Rambutan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Rambutan
Buah rambutan
Setangkai buah rambutan
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Plantae
Klad: Trakeofit
Klad: Angiosperma
Klad: Eudikot
Klad: Rosid
Keluarga: Sapindaceae
Genus: Nephelium
Spesies:
N. lappaceum
Nama binomial
Nephelium lappaceum
Sinonim[2]
Senarai
    • Dimocarpus crinitus Lour.
    • Euphoria glabra Blume
    • Euphoria nephelium DC.
    • Nephelium obovatum Ridl.
    • Nephelium pallens Radlk.
    • Nephelium rambutan Schnizl.
    • Scytalia crinita Raeusch.
    • Scytalia rimosa Roxb.

Rambutan (nama botani: Nephelium lappaceum) ialah spesies pokok saka berbuah dalam keluarga Sapindaceae.[3] Ia berasal dari kawasan tropika Asia Tenggara[4][5] termasuk Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Myanmar, Malaysia, Indonesia dan Sri Lanka.[6][7] Ia kini banyak ditanam di Asia Tenggara dan sedikit di Sri Lanka, New Guinea, Australia, Amerika dan Afrika.

Buahnya dijual segar dan tidak tahan lama.[5]

Penamaan[sunting | sunting sumber]

Nama rambutan (Jawi: رمبوتن) didapatkan daripada perkataan rambut dengan akhiran -an kerana kulitnya penuh bulu yang lebat.[4]

Botani[sunting | sunting sumber]

Pokok rambutan malar hijau yang tumbuh mencapai ketinggian 15–24 atau 30 meter.[8][9] Daun-daunnya disusun berselang seli dalam pelepah 14–30 sm panjang, setangkai pelepah daun mempunyai 2-11 pasang anak daun dengan ukuran 5–28 sentimeter panjang dan 2–10 sm lebar. Ada tiga jenis rambutan yang boleh dicam dari bentuk anak daun pokok.[3]

Bunga yang muncul daripada sebatang pokok rambutan mempunyai satu (yang jantan atau betina) atau dua jenis. Bunga jantan dan bunga betina berbentuk cakera 2.5–5 mm lebar, berwarna putih, kuning atau hijau, dan tidak berkelopak pada tangkai 15–30 sm panjang; bunga jantan mempunyai sulur tetapi tidak ada pistil manakala bunga betina mempunyai cepu debunga yang tertutup.[8][3]

Buah[sunting | sunting sumber]

Buahnya jenis drup berbentuk bulat bujur 3–6 sm (jarang-jarang hingga 8 sm) panjang and 3–4 sm lebar. Setangkai buah rambutan terdiri daripada 10–20 biji buah tunggal. Kulitnya dipenuhi "rambut" panjang (spinterns) yang mudah melentur dan menyumbang kepada transpirasi buah yang menjejaskan mutunya.[10] Sebiji buah rambutan masak selepas 5 hingga 10 hari berwarna merah, kuning atau jingga.[8]

Isinya berwarna putih dan lutsinar dengan rasa manis,[3] ia menyelaputi sebiji benih yang licin dan berwarna perang dengan garis pusat 1–1.3 sm.[8]

Khasiat[sunting | sunting sumber]

Kandungan mineral dalam buah rambutan ialah 22 kalsium, 6 protein, 2.5 zat besi dan 5 natrium; manakala kandungan vitamin dalam buah rambutan ialah 49 vitamin K, 0.01 vitamin B1, 0.04 vitamin B2, 0.1 niasin dan 38.6 vitamin C.[11][[:]]

Pembiakan[sunting | sunting sumber]

Pokok rambutan boleh ditanam melalui biji benih ataupun cantuman. Biji benih rambutan ialah jenis rekalsitran. Biji ini boleh disemai di dalam kotak semaian dan hendaklah dipindahkan ke dalam polibeg berukuran 20 x 25 cm apabila mencapai ketinggian lebih kurang 30 cm. Biji benih juga boleh disemai terus ke dalam polibeg. Rambutan juga biasanya dibiakkan dengan cara cantuman. Cantuman mata tunas sebaik-baiknya dilakukan apabila saiz pokok penanti sebesar batang pensil dan telah mengeluarkan daun baru.

Penanaman[sunting | sunting sumber]

Lubang penanaman berukuran 60 x 60 x 60 cm perlu disediakan dengan jarak 10 m dalam sistem penanaman tiga atau empat segi sama. Tanah asas yang dicampur dengan 10 -15 kg baja organik dan 0.5 kg baja fosfat hendaklah digunakan sebagai baja asas.

Tempoh di permulaan musim hujan adalah paling sesuai untuk memulakan kerja penanaman di ladang. Anak pokok yang baru ditanam hendaklah dilindungi dengan struktur pelindung seperti pelepah daun kelapa. Penyungkupan digalakkan bagi tujuan memulihara kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.

Penyelenggaraan tanaman[sunting | sunting sumber]

Pemangkasan hendaklah dilakukan bagi menyelenggarakan keutuhan pokok dan membentuk kanopi serta meningkatkan pengeluaran buah. Pemangkasan secara sistem buka tengah hendaklah dilaksanakan dengan menyingkirkan cabang atau tunas-tunas air daripada pokok. Bahagian dahan yang dicantas hendaklah segera dirawat dengan bahan perawat pokok (tree dressing).

Merumpai boleh dilakukan secara manual, kimia atau mekanikal. Pengawalan rumpai secara mekanikal dengan menggunakan traktor boleh menjimatkan tenaga pekerja. Penyemburan racun kimia untuk lalang dan rumpai lain bolehlah dilakukan dengan menggunakan glyphosate atau paraquat.

Pembajaan[sunting | sunting sumber]

Pembajaan boleh dilakukan secara tabur rata atau ditanam dalam bentuk poket di sekeliling pokok pada hujung kanopi. Pembajaan yang seimbang dan tetap akan menjamin pertumbuhan sihat dan penghasilan tinggi di peringkat kematangan pokok.

Pengurusan perosak[sunting | sunting sumber]

Tanaman rambutan umumnya bebas daripada perosak dan penyakit utama. Penyakit kulapuk walaupun tidak serius tetapi kadang-kadang boleh menyerang bahagian dahan dan ranting. Cara kawalan penyakit ini ialah dengan semburan racun kulat Benomyl.

Pengurusan hasil[sunting | sunting sumber]

Buah rambutan yang telah masak

Pokok rambutan boleh mengeluarkan hasil selewat-lewatnya tiga tahun selepas ditanam. Buah rambutan mengambil masa 90-120 hari untuk matang. Perubahan warna daripada hijau kepada kuning atau merah merupakan petunjuk bahawa buah sudah sedia untuk dituai. Bergantung pada klon rambutan, hasil semusim ialah antara 80 – 200 kg/sepokok. Buah-buah yang baru dituai hendaklah dimasukkan ke dalam bakul dan elakkan dari dipadatkan antara satu sama lain. Penyimpanan buah yang padat akan menyebabkan buah khususnya bahagian bulu-bulu lebih cepat rosak dan berwarna kehitaman.

Jenis-jenis rambutan[sunting | sunting sumber]

  1. Rambutan budak sekolah
    (رامبوتن بودق سکوله)
  2. Rambutan gula batu (رامبوتن ݢولا باتو)
  3. Rambutan kawin (رامبوتن کاوين)

R134[sunting | sunting sumber]

Klon ini berasal dari Singapura dan didaftarkan pada bulan Mac 1946. Buahnya besar dan berbentuk bujur. Kulitnya berwarna merah tua, rambutnya sederhana panjang dan jarang. Isinya pula tebal dan sederhana pejal dengan rasa manis, lekang dan berjus.


R 156[sunting | sunting sumber]

Klon ini digelar Muar Gading (موار ݢاديڠ), didaftarkan pada 10 Januari 1955 dan berasal dari Sungai Abang, Muar, Johor. Kulitnya berwarna kuning, berbentuk bulat, besar, mempunyai rambut yang kasar tetapi jarang dan pendek. Isinya tebal, sederhana pejal, rasanya sederhana manis, lekang dan berjus.

R 160[sunting | sunting sumber]

Rambutan jenis ini digelar 'Khaw Tow Bak' (خاو توو باء) berasal dari Pulau Pinang dan didaftarkan pada 7 Jun 1970. Saiz buah berbeza-beza daripada sederhana besar hingga besar. Buah berbentuk bulat bujur. Kulit berwarna merah. Rambutnya kasar dan pendek. Isinya tebal, lembut, manis dan berjus. Lapisan selaput biji terikut sedikit pada isi.

R 162[sunting | sunting sumber]

Klon ini dipanggil 'Oh Heok' (اوه هيوء) berasal dari Pulau Pinang dan didaftarkan pada 17 Jun 1970. Kulit buah berwarna kuning kemerahan. Saiz buah besar, berbentuk bujur, berambut halus dan sederhana panjang. Isinya tebal, lekang, pejal dan sederhana manis. Lapisan biji terikut pada isi.


R 167[sunting | sunting sumber]

Dikenali dengan nama 'Chai Taw Cheng' (چاي تاو چيڠ) dan telah didaftarkan pada 17 Jun 1970. Saiz buah sederhana besar, berkulit nipis dan berwarna merah kekuningan, rambutnya panjang dan berwarna hijau. Isinya lekang, pejal dan rasanya manis.


R 168[sunting | sunting sumber]

Klon 'Che Embong' (چيء ايمبوڠ) berasal dari Kelantan dan didaftarkan pada 23 Julai 1970. Saiz buah sederhana panjang. Kulit berwarna merah kekuningan dan sederhana kasar. Isinya tebal, pejal dan rasanya manis.


R 170[sunting | sunting sumber]

Dikenali juga dengan nama 'Deli Cheng' (ديلي چيڠ) berasal dari Pulau Pinang dan telah didaftarkan pada 17 Jun 1970. Mempunyai buah berwarna merah yang besar dan berbentuk bulat bujur. Rambutnya sederhana panjang dan kasar. Isinya lekang, tebal, pejal dan sederhana manis. Lapisan selaput biji terikut sama dengan isi.

R 185[sunting | sunting sumber]

Terkenal dengan nama 'Lekang Nyior" (لكڠ ڽيور) berasal dri Gurun, Kedah dan didaftarkan pada 14 Februari 1980. Buahnya besar, berwarna merah dan berbentuk bulat bujur. Isinya lekang, rasanya manis dan didapati kering sedikit. Kulit biji tertanggal dan terikut bersama isi.


R 191[sunting | sunting sumber]

Terkenal dengan nama 'Rong Rien' (Thai: โรงเรียน, Jawi:روڠ ريان) atau 'Anak Sekolah'(انق سكوله). Berasal dari Thailand dan didaftarkan pada 1 Jun 1981. Saiz buah sederhana besar (40 gm/buah), berbentuk bujur dan kulitnya berwarna merah. Isinya manis, lekang dan pejal.

Terdapat beberapa varieti yang ditanam di Malaysia, namun hanya enam varieti sahaja yang popular iaitu R134, R156 (Muar Gading), R162 (Ong Heok), R170 (Deli Cheng), R191 (Anak Sekolah) dan R193 (Deli Baling). Keenam-enam klon ini berbeza dari segi bentuk buah, isi dan tahap kemanisan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Nephelium lappaceum". Integrated Taxonomic Information System.
  2. ^ "Nephelium lappaceum L." World Flora Online. World Flora Consortium. 2023. Dicapai pada 30 Jun 2023.
  3. ^ a b c d Hean Chooi Ong (2006). Buah: khasiat makanan & ubatan. Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publications. m/s. 22, 124. ISBN 9789676118929.
  4. ^ a b Morton, J. F. (1987). Fruits of Warm Climates. West Lafayette, Indiana, Amerika Syarikat: Center for New Crops & Plant Products, Purdue University Department of Horticulture and Landscape Architecture. m/s. 262–265.
  5. ^ a b Le Bellec, F. (Jun 2014). "Rambutan: The hairy cousin from the tropics". FruiTrop. No. 223. CIRAD. m/s. 28–33. Dicapai pada 14 Disember 2022.
  6. ^ Gut Windarsih; Muhammad Effendi (Mei 2019). "Morphological characteristics of flower and fruit in several rambutan (Nephelium lappaceum) cultivars in Serang City, Banten, Indonesia". Biodiversitas Journal of Biological Diversity. 20 (5). doi:10.13057/biodiv/d200537.
  7. ^ Tindall, H. D. (1 Januari 1994). Rambutan Cultivation. Pertubuhan Makanan dan Pertanian. ISBN 978-92-5-103325-8.
  8. ^ a b c d "The Rambutan Information Website". Panoramic Fruit Farm, Puerto Rico. Dicapai pada 14 Disember 2022.
  9. ^ Grant, Amy (19 April 2021). "Rambutan Growing Tips: Learn About Rambutan Tree Care". Gardening Know How. Dicapai pada 14 Disember 2022.
  10. ^ Arévalo-Galarza, M.L.; Caballero-Pérez, J.F.; Valdovinos-Ponce, G.; Cadena-Iñiguez, J.; Avendaño-Arrazate, C.H. (Mac 2018). "Growth and histological development of the fruit pericarp in rambutan (Nephelium lappaceum Linn.)". Acta Horticulturae (1194): 165–172. doi:10.17660/actahortic.2018.1194.25. ISSN 0567-7572.
  11. ^ Sarip, Johari (2005). Penanaman Rambutan. Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia. m/s. 2. ISBN 967-936-463-1.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]