Pertempuran Kosovo

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pertempuran Kosovo
Sebahagian daripada Perang Uthmaniyyah di Eropah

Pertempuran Kosovo oleh Adam Stefanovic (1870).
Tarikh15 Jun 1389
Lokasi
Keputusan
  • Secara taktikalnya tidak dapat disimpulkan[1][2][3][4][5][6]
  • Kemenangan strategi Uthmaniyyah
  • Kerugian yang besar ditanggung oleh kedua-dua belah pihak
Pihak yang terlibat
Empayar Uthmaniyyah Serbia Moravia
Daerah Branković
Kerajaan Bosnia
Kesateria Hospital
Komandan dan pemimpin
Sultan Murad I 
Bayezid I
Yakub ÇelebiTemplat:Executed
Putera Lazar 
Vuk Branković
Vlatko Vuković
John dari Palisna
Kekuatan
~ 27,000–40,000 ~ 12,000–30,000
Kerugian dan korban
Sultan Murad I dan kebanyakan tenteranya Prince Lazar dan kebanyakan tenteranya

Pertempuran Kosovo berlaku pada 15 Jun 1389 antara tentera Serbia yang dipimpin oleh Putera Lazar Hrebeljanović dan tentera Uthmaniyyah di bawah pimpinan Sultan Murad I. Tentera Serbia terdiri daripada tentera Putera Lazar, satu kontinjen yang diketuai oleh bangsawan Serbia iaitu Vuk Branković dan kontinjen yang dihantar oleh Raja Tvrtko I dari Bosnia yang mana panglimanya ialah Vlatko Vuković. Pertempuran ini tercetus di Medan Kosovo yang terletak di bawah wilayah kekuasaan Branković dan pada hari ini ia terletak di Kosovo.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Pencerobohan Seljuk diikuti tentera Salib telah mengubah keseimbangan kuasa secara sepenuhnya di Timur Tengah. Empayar Byzantine merupakan mangsa kepada pencerobohan tersebut. Empayar Byzantine mula kehilangan wilayahnya kepada Seljuk pada abad ke-11 diikuti tentera Salib walaupun pada awalnya mereka berhasrat untuk menghulurkan bantuan. Ibu kota kerajaan Byzantine, Constantinople telah dijarah oleh bangsa Latin. Kesannya, keadaan di Anatolia telah menjadi berpecah-belah melebihi apa yang terjadi pada masa lampau. Komposisi etnik dan agama di Asia Kecil berubah dengan mendadak seiring kemasukan besar-besaran suku Turk. Bukan itu sahaja, tentera Mongol telah memulakan pencerobohan ke atas Anatolia pada tahun 1241. Pada tahun 1243, tentera Mongol telah menewaskan tentera Seljuk secara muktamad berhampiran kawasan moden Sivas. Kesultanan Seljuk seterusnya menjadi negeri naungan kepada Empayar Mongol dan salah satu pengganti Rom Timur, Empayar Nicaea telah memanfaatkan situasi ini. Pada tahun 1261, orang Yunani berjaya menguasai kota Constantinople dan memulihkan semula Empayar Byzantine di barat laut Anatolia dan Balkan. Malangnya, Mongol telah mengusir lebih ramai suku-suku Turk keluar dari Asia Tengah dan Dataran Iran ke Anatolia.

Pada tahun 1299, salah satu pemimpin daripada suku Turk tersebut yang bernama Uthman telah berhasil mendapatkan sedikit wilayah di sempadan Kesultanan Seljuk dan Empayar Byzantine kerana jasanya kepada tentera Seljuk. Pada tahun 1302, Uthman berjaya menewaskan tentera Byzantine berhampiran Nicaea. Kemudian, beliau telah mengambil kesempatan di sebalik keruntuhan Kesultanan Seljuk pada tahun 1308 untuk memperoleh kemerdekaan. Tidak seperti pemimpin-pemimpin Beylik yang lain, Uthman tidak mengambil peduli akan perang antara suku. Beliau dan keturunannya mengamalkan cara hidup Islam lebih menyeluruh berbanding pemerintah Seljuk sebelum ini. Keturunan mereka hanya mencari kejayaan dengan memerangi orang bukan Islam. Anak Uthman yang bernama Orhan telah berjaya merebut kota Prusa dari Byzantine yang pada hari ini dikenali sebagai Bursa. Beliau kemudiannya telah memindahkan ibu kotanya ke sana. Nicaea dan Nicomedia telah dikuasai oleh Orhan pada tahun 1331 dan 1337. Sejumlah kecil tentera beliau juga telah berjaya menyerbu daerah Byzantine di Eropah. Kerajaan Uthmaniyyah telah menguasai kota yang pertama di Eropah pada tahun 1354 setelah mereka memanfaatkan keruntuhan tembok Gallipoli akibat kejadian gempa bumi. Pada dekad seterusnya, kota Adrianople, Plovdiv dan Komotini telah ditakluk oleh Uthmaniyah. Sultan Uthmaniyah yang berikutnya iaitu Sultan Murad I telah memindahkan ibu kota kerajaannya ke Adrianople yang dikenali sebagai Edirne pada hari ini.

Medan dataran yang lapang di Kosovo.

Seolah-olah tidak ada yang mampu menghalang kemaraan Uthmaniyah, Empayar Serbia yang kuat telah mengambil langkah mempersiapkan pertahanan negara untuk menghadapi ancaman dari Uthmaniyah. Pada tahun 1371, Raja Vukasin cuba mengambil peluang di kala kebanyakan tentera Uthmaniyah sedang berada di Asia untuk menguasai kota Adrianople serta mengusir Uthmaniyah keluar dari Eropah. Dengan sekitar 35,000 tentera di bawah pimpinan Vukasin, mereka mara ke lembah Sungai Maritsa. Oleh kerana tidak ada jumlah bilangan tentera musuh yang signifikan, Raja Serbia itu tidak menghantar pengintipnya untuk memeriksa keadaan sekeliling sekali gus membiarkan kem mereka tidak dikawal dengan rapi. Tentera Uthmaniyah yang hanya memiliki kekuatan kira-kira 1,000 perajurit dan tentera berkuda telah menyerang kem pasukan Serbia pada waktu malam. Ribuan tentera Serbia terkorban ketika sedang tidur dan ramai juga yang tenggelam ke dalam sungai semasa pertempuran tercetus. Raja Serbia, abangnya dan golongan aristokrat telah terkorban dalam pertempuran ini dan menandakan kemusnahan Empayar Serbia.

Hampir seluruh aristorat Serbia dan Bulgaria telah berada di bawah naungan Sultan Murad. Salah satu daripada ialah Putera Serbia Moravia, Lazar. Semasa kebanyakan tentera Uthmaniyah bergerak ke Anatolia, Putera Lazar telah melancarkan pemberontakan bersama dengan pemimpin feudal tempatan. Pasukan Lazar telah menewaskan tentera Uthmaniyah dalam Pertempuran Pločnik pada tahun 1386. Kemenangan beliau telah berjaya mengusir Uthmaniyah keluar dari selatan Serbia. Kejayaan ini telah meningkatkan reputasi Putera Lazar sepuluh kali ganda dan beliau telah membentuk satu pakatan besar yang terdiri daripada orang Serbia, Bulgaria, Bosnia dan Albania. Bahkan, segelintir bangsawan dari Hungary dan Bohemia telah menyertai pakatannya. Tetapi untuk kali ini, mereka akan menghadapi pasukan terbaik Uthmaniyah. Sultan Murad bersama dengan anak-anaknya iaitu Bayezid dan Yakub telah mara menuju ke Pristina pada Jun 1389. Sementara itu, Lazar bersama pasukannya telah menanti Uthmaniyah di Kosovo, yang bermaksud lapangan burung-burung hitam dalam bahasa Serbia.

Persiapan[sunting | sunting sumber]

Susunan tentera bagi pihak Serbia dan Uthmaniyyah sebelum pertempuran tercetus

Komposisi tentera[sunting | sunting sumber]

Sultan Murad masih melanjutkan usaha ayah dan datuknya dalam membangunkan pasukan tentera terlatih. Maknanya tentera Uthmaniyyah sama sekali sangat berbeza dengan komposisi pasukan tentera yang pernah diturunkan oleh Seljuk. Namun, tentera Murad masih memiliki kavalri ringan dalam jumlah besar yang dikenali sebagai akinji. Mereka bersenjatakan busur campuran, kapak, belantan dan mereka biasanya bertempur sebagai penyerang hendap atau pasukan sayap. Kavalri terlatih atau sipahi merupakan kavalri yang lebih berat serta bersenjatakan lembing dan busur. Infantri bukan terlatih dikenali sebagai azap bersenjatakan busur, tombak atau halberd. Sultan Uthmaniyah juga mula menggunakan hamba peribadi dan orang-orang Kristian untuk membentuk pasukan elit janissari. Pasukan ini dilengkapi dengan berbagai-bagai senjata. Janissari berkhidmat sebagai pelindung kepada sultan dan ia memiliki infantri mahupun kavalri. Tentera Uthmaniyah juga memiliki meriam gergasi di barisan hadapan mereka. Secara keseluruhannya, Sultan Murad membawa 50,000 tentera dalam pertempuran ini.

Selain itu pada pihak yang lain, Serbia memiliki pasukan ketenteraan bergaya Eropah. Kebanyakan kavalri mereka terdiri daripada kavalri berat bersama dengan kavalri ringan hussar yang agak sedikit. Infantri Serbia pula menggunakan busur dan senjata tangan bergantung kepada situasi. Putera Lazar telah membawa kira-kira 30,000 orang perajuritnya.

Susunan tentera[sunting | sunting sumber]

Terdapat pergunungan yang mengelilingi medan dataran lapang Kosovo di barat dan timur. Putera Lazar faham bahawa pasukannya tidak boleh berentap dengan tentera Uthmaniyah di medan yang terbuka dan beliau berharap bentuk muka bumi ini dapat menghalang musuhnya memanfaatkan keunggulan jumlah mereka. 15,000 tentera telah diletakkan di barisan tengah yang dipimpin oleh putera Serbia itu sendiri. Kavalri pula berada di barisan hadapan diikuti infantri di barisan berikutnya. Pasukan sayap kiri diketuai oleh Vlatko Vuković sementara pasukan sayap kanan telah dipimpin oleh bangsawan tempatan iaitu Vuk Branković. Kedua-dua pasukan sayap tersebut memiliki kekuatan sekitar 7,000 tentera.

Di pihak Uthmaniyah pula, Sultan Murad mengisi barisan hadapan bersama 20,000 tentera terlatihnya manakala anaknya, Yakub menjadi ketua komander bagi 15,000 perajurit dalam pasukan sayap kiri sementara Bayezid pula membarisi pasukan sayap kanan dengan jumlah kekuatan yang sama seperti pasukan sayap kiri. Barisan hadapan Uthmaniyah yang terdiri daripada pemanah telah menggali parit kecil yang sudah diisi dengan kayu-kayu tajam. Kebanyakannya artileri telah diletakkan di bahagian tengah kedua-dua pasukan bak pihak Serbia mahupun pihak Uthmaniyah.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Pertempuran di Kosovo, hasil miniatur Rusia dari abad ke-16.

Pertempuran bermula pada pagi 15 Jun dengan bedilan meriam-meriam Serbia tetapi ia gagal mencapai barisan tentera Uthmaniyah kerana perbezaan jarak. Meriam Uthmaniyah juga tidak berkesan lalu pemanah telah diarahkan untuk maju. Putera Lazar pula telah memerintahkan pasukan kavalrinya untuk maju tetapi serangan Serbia ini telah ditangkis oleh pasukan tengah dan pasukan sayap kanan Uthmaniyah. Kavalri Serbia telah menanggung banyak korban tetapi pasukan sayap kanan Serbia berhasil melancarkan serangan. Serangan oleh pasukan sayap kanan Serbia ini telah mengheret tentera Uthmaniyah sampai ke khemah mereka. Namun, Bayezid yang berada di pasukan sayap kanan Uthmaniyah juga berjaya memberikan tentangan ke atas pasukan sayap kiri Serbia setelah beliau menghadapi kesulitan saat awal pertempuran. Putera Lazar tetap memegang inisiatifnya yang membuatkan Sultan mula panik.

Pemimpin pasukan sayap kanan Serbia iaitu Vuk Branković bertindak meninggalkan medan pertempuran bersama sebahagian besar perajurit yang berada di bawah komandonya. Sebahagian mengatakan beliau telah berbuat demikian kerana beliau merupakan seorang pengkhianat dan telah membuat perjanjian dengan Uthmaniyah untuk meninggalkan pertempuran. Pendapat yang lain pula mendakwa bahawa beliau telah menyelamatkan pasukannya bagi membolehkannya nanti dapat menentang Uthmaniyah dalam jangka masa dua dekad berikutnya. Melihat kejadian ini, pasukan sayap kiri Uthmaniyah menjadi bebas daripada apa-apa asakan lalu mara melancarkan serangan ke atas pasukan tengah Serbia dari arah tepi. Pasukan Serbia mula berundur sedikit demi sedikit di bawah asakan keras oleh Uthmaniyah. Dengan arus yang deras, keseluruhan pasukan mereka telah terkepung.

Sultan Murad telah mengirim majoriti pasukannya untuk menghabiskan musuh tetapi ia membuatkan dirinya begitu terdedah kepada ancaman hendap musuh. Kemudian, sekelompok kesateria Serbia telah memanfaatkan peluang ini untuk menembus pertahanan Uthmaniyah sebelum membunuh sultan. Sumber-sumber Kristian menyatakan terdapat sebelas orang kesateria telah mengorbankan diri mereka bagi memberikan laluan kepada rakannya, Miloš Obilić untuk membunuh sultan pada saat itu juga. Di sisi medan pertempuran yang lain, Putera Lazar telah tertewas. Lazar dan Milos, kedua-duanya telah diangkat menjadi santo oleh Gereja Serbia. Setelah kematian sang putera Serbia, pertempuran akhirnya tamat dan berubah menjadi tempat mandi berdarah.

Jumlah angka korban dari kedua-dua pihak sangat besar. Namun, serbuan Uthmaniyah ke atas Eropah telah diteruskan oleh pemerintah-pemerintah mereka yang seterusnya.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ (Fine 1994, p. 410)
    Thus since the Turks also withdrew, one can conclude that the battle was a draw.
  2. ^ (Emmert 1990, p. ?)
    Surprisingly enough, it is not even possible to know with certainty from the extant contemporary material whether one or the other side was victorious on the field. There is certainly little to indicate that it was a great Serbian defeat; and the earliest reports of the conflict suggest, on the contrary, that the Christian forces had won.
  3. ^ Daniel Waley; Peter Denley (2013). Later Medieval Europe: 1250-1520. Routledge. m/s. 255. ISBN 978-1-317-89018-8. The outcome of the battle itself was inconclusive.
  4. ^ Ian Oliver (2005). War and Peace in the Balkans: The Diplomacy of Conflict in the Former Yugoslavia. I.B.Tauris. m/s. vii. ISBN 978-1-85043-889-2. Losses on both sides were appalling and the outcome inconclusive although the Serbs never fully recovered.
  5. ^ John Binns (2002). An Introduction to the Christian Orthodox Churches. Cambridge University Press. m/s. 197. ISBN 978-0-521-66738-8. The battle is remembered as a heroic defeat, but historical evidence suggests an inconclusive draw.
  6. ^ John K. Cox (2002). The History of Serbia. Greenwood Publishing Group. m/s. 30. ISBN 978-0-313-31290-8. The Ottoman army probably numbered between 30,000 and 40,000. They faced something like 15,000 to 25,000 Eastern Orthodox soldiers. [...] Accounts from the period after the battle depict the engagement at Kosovo as anything from a draw to a Christian victory.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]