Komoditi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Yerba mate (kiri), kopi dan teh (kanan), semua digunakan untuk seduhan kafein , adalah komoditi Tanaman kontan.

Komoditi ialah barang yang mempunyai permintaan dan yang dibekalkan tanpa pembezaan kualitatif merentasi pasaran. Ia merupakan produk yang sama tanpa mengira siapakah yang menghasilkannya, misalnya petroleum, kertas buku nota, atau susu.[1] Dalam kata yang lain, tembaga ialah tembaga. Harga tembaga adalah sejagat dan naik turun setiap hari, berdasarkan penawaran dan permintaan global. Sebaliknya, televisyen mempunyai banyak tahap mutunya. Televisyen yang lebih baik (berdasarkan tanggapan) akan berharga lebih tinggi.

Salah satu ciri barang komoditi ialah harganya yang ditentukan sebagai fungsi pasaran seluruhnya. Komoditi-komoditi fizikal yang bertapak mempunyai pasaran semerta dan pasaran terbitan yang didagangkan dengan giat. Umumnya, ini merupakan sumber asas dan produk pertanian seperti bijih timah, minyak mentah, batu arang, etanol, garam, gula, biji kopi, kacang soya, aluminum, beras, gandum, emas, dan perak.

Pengkomoditian berlaku apabila pasaran barangan atau perkhidmatan hilang pembezaannya merentasi asas bekalan, seringnya diakibatkan oleh penyebaran modal intelektual yang diperlukan untuk memperoleh dan menghasilkan produk dengan cekap. Oleh itu, barang-barang yang dahulu memberikan harga premium kepada peserta pasaran telah menjadi komoditi, misalnya bahan farmaseutik generik dan cip silikon.

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Perkataan commodity mula digunakan dalam bahasa Inggeris pada abad ke-15. Ia berasal daripada bahasa Perancis, "commodité", yang membawa pengertian "memanfaatkan atau menguntungkan". Perkataan Perancis itu berasal pula daripada perkataan Latin, commoditatem (commoditas nominatif) yang bermakna "kesesuaian, penyesuaian". Kata akar Latin, commod-, mempunyai berbagai-bagai makna, termasuk "sesuai", "sukatan, ukuran, masa, atau keadaan yang wajar", serta "kelebihan" atau "manfaat".

Perdagangan komoditi[sunting | sunting sumber]

Dalam pengertian asal dan mudah, "komoditi" ialah barang-barang yang bernilai, mempunyai mutu seragam, dan dihasilkan pada jumlah yang besar oleh banyak pengeluar yang berbeza. Barang-barang yang dikeluarkan oleh setiap pengeluar dianggap sebagai sama. Yang mentakrifkan komoditi ialah takrif tersebut dan kontrak, bukannya sebarang mutu yang ada pada produk itu.

Pasaran untuk mendagangkan komoditi boleh bersifat amat cekap, khususnya jika pembahagiannya bersesuaian dengan segmen permintaan. Pasaran-pasaran itu akan membalas dengan begitu pantas terhadap sebarang perubahan dalam penawaran dan permintaan untuk mencari-cari harga dan kuantiti yang berkeseimbangan. Tambahan pula, para pelabur juga akan mendapat dedahan pasif daripada pasaran komoditi menerusi indeks harga komoditi. Bursa komoditi termasuk:

Komoditi dalam Marxisme[sunting | sunting sumber]

Dalam bidang ekonomi politik klasik dan khususnya, kritik Karl Marx terhadap ekonomi politik, komoditi ialah mana-mana barangan atau perkhidmatan yang dihasilkan oleh kerja manusia dan ditawarkan sebagai produk untuk dijual secara umum dalam pasaran. Sesetengah barangan yang lain juga dianggap sebagai komoditi, misalnya, tenaga manusia, karya, atau sumber semula jadi, walaupun kesemua itu tidak dihasilkan semata-mata untuk pasaran atau tidak bersifat barang terkeluarkan semula.

Analisis komoditi Marx bertujuan untuk membantu mengatasi masalah tentang apakah yang menentukan nilai ekonomi barangan menerusi teori nilai buruhnya. Masalah ini telah didebatkan secara meluas oleh Adam Smith, David Ricardo, dan Johann Karl Rodbertus, antara lain. Nilai dan harga bukannya istilah yang sepadan dalam bidang ekonomi, dan membuat teori tentang hubungan tertentu antara nilai dengan harga pasaran merupakan suatu cabaran kepada kedua-dua ahli ekonomi liberal dan ahli ekonomi Marxis.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Sullivan, arthur (2003). Economics: Principles in action. Upper Saddle River, New Jersey 07458: Prentice Hall. m/s. 152. ISBN 0-13-063085-3. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)CS1 maint: location (link)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]