Bahasa-bahasa Indo-Eropah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bahasa-bahasa Indo-Eropah
Taburan
geografi:
Zaman pra-penjajahan: Eurasia dan Afrika Utara
Kini: Seluruh dunia
lebih kurang 3.2 bilion penutur asli
Klasifikasi bahasa:Salah satu daripada keluarga-keluarga bahasa utama di dunia
Bahasa-proto:Bahasa Indo-Eropah Purba
Pembahagian:
ISO 639-2 / 5:ine
Glottolog:indo1319[1]
{{{mapalt}}}
Taburan moden bahasa-bahasa Indo-Eropah di benua Eurasia:
  bahasa-bahasa bukan Indo-Eropah
Kawasan-kawasan berbintik/berjalur menandakan kawasan kebiasaan berlakunya multilingualisme (boleh jelas dilihat selepas peta ini diperbesarkan).

Bahasa-bahasa Indo-Eropah, juga dikenali sebagai keluarga bahasa Indo-Eropah, merupakan keluarga bahasa tempatan di hampir kesemua kawasan Eropah, penara Iran, dan utara benua kecil India. Sebilangan bahasa-bahasa Eropah di bawah keluarga ini seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Portugis, bahasa Rusia, bahasa Belanda, dan bahasa Sepanyol telah tersebar melalui penjajahan pada zaman moden dan dituturkan merentasi beberapa benua di serata dunia. Keluarga bahasa Indo-Eropah terbahagi kepada beberapa cabang atau sub-keluarga, dan lapan daripadanya masih hidup sehingga ke hari ini iaitu: bahasa Albania, bahasa Armenia, bahasa-bahasa Balto-Slavik, bahasa-bahasa Celtik, bahasa-bahasa Jermanik, bahasa-bahasa Yunani, bahasa-bahasa Indo-Iran, dan bahasa-bahasa Italik; manakala sembilan subkumpulan yang lain telah pun pupus.

Hari ini, bahasa-bahasa tunggal dengan penutur asli teramai ialah bahasa Inggeris, bahasa Hindi–Urdu, bahasa Sepanyol, bahasa Benggali, bahasa Perancis, bahasa Rusia, bahasa Portugis, bahasa Jerman, dan bahasa Punjabi. Setiap bahasa tersebut memiliki lebih daripada 100 juta penutur asli, namun banyak juga bahasa-bahasa tunggal yang kecil di bawah keluarga bahasa Indo-Eropah mengalami ancaman kepupusan.

Sebanyak 46% penduduk dunia (3.2 bilion manusia) menutur bahasa Indo-Eropah sebagai bahasa pertama mereka, dan bilangan ini adalah bilangan teramai berbanding keluarga bahasa yang lain. Terdapat lebih kurang 445 bahasa-bahasa Indo-Eropah yang hidup menurut jangkaan dibuat oleh Ethnologue, dengan lebih dari dua per tiga (313) daripadanya di bawah cabang bahasa Indo-Iran.[2]

Semua bahasa-bahasa Indo-Eropah berasal dari satu bahasa prasejarah yang direkonstruksi secara linguistik sebagai bahasa Indo-Eropah Purba, dituturkan lebih kurang bermula zaman Neolitik sehingga ke Zaman Gangsa Awal. Tempat geografik ia dituturkan, juga dikenali sebagai tanah air Indo-Eropah Purba, telah diperdebat dengan pelbagai hipotesis lokasi; namun ijmak akademik kini menyokong hipotesis Kurgan yang menganjurkan tanah air tersebut berada di kawasan dataran rumput Pontus-Kaspia yakni di Ukraine dan selatan Rusia, berkaitan dengan kebudayaan Yamnaya dan kebudayaan-kebudayaan arkeologi yang berdekatan pada alaf keempat sehingga awal alaf ketiga sebelum Masihi. Sewaktu wujudnya catatan-catatan bertulis pertama, bahasa Indo-Eropah telah bercambah menjadi pelbagai bahasa yang dituturkan merentasi Eropah, Asia Selatan, dan sebahagian Asia Barat. Bukti bertulis bahasa Indo-Eropah terawal wujud pada Zaman Gangsa dalam bentuk bahasa Yunani Mycenaean dan cabang kepada bahasa-bahasa Anatolia yakni bahasa Hittite dan bahasa Luwian. Catatan-catatan terawal adalah perkataan-perkataan dan nama-nama isolat dari bahasa Hittite, tersisip dalam teks-teks bahasa Akkad iaitu salah satu daripada bahasa-bahasa Samiah, serta teks-teks jajahan Assyria iaitu Kültepe di timur Anatolia ditarikhkan pada abad ke-20 sebelum Masihi.[3] Walaupun tiada ada ketinggalan catatan-catatan bertulis yang lebih lama berkaitan orang Indo-Eropah Purba, beberapa aspek kebudayaan dan agamanya boleh direkonstruksi dari bukti-bukti yang terdapat pada kebudayaan keturunannya.[4] Keluarga bahasa Indo-Eropah adalah signifikan terhadap bidang linguistik sejarah kerana ia mempunyai catatan sejarah kedua terlama di kalangan keluarga-keluarga bahasa yang diketahui, dan kedudukannya hanyalah selepas keluarga bahasa Afroasia yang wujud dalam bentuk bahasa Mesir pra-Arab dan bahasa-bahasa Samiah. Analisis terhadap susur galur keluarga antara bahasa-bahasa Indo-Eropah serta rekonstruksi sumber bersama bahasa-bahasa tersebut adalah paksi kepada perkembangan metodologi linguistik sejarah sebagai salah satu disiplin akademik pada abad ke-19.

Keluarga bahasa-bahasa Indo-Eropah tidak diketahui mempunyai perhubungan dengan mana-mana keluarga bahasa melalui perhubungan genetik, walaupun terdapat beberapa cadangan yang dipertikaikan telah dibuat.


Salasilah bahasa-bahasa Indo-Eropah[sunting | sunting sumber]

Bahasa-bahasa Indo-Eropah mempunyai bahasa leluhur yang sama iaitu bahasa Indo-Eropah Purba. Bahasa ini dikatakan berasal dari kawasan di utara Laut Hitam, atau Anatolia. Berikut merupakan salasilah bahasa-bahasa Indo-Eropah:

Kebanyakkan bahasa-bahasa Eropah tergolong dalam keluarga bahasa Indo-Eropah. Namun, ada juga bahasa yang tidak termasuk dalam kumpulan ini. Misalnya keluarga bahasa-bahasa Ural (Hungary, Estonia, Finland), bahasa-bahasa sami, keluarga bahasa Kaukasia dan bahasa Basque.

Bahasa Turki dan bahasa Malta adalah dua contoh bahasa yang berasal daripada luar Eropah. Bahasa Turki ialah sejenis bahasa Turkik, manakala bahasa Malta berasal daripada bahasa Arab.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Hammarström, Harald; Forkel, Robert; Haspelmath, Martin, penyunting (2017). "Indo-European". Glottolog 3.0. Jena, Germany: Max Planck Institute for the Science of Human History.
  2. ^ "Ethnologue report for Indo-European". Ethnologue.com.
  3. ^ Bryce, Trevor (2005). Kingdom of the Hittites: New Edition. Oxford University Press. m/s. 37. ISBN 978-0-19-928132-9.
  4. ^ Mallory, J.P. (2006). The Oxford Introduction to Proto-Indo-European and the Proto-Indo-European World. Oxford University Press. m/s. 442. ISBN 978-0-19-928791-8.

Bacaan lanjutan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Pangkalan data[sunting | sunting sumber]

Maklumat leksikon[sunting | sunting sumber]