Bayi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bayi
Bayi baru lahir beberapa ketika selepas tali pusat dipotong.
Kesan-kesan verniks kaseosa pada bayi baru lahir penuh masa.

Bayi, infan atau anak damit (Brunei) ialah kategori termuda untuk kanak-kanak. Selain itu, terdapat istilah neonat dalam bidang perubatan bagi golongan bayi yang berumur kurang daripada 28 hari.[1] Istilah ini juga boleh digunakan untuk merujuk kepada juvenil organisma lain. Dalam bahasa harian, bayi baru lahir ialah bayi yang baru berumur beberapa jam, beberapa hari atau sebulan. Dalam konteks perubatan, bayi baru lahir atau neonatal (daripada perkataan Latin iaitu neonatus atau bayi baru lahir) merujuk kepada bayi dalam tempoh 28 hari pertama setelah kelahiran; istilah ini digunakan untuk bayi pramatang, bayi cukup bulan dan pascamatang.[2]

Sebelum kelahiran, istilah Janin digunakan. Istilah bayi biasanya digunakan untuk kanak-kanak yang sangat muda berumur di bawah satu tahun. Walau bagaimanapun, definisi ini mungkin berubah-ubah dan mungkin merangkumi kanak-kanak yang berumur hingga dua tahun. Apabila seorang anak manusia mula belajar berjalan, istilah kanak-kanak bertatih boleh digunakan.

Rupa bayi baru lahir[sunting | sunting sumber]

Dagu dan pinggul bayi yang baru lahir adalah sempit, dengan perut buncit sedikit, serta lengan dan kaki yang agak pendek. Berat puratnya lebih kurang 7.5 paun (3.2 kilogram) dan panjangnya 14-20 inci (35.6-50.8 sentimeter, walaupun bayi baru lahir pramasa adalah lebih kecil. Skor Apgar ialah ukuran peralihan bayi baru lahir dari rahim semasa sepuluh minit yang pertama.

Kepala bayi baru lahir adalah amat besar berbanding bahagian-bahagian badan yang lain, dan kraniumnya juga besar berbanding mukanya. Sedangkan tengkorak manusia dewasa adalah lebih kurang satu perlapan panjang badan penuh, bayi baru lahir adalah dua kali ganda ini. Ketika dilahir, banyak tempat tengkorak bayi baru lahir masih belum lagi dijadikan tulang. "Tempat-tempat lembut" ini digelarkan fontan. Dua tempat yang terbesar ialah fontanel anterior berbentuk intan dan yang terletak di bahagian depan kepala, serta fontanel posterior yang lebih kecil dan terletak di belakang kepala.

Semasa pelahiran dan kelahiran, tengkorak bayi bertukar bentuk untuk menyesuaikan dengan salur lahir dan oleh itu, kekadangnya menyebabkan bayi dilahir dengan kepala yang cacat atau panjang. Bagaimanapun, keadaan ini biasanya kembali ke keadaan normal dengan sendiri dalam jangka masa beberapa hari atau beberapa minggu. Senaman khas seperti yang dinasihatkan oleh pakar perubatan boleh membantu proses ini.

Sesetengah bayi baru lahir mempunyai bulu halus yang digelarkan lanugo, khususnya di belakang, bahu, dan dahi bayi pramasa. Lanugo hilang dengan sendiri dalam masa beberapa minggu. Bukan semua bayi mempunyai rambut yang banyak. Ada yang botak, sedangkan ada yang mempunyai rambut yang terlalu halus sehingga hampir tidak dapat dilihat. Kulit kepala mungkin juga lebam-lebam atau bengkak sementara waktu, khususnya bagi bayi baru lahir yang botak, dan kawasan di sekeliling mata mereka mungkin bengkak juga.

Sebaik sahaja selepas kelahiran, kulit bayi baru lahir sering berwarna kekelabu-kelabuan hingga biru suram. Dan sebaik sahaja bayi memulakan penafasan, biasanya dalam seminit atau dua, warna kulitnya akan berpulih ke warna yang biasa. Bayi baru lahir adalah basah dan diliputi oleh tanda jalur darah serta bahan putih yang digelarkan verniks kaseosa dan yang dianggap bertindak sebagai rintangan antibakteria. Bayi baru lahir mungkin juga mempunyai bintik Mongolia, pelbagai tanda lahir, atau kulit mengelupas, khususnya di bahagian pergelangan tangan, tangan, mata kaki, dan kaki.

Alat sulit bayi baru lahir adalah besar dan merah, dengan bayi lelaki mempunyai skrotum yang amat besar. Dadanya mungkin besar juga, walaupun bayi lelaki. Ini disebabkan oleh hormon ibu dan merupakan keadaan yang sementara. Bayi perempuan mungkin mengeluarkan susu dari putingnya, dan/atau bahan darah atau (bahan seakan-akan susu) dari farajnya. Bagaimanapun, kesemua ini dianggap biasa dan akan hilang dengan peredaran masa.

Tali pusat bayi baru lahir berwarna putih kebiru-biruan. Selepas kelahiran, pakar perubatan akan memotong tali pusat untuk meninggalkan 1-2 inci. Tali pusat yang kontot itu akan menjadi kering dan kerepot, serta gelap, dan jatuh sendiri dalam tempoh kira-kira tiga minggu. Kadang-kala, pihak hospital akan meletakkan pencelup ganda tiga (triple dye) pada tali pusat yang kontot itu bagi mencegahkan jangkitan dan oleh itu, menjadikan tali pusat dan kawasan sekelilingnya bertukar menjadi warna ungu.

Bayi baru lahir hilang banyak daripada ciri-ciri fizikal yang tersebut dengan pantas dan oleh itu, bayi yang lebih tua kelihatan amat berbeza. Sedangkan bayi yang lebih tua dianggap "comel", bayi baru lahir mungkin kelihatan "tidak menarik" dan oleh itu, ibu bapa pertama kali mungkin harus dididik mengenai perkara ini.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Neonate". Merriam-Webster online dictionary. Merriam-Webster. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-03-11. Dicapai pada 2007-03-27.
  2. ^ "Neonate". Merriam-Webster online dictionary. Merriam-Webster.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Didahului oleh
Fetus
Peringkat dalam pertumbuhan manusia
Bayi
Diikuti oleh:
Kanak-kanak bertatih