Grafik vektor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Contoh yang menonjolkan kesan grafik vektor lawan grafik raster. Gambar berasaskan vektor yang asal terletak di sebelah kiri. Bahagian imej kanan atas menunjukkan imej vektor yang dibesarkan sebanyak 7 kali, manakala imej kanan menggambarkan pembesaran yang sama pada imej peta bit. Imej raster bersandarkan piksel dan justera itu, penukaran saiz imej mengakibatkan kehilangan kejelasan, manakala imej berasaskan vektor dapat diskalakan tanpa menjejaskan mutu imejnya.

Grafik vektor ialah primitif yang berasaskan persamaan (seperti titik, garis, keluk, dan bentuk atau poligon) yang digunakan untuk melambangkan imej dalam bidang grafik komputer.

Format grafik vektor ialah pelengkap kepada grafik raster (yang merupakan perlambangan imej berasaskan tatasusunan piksel) kerana ia biasanya digunakan untuk melambangkan imej fotografi.[1] Terdapat waktu ketika menggunakan alatan dan format vektor ialah amalan yang terbaik dan terdapat juga waktu ketika menggunakan alatan dan format raster merupakan amalan yang terbaik. Sebaliknya, amalan yang terbaik kekadang merupakan penggunaan kedua-dua format bersama-sama. Justera, memahami kelebihan dan batas setiap teknologi serta perhubungannya antara satu sama lain akan menyebabkan penggunaan alatan yang cekap dan berkesan.

Gambaran keseluruhan[sunting | sunting sumber]

Paparan komputer terdiri daripada grid sel-sel segi empat tepat yang halus yang dikenali sebagai piksel. Gambar dihasilkan daripada sel-sel itu. Lebih kecil dan lebih rapat sel-sel itu, lebih baik kualiti imejnya, tetapi saiz fail juga akan menjadi lebih besar supaya dapat menampung datanya. Jika bilangan piksel ditetapkan supaya tidak berubah, saiz untuk setiap piksel akan bertambah besar dan imejnya akan kelihatan berbintik-bintik apabila dibesarkan kerana peleraian mata dapat mengesan piksel-piksel yang berasingan itu.

Fail grafik vektor menyimpan garis, bentuk, dan warna yang membentuk imej sebagai formula matematik. Atur cara grafik vektor mempergunakan formula tersebut untuk membina imej skrin pada kualiti imej yang terbaik, bersandarkan peleraian skrin. Formula matematik menentukan di mana titik-titik yang membentuk imej perlu diletakkan untuk mendapatkan hasil yang terbaik ketika memaparkan imej itu. Oleh sebab formula itu dapat menghasilkan imej pada pelbagai saiz dan perincian, kualiti imej ditentukan hanya oleh peleraian paparan, dengan saiz fail data vektor yang menjanakan imej tidak berubah. Pencetakan imej pada kertas biasanya menghasilkan output peleraian yang lebih tinggi dan lebih jelas, berbanding dengan memaparkan imej itu pada skrin, meskipun kedua-dua imej itu menggunakan fail data vektor yang tepat sama.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Ira Greenberg (2007). Processing: Creative Coding and Computational Art. Apress. ISBN 159059617X.