sultan Riau-Lingga dan Yang Dipertuan Muda Riau di bawah sumpah setia. Kesultanan Riau-Lingga berpegang pada pemisahan kuasa antara imam, sultan dan ulama, di mana mereka menjalankan tanggungjawab mereka untuk membentuk sebuah negara Islam.

Riau pada masa itu digelar "Serambi Mekah", dan masyarakat Riau akan singgah di Pulau Penyengat sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji. Masjid menjadi pusat masyarakat, bukan sahaja sebagai pusat ibadah, tetapi juga sebagai pusat pengajian, perundangan dan pentadbiran. Masjid yang terletak bertentangan dengan pusat pentadbiran Belanda di Tanjung Pinang melambangkan kekuatan Yang Dipertuan Muda Riau melalui pengabdian mereka kepada Islam.

Kemelayuan

[sunting | sunting sumber]
Sebuah manuskrip Gurindam Dua Belas, iaitu panduan akhlak dan keagamaan yang ditulis dalam tulisan Jawi, dan disiapkan pada tahun 1264 Hijrah (1847 Masihi).

Menjelang pertengahan abad ke-19, Yang Dipertuan Muda Riau mula melihat diri mereka sebagai pelindung budaya Melayu tulen. Pada masa yang sama, bahasa dan adat Bugis dalam masyarakat diaspora di Kesultanan Riau–Lingga semakin merosot kerana sebahagian besar daripada mereka melalui proses pemelayuan selama beberapa generasi. Namun begitu, beberapa amalan adat masih kekal, seperti kedudukan wanita yang dihormati dalam masyarakat dan hubungan kekeluargaan yang erat berdasarkan keturunan dan warisan Bugis yang sama.

Tokoh utama yang memperjuangkan budaya Melayu di Kesultanan Riau–Lingga ialah Raja Ali Haji yang berketurunan Bugis–Melayu. Beliau menekankan tanggungjawab memelihara budaya Melayu dalam masyarakat, manakala budaya Barat dan Cina tidak wajar ditiru. Beliau juga menegaskan kepentingan bahasa Melayu dan bagaimana ia tidak boleh disalahgunakan oleh orang Eropah.

Raja Ali Haji berpendapat bahawa meninggalkan tradisi Melayu akan merosakkan aturan dunia dan kerajaan, manakala menerima pakai aturan berbusana Barat dan Cina dianggap sebagai pengkhianatan terhadap Kemelayuan. Namun, beliau tidak menyokong paksaan untuk menjadi orang Melayu, sebaliknya beliau menyeru supaya tradisi Melayu dipelihara demi mencapai keharmonian antara manusia dengan manusia, manusia dengan pemerintah dan manusia dengan Allah. Keadaan di Johor dan Singapura agak berbeza daripada Kesultanan Riau–Lingga, dan banyak amalan serta tabiat orang Melayu yang telah dipengaruhi Barat di sana dipandang serong oleh para pembesar di Riau.

Roesidijah (Kelab) Riouw

[sunting | sunting sumber]
Raja Ali Haji (1808–1873) diiktiraf sebagai pengarang kamus Melayu yang pertama, yang kemudian menjadi asas kepada bahasa Indonesia.

Kemajuan budaya pada zaman Kesultanan Riau-Lingga juga dikaitkan dengan sebuah kumpulan intelektual yang dikenali sebagai "Roesidijah (Kelab) Riouw" atau "Rusydiah Klub Riau" yang ditubuhkan pada tahun 1895. Kelab tersebut diilhamkan oleh Jam'iyah al-Fathaniyyah yang diasaskan oleh para intelektual Melayu termasuk Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah pada tahun 1873. Persatuan tersebut pada awalnya dikenali sebagai Jam'iyah ar-Rusydiyah yang kemudian ditukar namanya kepada Rusydiah Klub Riau atau Roesidijah (Kelab) Riouw.

Nama tersebut diambil daripada perkataan Arab "Roesidijah" yang bermaksud golongan intelektual dan "Kelab" daripada bahasa Belanda yang bermaksud perhimpunan. Unsur Arab dalam nama tersebut menunjukkan bahawa ahli-ahlinya mahir dalam bahasa Arab, memandangkan Timur Tengah menjadi destinasi utama orang Melayu untuk melanjutkan pelajaran mereka pada masa itu. Unsur Belanda pula menggambarkan bahawa persatuan tersebut bersifat progresif, terbuka kepada perkembangan dan perubahan.

Persatuan tersebut merupakan persatuan moden pertama di Hindia Timur Belanda. Persatuan tersebut memainkan peranan penting dalam menyokong golongan intelektual, seniman, penulis, penyair dan ahli falsafah di Kesultanan Riau–Lingga dengan tujuan untuk memajukan seni, teater, persembahan pentas dan kesusasteraan. Persatuan tersebut turut terlibat dalam sambutan keagamaan utama seperti Israk dan Mikraj, Maulidur Rasul, Hari Raya Aidiladha, Hari Raya Aidilfitri dan Nuzul Quran. Selain itu, persatuan tersebut menganjurkan perbahasan Islam dan wacana intelektual, dan akhirnya berkembang menjadi gerakan anti-penjajah. Perkembangan persatuan tersebut disokong oleh beberapa sumber utama iaitu tajaan daripada pihak kesultanan, rumah percetakan seperti Mathba'at al Ahmadiah (untuk kesusasteraan) dan Mathba'at al Riauwiyah (untuk warta kerajaan), serta penubuhan perpustakaan Kutub Kanah Marhum Ahmadi.[23][24]

Budaya kesusasteraan Kesultanan Riau–Lingga mula merosot selepas tahun 1913 apabila Belanda membubarkan institusi kesultanan, menyebabkan penghijrahan golongan elit dan intelektual Melayu ke Singapura dan Johor.

Kesusasteraan

[sunting | sunting sumber]
Raja Aisyah Sulaiman menyiapkan karya pertamanya, Hikayat Syamsul Anwar pada tahun 1890. Hikayat tersebut merupakan antara karya sastera feminis terawal yang diterbitkan di Alam Melayu. Foto dari tahun 1911.

Tokoh terkemuka dalam kesusasteraan Melayu dan Indonesia di Kesultanan Riau–Lingga ialah Raja Ali Haji, yang dilahirkan di Selangor dan dibesarkan di Istana Diraja di Pulau Penyengat. Beliau terkenal sebagai seorang penulis, penyair, ahli sejarah, ahli perundangan dan ahli bahasa yang telah menghasilkan banyak karya. Antara karya beliau yang dianggap sebagai Magna opera dalam kesusasteraan Melayu ialah Tuhfat al-Nafis (Hadiah yang Berharga), Kitab Pengetahuan Bahasa (kamus Melayu yang pertama) dan Gurindam Dua Belas. Karya-karya beliau memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia moden. Beliau menghabiskan sebahagian besar daripada hidupnya dengan menulis dan mengkaji bahasa Melayu, sejarah, budaya dan undang-undang.

Budaya kesusasteraan yang berkembang pesat di Pulau Penyengat diakui oleh delegasi Johor, yang mewakili Temenggung Johor terakhir, Temenggung Tun Abu Bakar selaku Pemerintah Johor, semasa lawatan mereka pada tahun 1868. Riau pada abad ke-19 menyaksikan pelbagai penerbitan hikayat, pantun, gurindam, syair, puisi serta karya sejarah dan sastera Melayu yang berunsur romantisisme dan realisme yang dihasilkan oleh generasi penulis dan penyair lelaki dan wanita, yang membuka jalan kepada perkembangan budaya kesusasteraan Melayu. Kesusasteraan bukan sahaja dianggap sebagai hiburan, malah sebagai sumber rangsangan intelektual dan ketenangan rohani.

Karya Hikayat Syamsul Anwar oleh Raja Aisyah yang disiapkan pada tahun 1890 merupakan antara bukti terawal unsur feminisme yang terdapat dalam kesusasteraan Melayu. Karya tersebut menceritakan kehidupan rahsia Badrul Muin, seorang wirawati yang menyamar sebagai seorang lelaki. Karya tersebut menggambarkan bahawa seorang wanita mampu mencapai tahap yang sama dengan seorang lelaki. Karya beliau seterusnya, Syair Khadamuddin, yang menggambarkan kesedihan wirawatinya Sabariah selepas kematian suaminya di tangan lanun. Dipercayai bahawa karya tersebut merupakan kisah separa autobiografi berikutan kemangkatan suaminya, Raja Khalid Hitam, di Jepun, dengan lanun sebagai metafora bagi negara asing.

Karya Raja Ali Kelana di Kesultanan Riau–Lingga termasuk Pohon Perhimpunan Pada Menyatakan Peri Perjalanan (1899) (catatan perjalanannya ke Kepulauan Tujuh antara bulan Februari hingga Mac 1896); Perhimpunan Plakat (1900) (laporan perjalanannya ke Timur Tengah); dan Kitab Kumpulan Ringkas (1910) (sebuah panduan keagamaan dan psikologi).[25]

Perpustakaan

[sunting | sunting sumber]
Masjid Raya yang dibina pada tahun 1803 merupakan sebahagian daripada warisan Kesultanan Riau-Lingga yang boleh ditemui di Penyengat Inderasakti. Masjid ini pernah menempatkan Kutub Khanah Marhum Ahmadi, sebuah perpustakaan Islam.

Tokoh penting dalam budaya kesusasteraan di Pulau Penyengat ialah Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 dan terakhir, Raja Muhammad Yusuf. Beliau merupakan anggota tarekat Naqshabandi, sebuah tarekat sufi utama. Beliau menekankan kepentingan agama dan ilmu melalui kesusasteraan. Pada pandangannya, seorang Muslim perlu dilengkapi dengan kebijaksanaan teologi sebelum melaksanakan kewajipan Islam. Tanpa ilmu, segala amalan seorang Muslim dianggap sia-sia. Beliau juga menegaskan bahawa ilmu dan kesusasteraan saling berkait, di mana kesusasteraan lahir daripada dahagakan ilmu, manakala ilmu disebarkan melalui kesusasteraan.[26]

Beliau menubuhkan Kutub Khanah Yamtuan Ahmadi pada tahun 1866, perpustakaan Islam pertama seumpamanya di Alam Melayu. Koleksi perpustakaan tersebut dibeli dari India, Kaherah, Mekah dan Madinah dengan jumlah sebanyak 10,000 Ringgit (Syiling Sepanyol). Sebahagian besar koleksi tersebut dikhaskan untuk pengajian teologi Islam. Perpustakaan tersebut terletak di Masjid Raya Penyengat supaya mudah dikunjungi oleh pedagang, pengunjung dan jemaah masjid. Selepas kemangkatannya, perpustakaan tersebut dinamakan semula sebagai Kutub Khanah Marhum Ahmadi.

Rumah Percetakan

[sunting | sunting sumber]
Percetakan Al-Ahmadiah di Singapura, warisan daripada pendahulunya dari Kesultanan Riau-Lingga. (1925)

Sejarah percetakan di Kesultanan Riau–Lingga bermula apabila kesultanan menubuhkan rumah percetakan Rumah Cap Kerajaan di Lingga sekitar tahun 1885. Rumah percetakan tersebut menggunakan teknik litografi dan kebanyakannya dicetak dalam tulisan Jawi serta kadangkala dalam tulisan Rumi. Beberapa karya penting telah dicetak di rumah percetakan tersebut, termasuk Muqaddimah fi Intidzam (tentang tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat dan agama) pada tahun 1886, Tsamarat al-muhimmah (mengenai undang-undang, pentadbiran kehakiman dan kenegaraan) pada tahun 1886, Undang-Undang Lima Pasal, dan Qanun Kerajaan Riau–Lingga, semuanya ditulis oleh Raja Ali Haji. Selain Raja Ali Haji, rumah penerbitan tersebut juga menerbitkan karya Munshi Abdullah, bapa kesusasteraan Melayu moden.

Pada tahun 1894, Yang Dipertuan Muda Riau ke-10, Raja Muhammad Yusuf menubuhkan sebuah lagi rumah percetakan di Pulau Penyengat. Rumah percetakan tersebut menggunakan dua nama penerbitan, Mathaba'at al Ahmadiah untuk penerbitan bukan kerajaan dan Mathaba'at al Riauwiyah untuk penerbitan rasmi berkaitan kesultanan. Mathaba'at al Ahmadiah menerbitkan karya pengetahuan am, kesusasteraan Islam dan karya terjemahan seperti Makna Tahyat, Syair Perjalanan Sultan Lingga ke Johor dan Gema Mestika Alam. Antara karya yang diterbitkan oleh Mathaba'at al Riauwiyah ialah Faruk Al-Makmur (Undang-undang Riau) dan Pohon Perhimpunan (Perjalanan Raja Ali Kelana ke Kepulauan Tujuh).

Semua penerbitan Al-Ahmadiah dan Al-Riauwiyah ditulis dalam tulisan Jawi kecuali Rumah Obat (sebuah jurnal perubatan) oleh R.H. Ahmad, seorang doktor, yang menggunakan tulisan Rumi pada tajuknya pada tahun 1894. Ini menandakan peningkatan pengaruh tulisan Rumi pada penghujung abad ke-19. Namun begitu, golongan intelektual Riau pada ketika itu tetap mahukan tulisan Jawi dipelihara dan dikekalkan, terutamanya dalam hal-ehwal agama dan budaya.

Selepas pembubaran Kesultanan Riau-Lingga pada tahun 1911, golongan intelektual Riau berhijrah ke Singapura dan Johor. Mereka menubuhkan semula Mathaba'at al Ahmadiah di Singapura untuk meneruskan kegiatan percetakan dan mengedarkan bahan pengetahuan am serta kesusasteraan Islam secara percuma sebagai usaha menentang penjajahan Belanda di tanah air mereka. Rumah percetakan tersebut kemudian dinamakan semula sebagai Al-Ahmadiah Press pada tahun 1925.[27] [28]

Kebudayaan

[sunting | sunting sumber]
Sekumpulan penari Melayu Riau tempatan mempersembahkan Joget Dangkong. Foto sekitar akhir abad ke-19.

Selain terkenal dengan sumbangan kesusasteraannya, Kesultanan Riau–Lingga juga masyhur dengan tradisi muziknya. Persembahan muzik dinikmati sebagai satu bentuk hiburan oleh pihak istana dan rakyat biasa. Dengan kedatangan Belanda, pengaruh Eropah mula meresap ke dalam tradisi muzik istana, seperti yang dibuktikan dengan pengenalan alat-alat muzik seperti biola dan tambur dari Dunia Barat.[29]

Pengenalan alat-alat muzik Barat ke istana diraja dapat dikesan kembali kepada ketibaan Yang Dipertuan Muda Riau ke-6, Raja Jaafar dari Selangor. Sebelum pertabalannya, beliau merupakan seorang pedagang yang berpangkalan di Klang yang menjadi terkenal melalui perdagangan bijih timah. Beliau datang ke Riau atas jemputan Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Riayat Shah III selepas kemangkatan Yang Dipertuan Muda Riau ke-4, Raja Haji Fisabilillah (ayahanda kepada Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar). Selepas pertabalannya, beliau membina istana dan kerana minatnya terhadap muzik, beliau menjadi perintis muzik Barat di dalam kesultanan. Dengan menerima pakai muzik ketenteraan seperti yang diamalkan di Barat, beliau menghantar beberapa pemuda Riau ke Melaka untuk berlatih dengan Belanda tentang cara memainkan alat-alat muzik Barat seperti biola, trompet dan seruling.

Salah satu catatan terawal mengenai tradisi muzik istana diraja ialah catatan yang dibuat oleh C. Van Angelbeek, seorang pegawai Belanda. Semasa lawatannya ke Daik, beliau melihat Tarian Ronggeng dipersembahkan di istana, manakala suling dan rebab menjadi alat muzik kegemaran penduduk tempatan. Laporannya telah diterbitkan di Batavia pada tahun 1829.

Gamelan Melayu

[sunting | sunting sumber]

Gamelan Melayu berkembang seiring dengan Joget Gamelan Melayu. Pada pertengahan abad ke-18, sekumpulan penari dan pemuzik istana dari Jawa Tengah dihantar ke Pulau Penyengat, ibu kota diraja Kesultanan Riau–Lingga (kini Indonesia). Oleh itu, tarian istana dan gamelan gaya Jawa diperkenalkan di Istana Kuning yang terletak di Pulau Penyengat.[30][31]

Dicatatkan bahawa sekumpulan pemain Gamelan dari Pulau Penyengat telah dijemput untuk membuat persembahan di Pahang pada tahun 1811 sempena istiadat perkahwinan diraja Tengku Hussein (anakanda sulung kepada Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Riayat Shah III) dengan Che' Wan Esah binti Bendahara Tun Koris (adinda kepada Bendahara Johor terakhir dan Raja Bendahara Pahang ke-4, Bendahara Tun Ali). Tarian tersebut dipersembahkan buat kali pertama secara terbuka dalam sebuah majlis perkahwinan diraja di Pekan, Pahang. Peristiwa ini menandakan kelahiran Joget Pahang dan penyebaran Tarian Gamelan di Semenanjung Tanah Melayu.

Sejarah Mak Yong, sebuah persembahan tarian dan teater yang mendapat perhatian di istana diraja Johor, bermula pada tahun 1780 apabila dua orang lelaki dari Mantang, Encik Awang Keladi dan Encik Awang Durte, pergi ke Kelantan untuk berkahwin. Selepas berkahwin, mereka pulang ke selatan dan menetap di Pulau Tekong (kini di Singapura) dan menceritakan kepada penduduk tempatan tentang pengalaman mereka menyaksikan persembahan Mak Yong di Kelantan. Teruja dengan cerita tersebut, penduduk Pulau Tekong pergi ke Kelantan untuk mempelajari tentang persembahan teater tersebut. Sepuluh tahun kemudian, persembahan Mak Yong yang pertama dipersembahkan di Kepulauan Riau dan Lingga.

Berita persembahan Mak Yong tersebut sampai kepada Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Riayat Shah III. Tertarik dengan berita tersebut, baginda menjemput para penggiat Mak Yong ke istana. Tidak lama kemudian, Mak Yong menjadi persembahan tetap di istana Johor yang terletak di Kepulauan Riau dan Lingga.[32] Selain hiburan, Mak Yong juga berfungsi sebagai persembahan penyembuhan yang bersifat mistik. Ciri utama yang membezakan Mak Yong di Kesultanan Riau–Lingga daripada di Kelantan ialah penggunaan topeng upacara, satu ciri yang tidak ditemui di Kelantan. Penggunaan topeng upacara tersebut menyerupai persembahan Mak Yong di Patani dan Narathiwat, kedua-duanya terletak di selatan Thailand pada hari ini.

Nobat Diraja

[sunting | sunting sumber]
Nobat Diraja yang digunakan untuk pertabalan Sultan Riau-Lingga ke-5 dan terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah (gambar diambil pada tahun 1885). Peralatan ini diwarisi oleh Kesultanan Terengganu dan menjadi sebahagian penting daripada alat kebesaran diraja. Peralatan ini kali terakhir digunakan semasa istiadat pertabalan Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-13 pada 27 April 2007.

Catatan terawal mengenai Muzik Nobat Diraja terdapat dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), yang menyatakan bahawa persembahan orkestra bermula pada zaman pemerintah wanita Bintan purba, Wan Seri Bini, juga dikenali sebagai Ratu Sakidar Shah, yang dikatakan pernah mengembara ke Banua Syam (Masyrik). Nobat digunakan semasa pertabalan Sang Nila Utama, Raja Singapura Lama, dan kemudian penggunaannya tersebar ke istana diraja Melayu lain di Semenanjung Tanah Melayu, Samudera Pasai dan Brunei.

Dari tahun 1722 hingga tahun 1911, Nobat dimainkan dalam istiadat pertabalan sultan dan menjadi sebahagian daripada alat kebesaran diraja serta lambang kedaulatan. Nobat hanya boleh dimainkan, atas perintah sultan dalam istiadat rasmi, oleh sekumpulan penggiat khas yang dikenali sebagai "Orang Kalur" atau "Orang Kalau".

Sebuah Nobat baharu telah dihasilkan untuk pertabalan Sultan Riau-Lingga ke-5 dan terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah pada tahun 1885. Dilaporkan bahawa pegawai penjajah Belanda mengalami sakit perut setiap kali Nobat lama dimainkan. Ini menyebabkan pertabalan baginda ditangguhkan beberapa kali dan kesakitan itu dipercayai berpunca daripada kuasa ghaib. Tengku Embung Fatimah binti Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah (bonda kepada Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah) memerintahkan agar Nobat baharu dihasilkan. Nobat baharu tersebut mempunyai lambang yang tertera Yang Dipertuan Riau dan Lingga Sanah, tahun 1303 (Hijrah) (1885 Masihi) dalam tulisan Jawi. Nobat baharu tersebut digunakan untuk pertabalan Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah pada tahun 1885 manakala Nobat lama tidak pernah digunakan lagi. Nobat lama kini disimpan di Muzium Persendirian Kadil di Tanjung Pinang, manakala Nobat baharu diwarisi oleh Istana Diraja Terengganu.[29]

Pancaragam Diraja

[sunting | sunting sumber]
Pancaragam Diraja bersama Heer Gunter, jurulatih dari Vienna, Empayar Austria-Hungary. Gambar diambil sekitar tahun 1880-an di Istana Penyengat.

Muzik Barat mencapai kemuncak popularitinya semasa pemerintahan Sultan Riau-Lingga ke-5 dan terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah dan genre muzik Barat tersebut dikenali sebagai cara Hollandia (cara Belanda). Muzik Barat, yang bermula sejak ketibaan Yang Dipertuan Muda Riau ke-6, Raja Jaafar pada tahun 1806, berkembang sehingga menjadi bahagian penting dalam istiadat rasmi dan perbarisan ketenteraan istana menjelang akhir abad ke-19.

Pada ketika itu, teknik komposisi dan permainan Barat digunakan bersama alat-alat muzik seperti trompet, trombon, saksofon, klarinet dan dram buatan Eropah. Pancaragam istana, yang dianggotai sepenuhnya oleh orang Melayu, diketuai oleh Raja Abdulrahman Kecik, Bentara Kanan Kesultanan Riau–Lingga.[33]

Muzik Barat dipersembahkan dalam majlis tarian atau jamuan diraja untuk meraikan lawatan Belanda atau lawatan daripada delegasi Eropah lain, kebiasaannya jemputan dari Singapura. Pancaragam diraja tersebut bermula pada tahun 1880-an, tidak lama selepas Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah menaiki takhta Kesultanan Riau-Lingga. Persembahannya memainkan peranan penting dalam sambutan ketika Tengku Besar Riau-Lingga, Tengku Muhammad Yusuf menerima Darjah Singa Belanda (Order of the Netherlands Lion) daripada Ratu Belanda, Ratu Wilhelmina pada tahun 1889.

Disebabkan sifatnya yang khusus untuk golongan bangsawan, persembahan tersebut lenyap bersama dengan pancaragam diraja tersebut berikutan pembubaran Kesultanan Riau-Lingga oleh Belanda pada tahun 1911.

Kesultanan Riau-Lingga sering diberi penghargaan dalam perkembangan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia kerana pelbagai buku, karya sastera dan kamus telah dihasilkan pada zaman pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga. Karya-karya tersebut menjadi tulang belakang Bahasa Indonesia moden. Raja Ali Haji diraikan atas sumbangannya dalam bidang bahasa dan beliau diberi penghargaan sebagai Pahlawan Nasional Indonesia pada tahun 2004.[34]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ "Dari Sinilah Kejayaan Melayu Riau Bermula" (dalam bahasa Indonesia). Batam: YouTube. 16 December 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 March 2016. Dicapai pada 13 March 2015.
  2. ^ "Institut voor taal-, land- en volkenkunde van Nederlandsch Indië, The Hague". Bijdragen tot de taal-, land- en volkenkunde van Nederlandsch-Indië, Volumes 76-77. M. Nijhoff. 1920. m/s. 436.
  3. ^ "Singapore-Johor Sultanate". Countries of the world. December 1989. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 May 2013. Dicapai pada 12 March 2015.
  4. ^ Peter Turner; Hugh Finlay (1996). Malaysia, Singapore and Brunei. Lonely Planet Publications. ISBN 9780864423931.
  5. ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (26 Januari 2024), Penubuhan rungkai status pemilikan Kesultanan Johor ke atas Singapura, Berita Harian, Diambil daripada https://www.bharian.com.my/kolumnis/2024/01/1204963/penubuhan-rungkai-status-pemilikan-kesultanan-johor-ke-atas-singapura
  6. ^ Sunandar, Heri (2015). "Aspek Sosio Politis Naskah dan Arkeologi". Al-Fikra. 14 (2): 186–212.CS1 maint: ref duplicates default (link)
  7. ^ :190
  8. ^ "Meneroka Peran Cendekiawan Kerajaan Riau-Lingga dalam Menentang Belanda (2)" (dalam bahasa Indonesia). Batam: Batampos.co.id. 4 November 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 November 2014. Dicapai pada 22 March 2015.
  9. ^ "Verzeparty dan Lydelyk Verzet: Perdirian Roesidijah (Club) Riouw 1890-an -1991" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang: Tanjungpinangpos.co.id. 2 March 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 22 March 2015.
  10. ^ "Sejarah Kerajaan Riau-Lingga Kepulauan Riau" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang: Balai Pelestarian Nilai Budaya Tanjung Pinang, Ministry of Education and Culture. 8 June 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 10 March 2015.
  11. ^ "Meneroka Peran Cendekiawan Kerajaan Riau-Lingga dalam Menentang Belanda (3)" (dalam bahasa Indonesia). Batam: Batampos.co.id. 4 November 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 28 March 2015.
  12. ^ "Riau-Lingga dan politik kontrak belanda 1905-1911/" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang: TanjungPinangPos. 6 July 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 April 2015. Dicapai pada 13 April 2015.
  13. ^ a b "Riau". Amsterdam: Hubert de Vries. 11 November 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 July 2015. Dicapai pada 12 March 2015.
  14. ^ "Raja Ali Kelana - Ulama pejuang Riau dan Johor". Utusan Malaysia. Kuala Lumpur, Malaysia. 12 July 2004. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 April 2015. Dicapai pada 11 April 2015.
  15. ^ van der Eng, Pierre. "Food supply in Java during war and decolonisation, 1940-1950." The Journal of Asian Studies, vol. 55, 1996, pp. 525-526. Available here
  16. ^ "Gerakan Sultan Riau" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang: Tanjung Pinang Post. 9 February 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 12 March 2015.
  17. ^ "Johor dan Kepulauan Riau: Berlainan negara tetapi tetap bersaudara" (PDF). Malaysia: Abdullah Zakaria bin Ghazali. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 12 March 2015.
  18. ^ "Malay-Bugis in the Johor-Riau and Riau-Lingga Kingdoms" (PDF) (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang, Indonesia: Dedi Zuraidi. 2012. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 18 March 2015.
  19. ^ http://hids.arkib.gov.my/#/index_peristiwa?q=&day=&month=&year=. Missing or empty |title= (bantuan)
  20. ^ "Kesultanan Riau-Lingga" (dalam bahasa Indonesia). Yogyakarta: Balai Melayu. 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 March 2016. Dicapai pada 12 March 2015.
  21. ^ "Raja Ali Haji Pencatat Sejarah Nusantara yang Pertama". Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1990. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 12 March 2015.CS1 maint: unfit URL (link)
  22. ^ "Sejarah Percetakan dan Penerbitan di Riau Abad ke-19-20" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang: Balai Pelestarian Budaya Tanjung Pinang. 6 June 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 12 March 2015.
  23. ^ Annisa, Pahlevi. "Kebudayaan Melayu Riau" (dalam bahasa Indonesia). Indonesia: Pahlevi Annisa.
  24. ^ "Naskah Kuno di Riau dan Cendekiawan Melayu" (dalam bahasa Indonesia). Yogyakarta, Indonesia: Balai Melayu. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 March 2016. Dicapai pada 22 March 2015.
  25. ^ "Bapak Jurnalistik Indonesia" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang, Indonesia: Tanjungpinangpos.id. 24 January 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 April 2015. Dicapai pada 9 April 2015.
  26. ^ "Kutub Khanah Marhum Ahmadi, Pustaka Islam Pertama di Asia Tenggara" (dalam bahasa Indonesia). Indonesia: Gunawan Malay. 27 May 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 22 March 2015.
  27. ^ Kemunculan Novel dalam Sastera Moden Indonesia dan Malaysia. Malaysia: A. Wahab Ali. 2014. ISBN 9789830685908.
  28. ^ "Sejarah Percetakan dan Penerbitan di Riau Abad ke-19-20" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang, Indonesia. 6 June 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 12 March 2015.
  29. ^ a b "Muzik cara holanda dan istana riau lingga 1805 1911" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang, Indonesia: Tanjungpinangpos.id. 12 January 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 1 April 2015.
  30. ^ Mohd Anis Md Nor, Stephanie Burridge Taylor & Francis (29 Nov 2020). Sharing Identities: Celebrating Dance in Malaysia. Taylor & Francis. ISBN 9781000083729. Dicapai pada 5 April 2023.
  31. ^ Saearani, M. F. T. B & Cahyono, A. (2016). The Inheritance of Malay Palace Dance in Malaysia and Yogyakarta Classical Dance in Indonesia . Harmonia: Journal of Arts Research And Education, 16(1), 75-86. doi:http://dx.doi.org/10.15294/harmonia.v16i1.6145
  32. ^ "Makyong bernafas di hujung tanduk" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang, Indonesia: Tanjungpinangpos.id. 21 June 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 April 2015. Dicapai pada 15 April 2015.
  33. ^ "Muzik cara holanda dan istana riau lingga 1805 1911" (dalam bahasa Indonesia). Tanjung Pinang, Indonesia: Tanjungpinangpos.id. 19 January 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 1 April 2015.
  34. ^ "Raja Ali Haji" (dalam bahasa Indonesia). Yogyakarta: Balai Melayu. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 April 2015. Dicapai pada 12 March 2015.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]
  • Barbara Watson Andaya (2003) Gender, Islam and the Bugis Diaspora in Nineteenth and Twentieth-Century Riau, Kuala Lumpur:Universiti Kebangsaan Malaysia, online edition
  • Vivienne Wee (2002) Ethno-nationalism in process: ethnicity, atavism and indigenism in Riau, Indonesia, The Pacific Review, online edition
  • Mun Cheong Yong (2004) The Indonesian Revolution and the Singapore Connection, 1945-1949, Singapore: KITLV Press, ISBN 9067182060
  • Derek Heng, Syed Muhd Khirudin Aljunied (ed.) (2009) Reframing Singapore: Memory, Identity, Trans-regionalism, Singapore: Brill Academic Publishers, ISBN 9789089640949
  • Virginia, Matheson (1989) Pulau Penyengat : Nineteenth Century Islamic Centre of Riau, online edition
  • Barbara Watson Andaya (1977) From Rūm to Tokyo: The Search for Anticolonial Allies by the Rulers of Riau, 1899-1914, online edition