Ketua negara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Ketua negara ialah istilah am untuk pegawai individu atau berkumpulan yang berkhidmat selaku ketua wakil awam sesebuah negara berdaulat, tanpa mengira sistem beraja, republik, persekutuan, komanwel atau sebagainya. Secara amnya, peranan ketua negara termasuk menjadi lambang kesinambungan dan kesahan negara serta melaksanakan kuasa politik, fungsi dan tugasan yang diberi kepada ketua negara berlandaskan perlembagaan dan undang-undang negaranya. Di negara-negara bangsa, ketua negara dianggap sebagai "pemimpin" rasmi negara.

Charles de Gaulle menyifatkan peranan seseorang presiden Perancis yang dibayangkannya ketika menulis perlembagaan Perancis moden, bahawa ketua negara harus menerapkan "semangat kebangsaan" demi bangsa dan dunia: une certaine idée de la France (satu buah fikiran tertentu tentang Perancis). Kini, kebanyakan negara mengharapkan ketua negara masing-masing menerapkan nilai-nilai bangsa yang sedemikian.

Model perlembagaan[sunting | sunting sumber]

Mengikut protokol, negara-negara terbahagi kepada negara beraja atau republik, bergantung pada gaya (dan cara pewarisan jawatan) ketua negara masing-masing mengikut peruntukan perlembagaan, namun ini bukan caranya mentakrifkan sistem politik sebenar, yang sering mengalami perubahan dalaman yang ketara tanpa mengubah gaya ketua negara, atau masih mengekalkan ciri-ciri lain walaupun beralih dari sistem beraja ke republik atau sebaliknya.

Setiap perlembagaan (undang-undang asas) negara mengasaskan sistem politik tersendiri. Terdapat empat jenis utama ketua negara yang dapat dibezakan:

  1. sistem ketua negara bukan eksekutif, yang mana ketua negara langsung tidak memegang apa-apa kuasa eksekutif, sebaliknya sekadar memainkan peranan simbolik bagi pihak negara;
  2. sistem berparlimen, yang mana ketua negara memegang kuasa eksekutif yang hanya boleh dilaksanakan mengikut nasihat jemaah menteri;
  3. sistem presiden, yang mana ketua negara juga memegang jawatan ketua kerajaan dan giat melaksanakan kuasa eksekutif; dan
  4. semi semi-presiden, yang mana ketua negara berkongsi hak pelaksanaan kuasa eksekutif bersama ketua kerajaan.